PENGERTIAN AL-QURAN
Al-Quran boleh didefinasikan dalam dua bentuk,iaitu dari segi bahasa dan istilah.
DARI SEGI BAHASA
Al-quran dari sudut bahasa ialah berasal dari perkataan al-qira’ah bererti bacaan, Masdar perkataan Maqru’ bererti yang dibaca.
DARI SEGI ISTILAH
Al-quran ialah kalam Allah azali yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril,ia ditulis dalam mushaf dan dipindahkan kepada kita secara mutawatir,membacanya dikira ibadat,kandungannya dimulai dengan surah al-fatihah dan disudahi dengan surah al-Nas.al-quran merupakan kalam Allah yang tertulis di Luh Mahfuz semenjak azali dan diturunkan ke Baitul ‘Izzah di langit pertama,kemudiannya dibawa ke langit dunia,seterusnya diturunkan dan disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril dalam bahasa Arab.
1.0 BIODATA PENULIS
Jurnal ini bertajuk “Beberapa Kekeliruan Mengenai Pngumpulan al-Quran” yang menjadi bahan kajian saya. Tajuk ini diambil dari jurnal yadim keluaran Jun 2002 oleh Prof. Madya Dr. Udah bin Mohsin. Merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.
2.0 SINOPSIS
Jurnal prof Madya Dr.Udah bin Mohsin ini menjelaskan tentang beberapa bentuk kekeliruan mengenai pengumpulan al-Quran. Kekeliruan tersebut telah digariskan oleh musuh-musuh Islam mengenai ketepatan pengumpulan al-Quran. Menurut mereka al-Quran yang ada sekarang tidak sama dengan al-Quran sebenar yang diturunkan. Mereka telah mengemukakan beberaba dalil atas kekeliruan yang digariskan. Di antara kekeliruan yang mereka kemukakan ada 4. Pertama mereka mengatakan pengumpulan al-Quran tidak dilakukan secara mutawatir keseluruhannya, kedua mareka turut menyatakan ayat-ayat al-Quran itu pada mulanya hanya ditulis pada batu-batu, tulang-tulang serta pelepah tamar dan mereka menganggap ada kemungkinan besar ayat-ayatnya yang hilang. Musuh-musuh Islam kemudiannya mngemukakan kekeliruan ketiga iaitu mereka mendakwa Rasulullah s.a.w lupa terhadap ayat al-Quran atau mengugurkannya,dan kekeliruan yang terakhir ialah mereka mendakwa terdapat ayat-ayat al-Quran lain lagi yang tidak dimasukkan ke dalam al-Quran dan ada pula yang bukan al-Quran dianggap sebagai al-Quran. Dalam [1]makalah ini penulis telah mengambil dakwaan-dakwaan mereka serta dalil-dalilnya kemudian penulis menjawab dakwaan-dakwaan mereka dan menjelaskan kekeliruan tersebut dengan membawa dalil yang kukuh.
Keseluruhannya penulis turut mengemukakan hujah kukuh bagi menjawab kekeliruan yang telah digaris oleh musuh-musuh Islam ini terhadap kekeliruan mereka mengenai pengumpulan al-Quran.
3.0 ULASAN MENGENAI KEKELIRUAN PENGUMPULAN AL-QURAN DAN JAWAPAN
3.1 KEKELIRUAN PERTAMA
Menurut jurnal dari Prof Madya Dr. Udah Mohsin,musuh-musuh Islam telah timbulkan beberapa kekeliruan. Pertama mereka telah menyatakan bahawa pengumpulan al-Quran itu tidak dilakukan secara[2] mutawatir bagi keseluruhannya. Mereka menyatakan ada ayat-ayat Al-Quran yang dikumpul secara[3] ahad. Bagi mereka apabila pengumpulan al-Quran itu tidak dilakukan secara mutawatir keseluruhannya, tetapi terdapat juga secara ahad,ini akan membawa [4]zan iaitu tidak pasti akan kebenarannya. Apabila Al-Quran tidak pasti kebenarannya mereka menyifatkan al-Quran itu tidak pasti benar kesemuanya. Dalil yang menunjukkan terdapat ayat al-Quran dikumpulkan secara zan menurut Zaid bin Thabit yang bermaksud:”maka akupun laksanakan, dengan mencari ( ayat-ayat ) al-Quran dan mengumpulkannya dari batu-batu, (riqa’ ), tulang-tulang (aktar ), pelepah-pelepah tamar (‘usub ) dan dari ingatan orang ramai,sehingga atau mendapati dua ayat dari surah al-taubah pada khuzimah al-Ansari yang aku tidak mendapatinya dari orang lain”(surah al-baraah,9:128) hingga ke akhir ayat dari surah Al-akzab yang bermaksud: “Apabila kami menyalin mushaf ke dalam beberapa mushaf aku kehilangan satu ayat dari surah al-Ahzab,aku banyak kali mendengar Rasulullah s.a.w membacanya. Aku tidak mendapatinya kecuali ada pada Khuqimah al-Asari yang Rasulullah menjadikan kesaksiannya menyamai dua orang lelaki”(surah Al-Ahzab,33:23). Ayat-ayat al-Quran di atas ini mereka mendakwa hanya didapati dari Khuzimah al-Ansari sahaja dan tidak dari orang lain. Dengan ini mereka mengangap bahawa pengumpulan ayat ini adalah melalui tulisan secara ahad dan tidak secara mutawatir. Cara ahad menurut mereka tidak pasti kebenarannya kerana ia bertaraf zan bukan yakin. Oleh hal demikian akan terdapat al-Quran yang tidak pasti kebenarannya dan dengan sendirinya al-Quran itu tidak pasti kebenarannya.
Prof Madya Dr. Udah kemudiannya telah mengemukakan jawapan bagi menjawab persoalan pertama tersebut. Dalam jurnal ini beliau mengemukakan dakwaan, iaitu ayat-ayat yang didapati oleh Zaid pada Khuzimah al-Ansari sahaja yang tidak ada pada orang lain sebenarnya adalah dari segi tulisan ayat-ayat itu sahaja. Adapun dari segi hafalan para sahabat adalah sangat ramai yang menghafaz ayat-ayat itu termasuklah Zaid bin Thabit sendiri. Bilangan mereka yang menghafaz ayat-ayat itu adalah mutawatir. Oleh yang demikian pengisbatan dua ayat yang akhir dari surah al-Baraah dan ayat dari surah al-Ahzab di atas adalah secara mutawatir kerana secara mutawatir bukanlah hanya melalui tulisan sahaja bahkan boleh melalui hafalan.
3.2 KEKELIRUAN KEDUA
Kekeliruan kedua yang ditimbulkan oleh musuh Islam ialah mereka mengganggap kemungkinan ayat-ayat al-Quran ada yang hilang. Ayat-ayat al-Quran pada mulanya hanya ditulis pada batu-batu, tulang-tulang dan pelepah-pelepah tamar. Ini sebagaimana yang difahami melalui perkataan Zaid bin Thabit yang telah sebelum ini yang bermaksud:”Maka akupun mencari al-Quran, lalu aku menghimpunkannya dari batu, tulang dan pelepah tamar”. Menurut mereka iaitu musuh-musuh Islam menyatakan jika al-Quran hanya ditulis pada batu,tulang dan pelepah tamar ini menunjukkan keadaan al-Quran bersepah kerana belum dibukukan maka ada yang mengganggap kemungkinan ayat-ayatnya ada yang hilang. Bagi mereka al-Quran itu tidak lengkap sebagaimana yang berada di Luh Mahfuz dan tidak sama dengan apa yang diajar oleh Jibril kepada Rasulullah s.a.w,apatah lagi terdapat beberapa perbezaan qirah yang terlalu banyak. Selain itu mereka telah membawa dalil dengan perkataan yang dinisbahkan kepada Ibn Umar yang bermaksud:”Janganlah seseorang itu berkata: Aku telah mengambil keseluruhan al-Quran, sesungguhnya telah banyak yang hilang, tetapi katalah: Aku telah mengambil apa yang terdapat darinya”.
Melalui kekeliruan yang dikemukakan oleh mereka Prof Madya Dr. Udah menjawab kekeliruan ini dengan mengemukakan tiga jawapan dari persoalan yang digariskan iaitu dari aspek al-Quran itu dibukukan,kemungkinan ianya ada yang hilang kerana bersepah serta tidak dibukukan dalam mushaf.
Jawapan daripada Prof Madya dalam jurnalnya yang bertajuk “Membalik sejarah Pengumpulan dan Penulisan Al-Quran, dalam jurnal itu beliau menyatakan dengan memberi fakta sekalipun al-Quran belum dibukukan ke dalam satu mushaf tetapi ayat-ayat al-Quran itu telah ditulis oleh penulis-penulis wahyu Rasullah s.a.w dan ayat-ayat al-Quran itu dikumpulkan. Pada zaman Saidina Abu Bakar beliau hanya menyalin apa yang telah ada. Baginda turut menyuruh para sahabat supaya meletakkan susunan ayat-ayat menurut tertibnya. Menurut sabda baginda yang bermaksud:”Letakkan ayat-ayat itu di dalam ayat yang disebut padanya begini-begini”. Hadis ini menurut al-Tarmidzi merupakan hadis hasan sahih. Di samping itu juga ayat-ayat al-Quran ditulis dan disusun mengikut ketepatan Allah,al-Quran itu juga telah dihafaz oleh Baginda s.a.w dangan jaminan dari Allah menurut firman-Nya yang bermaksud:” Bahawasanya di atas Kamilah menghimpun dan membacakannya. Selain dihafaz oleh Baginda s.a.w al-Quran juga turut dihafaz oleh para sahabat. Bagi menunjukkan betapa ramainya para sahabat yang menghafaz al-Quran cukup dibuktikan dalam peperangan Yamamah sahaja seramai 70 orang yang hafaz al-Quran terbunuh. (al-Suyuti 1996,5: 429) Peperangan al-Yamamah ini berlaku setelah Baginda baru sahaja wafat. Sebelum ini pada zaman Baginda s.a.w di Bi’r al-Ma’unah seramai 70 orang sahabat juga penghafaz al-Quran telah terbunuh. (Ibn Hajar t.t 9:52)
Menurut keterangan di atas terbukti al-Quran itu telah ditulis dan disusun ayat-ayatnya serta dihafaz oleh Rasulluah dan oleh para sahabat sebelum dibukukan di dalam mushaf di zaman Saidina Abu Bakar.
Menurut apa yang ditulis oleh Ali Akbar dalam artikelnya yang bertajuk Membalik Sejarah Pengumpulan dan Penulisan Al-Quran pula, beliau telah mengatakan tentang anggapan kemungkinan ada ayat al-Quran yang hilang menurut musuh islam adalah tidak benar. Menurut penulisan dalam artikelnya, berdasarkan kepada beberapa riwayat yang diketengahkan oleh al-Bukhari dalam shahihnya yang mengatakan bahawa jumlah para sahabat yang menghafal Al-Quran pada masa Rasulullah masih hidup tidak lebih dari tujuh orang. Mereka itu adalah Abdullah bin Mas’ud, Salim, Mu’adz bin Jabal, Zaid bin Tsabit, Ubai bin Ka’ab, Abu Zaid bin Sakan dan Abu Darda’. Meskipun demikian, penyebutan tujuh orang[5] huffaz al-Quran yang disebut nama-namanya dalam beberapa riwayat itu tidak bererti pembatasan,hal ini karana beberapa keterangan dalam kitab-kitab sirah lainnya menunjukkan bahawa para sahabat berlumba-lumba menghafaz al-Quran, kemudian mereka memerintahkan pula anak-anak dan isteri-isteri mereka untuk menghafaznya di rumah masing-masing. Mereka turut membacanya dalam solat di tengah malam, sehingga alunan suara mereka terdengar bagaikan suara kumbang. Rasulullah s.a.w pun sering melawat rumah-rumah orang Ansar dan berhenti untuk mendengarkan alunan suara mereka yang membaca al-Quran dirumah-rumahnya. Tujuh orang para penghafaz ini merupakan kelompok sahabat yang menghimpun al-Quran dalam dada mereka masing-masing dan menghafaznya dengan baik. Mereka juga telah duji pembacaannya ketepatan hafalan masing-masing di hadapan Baginda s.a.w. selain itu masih ramai lagi para sahabat yang menghafaz al-Quran, ada antaranya menghafaz dari orang lain dan datang dari berbagai daerah. Jadi kekeliruan al-Quran tidak dibukukan dalam mushaf salah kerana ramai para sahabat yang menghafaz kalamullah itu.
Kedua pula dalam aspek perbezaan [6]qiraat yang dijawab oleh penulis ialah, ia mempunyai kaitan dengan penurunan al-Quran di atas [7]sab’ah ahruf. Qiraah yang wajib diterima dan diakui sah ialah,ianya mestilah benar-benar sabit dari Rasullah s.a.w. Qiraah yang sabit ini pula mestilah tidak terkeluar dari sab’ah ahruf. Manakala qiraah-qiraah yang palsu dan lemah dari segi pengisbatannya tidak boleh diterima. Oleh itu qiraah yang disepakati para ulama’ untuk diterima dan sah untuk dbacaan di dalam sembahyang ialah qiraah-qiraah yang mutawatir dari Baginda. Baginda telah sabit bahawa al-Quran itu diturunkan di atas sab’ah ahruf menurut sabda baginda yang bermakssud:”Bahawasanya al-Quran itu diturunkan di atas sab’ah ahruf maka bacalah mengikut yang mudah darinya”. Menurut Abu ‘Ubayd, al-Suyuti dan al-Hakim pula hadis mengenai al-Quran itu diturunkan adalah mutawatir. Dari keterangan di atas perbezaan qiraah adalah perkara yang telah sabit dari Rasulullah dan ia adalah untuk memudahkan ummah.
Yang ketiga ialah dari perkataan Ibn Umar, penulis telah berusaha mendapatkan nas ini dari kitab-kitab hadis, sejarah, tafsir dan lain-lain akan tetapi penulis belum menemui nas ini melalui sanad yang sahih. Oleh itu, penulis bersetuju dengan pendapat al-Zarqani yang mengatakan bahawa parkataan ini adalah disandarkan kepada Ibn Umar secara salah dan palsu. (al-Zarqani 1998,1: 296). Dengan kata lain Ibn Umar tidak memperkatakan ini tetapi hanya dinisbahkan kepadanya sahaja bertujuan supaya dikelihatan kuat.
3.3 KEKELIRUAN KETIGA
Kekeliruan ketiga pula ialah mereka mendakwa Rasulullah lupa terhadap ayat al-Quran atau Baginda menggugurkannya. Ini menjadikan ayat al-Quran itu tidak lengkap dan mereka berdalilkan dengan hadis yang bermaksud:”Daripada ‘aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mendengar seorang lelaki membaca satu surah pada waktu malam lalu Baginda berkata: Allah memberi rahmat kepadanya sesungguhnya dia telah mengingatkan aku ayat ini dan ini aku telah lupakan ayat itu dari surah ini dan ini”. Mereka turut berdalil dengan riwayat lain yang bermaksud: Aku gugurkan ayat-ayat itu dari surah ini dan ini. Dan dari firman Allah yang bermaksud: Kami akan membacakan kepada engkau maka engkau tidak melupainya kecuali jika dikehendaki oleh Allah.(surah al-‘alaa,87:6). Perkataan “kecuali jika dikehendaki oleh Allah” menurut mereka ia menunjukkan kemungkinan Nabi lupa terhadap beberapa ayat al-Quran.
Penulis menjawab dengan menyatakan apa yang dimaksudkan dengan asquttuhunna ialah menggugurkan sacara lupa, bukan sengaja. Sekiranya sacara sengaja maka ia adalah mestahil bagi Nabi kerana ia akan menjejeskan kerasulan Baginda. Apa yang dimaksudkan dengan lupa di sini bukanlah lupa dengan erti kata hilang terus dari ingatan selama-lamanya,tetapi hilang hanya seketika akibat dari kekangan sibuk dengan perkara lain dan ia akan datang semula jika diperlukan. Lupa sebegini adalah harus bagi Nabi setelah Baginda menyampaikannya kepada orang ramai dan setelah ayat itu ditulis dan dihafaz oleh para sahabat.
Sebelum firman Allah yang bermaksud:”Kecuali jika dikehendaki oleh Allah” ialah Allah telah menerangkan firman tersebut yang bermaksud:”Kami akan membacakan kepada engkau maka engkau tidak melupainya” Ini merupakan jaminan Allah kepada Rasu-Nya bahawa Rasulullah tidak akan melupakan al-Quran. Jaminan yang diberika Allah kepada Baginda merupakan suatu rahmat dan kelebihan dari Allah yang dikurniakan kepada Rasul-Nya. Oleh itu maksud ayat ini seperti yang dikatakan oleh al-Farra’: Allah s.w.t tidak mengkehendaki Rasul-Nya lupa sedikitpun dari al-Quran al-Karim. Oleh itu maksud pengecualian di dalam ayat ini ialah penjelasan dari Allah dan Allah mengkehendaki Rasul-Nya lupa nescaya Allah berkuasa, tetapi Allah tidak mengkehendakinya. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: jika engkau melakukan syirik nescaya hapuslah amalan engkau. Secara ringkasnya maksud pengecualian di dalam ayat ini ialah Allah memberitahu kepada Rasul-Nya bahawa Baginda tidak akan melupakan al-Quran itu merupakan suatu kurniaan yang besar dari rahmat-Nya kepada Baginda dan bukan merupakan kekuatan Rasul. (Al-Fakhra al-Razi 1981,21:142). Sebelum ini telah diperkatakan bentuk lupa yang harus bagi Rasulullah,itupun setelah wahyu itu disampaikan kepada umatnya.
3.4 KEKELIRUAN KEEMPAT
Kekeliruan keempat ialah mereka mendakwa terdapat ayat-ayat al-Quran lain lagi yang tidak dimasukkan ke dalam al-Quran dan ada pula yang bukan al-Quran dianggap sebagai al-Quran. Mereka telah mengemukakan 6 dalil bagi mengukuhkan dakwaan mereka tersebut. Dalil mereka yang pertama ialah, orang yang menghimpunkan al-Quran bagi keseluruhannya hanyalah Saidina ‘Ali dan imam-imam yang selepasnya sahaja. Penulis menjawab kekeliruan tersebut mengemukakan pendapat mereka menyatakan hanya Saidina ‘Ali dan imam-imam selepasnya sahaja menghimpun al-Quran adalah pendapat syiah yang begitu melampau. Hal ini kerana mereka hanya berdalilkan apa yang diriwayatkan oleh ak-Kulayni dari Abu Ja’afar yang bermaksud: Seseorang yang mendakwa bahawasanya dia mengumpulkan dan menghafaz al-Quran sebagaimana diturunkan kecualin Ali bin Abu Talib a.s dan imam-imam selepasnya.
Syiah tersebut tidak diterima oleh kebanyakkan [8]syiah seperti syiah al-Ithna’asariyyah. Penerimaan terhadap syiah tersebut telah diperkatakan oleh seorang ulama tafsir syiah al-Ithna’asariyyah yang masyur iaitu al-Tabatabai berkata, maksud nas tersebut sebenarnya merupakan himpunan al-Quran dari segi makna yang zahir dan juga makna yang distinbat dari al-Quran mengikut fahaman biasa sahaja. Ini adalah kerana mereka telah mengaitkan perkataan “mengumpul” dengan “menghafaz” dalam riwayat ak-Kulayni diatas. Oleh itu, al-Tabatabai mentafsir nas tersebut ialah dari sudut pengumpulan ilmu tentang memahami al-Quran sahaja dan bukan pengumpulan al-Quran.
Menurut ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah pula kitab hadis syiah adalah tidak sahih dan tidak sah untuk dijadikan rujukan di dalam agama. Sekiranya terdapat hadis dalam kitab syiah tersebut sama dengan hadis ahli al-Sunnah maka yang dipakai oleh ahli al-Sunnah adalah dari kitab hadis syiah mereka.
Dalil kedua mereka ialah,terdapat ayat lain yang dinamakan ayat al-Wilayah yang tidak dimasukkan ke dalam al-Quran. Penulis menjawab dakwaan itu dengan pendapat ayat al-Wilayah yang dikatakan tidak dimasukkan ke dalam al-Quran dan menjadikan al-Quran yang tidak ada kini tidak lengkap merupakan pendapat yang salah dan tidak boleh diterima. Hal ini kerana segala ayat al-Quran itu telah ditulis pada zaman Rasulullah yang dihafaz oleh Baginda dan para sahabat sendiri. Ayat-ayat al-Quran itu adalah sabit secara mutawatir, sekiranya al-Quran itu bukan mutawatir ia tidak akan dianggap sebagai al-Quran dan tidak boleh dikatakan sebagai al-Quran. Dalam nas ahli sunnah sendiri tidak ada sebarang nas yang sahih mahupun ahad tentang ayat al-Wilayah ini. Oleh itu, ayat ini secara jelasnya bukan dari al-Quran. Walaupun begitu, ada pendapat yang mengatakan ayat al-Wilayah itu adalah sebahagian dari al-Quran tetapi sekiranya dilihat kepada kitab syiah seperti yang ditulis oleh al-Tababai, kitab al-Ithna’asariyyah juga tidak terdapat ayat al-Wilayah, al-Quran yang dicetak di Qum juga tidak terdapat ayat ini. Oleh sebab itu beberapa tokoh ulama seperti al-Qaradawi dan Muhammad al-Ghazali, apabila ditanya mengenai hal ini mereka menjawab al-Quran bagi syiah adalah sama dengan al-Quran bagi ahli al-Sunnah. Mungkin yang mengatakan terdapat satu surah di dalam al-Quran iaitu surah al-Wilayah adalah syiah yang melampau. Syiah ini ditolak oleh syiah ahli al-Sunnah serta al-Ithna’asariyyah.
Dalil ketiga pula mengatakan Ibn Mas’ud mengingkari bahawa al-Fatihah dan al-Ma’udhatayn dari al-Quran. Penulis mengambil pendapat bagi mengukuhkan dalil itu dengan menyatakan sebenarnya ia hanya merupakan satu pendustaan terhadap ibn Mas’ud. Hal ini kerana tidak terdapat satu riwayat yang sahihpun mengatakan bahawa Ibn Mas’ud mengingkari al-Fatihah dan al-Ma’udhatayn dari al-Quran. Menurut Ibn Hazm seperti yang ditulis oleh al-Nawawi ini satu pembohongan, sesungguhnya adalah sahih qiraah zar daripada Ibn Mas’ud padanya terdapat al-Fatihah dan al-Ma’udhatayn. Ijma’ ulama’ Islam tentang al-Ma’udhatayn dan al-Fatihah dan segala surah yang tertulis dalam mushaf al-Quran adalah al-Quran menurut imam al-Nawawi lagi. Sesiapa yang ingkar satu surah daripadanya adalah kafir. Apa yang ditulis Ibn mas’ud tentang pengingkaraannya kepada surah diatas adalah batil dan tidak sahih. Jika tidak sabit Ibn Mas’ud mengingkari al-Fatihah dan al-Ma’udhatayn maka bagaimana pula dengan kata beliau kepada orang-orang Yahudi yang berbunyi: Wahai himpunan orang-orang Islam aku diketepikan dari pembukaan mushaf oleh seorang yang demi Allah aku telah memeluk Islan sedangkan dia masih berada di sult seorang kafir. Yang dimaksudkan ialah Zaid bin Thabit. Kata Abdullah bin Mas’ud lagi: wahai orang-orang Iraq sembunyikanlah mushaf yang ada pada kamu(riwayat oleh al-Tarmizi).
Mengenai perkataan dari Ibn Mas’ud diatas perlu dijelaskan bahawa perkataan ini tidak menunjukkan al-Quran itu tidak mutawatir dan seterusnya tidak lengkap atau ada tambahan. Hal ini kerana apa yang difahami dari perkataan diatas ialah beliau hanya tidak puas hati dengan perlantikan jama’ah pemusatan al-Quran yang mengambil Zaid sebagai ketua. Mungkin bagi pandangannya dia lebih layak untuk mengetuai jama’ah tersebut berbanding Zaid. Tetapi menurut pandangan Saidina Abu Bakar, Umar, Othman adalah lebih dari pandangannya. Oleh sebab itu, perkataan dari Ibn Mas’ud ini tidak disukai oleh sahabat-sahabat Nabi yang afadil. Melalui keterangan di atas perkataan dari Ibn Mas’ud itu tidak menjejaskan langsung terhadap pengumpulan al-Quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit. Adalah tidak benar dan menjadi satu pendustaan dengan apa yang dikatakan kepada sesetengah sahabat bahawa mereka ada membuang sesuatu ayat al-Quran.
Dalil mereka yang keempat ialah dari ayat al-Quran yang berbunyi: hendaklah kamu jadikan maqam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Ayat ini adalah dari perkataan Umar. Ini menjadikan satu pendustaan ke atas Umar, apa yang sabit dari Umar ialah beliau ada berkata di dalam Ibn Hajar yang bermaksud: Wahai Rasulullah! Kalaulah kita jadikan maqam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Lalu Allah menurunkan ayat yang diatas tadi. Sebenarnya perkataan dari Saidina Umar itu merupakan permohonan beliau kepada Rasulullah dengan menyatakan, sekiranya makam Ibrahim itu dijadikan tempat sembahyang. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat untuk memperkenankan permohonan Saidina Umar itu. Ia boleh juga dikatakan bahawa permohonan Saidina Umar itu bersesuaian dengan kehendak Allah s.w.t.
Saidina Umar juga ada menyatakan bahawa apa yang beliau katakan bersesuaian dengan kehendak Allah s.w.t pada 3 perkara iaitu, pertama beliau memberi pendapat kepada Rasulullah sekiranya makan Ibrahim dijadikan tempat sembahyang. Maka turunlah firman daripada Allah s.w.t yang bermaksud hendaklah kamu jadikan makam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Kedua pula ialah mengenai ayat hijab, Saidina Umar berkata kepada Rasulullah, wahai Rasulullah kalaulah engkau menyeru isteri-isterimu memakai hijab kerana yang bercakap dengan mereka itu orang yang baik dan jahat, lalu turunlah ayat hijab. Dan yang ketiga ialah ketika isteri-isteri Rasulullah berhimpun kerana cemburu, lalu Saidina Umar berkata kepada mereka sekiranya baginda mentalak kamu mungkin Allah s.w.t akan menggantikan baginda dengan isteri yang lebih baik daripada kamu. Lalu turun ayat seperti itu.
Dalil yang kelima yang dikemukakan oleh musuh Islam ialah melalui ayat al-Quran iaitu dari perkataan Saidina Abu Bakar pula. Ayat tersebut merupakan satu pendustaan ke atas Saidina Abu Bakar. Sebenarnya ayat tersebut telah diturunkan semasa peperangan Uhud iaitu sewaktu orang Islam menerima kekalahan di tangan orang-orang kafir. Dalam peperangan ini Baginda telah mengalami luka pada bahagian kepala sehinggakan ramai orang Islam menyangkakan Rasulullah telah wafat, lalu mereka terus berasa lemah dan terus berundur dari perjuangan. Lalu Allah turunkan kepada Rasul-Nya ayat dari (Ibn Kathir t.t 2: 108). Ayat ini adalah untuk memberi peringatan kepada orang Islam bahawa Rasulullah itu tidak lain dari seorang manusia, apa yang menimpa kepada manusia semuanya akan mati. Perlu diketahui makhluk Allah semuanya akan mati dan yang kekal hanyalah Allah s.w.t sahaja. Maka janganlah sesekali jika sekiranya Rasulullah wafat, kamu akan kembali kepada kekufuran. Ayat tersebut dibaca oleh Saidina Abu Bakar sendiri di hadapan orang ramai sewaktu Baginda wafat dan pada masa itu orang ramai tidak tenang. Saidina Abu Bakar lalu berkata: Sesiapa yang menyembah Muhammad maka Muhammad telah mati, tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Allah itu hidup dan tidak akan mati. Orang ramai seolah-olah tidak mengetahui ayat ini sehingga dibaca oleh Saidina Abu Bakar, sehingga Saidina Umar sendiri mengetahui bahawa Rasulullah wafat apabila ayat itu dibaca oleh Saidina Abu Bakar. (al-Bukhari t.t di dalam Ibn Hajar,8: 145). Berita yang disebarkan mengenai kewafatan baginda seolah-olah menjadi ayat ini hilang dari ingatan orang Islam termasuk Saidina Umar sendiri.
Melalui keterangan ini, jelas sekali menunjukkan ayat al-Quran telah diturunkan pada masa Rasulullah masih hidup iaitu ketika perang Uhud. Ayat ini sebenarnya telah ditulis dan dihafaz oleh para sahabat tetapi dalam keadaan kelam kabut maka hafalan tersebut hilang seketika dari ingatan mereka, tetapi apabila dibacakan kembali maka ia datang semula. Oleh itu, dalam sahih al-Bukhari lafaz yang digunakan oleh perawi yang bermaksud: Demi Allah seolah-olah orang ramai tidak mengetahui Allah telah menurunkan ayat ini. Ia menunjukkan ayat itu sudah ada pada mereka tetapi kerana keadaan yang tidak temteram seolah-olah ayat ini hilang dari mereka.
Dalil terakhir ialah mereka menyatakan Hajjaj bin Yusof telah mengunpulkan al-Quran kemudian membuang beberapa ayat di dalamnya demi menyokong Bani Umayyah. Penulis menjawab dengan bersetuju dengan pendapat al-Zarqani yang mengatakan ini satu pendustaan ke atas al-Hajjaj. Sekiranya beliau dikatakan seorang yang jahatpun tidak akan tercatat menurut riwayat yang sahih bahawa dia telah mengumpul al-Quran yang tidak sehaluan dengan pemerintahannya sewenang-wenang. Hal ini kerana, sekiranya al-Hajjaj sudah tidak ada pasti para ulama yang ada ketika itu tidak akan berdiam diri tetapi ini tidak berlaku. Oleh itu dakwaan al-Hajjaj membuang ayat-ayat yang tidak sesuai dengan pemerintahannya tidak benar. Kita sedia maklum bahawa al-Quran telah dimushafkan ketika zaman Saidina Abu Bakar lagi, kemudiannya diulangi pemushafannya pada zaman Saidina Othman. Mushaf-mushaf itu kemudiannya dihantar ke Negara-negara Islam secara menyeluruh pada zaman Saidina Othman dan mushaf lain akan dihapuskan. Mushaf ini kekal hingga ke hari ini. Pengisbatannya pula adalah secara mutawatir. Oleh itu, sekiranya berlaku perubahan oleh al-Hajjaj dan mereka takut menentangnya nescaya selepas matinya al-Hajjaj mereka akan ubah semula al-Quran yang dikumpulkan oleh al-Hajjaj, tetapi ini tidak berlaku. Oleh sebab itu dakwaan al-Hajjaj mengumpul al-Quran dan membuang ayat di dalamnya yang tidak selaras dengan pemerintahannya adalah tidak benar.
4.0 KESIMPULAN
Secara tidak rasminya al-Quran telah ditulis pada zaman Rasulullah lagi, Baginda sangat mengambil berat tentang al-Quran antaranya dengan cara menghafaz, memahaminya, bertadarus bersama Jibril dan bertadarus bersama sahabat. Pada zaman Rasulullah al-Quran belum dibukukan lagi. Selepas Baginda wafat para sahabat berusaha mengumpul al-Quran dalam mushaf. Pengumpulan al-Quran dilakukan pada zaman Abu Bakar kemudiannya diikuti zaman Saidina Othman dengan cara yang cukup teliti dan ilmiah. Setiap ayat-ayat al-Quran itu dikumpulkan dengan tepat sepertimana yang diturunkan kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Setiap ayat al-Quran yang sabit mutawatir daripada Rasulullah dianggap sebagai al-Quran tetapi jika sebaliknya itu bukan bukan ayat al-Quran. Segala dakwaan yang mengatakan ayat yang bukan sabit dari Baginda merupakan ayat al-Quran tidak diterima kerana tidak mempunyai asas yang ilmiah dan tidak sahih. Begitu juga dakwaan yang mengatakan terdapat ayat al-Quran dari perkataan manusia dan dianggap sebagai al-Quran adalah tidak benar, hal ini karana setiap ayat al-Quran itu dalah sabit kebenarannya sebagai al-Quran daripada Rasulullah secara mutawatir dan tidak boleh diragui kesahihannya. Berkaotan mengenai qiraah pula Baginda ada menjelaskan, al-Quran itu diturunkan di atas sab’ah al-ahruf adalah untuk memudahkan ummah. Qiraah yang sabit dari Rasulullah tidak akan terkeluar dari sab’ah al-ahruf.
BIBLIOGRAFI
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail t.t. sahih al-bukhari, di dalam Ibn Hajar, Fath al-Bari
Bayrut: Dar al-Fikr
Al-Fakh al-Razi, Muhammad bin Umar. 1981. Tafsir al-Fakhr al-Razi.
Al-Fiqih, Muhammad Jawab. 1992. Tahqiq Usul al-Kafi. Bayrut; Dar al-adwa.
Ibn Hajar, Ahmad bin Ali t.t tafsir al-Quran al-‘Azim. Kahirah: Dar al-Shab.
Al-Kattani, Ja’far al-Husni al-Idris t.t. Nuzum al-Mutanathir Min al-Hadth al-mutawatir. Halb: Dar al-Ma’arif
Manna’ al-Qattan t.t. Mabahith Fi Ulum al-Quran. Muassasah al-Risalah
Al-Nawawi, Tahya bin Saraf. 1996. Al-majmu’ Bayrut: Dar al-Fikr
Al-suyuti, Abd. Rahim bin Abu Bakr. 1996. Al-Dibaj. Al-su’udiyyah: Dar Ibn ‘Affan.
Al-Tirmidhi, Muhammad bin Surah. 1995. Sunan al-Tirmidhi, ta’liq Ibrahim ‘Uyah ‘ Iwad.
[1] Makalah – rencana/ artikel tentang sesuatu perkara biasanya yang disiarkan dalam majalah, surat khabar dll.
[2] Mutawatir-keterangan/ yang menjadi bukti sesuatu kebenaran terutama yang berdasarkan ayat-ayat al-Quran
[3] Ahad – 1, esa
[4] Zan – curiga/ tidak pasti kebenarannya
[5] Huffah – para penghafaz
[6] Qiraat - bacaan
[7] Sab’ah ahruf – 7 huruf
[8] Syiah -Salah satu daripada mazhab terpenting dalam Islam yang menolak 3 khalifah ar-Rasyidinyang awal dan menganggap Saidina Ali sebagai pengganti Nabi Muhammad yang sah.
No comments:
Post a Comment