Thursday 29 December 2011

Teori interaksi simbolik

PENGENALAN
Teori interaksi simbolik dikatakan cetusan ideal oleh beberapa orang tokoh seperti, George Herbert Mead, Charles Cooley, W.I Thomas, Erving Goffman dan Herbert Blumer iaitu merupakan pelajar Mead yang meneruskan usaha memperincikan pemikiran Mead mengenai interaksionisme simbolik. Tetapi, tokoh utama yang meletakkan dasar teori ini adalah George Herbert Mead. Mead tertarik untuk mengkaji interaksi sosial kerana apa yang dilihat daripada interaksi misalnya daripada dua atau lebih individu itu berpotensi mengeluarkan simbol dan makna. Baginya perilaku seseorang dapat dipengaruhi oleh simbol-simbol yang dikeluarkan oleh orang lain begitu juga sebaliknya. Hasil isyarat yang diberikan dalam bentuk simbol individu itu akan mengutarakan perasaan, fikiran dan maksud misalnya dengan membaca simbol yang ditampilkan oleh orang lain. Oleh itu, interaksi antara beberapa pihak ini akan berjalan lancar tanpa ganguan seterusnya simbol yang dikeluarkan pula akan dimaknakan bersama sehingga masing-masing boleh memahami bersama apa yang dibincangkan misalnya. Namun, interaksi ini tidak selamanya berjalan lancar berikutan mungkin ada pihak yang menggunakan simbol yang tidak memberikan makna kepada orang lain bahkan membawa kepada berlakunya salah faham.
Teori ini pada asasnya menumpukan kepada tindakan dan tingkah laku manusia dalam interaksi sosial. Disamping itu juga, kita melihat bagaimana mereka bertindakbalas dan mempengaruhi orang lain dalam sesuatu kelompok atau secara individu dengan individu sahaja. Keadaan ini dalam interaksi sosial memerlukan hubungan dengan simbol-simbol dan makna tertentu yang dipelajari dan diterapkan dalam proses sosialisasi. Teori ini sebenarnya mengfokuskan kepada individu yang dicorakkan oleh masyarakat.
INTERAKSI SIMBOLIK

Menurut ahli-ahli perspektif interaksi simbolik menyatakan bahawa individu adalah hal yang paling penting dalam konsep sosiologi dan ia merupakan objek yang boleh secara langsung ditelaah dan dianalisis melalui interaksi dengan individu atau orang lain. Menurut ahli perspektif interaksi simbolik juga, seseorang individu itu akan berinteraksi dengan mengunakan simbol-simbol yang mempunyai tanda-tanda, isyarat dan kata-kata. Menurut Mead, teori ini sangat penting dalam interaksi sosial. Kerana menurut beliau makna daripada pengunaan simbol-simbol bukanlah berasal daripada proses mental yang menyendiri tetapi berasal daripada interaksi. Oleh itu, manusia akan mempelajari simbol dan makna di dalam interaksi sosial. Dalam proses interaksi sosial ini manusia secara simboliknya akan mengkomunikasikan makna terhadap orang lain yang terlibat.

Menurut Mead lagi, proses interaksi simbolik terjadi dalam tiga unsur utama iaitu pemikiran  (mind), diri (self) dan masyarakat (society) dan ketiga-tiga unsur ini sangat berkaitan antara satu sama lain. Unsur pertama iaitu fikiran merupakan kemampuan individu menggunakan simbol yang mempunyai makna sosial yang sama iaitu setiap individu itu harus mengembangkan fikiran mereka melalui interaksi dengan orang lain. Unsur diri pula adalah kemampuan individu untuk merefleksikan diri daripada penilaian sudut pandangan atau pendapat orang lain. Unsur masyarakat pula adalah jaringan hubungan sosial yang diciptakan oleh setiap individu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, apabila seseorang individu itu berinteraksi, fikiran mereka sebenarnya yang sedang bekerja dengan memproduksi simbol dan membuat pengertian daripada simbol yang diterima daripada orang lain.

Mead juga mengfokuskan kepada tiga tema konsep iaitu pentingnya makna bagi perilaku manusia, pentingnya konsep mengenai diri dan hubungan antara individu dengan masyarakat. Tema pertama menerangkan mengenai kepentingan membentuk makna bagi perilaku manusia. Apa yang perlu diketahui teori ini bermula daripada proses komunikasi. Walaupun  pada awal interaksi ia tidak memberi apa-apa makna tetapi di akhir interaksi individu ini akan mencari makna untuk mendapatkan kesepakatan bersama dalam interaksi. Mengikut tema kedua pula berfokus kepada ‘konsep diri’ atau self-concept. Pada peringkat ini mereka lebih menekankan kepada pengembangan konsep diri melalui seseorang individu itu secara aktif iaitu apabila berlaku interaksi sosial dengan orang lain. Tema ketiga iaitu berhubung dengan masyarakat. Fokus yang diberikan adalah untuk menjelaskan mengenai perubahan dalam proses sosial.

George Herbert Mead berpendapat bahawa sosialisasi yang dilalui oleh seseorang itu dapat dibezakan melalui beberapa tahap. Misalnya ialah ketika manusia dilahirkan iaitu semasa seorang anak itu ingin mengenal dunia sosialnya termasuklah untuk memperolehi pemahaman tentang dirinya. Oleh itu, anak-anak akan mula meniru sesuatu itu walaupun tidak sempurna. Sebagai contoh melalui perkataan yang diajar ibu kepada anak yang masih tidak mampu menyebut perkataan dengan betul seperti kata ‘makan’. Anak tersebut hanya akan dapat menyebut ‘mam’ sahaja walaupun makna kata tersebut masih tidak dapat difahaminya. Tetapi lama kelamaan anak tersebut akan memahami dengan tepat makna makan tersebut melalui kenyataan yang dialami. Seterusnya tahap kedua ialah ketika seseorang anak itu semakin pandai meniru peranan-peranan yang dilakukan oleh orang dewasa. Anak akan mulai sedar tentang apa dilakukan dan diharapkan oleh seorang ibu. Anak semakin sedar orang di sekeliling mereka merupakan orang yang penting bagi membentuk norma dan nilai untuk mereka meniru daripada apa yang dilihat atau dari perkataan ahli keluarganya. Oleh itu, apabila berlaku interaksi antara anak dan ahli keluarga misalnya mereka akan dapat mengetahui makna daripada interaksi tersebut. Ini akan mengukuhkan lagi teori Mead akan penerimaan individu terhadap simbol yang dikeluarkan oleh orang lain mempunyai makna.

Seterusnya, kematangan yang ada akan mengurangkan peniruan kerana mereka sudah mampu menempatkan diri pada kedudukan orang lain. Sebagai contoh, hubungan dengan teman menyebabkan interaksi semakin banyak dan kompleks. Mereka akan mula memahami akan norma tertentu yang berlaku di luar daripada keluarganya. Apabila anak telah dewasa, mereka sudah mampu menempatkan diri dalam kedudukan masyarakat secara meluas iaitu mampu berinteraksi dengan orang lain. Oleh itu mereka akan sedar kepentingan peraturan, kemampuan bekerjasama walaupun dengan orang yang tidak dikenali. Oleh itu, mereka akan dapat menempatkan diri dalam masyarakat.

Menurut Herbert Blumer pula interaksi simbolik merujuk kepada ‘ karakter interaksi khusus yang berlaku antara manusia’. Oleh itu, interaksi tidak hanya semata-mata beriaksi terhadap tindakan yang lain tetapi dia akan mentafsir dan membuat definisi daripada setiap tindakan orang lain. Respon yang diberikan oleh individu kemudiannya akan didasarkan atas makna penilaian sacara langsung atau tidak langsung. Bagi Blumer juga, beliau turut menyatakan interaksi manusia dikatakan menggunakan simbol-simbol penafsiran dan dengan menemukan makna daripada tindakan orang lain. Dalam kontek ini, individu akan memilih, memeriksa, berfikir dan mentranformasikan makna tersebut.

Blumer menyatakan kajian keatas masyarakat menggunakan teori interaksi sosial ini akan bermula dengan beberapa landasan seperti, pentingnya makna simbolik dimana setiap kelakuan atau perkataan yang diungkapkan manusia mempunyai pelbagai tafsiran atau simbol. Oleh itu untuk memahami perlakuan manusia itu kita haruslah mempelajari makna daripada perlakuan yang dilakukan tersebut. Makna simbolik yang wujud juga perlu difahami kerana makna akan lahir daripada hubungan atau interaksi sosial. Oleh itu, apabila berlaku perubahan dalam interaksi tersebut secara automatiknya makna turut berubah. Makna yang difahami pula tertakluk kepada tafsiran, hal ini demikian kerana setiap orang mempunyai kebebasan memberi makna kepada sesuatu perkara itu mengikut tafsiran sendiri.

Oleh itu makna dan simbol yang dipelajari dalam interaksi sangat penting. Walau bagaimanapun, keperluan berfikir adalah penting apabila bertindakbalas terhadap satu-satu simbol. Hal ini demikian kerana, setiap simbol itu mewakili satu-satu objek yang perlu ditafsirkan maknanya. Simbol sebenarnya boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti perkataan, objek atau dalam bentuk perlakuan fizikal. Bahasa pula merupakan satu sistem simbol yang digunakan untuk pelbagai perkara. Oleh itu, makna sesuatu objek dapat dizahirkan menggunakan bahasa.

Tidak ketinggalan juga teori yang dikemukakan oleh ahli perspektif interaksi simbolik yang lain. Kebanyakannya mengemukakan keadaan yang hampir sama. Ini menunjukkan interaksi antara individu itu akan mewujudkan satu simbol dan daripada simbol tersebut akan melibatkan makna-makna tertentu mengikut apa yang ingin disampaikan. Namun, makna yang disampaikan tersebut tidak semestinya sama dengan individu yang lain berikutan mungkin dalam interaksi sosial yang berlaku menimbulkan salah tafsiran daripada simbol tersebut. Ini akan mewujudkan salah faham daripada makna daripada simbol dan akhirnya makna yang disampaikan tidak tercapai.

 KESIMPULAN

Kehidupan bermasyarakat akan terbentuk apabila adanya proses komunikasi dan interaksi antara individu atau kelompok dengan menggunakan simbol-simbol yang dapat difahami maknanya melalui proses belajar. Walaupun terdapat norma-norma, nilai-nilai sosial dan makna daripada simbol juga boleh memberikan batasan terhadap sesuatu tindakan, tetapi dengan kemampuan berfikir yang dimiliki manusia akan mempunyai kebebasan untuk menentukan tindakan dan tujuan yang hendak dicapai. Oleh itu akan wujud suasana yang berbeza daripada interaksi yang tercapai maknanya dengan interaksi yang tidak tercapai maknanya berikutan kemampuan berfikir antara seseorang individu itu berbeza.


RUJUKAN
Hubungan interaksi sosial dalam kelompok teman sebaya  diperoleh daripada 

Perspektif dalam psikologi social diperoleh daripada home.unpar.ac.id/

            Teori interaksi simbolik diperoleh daripada

Sosialisasi (2011). Diperoleh Januari 27, 2011daripada http://id.wikipedia.org/wiki/sosialisasi

Teori-teori komunikasi interpretif dan kritis diperoleh daripada
pksm.mercubuana.ac.id/new/elearning/files.../94022-13-772299373715.doc

sejarah dan sistem tingkah laku manusia diperoleh daripada http://klara_ia.staff.gunadarma.ac.id/Downloads/files/9081/handout baru psi sos 1.pdf 




Thursday 22 December 2011

KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGEN PERUBAHAN DI MALAYSIA

 1.0  Pengenalan
Menurut beberapa orang ahli sejarah mengatakan Islam bertapak di Alam Melayu dikatakan bermula di Melaka pada kurun ke-15 Masihi iaitu dengan pengislaman parameswara pada tahun 1413 Masihi.  Kedatangan Islam di mana-mana tempat dikatakan akan muncul bersama-sama dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Ilmu merupakan satu alat yang paling unggul dalam pengukuhan iman dan taqwa. Oleh itu, tidak akan sempurna iman seseorang tanpa ilmu pengetahuan begitu juga tidak berperanan ilmu secara realiti tanpa iman. Perkembangan dalam aktiviti perdagangan di Melaka menjadi teras kepada perubahan dalam ekonomi, politik dan sosial dalam kehidupan masyarakat. Islam telah membawa banyak perubahan kepada masyarakat di Tanah Melayu khususnya di Melaka, kemudiannya hasih daripada hubungan baik para pedagangan luar dengan sultan memudahkan lagi aktiviti yang ingin dijalankan di pelabuhan.
Pada mulanya perkembangan islam di Tanah Melayu dapat dilihat setelah sultan dan seluruh isi di istana memeluk Islam. Pengislaman sultan menjadi asas kepada perkembangan islam kerana sifat taat setia rakyat kepada pemerintahnya. Apabila pemerintah telah memeluk Islam maka dengan automatiknya rakyat akan memeluk Islam. Perkembangan semakin rancak setelah para ulama’ diberi kebenaran mengajar masyarakat tanah melayu pengajian fardu ain sebagai asas permulaan mengenal Allah. Pengajian ini bermula di istana sendiri dan semakin berkembang kepada pengajian pondok setelah mendapat sambutan yang hebat di Tanah Melayu. Perkembangan ini telah memberikan banyak perubahan kepada Tanah melayu dan akhirnya seluruh tanah Melayu mendapat manafaat daripada perubahan ini.


2.0  Ciri-ciri Islam di Peringkat Dunia

Islam itu ad-Din yang bermaksud “ketundukan” atau “kepatuhan” kepada satu institusi ketuhanan yang menjadi panduan kepada manusia demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, yang meliputi kepercayaan (iman) dan amalan (amal), sebagai satu ketundukan dalaman dan luaran kepada segala kehendak Allah Yang Maha Agung.[1] Di peringkat dunia, Islam mempunyai lima ciri utama iaitu konsisten, terbuka dan rasional, bersifat semasa, sesuai dengan fitrah manusia dan sempurna atau syumul.
Islam itu konsisten di mana proses tamadun Islam yang berterusan sehingga kini sudah 14 kurun. Islam yang dibawa oleh Rasulullah mampu bertahan sehingga hari kiamat dan ini merupakan antara keunikan Islam. Rasulullah s.a.w. bukan sebagai seorang kepala negara tetapi sebagai seorang rasul. Baginda telah mengeluarkan peraturan-peraturan dan hukum, memungut hasil (zakat), melancarkan perang, menandatangani perjanjian, dan menjalin hubungan antarabangsa, tetapi semua fungsi-fungsi itu telah dilaksanakan oleh Baginda semata-mata sebagai seorang Rasul.[2] Sistem perundangan dalam Islam tetap berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Perintah serta larangan Allah adalah mutlak tanpa berubah mengikut zaman. Ciri Islam yang begitu konsisten berupaya menghadapi cabaran zaman.
Islam itu bersifat terbuka dan rasional. Islam yang mengalami proses pembinaan yang agak lama tentunya memberi ruang kepada peradaban-peradaban lain untuk diasimilasikan supaya sesuai dengan resam dan budaya penganutnya. Islam menerima tatacara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah. Islam itu bersifat terbuka untuk menerima pembaharuan yang dapat memperkukuhkan sistem-sistem yang wujud dalam Islam. Islam juga bersifat rasional terutamanya berkaitan dengan persoalan semasa yang tidak melibatkan hukum bersifat mutlak. Perbincangan (musyawarah) digalakkan dalam untuk meleraikan sesuatu masalah.
Selain itu, Islam itu bersifat semasa. Buktinya, Islam masih bertahan sehingga kini disebabkan ia dapat disesuaikan dengan perubahan semasa. Sistem-sistem yang wujud dalam Islam berupaya menerima unsur-unsur peradaban lain yang tidak bertentangan dengan Islam. Pembudayaan serta gabungan akal dan keimanan melahirkan perkara-perkara baru sesuai dengan kehendak zaman. Contohnya, sistem perbankan dan kewangan diubahsuai supaya menepati syariat Islam.
Ciri Islam itu sesuai dengan fitrah manusia kerana berupaya membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Islam mengajar manusia agar menghargai diri, masyarakat dan alam. Manusia itu memerlukan keseimbangan dari segi rohani dan jasmani. Fitrah manusia sememangya memerlukan imbangan yang menghubungkan elemen kemanusiaan dengan aspek-aspek ketuhanan. Hubungan tersebut merupakan hubungan dengan Allah, sesama manusia dan alam sekeliling. Islam merupakan agama yang syumul atau sempurna kerana ia menyempurnakan keperluan manusia. Di mana ianya meliputi segala aspek kehidupan termasuklah sosial, ekonomi, perundangan, politik, dan sebagainya. 

3.0  Teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu
Teori kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah dikemukan oleh beberapa teori iaitu teori dari China dan India. Menurut Van Ronkel bahawa Islam sebenarnya berasal dari India Selatan. Dalam mengukuhkan teori-teori ini Van Ronkel menyatakan bahawa ciri-ciri mistik, dan sastera roman yang terdapat dalam masyakarat di Tanah Melayu adalah berasal dari India Selatan. Selain itu ada juga yang menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Tanah Melayu di bawa dari Malabar. Hal ini dinyatakan bahawa Fakir Muhammad yang berasal dari India Selatan telah mengislamkan Merah Silu iaitu Raja Malikus Salleh di Pasai. Oleh sebab itulah, teori yang dikemukan ini menyatakan bahawa Islam sebenarnya berasal dari India Selatan.
Seterusnya, berdasarkan teori yang dikemukan dari China pula menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah berasal dari Champa. Hal ini kerana terdapatnya batu bersurat yang dijumpai di Terengganu pada tarikh 1303M yang menyamai batu bersurat yang terdapat di Champa. Hal ini telah mengukuhkan lagi hujahnya yang menyatakan bahawa Islam di Tanah Melayu berasal dari ini. Walaupun begitu kedatangan Islam ke Tanah Melayu tidak dapat diketahui asalnya kerana terdapat percanggahan pendapat. Dengan hal demikian kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya faktor perdagangan, perkahwinan, penyebaran agama, dan politik dan penaklukan.

4.0  Faktor penyebaran islam ke Tanah Melayu
Pedagang islam yang datang berniaga di Asia Tenggara telah tingggal di beberapa buah bandar pelabuhan. Bandar pelabuhan yang telah menjadi pusat tumpuan masyarakat Asia tenggara telah menjadi pusat perkembangan ekonomi dan ilmu. Islam disebarkan dengan aman dan tertib. Sikap keterbukaan masyarakat Asia Tenggara dalam menerima pembaharuan telah memudahkan pihak pendakwah dari Tanah Arab, India dan China untuk menyebarkan ajaran agama islam kepada masyarakat di situ tanpa ada unsur paksaan.
4.1  Cara-cara penyebaran Islam di Asia Tengggara
      4.1.1        Perdagangan
                Seperti yang kita tahu, dakwah islamiah disebarkan ke Asia Tenggara melalui pedagang-pedagang dari Tanah Arab, China dan juga India. Mereka yang berketurunan Arab, India dan China telah lama menjalinkan hubungan perdagangan dengan pelabuhan-pelabuhan utama yang ada di Asia Tengggara seperti pelabuhan di Selat Melaka, Teluk Siam, Indo China, pelabuhan di Kepaulauan Rempah (Maluku), Makasar, dan pelabuhan di Laut Jawa. Antara fungsi pelabuhan ini adalah sebagai pusat kegiatan manusia dari pelbagai tempat serta pelbagai masyarakat.
              Kebiasaanya, amalan dan kepecayaan baru sering menjadi ikutan dikalangan masyarakat disitu. Penduduk setempat dikatakan tertarik dengan kemurnian sikap serta tingkah laku pedagang islam yang datang dari Semenanjung Tanah Arab, India dan juga dari China. Oleh itu, perkara tersebut telah mnejadi ikutan penduduk setempat. Selain itu, perkampungan pedagang islam juga dikatakan telah menjadi pusat perbincangan tentang agama islam di kalangan pedagang yang telah menetap di situ.
                Selain berdakwah, pedagang juga dikatakan membawa para ulama iaitu untuk menyebarkan agama islam. Mereka telah tinggal beberapa bulan atau sesetengahnya telah menetap di pelabuhan untuk menjalankan kegiatan berdakwah di daerah perlabuhan tersebut. Didapati islam mudah dan cepat tersebar kerana para pedagang yang berdakwah telah mengamalkan sifat mahmudah semasa menyampaikan ajaran islam kepada penduduk di situ.
      4.1.2        Perkahwinan
          Islam juga tersebar dengan adanya proses perkahwinan. Perkahwinan mempunyai dua jenis iaitu perkahwinan siasah dan juga perkahwinan biasa. Perkahwinan siasah ialah perkahwinan politik dimana ia berlaku dikalangan kerabat diraja dan juga antara golongan bangsawan sahaja. Sebagai contoh di Melaka, Sultan Mansur Syah dan Sultan Muzafar Syah telah mengawinkan puteri-puteri mereka dengan raka Jambi, Kampar, dan Siak di Sumatera Utara. Jika dilihat, kesan daripada perkahwinan ini, maka sesebuah negeri tersebut dapat diislamkan dengan mudah.
                Perkahwinan biasa berlaku antara pedagang Islam atau para ulama yang telag datang ke Asia Tenggara dengan penduduk setempat. Menerusi perkahwinan ini, kesannya Islam dapat tersebar dengan mudah dan cepat dikalangan keluarga orang yang baru dikahwini. Kemudiannya, Islam tersebar pula dikalangan masyarakat sekeliling keluarga yang dikawini oleh pedagang tersebut.


      4.1.3        Pengislaman Raja dan Golongan Bangsawan
                Seterusnya Islam tersebar menerusi peranan raja dan juga golongan bangsawan. Seperti yang kita tahu, masyarakat  melayu sangat taat kepada golongan pemerintah. Oleh itu, keadaan ini telah menyebabkan raja dah juga golongan bangsawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap rakyat.
              Jika kita lihat, pengislaman raja dan juga golongan bangsawan telah menyebabkan proses penyebaran islam ke Asia Tenggara menjadi mudah kerana apabila raja dan golongan bangsawan memeluk dan mengamalkan ajaran agama Islam, maka rakyatnya akan mengikuti apa yang diamalkan oleh golongan pembesar mereka. Sebagai contoh pengislaman Megat Iskandar Shah telah diikuti oleh pembesar Melaka, keluarga raja, dan juga keseluruhan rakyat Melaka telah memeluk agama Islam. Contoh kedua ialah pengislaman Raja Malik al-Salih, Pasai telah menjadi sebuah kerajaan Islam yang kuat.
           Seterusnya ialah menerusi usaha golongan raja dan bangsawan itu sendiri dalam menyebarkan ajaran agama Islam seperti memberikan pendidikan kepada rakyat dan bukan kepada golongan pembesar sahaja.


      4.1.4        Peranan Pusat Kebudayaan
                 Beberapa pusat kebudayaan telah muncul di Asia Tenggara seperti di Perlak, Samudera,-Pasai, Riau, dan juga di Acheh. Pusat kebudayaan mempunyai peranan seperti sebagai sebuah pusat keilmuan dan juga sebagai pusat penyebaran islam. Di dalam pusat kebudayaan inilah wujudnya institusi pendidikan dan golongan yang cerdik pandai. Jika dlihat, pada zaman keagungan kerajaan Samudera-Pasai pula, Bandar ini telah menjadi pusat penterjemahan di kepulauan Melayu. Terdapat banyak kitab Arab yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, Sultan Mansur Shah dari Melaka telah mengirimkan kitab al-Dur al-Manzum ke Samudera-Pasai bertuuan untuk diterjemahkan oleh ulama Pasai. Ulama yang bertanggungjawab dalam menterjemahkan kitab ini ialah Makhdum Patakan. Golongan cerdik pandai dan para ulama di Samudera-Pasai telah dijadikan sebagai rujukan oleh para ulama dari luar. Sebagai contoh Sultan Mahmud Shah dari Melaka pernah merujuk ke Samudera-Pasai iaitu tentang kemusykilan yang berkaitan dengan masalah agama.
                  Jika perhatikan pada zaman kemuncak keagungan kerajaan Melayu Melaka, terdapat beberapa buah buku kesusasteraan yang telah dihasilkan mengikut pengaruh dari gaya tulisan Arab seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah, dan juga Hikayat Nabi Bercukur. Jika kita lihat, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiah bukan sahaja menjadi bahan bacaan tetapi telah dijadikan perangsang dan semangat serta kekuatan kepada orang Islam untuk menentang musuh di medan peperangan. Manakala di Acheh pula terdapat banyak karya puisi yang dihasilkan oleh penulis tempatan yang telah dapat menarik minat pembaca untuk menghayati agama Islam.
               Karya-karya ini telah meningkatkan pemikiran dan kebudayaan di rantau ini dan seterusnya telah membantu perkembangan Islam dalam jangka masa panjang. Usaha-usaha sebegini juga telah dilakukan oleh kerajaan Johor-Riau yang turut memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan Islam yang penting iaitu pada abad ke-18.

5.0  Kesan  kemasukan Islam ke Asia Tenggara
      5.1  Pendidikan
        Pendidikan merupakan aspek yang sangat penting dalam masyarakat Melayu. Secara umumnya, terdapat dua jenis pendidikan yang diamalkan oleh masyarakat melayu ialah pendidikan formal dan juga pendiidikan tidak formal. Pendidikan tidak formal ialah pendidikan yang berlaku secara automatic seperti pendidikan awal atau asuhan yang berlaku dalam institusi kekeluargaan. Pendidikan ini ialah seperti pengajaran terhadap nilai-nilai normal serta pembelajaran melalui pendengaran, penglihatan dan juga pemerhatian. Ia biasanya berlaku pada peringkat kanak-kanak semasa mereka dalam proses pembesaran. Pendidikan formal pula ialah pendidikan yang berkaitan dengan keagamaan secara langsung atau menerusi perantaraan institusi yang tertentu.
              Jika kita lihat kesan daripada pengaruh Islam terhadap pendidikan kepada masyarakat Melayu ialah pendidikan bercorak formal telah berkembang pesat dan tidak lagi terhad kepada golongan atasan sahaja. Akibat dari pengaruh Islam, semua golongan mula terlibat dalam aspek pendidikan. Sebagai contoh pendidikan yang menekankan keagamaan ini diadakan di beberapa tempat untuk memudahkan semua golongan dapat mempelajari ilmu yang bakal di ajar seperti di istana, masjid, rumah, surau, madrasah serta di pondok. Antara pondok yang telah dibuka di negeri Melayu ialah :

Negeri
Nama Pondok
Kelantan
a)      Pondok Pulau Condong yang dibuka oleh Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tuk Pulau Condong)
b)      Pondok Kutan yang dibuka oleh Haji Mohamad Salleh
Terengganu
a)      Pondok Pulau Manis yang dibuka oleh Syaikh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Ku Pulau Manis)
Kedah
a)      Pondok Titi Gajah yang dibuka oleh Haji Muhamad Taib.
b)      Pondok Langgar yang dibuka oleh Haji Muhamad Nor.


5.2  Bahasa dan Kesusasteraan
      Pengaruh yang ditinggal dari kemasukan Islam ke Asia Tenggara ialah terhadap penulisan iaitu telah memperkenalkan tulisan jawi kepada masyarakat Melayu khususnya. Sebelum adanya tulisan jawi, tulisan-tulisan yang digunakan ialah tulisan Pallava, Kawi (Jawa Kuno), Sunda kuno, Batak dan Rencong. Huruf arab atau tulisan jawi ini mula diperkenalkan setelah kedatangan Islam dan telah diterima dengan senangya oleh masyarakat Melayu setelah dibuat penyusaian dengan tulisan Melayu. Tulisan jawi yang telah diperkenalkan ini telah menjadi saluran utama dalam pembacaan dan penulisan dalam masyarakat setempat seterusnya tulisan ini menjadi hak milik orang Melayu.
          Jika dlihat, perbendaharaan kata bahasa Melayu telah bertambah dengan bertambahnya istila-istilah baru yang berasal daripada bahasa Arab iaitu bahasa Al_Quran. Antara perkataan baru yang telah diperkenalkan ialah seperti adat, adil, daulat, hakim dan juga hukum. Seterusnya, tersebar pula istilah untuk bidang lain terutamanya dalam cabang ilmu Islam seperti fikah, tafsir, dan juga tauhid.
          Selain itu, bidang kesusasteraan juga telah diperkembangkan ekoran dari pengaruh Islam ke Asia Tenggara. Didapati, pada tahap awal kesusasteraan rakyat disebarkan melalui lisan iaitu daripada satu generasi ke generasi yang lain. Antara jenis-jenis kesusteraan liasan yang terkenal ialah seperti cerita asal-usul, cerita binatang, cerita jenaka atau lucu dan juga cerita dongeng.

5.3  Kesenian
Sebelum kedatangan Islam lagi, orang Melayu telah membabitkan diri dalam bidang kesenian. Walaubagaimanapun, pembabitan tersebut masih di bawah lingkungan Hindu-Budha. Sebagai contoh, penemuan candi-candi di Lembah Bujang, terutamanya Candi Bukit Batu Pahat dan sebagainya. Perkara ini membuktikan bahawa wujudnya pengaruh dari Hindu-Budha. Selain itu, hasil ukiran dan arca seperti Avalokitesvara yang dijumpai di Lembah Bujang iaitu di Kedah juga membuktikan terdapat pengaruh dari Hindu-Budha pada masa tersebut iaitu sebelum kedatangan Islam.
          Setelah kedatnag Islam, Islam telah mengubah keadaan ini apabila dalam bidang kesenian mula dikaitkan dengan agama Islam, terutamanya dalam seni bina seperti pembinaan masjid. Jika diperhatikan, masjid telah menjadi tumpuan masyarakat sama ada sebagai tempat untuk menunaikan solat atau pun sebagai tempat perkumpulan sosial. Kesenian yang berundurkan islam dapat kita lihat dalam pembinaan masjid seperti mempunyai cirri-ciri khas seperti mihrab, mimbar, telaga, dan bumbung khas. Semua seni bina ini melambangkan binaan tersebut sebagai masjid dan dapat dibezakan dengan pembinaan lain.
          Istana raja pula dibina dengan indah dan juga dilengkapi dengan balai istiadat, tempat persemayaman diraja, dan sebagainya. Jika dilihat, setiap binaan sama ada istana atau rumah dilengkapi dengan berbagai-bagai hiasan dalaman iaitu hasil daripada kemahiran seni ukiran. Didiapati sebelum kedatangan Islam ukiran adalah bermotifkan binatang seperti burung, ayam dan sebagainya. Selepas kedatangan Islam pula, kesenian ukiran ini telah berubah motifnya iaitu lebih mendorong kepada ukiran tumbuhan-tumbuhan, bunga-bungaan, geometri dan sebagainya.

6.0  keistimewaan islam
Sebelum kedatangan agama Islam, agama dan pengaruh hindu telah lama bertapak dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Agama ini begitu jelas telah bertapak di Tanah Melayu sehingga menjadi ikutan yang begitu kuat dan kukuh dalam sistem politik di Tanah Melayu. Agama Hindu boleh dikatakan menjadi anutan kebanyakkan masyarakat kelas atasan seperti golongan istana kerana ia sesuai untuk menjaga kepentingan sosial dan politik mereka sendiri.[3] Manakala bagi rakyat kelas bawahan pula mereka menganuti agama animisme. Sejarah awal kedatangan islam ke Tanah Melayu adalah bertapak dan berkembang di Kepulauan Melayu pada abad ke 12 M atau abad ke 13 M. Seterusnya agama Islam telah tersebar ke Sumatera dan kemudian ke Melaka pada abad ke 15 M[4] dan seterusnya ke Pulau Jawa. Manakala pada awal abad ke 16 M pula, agama Islam merupakan agama yang kukuh dan menjadi agama anutan yang tetap bagi masyarakat di Pulau Maluku.
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu di pengaruhi oleh beberapa faktor. Antara faktor yang membawa pengaruh agama Islam ke Tanah Melayu adalah pengaruh pedagang ke Tanah Melayu dan penentangan terhadap kuasa-kuasa Eropah. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa kepada perubahan dari segi pemikiran sosial-budaya masyarakat di Tanah Melayu. Antaranya, agama Islam telah membawa perubahan dari segi ajaran dan tamadun yang lebih lengkap, lebih rasional dan logik serta lebih mudah difahami oleh masyarakat pada masa itu.

6.1  Perubahan dari segi ilmu pengetahuan dan pendidikan
Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu telah memberi kesedaran dari aspek pendidikan dan ilmu pengetahuan terhadap masyarakat melayu. Di mana agama Islam telah melahirkan semangat keilmuan dan cintakan ilmu pengetahuan dalam diri masyarakat di Tanah Melayu. Sebagai contoh pendidikan yang terdapat pada abad ke 12 M adalah sekolah pondok. Sekolah pondok dibina adalah untuk memberi pendidikan kepada masyarakat terhadap pengetahuan agama Islam. Kedatangan agama Islam telah memberi kesedaran kepada masyarakat di Tanah Melayu supaya lebih bersifat ilmiah dan meninggalkan pengaruh pada era zaman sebelumnya seperti mempercayai tahyul, khayalan dan bersifat animisme. Semenjak kedatangan islam ke Tanah Melayu, agama Islam, ilmu dan pendidikan Islam telah diusahakan secara sepenuhnya oleh para ulama dan pendakwah Islam.[5] Seluruh masyarakat Tanah Melayu termasuk raja-raja, pembesar-pembesar dan rakyat jelata telah didedahkan dengan ilmu agama Islam.
Tanah Melayu juga telah menjadi sebagai pusat ilmuan yang terpenting pada abad ke 12 M. Hal ini kerana, ramai tokoh-tokoh ilmuan yang lahir di Tanah Melayu seperti Nuruddin al-Raniri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkil, Hamzah al-Fansuri, dan Bukhari al-Jauhari. [6] Dengan lahirnya ilmuan-ilmuan ini wujudlah institusi pondok yang telah berkembangan secara pesat di Tanah Melayu. Sekolah-sekolah pondok ini telah bertindak sebagai pusat pengembangan ilmu pengetahuan dan pusat tumpuan masyarakat untuk memperkukuhkan lagi ajaran yang diajar agama Islam. Perkembangan sekolah pondok ini telah membawa perubahan  dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu secara keseluruhannya.

6.2  Perubahan dari segi undang-undang Islam
Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu telah memberi perubahan yang penting dalam sistem undang-undang di Tanah Melayu. Antara perubahan yang penting pada abad ke 12 M adalah di Melaka. Di mana terdapatnya undang-undang seperti Undang-undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Kedua-dua undang-undang ini diamalkan oleh masyarakat di Tanah Melayu bukan sahaja sebagai undang-undang diri tetapi juga sebagai undang-undang jenayah, undang-undang keluarga dan muamalah yang merngikuti undang-undang Islam.[7] Sebagai contoh, berdasarkan Hukum Kanun Melaka terdapat satu fasal yang menyatakan bahawa menteri-menteri, pegawai-pegawai dan pasukan tentera hendaklah mengikut firman Allah yang terdapat dalam al-Quran dan menjalankan suruhannya dengan membuat kebaikan dan meninggalkan suruhannya.
Undang-undang yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka ini adalah bertepatan dengan laporan yang terdapat dalam Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) yang mana wasiat sultan Mansur Shah kepada Sultan Alauddin Ri’ayat Shah yang  berbunyi “ setiap orang adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab ke atas pimpinannya...”. Ia menuntut supaya rakyat taat setia kepada pemerintah dan pemerintah bertanggungjawab keatas pimpinannya. [8]

6.3  Perubahan dari segi politik
Perubahan dari segi politik ini juga turut mempengaruhi sifat dan watak pemerintah pada waktu itu. Di mana, sultan telah mendorong masyarakat supaya mendekati para ulama dan menjadikan istana sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam yang utama.[9] Dengan berlakunya perubahan dari aspek pemerintahan dari pemerintahan Hindu-buddha kepada pemerintahan agama Islam, sistem pemerintahan telah bertukar kepada sistem Islam walaupun tidak secara keseluruhanya. Sultan menjalankan tugas sebagai ketua agama dan menjalankan undang-undang keadilan serta menjaga kepentingan hak dan kepentingan masyarakat. Sultan juga bertindak sebagai ketua agama dan adat dalam menjaga kepentingan masyarakat. Oleh sebab itu, kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu telah berjaya mengubah watak dan sifat sultan supaya lebih positif. Manakala nama-nama sultan yang dahulu dipengaruhi oleh agama hindu-buddha telah bertukar kepada nama yang lebih bersifat agama Islam.

6.4 Perubahan dari aspek sosial
Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu telah berjaya mengambil tempat ciri-ciri sosial agama hindu yang menguasai masyarakat pada ketika itu. Antara ciri sosial yang dibawa oleh agama Islam ialah persamaan taraf dalam persaudaraan sehingga menggugat kedudukan sistem kasta dan perhambaan yang mana mementingkan ketinggian kedudukan taraf. Kedatangan Islam telah berjaya menghapuskan sistem kasta dan perhambaan ini dan mengantikan dengan sistem dan konsep persamaan taraf sehingga dapat mewujudkan perpaduan, kemesraan dan semangat bantu membantu dalam masyarakat.[10]
Setelah kedatangan Islam, konsep kasta tidak lagi relevan kerana agama Islam menegaskan bahawa setiap manusia adalah sama dan hanya agama dan amalan yang membezakannya. Islam juga menegaskan supaya manusia hidup secara aman dan harmoni serta mewujudkan perpaduan. Melalui agama Islam masyarakat juga dibentuk dengan sikap saling bantu membantu dan hormat menghormati antara satu sama lain. Masyarakat juga ditiup dengan semangat kerjasama dan perpaduan dan menganggap bahawa semua masyarakat adalah satu anggota. Oleh sebab itu, munculnya satu konsep yang menyatakan bahawa seluruh umat Islam di dunia adalah bersaudara[11]. Dengan ini terbentuklah sebuah masyarakat yang hidup bersatu padu dan mempunyai hubungan yang erat antara kaum.
Selain daripada itu, wujudnya institusi untuk masyarakat seperti madrasah, masjid dan surau. Institusi ini memainkan peranan sebagi sebuah pusat sosial, tempat ibadat dan juga pusat menimba ilmu pengetahuan. Misalnya, masjid bertindak bukan sahaja sebagai tempat ibadat tetapi  juga sebagai tempat untuk membincangkan pelbagai masalah dan urusan yang mana berkaitan dengan agama Islam ataupun menyelesaikan hal-hal yang berkaitan  dengan masyarakat setempat.

7.0  Cabaran dan Langkah Pembaharuan
Kedudukan masyarakat Islam di seluruh dunia kini digambarkan  secara keseluruhannya berada dalam keadaan yang dhaif dan menyedihkan. Umat Islam jauh ketinggalan dalam segenap bidang sama ada dari segi peradaban, pendidikan, pemerintahan dan juga sains dan teknologi, berbanding dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia. Pembaharuan yang menyeluruh bagi dunia Islam amat sukar untuknya menggariskan di manakah punca masalah ummah Islam? Di manakah pula titik permulaan bagi dilakukan pengislahan? Adakah kelemahan Islam kerana tiada golongan cerdik pandai, atau kurang kekayaan ataupun kurangnya kekuatan?
Perkara ini terjadi kerana kelemahan dunia Islam. Pada abad ke-16, selepas kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam satu persatu kepada kuasa penjajahan Barat. Keadaan politik, ekonomi dan sosial adalah pada tahap menyedihkan di mana negara dan penduduk Islam telah dieksploitasi habis-habisan sehingga kebanyakan mereka dalam keadaan miskin, buta huruf dan lemah keagamaan. Keadaan umat Islam boleh dikatakan dalam tiga keadaan iaitu kelemahan iman dan amal yang menyeluruh, perpecahan yang amat luas dan kemerosotan politik, ekonomi dan sosial. Fenomena sebeginilah yang diwarisi oleh pemimpin-pemimpin dunia Islam selepas kemerdekaan. Model yang ada pada masa itu sama ada mengambil model pemerintahan demokrasi atau sosialisme.
Islam tidak dapat dilihat sebagai bersesuaian kerana segala bentuk institusi Islam telah beku ketinggalan zaman hampir 400 tahun di belakang. Hal ini kerana usaha-usaha penyesuaian dan pengolahan semula, berasaskan kepada prinsip-prinsip asas Islam, bagi menghadapi permasalahan semasa tidak pernah difikirkan dan dilaksanakan. Di negara-negara Islam di Timur Tengah, sebahagiannya kekal mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Rejim-rejim tentera yang menerima prinsip sosialis sebagai anutan mereka dalam proses membangunkan negara berupaya mengulingkan pemerintah tetapi kebiasaanya mereka menemui kegagalan. Asas ekonomi negara tidak nampak terbentuk di atas landasan yang boleh dibanggakan, manakala keadaan taraf hidup rakyatnya tetap tidak banyak berubah.
Pemerintah pula bertukar menjadi rejim-rejim kuku besi yang memeras dan berlaku kejam terhadap rakyat mereka. Dalam hal ini rejim-rejim yang kekal dalam bentuk aristokratik juga tidak terkecuali. Dalam hal keagamaan dikatakan tidak ada pergerakan reformasi yang berterusan dapat dilakukan kerana pemerintah sendiri yang takut kekuasaan mereka akan tercabar, dengan cepat mengambil tindakan memadam sinar yang cuba dibangkitkan. Usaha-usaha berkala oleh ulama-ulama yang hanya boleh bertahan buat seketika seperti Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Oleh yang demikian masyarakat Islam mula tengelam dalam arus materialisme, individualisme, hedonisme, apatisme, nepotisme, dan nihilisme.
Berdasarkan kepada kedudukan kelemahan umat Islam ini, cabaran bagi mengadakan pembaharuan adalah besar. Tanggungjawabnya ditanggung oleh setiap umat Islam, samada yang memerintah, ulama, bijak pandai atau pun rakyat biasa. Rangka pembaharuan ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertamanya, beberapa langkah berterusan dan pada jangka masa panjang, dan keduanya ialah langkah keperluan semasa dan jangka pendek. Langkah jangka panjang seperti mencari perpaduan ummah melalui pengukuhan iman. Asas Islam merupakan keimanan, kerana dengan iman barulah terhasil seorang mukmin. Oleh kerana ummah terdiri daripada himpunan orang-orang yang beriman (mukminun), Maka asas kekuatan ummah juga ialah kekuatan iman setiap mukmin. Ummah hanya dapat berdiri jika ahli-ahlinya berupaya mengenepikan segala sikap mementingkan diri dan mengutamakan bangsa, dan ini hanya boleh terjadi jika iman dan kecintaan kepada Islam setiap individu adalah teguh. Rahsia di sebalik keteguhan ummah ialah usaha pemurnian iman yang dilakukan secara berterusan.
Menurut sejarah usaha-usaha pembersihan iman (iktikad) dan pemurnian amal kebanyakannya dimulakan atau diberi nafas baru oleh ulama-ulama mukhlis yang timbul dari semasa ke semasa di dalam perjalanan sejarah Islam.[12] Peranan ini jarang sekali dijalankan oleh pemerintahan-pemerintahan (umara) Islam secara berkesan, melainkan mereka banyak berperanan dalam kempen perluasan wilayah Islam. Kempen-kempen itu akan menjadi lebih berkesan sekiranya hubungan di antara umara dan ulama adalah konstruktif. 
Sejak pemerintahan Bani Umayyah lagi, usaha-usaha dakwah dan pengislahan iman dan amal ummat Islam banyak diusahakan oleh ulama-ulama terbilang. Keadaan serupa berlaku di kebanyakkan negara Islam hari ini. Bahkan yang menghairankan, usaha-usaha dakwah lebih mudah dijalankan di negara-negara Barat yang bukan Islam dari di negara Islam sendiri. Oleh sebab itu, hari ini kita dapat lihat bahawa Islam lebih subur perkembangannya di England, Perancis dan Amerika Syarikat berbanding dengan kebanyakkan negara Islam. Oleh yang demikian, usaha-usaha islah dan dakwah di dunia Islam patut dipergiatkan semula dan diberi perhatian yang khusus dalam aspek kerjasama serantau.
Memandangkan wujudnya pilihan baru iaitu sistem demokrasi (syura) di arena politik kini, ia kemungkinan akan dapat mengurangkan keterlaluan pemimpin, tambahan pula suara rakyat akan menjadi penentu kepada perjalanan pemerintahan. Jika kesedaran agama rakyat bertambah maka kepentingan agama akan sentiasa menjadi pertimbangan dalam mengariskan dasar pentadbiran negara. Keberkesanan sistem pentadbiran cara perundingan ini melalui peranan dua pihak, iaitu pemerintah dan ulama. Kewujudan golongan ulama mulhid dan sistem pentadbiran yang demokrasi merupakan dua elemen yang saling bantu membantu dalam mempercepatkan perubahan sosial dan politik dalam dunia Islam. 
Oleh itu perubahan politik menyeluruh perlulah menjadi agenda penting umat Islam sejagat, terutamanya dalam rangka tindakan mereka melalui aktiviti-aktiviti kesatuan serantau seperti OIC, GCC, Liga Arab dan sebagainya. Sistem pemerintahan bercorak demokrasi Islam perlu dipromosikan supaya dengan itu umat Islam dapat menempa perubahan politik. Walaupun penubuhan OIC melibatkan Malaysia secara keseluruhannya, bahkan Setiausaha Agung petamanya ialah allahyarham Tengku Abdul Rahman, tetapi OIC kini boleh dikatakan dikuasai keseluruhannya oleh kepentingan Arab. Baik OIC ataupun Liga Arab yang lebih bersifat kebangsaan, kedua-duanya boleh dikatakan tidak berpanduan dan tiada visi kemajuan yang kukuh.
Kebanyakan mereka ialah boneka Barat terutamanya Amerika Syarikat, yang menjadi tunganggan Yahudi dan zionisme. Segala tindakan mereka akan berlawanan dengan kepentingan rakyat dan agama kerana inilah sebenarnya musuh Amerika dan Yahudi. Hal ini menyebabkan dunia Islam terutamanya negara-negara Arab menjadi begitu lemah. Menurut Edward Said, seorang sarjana Arab di Amerika, sebab kelemahan Arab, bukanlah kerana kelemahan dari segi ketenteraan, kerana tujuh dari sepuluh negara pembeli utama peralatan perang dunia adalah negara Arab, tetapi sebenarnya tiadanya kekuasaan sosial mereka yang datang menerusi demokrasi, tiadanya kekuasaan budaya yang datang menerusi kebebasan bersuara dan penyelidikan (tiada kekuatan rohani kerana dihalang usaha-usaha beragama secara lebih menyeluruh), dan kerana tiadanya kekuasaan peribadi yang boleh menyebabkan setiap bangsa Arab merasakan yang dirinya seorang rakyat, bukannya sekumpulan domba besar yang dikongkong.[13]
Oleh yang demikian dunia Islam tidak boleh bersandar kepada dunia Arab untuk membawa perubahan menyeluruh kepada agama dan ummah Islam. Mereka perlu mengadakan sinergi baru dalam kalangan OIC dengan mengadakan dialog-dialog serantau yang lebih terbuka dan positif. Kepimpinan OIC perlu ditukar kepada yang lebih berwawasan dan berani dalam mengenengahkan idea-idea pembaharuan untuk memperkasakan kedudukan dan kesatuan ummah Islam melalui medium utama tersebut.
Dari segi jangka pendek dan keperluan semasa masyarakat Islam maka langkah-langkah berikut dianggarkan akan membantu menjayakan perencanaan jangka panjang usaha-usaha membawa perubahan kepada dunia Islam. Hal-hal tersebut adalah "self-explainatory" dan tidak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut. Ianya adalah seperti mengukuhkan kedudukan dalam ekonomi dan politik dunia. Usaha-usaha mengukuhkan ekonomi dunia Islam tidak sukar kerana dunia Islam memeliki kebanyakan kekayaan dunia. Segala bentuk sumber alam terutamanya minyak terdapat di dunia Islam. Masalahnya, siapakah yang secara berkesan kini menguasainya? Sudahlah begitu bagaimanakah pula hasil daripadanya dipergunakan? Adakah ia untuk kepentingan segelintir dan dikitar semula ke dalam sistem ekonomi Barat? Usaha membawa segala kekayaan itu kembali dalam sistem ekonomi Islam perlu diperdebatkan dan diusahakan sebelum ianya terlambat.
Dalam sistem ekonomi yang diamalkan sekarang, manusia mengejar kekayaan bertujuan untuk semata-mata menjadi kaya, mengumpul semata-mata kerana tujuan menghimpun, yang mana perlakuan buruk ini berulang kali diberi amaran oleh al-Quran. Kebanyakan manusia memahami bahawa wang itu hanya alat sahaja, tetapi dari segi amalan, kebanyakan manusia menganggapnya kedua-dua sekali, alat dan tujuan. Dalam sistem ekonomi Islam, matlamat meninggikan taraf hidup rakyat, sebenarnya digandingkan dengan harmoni kerohanian, oleh yang demikian sistem ekonomi Islam diasaskan kepada kehendak-kehendak manusia yang rasional. Walaupun begitu, pendapatan yang tinggi atau perolehan yang banyak oleh perusahaan-perusahaan jujur tidaklah dilarang kerana tujuannya adalah bukan untuk mempromosikan "perhiasan persendirian", tetapi kelebihan yang banyak itu adalah untuk dipegang sebagai satu tanggungan amanah kepada ahli masyarakat yang tidak bernasib baik.[14] Oleh itu kelebihan yang ada perlu dibelanjakan untuk kebajikan golongan miskin dan di jalan Allah.
Jika kerjasama ekonomi yang menyeluruh dapat diadakan oleh ummat Islam maka segala kekayaan yang tak terhitung banyaknya yang dimiliki oleh ummat Islam dapat dipergunakan dengan secekap-cekapnya bagi membangunkan umat menjadi satu tamadun yang dicemburui dan disegani. Jika ini dapat dicapai, maka umat Islam tidak lagi akan dijadikan alat tunggangan oleh mana-mana pihak. Jika umat Islam dapat bebas dari segala cengkaman, kemakmuran serta kesejagatan Islam bukan sahaja akan dimanfaati oleh ummat Islam sahaja tetapi juga oleh seluruh kehidupan di alam ini.
Kemakmuran dan kepentingan keselamatan, umat Islam tidak boleh mengenepikan perlumbaan dalam mencapai kemajuan sains dan teknologi. Kita tidak boleh mengantungkan nasib kita kepada Barat, walaupun sesetengah daripada negara Islam mampu membeli segala peralatan sungguh pun harganya bernilai berbillion ringgit tetapi yang peliknya, dan ini membuktikan betapa dangkalnya pemikiran sesetengah pemimpin Islam, pakar yang mengendalikan operasi peralatan tersebut pun didatangkan dari Barat. 
Memetik kata-kata Tamizuddin Khan, bekas Presiden Dewan Perhimpunan Wilayah di Pakistan; " Jikalau masyarakat Islam dapat terus menjalankan tugas memimpin dunia di awal abad ini, ideologi-ideologi dan aliran-aliran perosak seperti pengasingan agama dari politik, nasionalisme yang ekslusif dan melampau, perasaan bongkak bangsa, warna kulit, kapitalisme, komunisme, kolonialisme dan imperialisme tidak akan timbul...".[15]
Oleh itu tiada pilihan lain yang tinggal bagi umat Islam jika mereka ingin membersihkan masyarakat mereka daripada pencemaran budaya dari Barat. Mereka terpaksa mengembalikan roh keagamaan ke dalam masyarakat. Prinsip-prinsip Islam yang berupakan satu kod kriteria dan penilaian kehidupan, sama ada sebagai panduan tingkahlaku untuk individu atau kelompok masyarakat, perlulah diterapkan. Satu masyarakat yang dididik dan didisiplinkan dalam perkara ini akan dapat mencerminkan satu budayanya sendiri dalam corak kehidupan mereka. Hal ini hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat Islam dapat memupuk kecintaan dan keagungan budaya Islam dalam segenap jiwa pengikutnya.. Sebenarnya rahsia kecintaan kepada budaya Islam terletak kepada mencintai segala sunnah kehidupan Rasulullah s.a.w, yang mana kesumpurnaan budaya ini telah dicapai di zaman para sahabat dan orang-orang selepas mereka.

8.0  Peranan Malaysia
Berbanding dengan negara-negara Islam lain, Malaysia merupakan negara kecil jika dikira dari segi saiz negara dan jumlah penduduk Islamnya. Walaupun begitu, berkat kestabilan politik dan anugerah sumber alam dan kemanusiaan yang dinikmatinya, Malaysia telah menjadi antara negara yang dikagumi mengenai kejayaan proses transformasi ekonomi dan pembangunannya. Malaysia juga telah menjadi contoh terbaik bagi kebanyakan negara dunia ketiga lain dalam aspek mencorak perencanaan pembangunan mereka. Walaupun begitu, kerana kedudukannya yang jauh dari Asia Tengah, dan penduduknya pula bukan dari kalangan bangsa Arab maka Malaysia jarang mendapat tempat penting dalam penyelesaian masalah Islam yang dianggap sebagai masalah Dunia Arab.
Di bawah ini penulis mengariskan dua pendekatan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam usaha-usahanya bagi mengembalikan kegemilangan Islam di persada dunia iaitu peranan sosio-politik yang berterusan dan jangka panjang. Umat Islam dalam langkah menaikkan semula Islam tidak boleh lari dari mengembalikan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. Malaysia adalah contoh baik dari segi tolenrasinya terhadap pergerakan dakwah yang dianggap tidak mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara. Sikap yang positif ini telah mengalakkan dan juga membantu usaha-usaha pemerintah meningkatkan syiar Islam di kalangan umat Islam. 
Di samping itu, penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang di antaranya bermatlamat untuk mempertingkatkan kefahaman orang bukan Islam mengenai Islam dan menangkis prasangka dan dakyah buruk terhadap Islam juga merupakan satu langkah yang bijak. Oleh kerana adanya pergerakan-pergerakan yang bergiat pada peringkat akar-umbi masyarakat yang didokong oleh ulama, maka keteguhan iman dan tahap ilmu individu dalam masyarakat dapat dipertingkatkan. Ia akan menjadi benteng kepada segala bentuk serangan kebendaan ke atas iman dan amalan agama masyarakat Islam.
Tanggung jawab pemimpin akan datang untuk meneruskan polisi terbuka berkaitan dengan dakwah Islamiah di Malaysia. Sikap kerajaan yang prihatin mengenai pergerakan-pergerakan ini supaya mereka berada di dalam landasan yang benar dan tidak keterlaluan juga merupakan rahsia kepada kesejahteraan dalam pembangunan rohaniah di Malaysia. Usaha berterusan ini diharap dapat dilakukan dengan berkesan dan memberikan kesan maksima kepada pembangunan Islam seluruhnya sama ada dalam negara atau di peringkat antarabangsa.
Usaha-usaha berterusan Malaysia bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dalam pemerintahan dan mempertingkatkan kesedaran beragama dalam kalangan rakyatnya boleh ditonjolkan di peringkat dunia Islam. Kesungguhan ini juga dapat dilihat dalam merencanakan sistem pendidikan yang berorientasikan Islam yang telah dicuba sejak beberapa waktu dahulu. Perjuangan dalaman ini juga merupakan cabaran besar dalam usaha memperkasakan Islam di Malaysia.
Dari segi jangka panjang, dasar luar Malaysia perlu memainkan peranan supaya sistem kenegaraan di dunia Islam bertukar menjadi lebih demokratik (syura) dan kebebasan rakyat tidak dikongkong terutamanya dari segi pendidikan dan keagamaan. Pada waktu ini di banyak negara kebebasan rakyat dari segi hiburan dan menuruti cara kehidupan Barat tidak dihalang, tetapi hak rakyat untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna dan beragama secara menyeluruh melalui usaha-usaha dakwah dan islah dihalang dengan ketat sekali. Sistem kerajaan yang autokratik dan diktator ini merupakan penghalang besar kepada kemajuan Islam. 
Matlamat diakhir nanti, mungkin setelah dua puluh atau tiga puluh tahun pemerintahan secara syura (perundingan) yang menyeluruh boleh menjadi asas cara bernegara di kalangan negara-negara Islam. Ia boleh dijadikan matlamat OIC yang perlu diusahakan oleh semua ahli-ahlinya sebagai satu matlamat bersama. Masalah di sini, adakah kita mempunyai "political will' dan bersedia untuk mengambil risiko dalam mengenengahkan idea-idea sedemikian? Adakah kita patut memulakannya sebagai satu "exercise" akademik dahulu, melalui seminar-seminar dan perbincangan serantau dan kemudiannya dijadikan agenda dalam OIC adalah perkara yang perlu difikirkan dengan teliti.
Langkah permulaan boleh dilakukan dengan menyuntik idea-idea baru ke dalam OIC atau mana-mana pertubuhan serantau lain. Di samping itu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang orientasinya memikirkan kepentingan ummah Islam dan secara beransur-ansur bergerak ke setiap negara Islam bagi tujuan dakwah, pendidikan dan kebajikan, boleh juga dimulakan. Malaysia juga boleh meneruskan program bantuan teknikal yang diberikan kepada negara-negara Islam supaya pihak-pihak yang terlibat dapat berubah menjadi luas pemikiran mereka.[16] Bantuan luar juga boleh digunakan bagi memikat negara-negara Islam lemah ke dalam arus reformasi yang akan dianjurkan oleh Malaysia.
Dalam satu artikel dalam majalah "Behind the Headlines" terbitan The Canadian Institute of International Affairs, pengarangnya mengatakan, tidak ada contoh yang lebih baik bagi mengambarkan kejayaan sebuah kerajaan dalam mengabungkan kepelbagaian bagi menempa pembangunan melainkan Malaysia. Malaysia telah berjaya menterjemahkan formulanya mengenai keamanan antara kaum menjadi satu model kejayaan ekonomi dan politik yang tidak ada tolok bandingnya.[17]
Sejak 40 tahun yang lalu Malaysia mengalami pembangunan ekonomi yang amat mengalakkan. Sejak hampir 10 tahun yang lalu kadar pertumbuhan tahunan yang dialami Malaysia adalah disekitar 8 hingga 10% setahun. Bank Dunia menganggarkan kini hanya tedapat 2% rakyat Malaysia tinggal di bawah garis kemiskinan, berbanding dengan 18% dua puluh tahun dahulu.[18] Rahsia di sebalik segala kejayaan ini kerana pilihanraya sentiasa diadakan, wujudnya toleransi agama dan keamanan sosial, corak kerajaannya berkesan dan rekod hak asasi manusianya secara relatif adalah baik. Peranan Malaysia dalam kalangan dunia Islam amat besar kerana Malaysia kini amat dihormati dan dianggap contoh terbaik bagi negara-negara Islam yang lain dari segi pembangunan rohani dan jasmani rakyat.Usaha-usaha penyatuan ummah tidak boleh diharapkan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang telah luntur semangat keislaman sejagat mereka dan kini lebih banyak menumpu kepada perjuangan kebangsaan Arab.
Peranan dari segi ekonomi ini boleh dijadikan sebagai langkah segera dalam proses pembaharuan jangka pendek yang dianggap sebagai keperluan semasa yang mendesak. Sebagaimana yang dicadangkan oleh bekas Penasihat Bank Negara Malaysia, Nor Mohamed Yakcop, kerjasama ekonomi di kalangan 51 buah negara Islam boleh dilaksanakan dalam beberapa peringkat. Mungkin diawalnya jumlah dagangan di kalangan negara-negara Islam perlu dipertingkatkan. Kemudian, setelah peraturan pembayaran dua hala wujud akibat hubungan ekonomi sedia ada, maka peraturan pembayaran pelbagai hala pula boleh diperkenalkan. Selepas itu dalam tahap ketiga, Peraturan Keutamaan Dalam Perdagangan boleh diperkenalkan di kalangan negara-negara Islam. Dan, diperingkat keempat, negara-negara Islam mesti berusaha menghapuskan segala halangan perdagangan dan tarif di kalangan mereka dengan menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas Islam.[19]
Dari segi kewangan kejayaan Malaysia dengan sistem kewangan Islam memang sudah diketahui. Sistem kewangan Islam Malaysia adalah antara yang termaju di dunia Islam dan usaha untuk memperluaskan sektor ini ke dalam sistem kewangan Malaysia adalah satu langkah yang baik. Jika usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dunia menjadi kenyataan, ini akan banyak membantu Malaysia dalam usaha-usahanya mempelopori reformasi di dunia Islam.
Dengan adanya hubungan perdagangan dan kewangan, yang biasanya memberi keuntungan kepada semua pihak, maka corak hubungan di aspek yang lain seperti kerjasama keagamaan, sosial dan politik boleh secara perlahan-lahan dijalinkan. Kerjasama keagamaan dan pendidikan secara besar-besaran boleh dimulakan kerana ia tidak melibatkan isu-isu yang sensitif. Apabila interaksi antara umat Islam baik, sama ada dari segi perdagangan, keagamaan, pendidikan dan perlancungan, maka pemikiran ummah akan menjadi lebih rasional dan dengan kesedaran yang menyeluruh di semua pihak.
Umat Islam sepatutnya mengubah sikap mereka ke arah yang lebih positif dengan mengamalkan sikap terbuka, berkerjasama dan bersabar dalam semua bidang. Mereka harus membuang semua sifat-sifat sombong, bongkak, dengki dan iri-hati antara satu sama lain. Umat Islam dan dunia Islam akan terus tertinggal di belakang dalam arus perubahan dunia tanpa perubahan sikap. Sungguh pun begitu perubahan sikap ini hanya akan berjaya sekiranya terdapat keazaman dan iltizam yang kuat di kalangan semua peringkat masyarakat, baik di kalangan rakyat mahu pun pemerintah. 
Pendidikan ialah alat atau elemen kepada perubahan atau anjakan paradigma. Kadar celik huruf dalam kalangan sesetengah negara Islam adalah antara yang paling rendah di dunia. Buta huruf boleh menyebabkan manusia sentiasa terbelenggu sama ada dari segi politik atau ekonomi. Kadangkala terdapat sistem pendidikan yang tertutup yang tidak membentuk rakyat untuk berfikir secara luas menyebabkan mereka kekal dalam keadaan kebergantungan terus kepada kerajaan dalam semua keadaan dan tidak mempunyai daya usaha sendiri bagi memajukan diri. Reformasi pendidikan yang mempunyai matlamat pembangunan ummah Islam perlu difikirkan. Pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan tenaga pakar dan mahir untuk kemajuan ekonomi, tetapi lebih utama dari itu, sebagai asas, ia perlu lebih awal membentuk keimanan, adab dan akhlak anak-anak Islam. Sebab itulah ilmu al-Quraan dan hadis perlu dimantapkan kerana ia merupakan rahsia kejayaan ummat Islam dahulu dalam melahirkan pemuka-pemuka dalam berbagai bidang seperti; syariah (undang-undang), geografi, sejarah, perubatan, matematik, kimia, seni bina dan sebagainya.
Ketinggian tamadun Islam ini bermula sejak abad ke sembilan, selepas tahap meminjam dan perlarutan dalam Islam keilmuan dari budaya lain, bersemarak bukan sahaja di Timur Tenggah, tetapi juga sehingga ke Persia, India, Asia Tenggah, Afrika Utara, Sicily dan Sepanyol. Kemajuan tamadun ini berlaku kerana suasana yang mengalakkan wujud, di mana - satu warisan budaya yang kaya dan berbagai, kekayaan dan kemakmuran, satu bahasa yang umum, satu agama yang umum dan sokongan padu dari pemerintah terhadap kemajuan ilmu dankesusasteraan,[20] adalah fenomena pada masa itu.
Kemajuan dalam pendidikan akan dapat membantu membawa masyarakat Islam membebaskan diri dari belenggu sistem-sistem politik, ekonomi dan sosial yang memenjarakan mental, fizikal dan rohani mereka. Selepas kemantapan kerohanian, ketinggian ilmu adalah rahsia keunggulan ummat Islam di zaman keagungan Islam dahulu. Pada hari ini, melalui perkongsian ilmu dengan Barat dan pengolahan semula berdasarkan al-Quraan dan Sunnah, adalah tidak mustahil ummat Islam dapat mengembalikan kegemilangan silam itu. Dengan kelebihan kerohanian, ummat Islam boleh menjadi, bukan sahaja penganjur kepada kemajuan kebendaan tetapi juga kemajuan kemanusiaan di abad yang akan datang.
Bangsa Arab merupakan golongan yang mana berasalnya Nabi Muhammad s.a.w., tetapi ini tidak bererti secara automatik mereka akan menjadi mukmin yang sejati. Jikalau mereka meninggalkan agama, maka Allah boleh memilih kaum lain yang akan membantu agama dan Allah akan memuliakan mereka. Ini terbukti apabila ummat Islam mabuk dalam kemewahan di zaman Baghdad, Allah telah menghancurkan mereka di tangan satu kaum yang tidak bertamadun, iaitu puak Tartar. Tetapi setelah Islamnya puak Tartar ini mereka telah menjadi asbab tersebarnya Islam ke benua India dan mereka telah memerintah dengan adil beratus-ratus tahun lamanya di sana.
Malang bagi umat Islam hari ini, apa-apa perbuatan atau tindakan bangsa Arab dianggap sebagai tindakan Islam. Lebih merumitkan, Arab Saudi pula dianggap sebagai penghulu utama dalam OIC dan dalam apa tindakan dan usaha umat Islam perlu mendapat kerjasama negara tersebut. Tetapi, pemimpin Saudi pula adalah boneka kepada Amerika Syarikat, oleh itu akan sentiasa menjaga kepentingan Amerika, dalam memainkan peranannya dalam OIC. Tambah buruk lagi kebanyakan penasihat-penasihat Saudi juga dari Amerika.Usaha penubuhan badan serantau ini perlu dimainkan oleh bukan sahaja kerajaan Malaysia tetapi juga kumpulan korporat yang cintakan Islam.

9.0  Kepentingan
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu sedikit sebanyak membawa kepentingan kepada masyarakat di Tanah Melayu antaranya dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Agama Islam telah menjadi agama anutan masyarakat Melayu sejak abad ke-15 lagi. Menurut beberapa orang ahli sejarah seperti S.G fatimi (1963), Harrison (1966) dan D.G.E Hall (1971) berpendapat kedatangan Islam ke Alam Melayu bermula di Melaka iaitu dengan pengislaman Parameswara pada tahun 1413 Masihi.[21] Namun, sebelum kedatangan Islam masyarakatnya menganuti agama hindu dan banyak dipengaruhi oleh budaya hindu sehinggakan masih terdapat beberapa perkara hingga ke hari ini dipengaruhi oleh budaya dan pengaruh hindu. Ini telah menunjukkan bahawa amalan budaya yang lepas masih diamalkan walaupun masyarakat sekarang bertambah maju dalam pelbagai bidang. Setelah bertapaknya islam di Tanah Melayu tidak mustahil perkara yang sama berlaku kerana agama Islam telah menjadi agama rasmi di Tanah Melayu dalam perlembagaan walaupun kedatangan penjajah mencampuri urusan dan pentadbiran kita tetapi Islam masih kekal dalam diri orang Melayu. Ini menunjukkan berapa tinggi dan ampuhnya agama Islam sehinggakan meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat tanah Melayu. Wujudnya Islam di Tanah Melayu telah membawa banyak perubahan dalam kegiatan sosial mahupun dalan pelbagai urusan sehingga mencetuskan pelbagai pembaharuan berlandaskan kepada agama Islam. Dan pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi memberi sumbangan besar kepada kemajuan Islam di Malaysia.
Dalam bidang politik misalnya, Islam telah membawa banyak perubahan terutama dalam sistem pemerintahan. Pengenalan sistem pemerintahan berasaskan kepada agama Islam telah membawa banyak kebaikan kepada pemerintah dan rakyat. Hal ini demikian kerana, kuasa raja tidak akan melebihi kuasa dalam tuntutan agama. Misalnya dalam melaksanakan hukuman. Sebelum Islam bertapak hukuman berada di bawah kuasa raja. Tetapi Islam agama yang sempurna telah mengandungi syariat tersendiri dalam menjatuhkan hukuman kepada mereka bersalah. Bagi menjatuhkan hukuman pesalah diberikan peluang bagi mempertahankan dirinya, dan apabila didapati bersalah barulah boleh dijatuhkan hukuman kepada pesalah. Oleh itu, kuasa raja memerintah masih lagi di peringkat tinggi namun dalam sesetengah hal perlu merujuk kepada syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Kedatangan Islam juga telah menukar gelaran raja kepada gelaran sultan di sesetengah negeri. Sultan dalam bahasa arab bermaksud khalifah Allah di muka bumi. Ini menunjukkan raja/ sultan berperanan dalam  menyampaikan sesuatu kepada rakyatnya. Raja mempunyai peranan yang besar kerana baginda merupakan ketua yang penting dalam pemerintahan. Selain itu, peranan yang paling penting adalah raja menjadi pelindung kepada agama dan sebagai ketua agama Islam. Walaubagaimanapun, dalam melaksanakan pemerintahan sultan akan merujuk kepada ulama-ulama dalam hal-hal yang berkaitan dengan hukum Islam kerana sesetengah perkara raja tidak mengetahui secara mendalam mengenai hukum yang berkaitan dengan Islam kerana pengaruh agama anutan Hindu sebelum itu masih ada. Sehingga sekarang juga raja perlu merujuk kepada mereka yang lebih mengetahui bidang agama dalam apa-apa pelaksanaan pemerintahan. Sebagai contoh, berkenaan dengan pembubaran sesuatu perkara dalam perlembagaan itu perlu dibawa kepada hakim negara dalam memastikan ia berlandaskan kepada agama Islam.
Begitu juga dalam bidang pentadbiran penerapan Islam memberikan kepentingan yang besar kerana pentadbiran dijalankan berlandaskan kepada Al-Quran dan Hadis. Kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah melalui melaikat jibril mengisarkan seluruh kehidupan manusia. Sekiranya Al-Quran dijadikan sumber untuk dilaksanakan nescaya pentadbiran yang dijalankan berjalan dengan lancar kerana telah diajar dalam Al-Quran serta sunah Nabi. Dalam pentadbiran sultan  masih berperanan, tetapi masih memerlukan nasihat daripada pemimpin agama yang berperanan memberi nasihat kepada sultan dalam hal berkaitan hukum syarak mazhab syafie.  Kini, sistem pentadbiran diperbaharui yang difokuskan kepada pembangunan dan telah digarapkan berdasarkan kepada perspektif Islam. Walaupun setelah kedatangan penjajah sistem pentadbiran yang dijalankan masih berbau kepada sistem tadbir barat tetapi usaha dan pembaharuan dibuat dengan menerapkan konsep tauhid dalam pentadbiran sama ada dalam sektor awan mahupun swasta. Pelaksanaan ini sangat menekankan kepada pembangunan manusia yang berkualiti di dunia mahupun di akhirat. Di samping memenuhi tuntutan wawasan 2020, pembangunan yang ingin dicapai Malaysia ialah dengan mengikuti acuan sendiri dengan tidak mengabaikan aspek agama, moral dan tradisi tempatan. Oleh itu, tidak dinafikan penerapan Islam dalam pentadbiran memberikan banyak kepentingan kepada masyarakat dan negara.
Selain itu juga, pelaksaan dalam bidang perundangan. Terutamanya perundangan yang dijalankan di negeri-negeri Melayu yang menggunakan sistem perundangan Islam yang sememangnya berasaskan kepada hukum syarak mazhab syafie seperti yang dilaksanakan di Perak dan Johor. Sebagai contoh hukum syarak digunakan dalam undang-undang jenayah dan undang-undang muamalat yang telah digunakan hingga sekarang. selain itu, wujud juga perubahan dalam adat seperti adat perpatih dan adat temenggung. Dalam kedua-dua adat ini telah diterapkan unsur-unsur Islam terutamanya dalam adat pepatih. Walaupun pada mulanya adat ini dipengaruhi ajaran hindu kemudiaanya ia telah disesuaikan dengan ajaran Islam mazhab syafie. Sistem perundangan amat penting kerana ia menjamin kepada kesejahteraan hidup, jika lemah sesebuah perundangan maka keadaan masyarakat mungkin turut lemah.
Oleh itu, asas sesuatu undang-undang telah diterapkan dengan hukum Islam. Misalnya undang-undang perak, undang-undang Johor, hukum kanun melaka kebanyakannya mengandungi hukum Islam.Tidak ketinggalan pula kepentingannya dalam adat pertabalan sultan, setelah kedatangan Islam diadakan upacara menjunjung Al-quran yang telah memberikan signifikan besar kepada pemerintahan seseorang sultan di negeri masing-masing. Sultan juga wajib memerintah dengan adil dan saksama. Begitu juga dengan sistem penggantian sultan yang lebih mengutamakan golongan lelaki sebagai pemerintah/ sultan kerana lelaki mampu memerintah berbanding perempuan yang lebih beremosi. Tidak dinafikan masa kini golongan wanita telah berjaya malahan mereka lebih berdisiplin tinggi kedudukannya daripada lelaki sesetengahnya, namun masih ada kekurangan dalam diri mereka yang memerlukan pertolongan lelaki.
Selain itu, kepentingan Islam dalam sosial. Islam telah membawa perubahan yang besar daripada segi akidah iaitu dengan penerapan konsep Allah Yang Maha Esa dan ibadat yang lebih luas. Penerapan Islam telah membawa satu fahaman akidah/rasional kepada masyarakat. Pegangan atau akidah yang ada pada diri setiap insan telah mengubah cara berfikir masyarakat melayu kita daripada perkara tahyul kepada yang lebih bercorakkan akidah Islamiah. Selain itu juga, Islam turut mengubah pandangan masyarakat tempatan daripada tokoh agama Hindu seperti sami, ahli sihir, bomoh kepada tokoh-tokoh alim ulamak Islam.
Amalan harian masyarakat juga telah berubah daripada amalan pengaruh Hindu kepada unsur-unsur Islam. Misalnya, adanya doa-doa dan bacaan Al-quran dalam upacara berkenaan. Disamping itu juga upacara atau perayaan yang diadakan di istana telah banyak menggunakan unsur Islam seperti bacaan doa. Ini telah mengubah cara masyarakat yang ketika dulu mengamalkan upacara dengan membaca mentera-mentera kepada bacaan doa, dan keadaan ini kekal hingga ke hari ini. Masyarakat telah diajar dan diedahkan dengan pelbagai bacaan doa serta ajaran Al-quran. Cuma ibu bapa yang mencorakkan anak-anak mereka dengan amalan-amalan sedemikian agar mereka tidak miskin dengan doa-doa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W dan memberikan kebaikan kepada mereka yang mengamalkannya.
Dalam pendidikan juga pengaruh Islam turut memberikan kesan positif kepada masyarakat dan ia banyak memberikan kepentingan sama ada dalam pendidikan formal mahupun tidak formal. Walaupun ketika dahulu pendidikan hanya didominasi oleh golongan atasan tetapi setelah kedatangan Islam pendidikan menjadi satu kepentingan kepada semua orang termasuk rakyat agar mereka tidak buta akan sesuatu perkara dan dapat membuat sesuatu keputusan mengikut akal yang waras tanpa berlaku sesuatu yang boleh membawa kepada syirik.oleh itu, masyarakat tempatan telah didedahkan dengan pendidikan Al-quran dengan diajar oleh guru atau dikenali sebagai tok guru diajar di rumah-rumah.[22] Keagamaan telah diberi tekanan utama dengan pengajaran dilaksanakan di istana, masjid, rumah, surah, madrasah serta pondok. Ini telah menunjukkan bermulanya pembukaan awal sekolah yang mengajar ilmu berkaitan fardu ain. Maka wujud matapelajaran seperti tauhid, fekah dan tajwid yang diperkenalkan kepada pelajar pondok. setelah kedatangan British pengajaran ini masih diteruskan hingga ke hari ini. Dan pengajaran ini semakin berkembang pesat sehinggalah melahirkan ramai golongan-golongan ulama yang terkenal yang mampu mengajar golongan muda kini. Begitu juga dengan pendidikan dalam keluarga, ibu bapa berperanan dalam memberikan penenkanan berkaitan nilai moral. Pengajaran lebih tertumpu kepada agama, kelakuak dan adat resam. Di samping itu nilai-nilai budaya turut diserapkan melalui penceritaan berbentuk teladan dan pengajaran. Kini pengajaran di sekolah mewujudkan Falsafah pendidikan Kebangsaan yang mendasari sesuatu proses pendidikan yang lebih baik.Oleh itu, agama Islam sangat penting dalam sistem pendidikan.
Di samping itu juga, usaha oleh para ulama dan tok guru telah berjaya mendaulatkan Islam sebagai suatu agama yang unik daripada agama lain dalam kalangan penduduk Tanah Melayu. Para ulama juga telah berjaya menjadikan agama Islam sebagai satu-satunya agama yang dianuti oleh bangsa Melayu. Keadaan ini tidak pernah berlaku kepada agama lain yang pernah bertapak di tanah Melayu. Sekiranya ada hanyalah unsur adat sahaja.
Selain itu juga, lahirlah tulisan jawi yang mula diperkenalkan kepada masyarakat tempatan. Menurut fakta sejarah, bahasa Melayu telah mempunyai sistem tulisan sendiri sebelum kedatangan Islam iaitu tulisan palava yang dijadikan sebagai tulisan perantaraan. Tetapi sebutannya yang berbeza dengan bahasa arab telah menyukarkan mereka menyebut kalimah bahasa arab. Oleh itu, para mubalight telah perkenalkan huruf jawi yang berasaskan kepada abjad arab dan farsi untuk memudahkan masyarakat mempelajari agama Islam dan membaca Al-quran. Oleh itu, banyak koleksi buku yang diterjemahkan ke dalam tulisan jawi untuk rujukan dan pembacaan serta mendalami lagi tulisan jawi. Tidak hairanlah golongan tua sekarang yang mampu membaca tulisan jawi dengan lancar walaupun mereka tidak ke sekolah belajar secara formal. Ini adalah kerana mereka telah lama didedahkan dengan buku-buku yang ditulis dalam tulisan jawi dan pada masa itu tulisan jawi merupakan tulisan rasmi sewaktu mereka di bangku sekolah dahulu. Malah terdapat juga segelintir masyarakat cina dulu yang ada kini boleh membaca tulisan jawi berikutan tulisan ini dijadikan tulisan rasmi. Walaupun pada zaman penjajahan barat huruf rumi diperkenalkan namun agak sukar digunakan berikutan sebutan dan bunyi sebutan dalam perkataan arab sukar disebut. Apa yang membimbangkan lagi sebutan tersebut boleh membawa kepada kelainan erti atau makna terutamanya yang berkaitan dengan unsur akidah. Ini boleh mengakibatkan berlaku pencamaran bahasa dan paling penting dalam agama sendiri iaitu dalam kesucian Al-quran daripada segi pembacaan. Oleh itu, kini majlis fatwa kebangsaan telah mengharamkan penulisan Al-quran menerusi tulisan rumi.
Selain itu juga, wujud istilah daripada bahasa parsi dan arab telah dibawa ke dalam perbendaharaan kata bahasa misalnya, perkataan ‘adat’[23]. Apa yang kita ketahui kesusasteraan rakyat pada awalnya disebarkan secara lisan tetapi dengan wujudnya sistem tulisan ia telah diadaptasi ke dalam penceritaan berbentuk buku yang mudah dibaca oleh masyarakat disamping menambahkan lagi kemahiran mengenal huruf kepada rakyat yang membaca.
Dalam bidang seni bina juga telah banyak dipengaruhi oleh senibina berbentuk Islamik antaranya seperti bangunan, mimbar, menara azan, batu nisan, tulisan khat dan sebagainya. Sebelum kedatangan Islam pengaruh hindu-budha adalah sangat ketara dalam kesenian. Oleh itu, pendedahan senibina Islam yang unik ini telah membuka banyak ruang kepada kita untuk mempelbagaikan lagi bentuk seni bina yang unik dengan teknologi yang ada sekarang. malah ia boleh dijadikan sebagai satu aset kepada negara untuk produk jualan dengan menghasilkan pelbagai senibina dan perhiasan berbentuk islamik. Sebelum kebelum kedatangan islam motif seni bina dan ukuran misalnya lebih berasaskan kepada binatang seperti burung, tetapi setelah kedatangan Islam motif ukiran telah bertukar kepada konsep tumbuhan, bunga bungaan dan geometri yang lebih kepada sesuatu yang indah dan menyenangkan sama ada kepada penciptanya dan penatapnya.
Selain itu juga, Islam turut memberikan kepentingan dalam bidang ekonomi. Dalam sistem ekonomi telah diperkenalkan konsep halal dan haram. Islam mengharamkan amalan riba dan sebarang bentuk penindasan dalam urusan jual beli. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat bergiat dalam urusan perdagangan. Oleh itu, apabila adanya Islam rakyar akan menjalankan urusan jual beli yang bersih tanpa berlaku penindasan. Maka, wujudlah undang-undang yang berkaitan dengan hukum jual beli, hutang piutang, sewa tanah dan hukum huma.
Wujud juga amalan zakat dan fitrah yang menjadi sebahagian daripada amalan hidup seharian masyarakat tempatan dan amalan ini masih kekal dalam kehidupan masyarakat sekarang kerana ia menjadi satu kewajipan bagi mereka yang mampu agar mereka sentiasa ingat harta yang dimiliki masih ada bahagian untuk orang lain. Keadaan ini akan mewujudkan sifat tidak tamak dalam diri seseorang dan melahirkan sifat amalan sedekah kepada mereka yang tidak mampu. Oleh itu, adalah amalan zakat ini masyarakat tidak hanyut dengan kekayaan yang mereka miliki. Kini, wujud pula sistem perbankan dan insuran Islam yang dijalankan demi kepentingan orang Islam.
Di samping itu juga, wujud sistem mata wang dinar emas yang tercatat tulisan jawi. Sebelum kewujudan sistem mata wang masyarakat menjalankan aktiviti jual beli dengan menggunakan sistem barter. Sistem ini tidak begitu sesuai digunakan berikutan terdapat banyak kelemahan. Oleh itu, sistem mata wang diperkenalkan bagi menggantikan sistem barter. Didapati penggunakan wang memudahkan jual beli dan memudahkan dalam urusan hutang piutang kerana dapat dicatat jumlah yang tepat tanpa sebarang penindasan dan keraguan. Sistem ini kekal hingga sekarang sehingga wujud pula kreadit kad yang semakin memudahkan urusan jual beli. Oleh itu, Islam memberikan banyak kepentingan kepada masyarakat dan membawa banyak perubahan dalam kehidupan masyarakt sama ada dalam kegiatan harian hinggalah kepada sistem pentadbiran dan pemerintahan.

10.0          Penutup
“Islam adalah suatu sistem universal yang mencakup seluruh aspek kehidupan. Negara dan kebangsaan, pemerintahan dan kemasyrakatan, moral dan kekuatan hukum, kasih sayang dan keadilan, serta material dan spiritual. Ia adalah undang-undang dan kebudayaan, ilmu pengetahuan dan amal, dakwah dan jihad, usaha dan kekayaan, serta militer dan ideologi, sebagaimana ia juga akidah yang kokoh dan ibadah yang benar. Masing-masing memiliki kedudukan yang sama (Hassan Al Banna).

Matlamat mewujudkan satu ummah Islam sejagat merupakan satu cita-cita yang pada hari ini mungkin hanya dikongsi oleh segelintir ummat Islam. Namun, ini tidak bererti bahawa cita-cita ini tidak mungkin dapat dijadikan kenyataan. Agama Islam sendiri mengajar kita ummat Islam supaya sentiasa bersatu-padu, kerana dalam kesatuan terdapat kekuatan tetapi negara-negara Islam terus berpecah-belah dan berbalah antara satu sama lain kerana sebab-sebab yang mereka sendiri kadang-kala tidak fahami. Masalahnya bangsa-bangsa Barat terutamanya Amerika dan Yahudi tidak mahu melihat ummat Islam menjadi kukuh, kerana kemakmuran dan kekuatan mereka adalah bergantung kepada berterusannya perpecahan dan kelemahan di kalangan ummat Islam.
Umat bukan Islam terutamanya Barat (Yahudi dan Nasrani) bukan sahaja akan cuba mengekalkan umat Islam dalam kelemahan demi meneruskan hidup mereka, bahkan mereka akan sentiasa berusaha merosakkan umat Islam dari dalam. Secara halus mereka memasukkan jarum dengan menyalurkan budaya dan pemikiran-pemikiran yang akan merosakkan iktikad dan amalan ummat Islam. Mereka tidak secara terang-terangan melarang ummat Islam mengamalkan Islam, tetapi mereka telah berjaya menjauhkan umat Islam dari iman dan amal dengan mempengaruhi ummat Islam menuruti mereka dalam segenap aspek kehidupan.
Tanpa iman, asas kepada agama dan amal, yang juga benteng kerohanian umat Islam, ilmu dan harta tidak akan memberi manfaat bahkan akan menjauhkan manusia daripada Allah s.w.t. Di bibir sahaja mereka mengatakan bahawa mereka berjuang untuk agama dan bangsa tetapi sebenarnya matlamat utama adalah diri dan nafsu mereka, dan akhirnya mereka akan mabuk dalam kemewahan, berebut antara satu sama-lain harta, pangkat dan wanita dan akhirnya mereka sendiri menjadi alat musuh-musuh Islam dan merekalah akan menjadi penyebab kemerosotan Islam. 
Perjuangan mengeluarkan umat Islam dari lubang biawak (penipuan Barat) adalah satu perjuangan yang besar. Ia merupakan satu perjuangan membawa manusia dari apa yang mereka lihat (kebendaan) kepada satu perjuangan berdimensi ghaib (tidak dapat dilihat dengan mata kasar), membersihkan iktikad dan kembali mengamalkan perintah agama, yang dari kebendaan nampak merugikan, tetapi itulah sumber kekuatan ummat Islam yang sudah terbukti di zaman sahabat-sahabat rasulullah s.a.w, pada tabiin dan mereka yang selepas mereka.Perjuangan ini perlu dilakukan pada skala yang luas, pada peringkat asas masyarakat, mengembalikan kegemilangan iman setiap ummat dalam masyarakat. Pembersihan dalaman ini sahaja yang akan dapat menyelamat dan mempertahankan ummat Islam dari segala serangan mental dan budaya yang tidak dapat dibendung lagi, yang datang melalui satelit dan segala macam media, dalam unsur maklumat, ilmu dan pendidikan, serta hiburan. 
Pemerintahan yang bersekongkol dengan golongan peniaga yang sentiasa memikirkan keuntungan sahaja tidak dapat diharapkan sepenuhnya dapat mempertahankan kemurnian dan kesucian agama. Setiap yang ada ini patut berusaha bersama-sama mensucikan diri dan masyarakat manusia supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan di dunia kerana kebenaran dan hak sahaja yang dapat menghapuskan kebatilan bukan kekuasaan dan harta benda. Sebagai langkah awal kepada peranan Malaysia bagi menyelesaikan masalah ummah, dirasakan sudah sampai masanya bagi kita menubuhkan sebuah institusi yang berorientasikan ummah sejagat, dengan dihimpunkan ulama-ulama, pemikir-pemikir, diplomat-diplomat, dan politikus-politikus untuk membuat kajian dan merangka plan tindakan bagi Malaysia dan lain-lain negara memainkan peranannya di peringkat serantau dan antarabangsa bagi meninggikan syiar Islam dan memperkukuhkan kedudukan masyarakat Islam sama ada dari segi rohani, intelektual, ekonomi dan strategik.










[1] Anwar Ahmad Qadri 1986. Islamic Jurisprudence in the Modern World, Taj Company, New Delhi, hlm., 12.
[2] Qamaruddin Khan 1988. The Political Thought of Ibn Taymiyah, Adam Publishers and Distributers: New Delhi, India, hlm. 105.

[3] Abd Rahman Haji Abdullah (1951), Sejarah dan Pemikiran Islam.c.1. Penerbitan Pena Sdn.    Bhd.h. 267
[4]  M. Rajendran (1993), Sejarah Islam. Petaling Jaya: IBS Buku,c.2,h 363
[5] Dr Haji Abdullah Ishak (1992), Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu),c.2 Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Islam, Kuala Lumpur, h. 166
[6]  Abd Rahman Haji Abdullah (1981),op.cit, h 216
[7] Dr Haji Abdullah Ishak (1992),op.cit,h. 148
[8]  Abd. Rahman Haji Abdullah (1981), op.cit, h.270
[9] Abd. Rahman Haji Abdullah (1981), op.cit, h.250
[10]  M Rajendran (1993),op.cit.,h. 370
[11] Dr. haji Abdullah Ishak (1992), op.cit,. h. 132
[12] Abul Hasan Ali Nadwi telah menyenaraikan nama-nama ulama-ulama tersebut di dalam bukunya; Saviours of Islamic Spirit, 1977, Lucknow: Academy of Islamic Research and Publication, dalam dua jilid.

[13] Lihat, rencana Suroosh Irfani, dalam The Straits Time, Isnin, 28 hb. Oktober
[14] M. Raihan Sharif 1979. Islamic Social Framework, S.H. Muhammad Ashraf: Lahore, hlm., 7
[15] Dipetik oleh, M. Raihan Sharif 1979. Islamic Social Framework, S.H. Muhammad Ashraf: Lahore, hlm., 25. 
[16] Contohnya, Jeneral Basir, Presiden Sudan pernah menjalankan latihan ketenteraannya di Malaysia. Dari situ kita dapat memahami mengapa sikapnya terhadap Malaysia begitu mesra sekali, begitu juga Presiden Fiji, Rambuka.
[17] D.S. Copeland 1996. Malaysia: The Political Economy of Diversity, Behind the Headlines, Canadian Institute of International affairs, July, hlm. 22-23. 
[18] The Economist, 6hb. November 1993, hlm. 21.
[19] Nor Mohamed Yakcop 1995. Persiapan Menghadapi Blok Baru Perdagangan, Visi, Bil. 5, Julai-Sept., hlm. 8-14. 

[20] J.A. Garraty dan P. Gay 1985. The University History of the World, United Kingdom: New Orchard Editions, hlm. 283.

[21] Prof. Madya Dr.Abd Halim El~Muhammady. Pendidikan islam: peranannya dalam pembangunan ummah (1994).
[22] Prof. Madya Dr. Abd Halim El~ Muhammady:Pendidikan Islam: peranannya dalam pembangunan ummah (1994).
[23] Pn Khoo P.S. pengaruh Islam di Malaysia sebelum kedatangan barat (2010).daripada sejarahkhoo.wordpress.com/2010/10/notaexpresst4b8.doc


Rujukan
Abd Rahman Haji Abdullah (1951), Sejarah dan Pemikiran Islam.c.1. Penerbitan Pena Sdn.   Bhd.
Al-Attas, S. M. N. 1969. Preliminary Statement On A General Theory Of The Islamization
Of The Malay-Archipelago. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Attas, S. M. N. 1972.  Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu. Kuala .
Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Al-Attas, S. M. N. 1979. Islam And Secularism. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam .
Malaysia (ABIM).

Al-Attas, S. M. N. 2003. Islam sebagai “Al-Din”: Beberapa Pengamatan Terhadap .
Pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas. AFKAR 4: 29-62.

Anwar Ahmad Qadri. 1986. Islamic Jurisprudence in the Modern World, Taj Company,
            New Delhi, hlmn 12.

Dr Haji Abdullah Ishak (1992), Islam Di Nusantara (Khususnya Di Tanah Melayu),c.2 Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Islam, Kuala Lumpur

D.S. Copeland 1996. Malaysia: The Political Economy of Diversity, Behind the Headlines,
Canadian Institute of International affairs, July, hlm. 22-23.

J.A. Garraty dan P. Gay 1985. The University History of the World, United Kingdom: New
Orchard Editions, hlm. 283.

M. Raihan Sharif 1979. Islamic Social Framework, S.H. Muhammad Ashraf: Lahore, hlm., 7

M. Rajendran (1993), Sejarah Islam. Petaling Jaya: IBS Buku

Nor Mohamed Yakcop 1995. Persiapan Menghadapi Blok Baru Perdagangan, Visi, Bil. 5, Julai-Sept., hlm. 8-14

Qamaruddin Khan 1988. The Political Thought of Ibn Taymiyah, Adam Publishers and
Distributers: New Delhi, India, hlm. 105.

Pembaharuan pentadbiran untuk pembangunan menurut perspektif Islam (2011). Diperoleh  pada Fabuari 26, 2011 daripada http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/pentad%20awam.pdf

Prof Madya Dr.Abd.halim (1994). Pendidikan Islam:peranannya dalam pembangunan ummah. Selangor Darul Ehsan: Penerbit Budaya Ilmu sdn.bhd.
Pn khoo P.S (2010). Pengaruh Islam di Malaysia Sebelum kedatangan barat. Diperoleh pada Mac 3, 2011 daripada  sejarahkhoo.files.wordpress.com/2010/10/notaexpresst4b8.doc






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...