Thursday, 29 December 2011

Teori interaksi simbolik

PENGENALAN
Teori interaksi simbolik dikatakan cetusan ideal oleh beberapa orang tokoh seperti, George Herbert Mead, Charles Cooley, W.I Thomas, Erving Goffman dan Herbert Blumer iaitu merupakan pelajar Mead yang meneruskan usaha memperincikan pemikiran Mead mengenai interaksionisme simbolik. Tetapi, tokoh utama yang meletakkan dasar teori ini adalah George Herbert Mead. Mead tertarik untuk mengkaji interaksi sosial kerana apa yang dilihat daripada interaksi misalnya daripada dua atau lebih individu itu berpotensi mengeluarkan simbol dan makna. Baginya perilaku seseorang dapat dipengaruhi oleh simbol-simbol yang dikeluarkan oleh orang lain begitu juga sebaliknya. Hasil isyarat yang diberikan dalam bentuk simbol individu itu akan mengutarakan perasaan, fikiran dan maksud misalnya dengan membaca simbol yang ditampilkan oleh orang lain. Oleh itu, interaksi antara beberapa pihak ini akan berjalan lancar tanpa ganguan seterusnya simbol yang dikeluarkan pula akan dimaknakan bersama sehingga masing-masing boleh memahami bersama apa yang dibincangkan misalnya. Namun, interaksi ini tidak selamanya berjalan lancar berikutan mungkin ada pihak yang menggunakan simbol yang tidak memberikan makna kepada orang lain bahkan membawa kepada berlakunya salah faham.
Teori ini pada asasnya menumpukan kepada tindakan dan tingkah laku manusia dalam interaksi sosial. Disamping itu juga, kita melihat bagaimana mereka bertindakbalas dan mempengaruhi orang lain dalam sesuatu kelompok atau secara individu dengan individu sahaja. Keadaan ini dalam interaksi sosial memerlukan hubungan dengan simbol-simbol dan makna tertentu yang dipelajari dan diterapkan dalam proses sosialisasi. Teori ini sebenarnya mengfokuskan kepada individu yang dicorakkan oleh masyarakat.
INTERAKSI SIMBOLIK

Menurut ahli-ahli perspektif interaksi simbolik menyatakan bahawa individu adalah hal yang paling penting dalam konsep sosiologi dan ia merupakan objek yang boleh secara langsung ditelaah dan dianalisis melalui interaksi dengan individu atau orang lain. Menurut ahli perspektif interaksi simbolik juga, seseorang individu itu akan berinteraksi dengan mengunakan simbol-simbol yang mempunyai tanda-tanda, isyarat dan kata-kata. Menurut Mead, teori ini sangat penting dalam interaksi sosial. Kerana menurut beliau makna daripada pengunaan simbol-simbol bukanlah berasal daripada proses mental yang menyendiri tetapi berasal daripada interaksi. Oleh itu, manusia akan mempelajari simbol dan makna di dalam interaksi sosial. Dalam proses interaksi sosial ini manusia secara simboliknya akan mengkomunikasikan makna terhadap orang lain yang terlibat.

Menurut Mead lagi, proses interaksi simbolik terjadi dalam tiga unsur utama iaitu pemikiran  (mind), diri (self) dan masyarakat (society) dan ketiga-tiga unsur ini sangat berkaitan antara satu sama lain. Unsur pertama iaitu fikiran merupakan kemampuan individu menggunakan simbol yang mempunyai makna sosial yang sama iaitu setiap individu itu harus mengembangkan fikiran mereka melalui interaksi dengan orang lain. Unsur diri pula adalah kemampuan individu untuk merefleksikan diri daripada penilaian sudut pandangan atau pendapat orang lain. Unsur masyarakat pula adalah jaringan hubungan sosial yang diciptakan oleh setiap individu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, apabila seseorang individu itu berinteraksi, fikiran mereka sebenarnya yang sedang bekerja dengan memproduksi simbol dan membuat pengertian daripada simbol yang diterima daripada orang lain.

Mead juga mengfokuskan kepada tiga tema konsep iaitu pentingnya makna bagi perilaku manusia, pentingnya konsep mengenai diri dan hubungan antara individu dengan masyarakat. Tema pertama menerangkan mengenai kepentingan membentuk makna bagi perilaku manusia. Apa yang perlu diketahui teori ini bermula daripada proses komunikasi. Walaupun  pada awal interaksi ia tidak memberi apa-apa makna tetapi di akhir interaksi individu ini akan mencari makna untuk mendapatkan kesepakatan bersama dalam interaksi. Mengikut tema kedua pula berfokus kepada ‘konsep diri’ atau self-concept. Pada peringkat ini mereka lebih menekankan kepada pengembangan konsep diri melalui seseorang individu itu secara aktif iaitu apabila berlaku interaksi sosial dengan orang lain. Tema ketiga iaitu berhubung dengan masyarakat. Fokus yang diberikan adalah untuk menjelaskan mengenai perubahan dalam proses sosial.

George Herbert Mead berpendapat bahawa sosialisasi yang dilalui oleh seseorang itu dapat dibezakan melalui beberapa tahap. Misalnya ialah ketika manusia dilahirkan iaitu semasa seorang anak itu ingin mengenal dunia sosialnya termasuklah untuk memperolehi pemahaman tentang dirinya. Oleh itu, anak-anak akan mula meniru sesuatu itu walaupun tidak sempurna. Sebagai contoh melalui perkataan yang diajar ibu kepada anak yang masih tidak mampu menyebut perkataan dengan betul seperti kata ‘makan’. Anak tersebut hanya akan dapat menyebut ‘mam’ sahaja walaupun makna kata tersebut masih tidak dapat difahaminya. Tetapi lama kelamaan anak tersebut akan memahami dengan tepat makna makan tersebut melalui kenyataan yang dialami. Seterusnya tahap kedua ialah ketika seseorang anak itu semakin pandai meniru peranan-peranan yang dilakukan oleh orang dewasa. Anak akan mulai sedar tentang apa dilakukan dan diharapkan oleh seorang ibu. Anak semakin sedar orang di sekeliling mereka merupakan orang yang penting bagi membentuk norma dan nilai untuk mereka meniru daripada apa yang dilihat atau dari perkataan ahli keluarganya. Oleh itu, apabila berlaku interaksi antara anak dan ahli keluarga misalnya mereka akan dapat mengetahui makna daripada interaksi tersebut. Ini akan mengukuhkan lagi teori Mead akan penerimaan individu terhadap simbol yang dikeluarkan oleh orang lain mempunyai makna.

Seterusnya, kematangan yang ada akan mengurangkan peniruan kerana mereka sudah mampu menempatkan diri pada kedudukan orang lain. Sebagai contoh, hubungan dengan teman menyebabkan interaksi semakin banyak dan kompleks. Mereka akan mula memahami akan norma tertentu yang berlaku di luar daripada keluarganya. Apabila anak telah dewasa, mereka sudah mampu menempatkan diri dalam kedudukan masyarakat secara meluas iaitu mampu berinteraksi dengan orang lain. Oleh itu mereka akan sedar kepentingan peraturan, kemampuan bekerjasama walaupun dengan orang yang tidak dikenali. Oleh itu, mereka akan dapat menempatkan diri dalam masyarakat.

Menurut Herbert Blumer pula interaksi simbolik merujuk kepada ‘ karakter interaksi khusus yang berlaku antara manusia’. Oleh itu, interaksi tidak hanya semata-mata beriaksi terhadap tindakan yang lain tetapi dia akan mentafsir dan membuat definisi daripada setiap tindakan orang lain. Respon yang diberikan oleh individu kemudiannya akan didasarkan atas makna penilaian sacara langsung atau tidak langsung. Bagi Blumer juga, beliau turut menyatakan interaksi manusia dikatakan menggunakan simbol-simbol penafsiran dan dengan menemukan makna daripada tindakan orang lain. Dalam kontek ini, individu akan memilih, memeriksa, berfikir dan mentranformasikan makna tersebut.

Blumer menyatakan kajian keatas masyarakat menggunakan teori interaksi sosial ini akan bermula dengan beberapa landasan seperti, pentingnya makna simbolik dimana setiap kelakuan atau perkataan yang diungkapkan manusia mempunyai pelbagai tafsiran atau simbol. Oleh itu untuk memahami perlakuan manusia itu kita haruslah mempelajari makna daripada perlakuan yang dilakukan tersebut. Makna simbolik yang wujud juga perlu difahami kerana makna akan lahir daripada hubungan atau interaksi sosial. Oleh itu, apabila berlaku perubahan dalam interaksi tersebut secara automatiknya makna turut berubah. Makna yang difahami pula tertakluk kepada tafsiran, hal ini demikian kerana setiap orang mempunyai kebebasan memberi makna kepada sesuatu perkara itu mengikut tafsiran sendiri.

Oleh itu makna dan simbol yang dipelajari dalam interaksi sangat penting. Walau bagaimanapun, keperluan berfikir adalah penting apabila bertindakbalas terhadap satu-satu simbol. Hal ini demikian kerana, setiap simbol itu mewakili satu-satu objek yang perlu ditafsirkan maknanya. Simbol sebenarnya boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti perkataan, objek atau dalam bentuk perlakuan fizikal. Bahasa pula merupakan satu sistem simbol yang digunakan untuk pelbagai perkara. Oleh itu, makna sesuatu objek dapat dizahirkan menggunakan bahasa.

Tidak ketinggalan juga teori yang dikemukakan oleh ahli perspektif interaksi simbolik yang lain. Kebanyakannya mengemukakan keadaan yang hampir sama. Ini menunjukkan interaksi antara individu itu akan mewujudkan satu simbol dan daripada simbol tersebut akan melibatkan makna-makna tertentu mengikut apa yang ingin disampaikan. Namun, makna yang disampaikan tersebut tidak semestinya sama dengan individu yang lain berikutan mungkin dalam interaksi sosial yang berlaku menimbulkan salah tafsiran daripada simbol tersebut. Ini akan mewujudkan salah faham daripada makna daripada simbol dan akhirnya makna yang disampaikan tidak tercapai.

 KESIMPULAN

Kehidupan bermasyarakat akan terbentuk apabila adanya proses komunikasi dan interaksi antara individu atau kelompok dengan menggunakan simbol-simbol yang dapat difahami maknanya melalui proses belajar. Walaupun terdapat norma-norma, nilai-nilai sosial dan makna daripada simbol juga boleh memberikan batasan terhadap sesuatu tindakan, tetapi dengan kemampuan berfikir yang dimiliki manusia akan mempunyai kebebasan untuk menentukan tindakan dan tujuan yang hendak dicapai. Oleh itu akan wujud suasana yang berbeza daripada interaksi yang tercapai maknanya dengan interaksi yang tidak tercapai maknanya berikutan kemampuan berfikir antara seseorang individu itu berbeza.


RUJUKAN
Hubungan interaksi sosial dalam kelompok teman sebaya  diperoleh daripada 

Perspektif dalam psikologi social diperoleh daripada home.unpar.ac.id/

            Teori interaksi simbolik diperoleh daripada

Sosialisasi (2011). Diperoleh Januari 27, 2011daripada http://id.wikipedia.org/wiki/sosialisasi

Teori-teori komunikasi interpretif dan kritis diperoleh daripada
pksm.mercubuana.ac.id/new/elearning/files.../94022-13-772299373715.doc

sejarah dan sistem tingkah laku manusia diperoleh daripada http://klara_ia.staff.gunadarma.ac.id/Downloads/files/9081/handout baru psi sos 1.pdf 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...