1.0 PENGENALAN
Bandar merupakan satu agen yang
membawa perubahan dalam pelbagai bidang. Ini kerana bandar berperanan sebagai
pusat dalam segala urusan sama ada bidang pentadbiran, ekonomi mahupun sosial.
Ia juga menjadi tempat kepada pertembungan budaya masyarakat seperti Malaysia
yang memiliki rakyat berbilang kaum. Kemajuan dalam pelbagai bidang menjadikan
bandar sebuah kawasan yang mendapat tumpuan masyarakat dari luar bandar dan
kawasan sekitarnya. keadaan ini boleh meningkatkan pembangunan yang semakin
pesat dengan pembinaan pelbagai prasarana serta kemudahan bagi menampung
penduduk yang semakin bertambah.
Walau bagaimanapun,
penumpuan dan migrasi yang tidak terkawal di sesuatu kawasan akan membawa kesan
yang negatif. Ini kerana penduduk yang hanya bertumpu di kawasan bandar sahaja
menyebabkan mereka tidak mampu mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal dalam
jangka masa yang singkat, berikutan kebanyakan mereka yang berhijrah ke bandar
tidak mengetahui kehidupan di bandar dengan taraf hidupnya yang tinggi
berbanding kehidupan di luar bandar. Masalah ini akan mewujudkan kepada
berlakunya kemiskinan bandar, kerana mereka hanya mampu mendapatkan pekerjaan
di sektor informal sahaja atas sebab persaingan, tahap pendidikan yang rendah, sikap yang
tidak mahu berusaha dan ditimpa musibah. Begitu juga dengan mereka yang tinggal
di bandar terpaksa bersaing dengan golongan migran untuk mendapat tempat.
Kemiskinan secara umumnya
yang ditakrifkan oleh Charles Booth ( disebut dalam Holman, 1978:3) sebagai
seseorang yang hidup dalam keadaan yang susah untuk memenuhi
keperluan-keperluan hidup yang mencukupi. Manakala bandar pula menurut Wan
Ibrisam Fikry Wan Ismail menyatakan bandar merupakan pusat kepada kekuasaan
dalam bidang ekonomi, politik dan sosial di dalam masyarakat. Tetapi definisi
bagi kemiskinan dan bandar ini ditakrifkan secara berbeza-beza mengikut kepada
perspektif yang ingin dilihat. Oleh sebab itu, kemiskinan bandar dapat
ditakrifkan sebagai wujudnya golongan yang tidak berkemampuan dalam memenuhi
keperluan hidup di bandar yang lebih maju dengan taraf hidup yang lebih tinggi.
Oleh sebab itu, pelbagai
usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membendung masalah kemiskinan
bandar ini. Namun, bagi menyelesaikan masalah ini memerlukan masa yang panjang
untuk dilaksanakan kerana pelbagai inisiatif harus difikirkan untuk mengekalkan
kesejahteraan negara. Segala usaha yang dijalankan pula akan menghadapi cabaran
masing-masing tidak kira sama ada dapat diatasi mahupun sedang dalam proses
mengatasinya.
2.0
JENIS KEMISKINAN
Kemiskinan bandar dapat
dikategorikan kepada tiga iaitu kemiskinan mutlak, relatif dan tegar.
Kemiskinan mutlak ialah satu keadaan di mana isi rumah tidak berupaya mencapai
pendapatan yang boleh menampung keperluan. Kemiskinan mutlak ialah satu konsep
yang menggunakan jumlah pendapatan isi rumah sebagai kayu ukur garis kemiskinan
sesebuah masyarakat. Kemiskinan ini bersifat mutlak dengan melihat kepada
pendapatan isi rumah yang secara jelasnya menggambarkan kuasa beli mereka yang
memberi kesan kepada kepenggunaan. Oleh sebab itu, pendapatan isi rumah yang
rendah akan mengakibatkan kuasa beli menurun sekali gus menjejaskan keperluan
hidup.
Manakala kemiskinan
relatif pula berlaku kerana ketidakseimbangan pendapatan satu kumpulan dalam
sesuatu masyarakat. Konsep kemiskinan ini dilakukan adalah dengan membandingkan
purata pendapatan dan bahagian pendapatan daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar
( KDNK) dalam kumpulan penduduk sama ada mengikut purata pendapatan, etnik,
kawasan kediaman dan sebagainya. Jika terdapat golongan yang menerima
pendapatan paling rendah daripada segi agihan pendapatan akan dikategorikan
sebagai miskin.
Kemiskinan
tegar pula ialah isi rumah yang tidak berupaya mencapai sekurang-kurangnya
separuh daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) bagi menampung kehidupan asas
mereka. Menampung kehidupan bermaksud pendapatan yang mencukupi bagi
membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas seperti nutrisi makanan
dan minuman yang membolehkan setiap ahlinya mempunyai tubuh badan yang sihat.
3.0 FAKTOR
KEMISKINAN BANDAR
Kemiskinan bandar berlaku antaranya
adalah disebabkan oleh faktor taraf pendidikan, ini kerana tahap pendidikan
seseorang itulah yang akan menjamin mendapatkan tempat dalam sesuatu pekerjaan.
Didapati masalah ini berlaku adalah daripada kalangan yang berhijrah ke bandar
untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh sebab itu, golongan ini terpaksa bersaing
antara satu sama lain untuk mendapatkan pekerjaan di samping mereka tidak
memiliki sebarang kemahiran tertentu dalam sesuatu bidang untuk diceburi agar
mendapat pekerjaan. Taraf pendidikan yang sekadar kelulusan sijil sahaja tidak
memberikan jaminan yang besar untuk mendapat pekerjaan dalam sektor formal, ini
kerana kebanyakan syarikat lebih mementingkan kecekapan dan kemahiran dalam
menjalankan pengurusan. Oleh sebab itu, mereka yang berkelulusan rendah sukar
untuk mendapatkan pekerjaan di bandar sekali gus meningkatkan jumlah
pengangguran di bandar.
Selain itu, sikap
masyarakat juga membawa kepada masalah ini. Mereka hanya berserah kepada nasib
dan takdir sahaja tanpa berusaha untuk mendapatkan pekerjaan. Begitu juga bagi
mereka yang tinggal di bandar tidak berusaha mendapatkan bantuan daripada
program rakyat termiskin umpamanya. Pelaksanaan program sebegini oleh pihak kerajaan
adalah bertujuan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan terutamanya yang
berpendapatan rendah. Terdapat juga segolongan masyarakat kita yang memilih
pekerjaan yang ditawarkan, jika pekerjaan tersebut lebih kepada sektor informal
mereka biasanya kurang meminati dan sanggup menunggu mendapatkan pekerjaan yang
lebih baik. Sikap masyarakat yang terlalu memilih pekerjaan juga menyebabkan
sektor informal dipenuhi dengan pekerja daripada luar negara yang datang untuk
mendapatkan peluang ini. Keadaan ini akan mewujudkan persaingan golongan
tempatan dengan pekerja luar yang datang mendapatkan peluang pekerjaan.
Natijahnya, golongan tempatan sering diabaikan kerana pekerja luar kini semakin
mendapat tempat di hati majikan kerana sikap mereka yang tidak memilih dan
merungut dalam bekerja. Hal ini menyebabkan rakyat tempatan terpaksa menganggur
kerana tidak diberi peluang utama dalam pekerjaan yang dipohon kerana
persaingan dengan pekerja luar yang lebih komited dalam bekerja.
Kepadatan penduduk juga menjadi punca
kepada masalah kemiskinan di bandar. Penduduk yang terlalu padat menyebabkan
kerajaan terpaksa membina perumahan-perumahan kepada masyarakat untuk disewa.
Akan tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mampu untuk membayar sewa yang
terlalu tinggi. Ekoran daripada itu, golongan yang tidak berkemampuan ini
mendapatkan tempat tinggal yang lebih murah sehingga mewujudkan kawasan
setinggan kerana kosnya yang lebih murah dan berpatutan.
Ketidakstabilan
institusi keluarga juga menjadi punca kepada masalah ini. Pendapatan isi rumah
yang tidak mencukupi untuk kos sara hidup menyebabkan kebanyakan suri rumah
terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kos sara hidup. Kebanyakan
pekerjaan yang dipilih lebih kepada perniagaan sendiri seperti menjaja, berniaga
kecil-kecilan dan perniagaan pasar. Pendapatan daripada perniagaan yang
dijalankan juga adalah tidak menentu menyebabkan mereka tidak mampu memenuhi
keperluan asas.
Selain itu, penawaran
dalam pekerjaan yang kurang berbanding jumlah yang memohon pekerjaan mewujudkan
kepada berlakunya masalah pengangguran. Ini menyebabkan mereka perlu bersaing
untuk mendapatkan pekerjaan yang dipohon, manakala mereka yang tidak layak
terpaksa mendapatkan pekerjaan lain. Bagi mereka yang berkelulusan rendah pula
tidak diberi peluang pekerjaan dalam sektor formal kerana tidak berkelayakan
dan tidak memiliki kemahiran. Hal ini menyebabkan terdapat segelintir yang
tidak bekerja mencari jalan mudah dengan merompak dan mencuri untuk mendapatkan
wang bagi menampung kehidupan.
Bagi yang memiliki tahap
pendidikan rendah, mereka hanya mampu bertumpu dalam sektor informal sahaja
seperti buruh binaan, pembantu rumah dan pekerja kilang. Pendapatan dari sektor
pekerjaan sebegini adalah sangat rendah dan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung
keperluan hidup di bandar. Oleh itu, mereka terpaksa berjimat dan menggunakan
wang hanya untuk keperluan yang penting sahaja.
Walau bagaimanapun,
menurut pendapat daripada ahli sosiologi pula menyatakan kemiskinan bandar
merupakan masalah yang bersifat kompleks
serta mempunyai dimensi yang berbeza-beza. Golongan ini kebiasaannya tidak
berusaha mendapatkan bantuan daripada program yang telah dijalankan oleh pihak
kerajaan. Selain itu, mereka tidak berupaya dan tidak sanggup merebut peluang
ekonomi yang diberikan oleh kerajaan. Terdapat juga segolongan yang hanya
berserah kepada nasib dan takdir sahaja tanpa berusaha mengubah gaya kehidupan
mereka ke arah yang lebih baik. Ketidakstabilan dalam institusi keluarga juga
turut menjadi punca kepada berlakunya masalah ini.
4.0 Usaha-usaha
dalam mengatasi masalah kemiskinan di bandar.
4.1 Kementerian
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Bagi mengatasi
masalah kemiskinan bandar, pihak kerajaan telah mengambil satu langkah yang
drastik apabila menukarkan Kementerian Wilayah Persekutuan kepada Kementerian
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ialah satu
kementerian yang ditubuhkan untuk menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dan melaksanakan program yang bersesuaian
untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara. Selain itu juga,
kementerian ini berperanan dalam memperkukuh dan memperluas program pembasmian
kemiskinan bandar.
Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah mengambil
inisiatif dengan menjalinkan banyak hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak
dan kementerian. Antara agensi yang
bersama-sama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
ialah Jabatan Kebajikan, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi yang lain. Hal ini adalah
bertujuan untuk mengelakkan pertindihan tanggungjawab dalam pelaksanaan
pembasmian kemiskinan.
Kementerian Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar telah melaksanakan beberapa langkah dalam mengatasi masalah kemiskinan
bandar ini. Antara langkah yang diambil oleh kementerian ini ialah menyediakan
satu pelan yang komprehensif dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar dan
menjalankan program-program yang bersesuaian dalam menangani masalah kemiskinan
bandar ini.
Kemiskinan bandar pada hari ini
membabitkan golongan yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000. Oleh
yang demikian ramai masyarakat bandar yang terperangkap dengan kehidupan maju
dan taraf hidup yang tinggi di kawasan bandar. Ini kerana, pendapatan
masyarakat bandar rata-ratanya kurang daripada RM3,000 dan peningkatan taraf
pendapatan bulanan ini menyumbang kepada bertambahnya golongan miskin bandar.
4.2 Pembinaan
perumahan dan penswastaan setinggan
Kepesatan dan pembangunan bandar telah menyebabkan
ramai masyarakat luar bandar mahupun warga asing memilih untuk menetap dan
bekerja di kawasan bandar. Pertambahan penduduk ini telah mengundang kepada
bertambahnya permintaan terhadap sektor perumahan. Perkara ini menjadi lebih meruncing apabila
permintaan perumahan mampu milik oleh golongan miskin bandar tidak dapat
dipenuhi kerana pertambahan penduduk yang pesat sehingga tidak dapat menampung
kepadatan penduduk di bandar. Hal ini secara tidak langsung telah mewujudkan
masalah setinggan yang merupakan satu
sektor perumahan yang tidak formal dan fenomena setinggan ini telah menjadi
masalah kepada negara.
Setinggan merupakan salah satu ciri
kemiskinan bandar. Hal ini demikian kerana, golongan masyarakat miskin di
kawasan bandar ini biasanya akan menetap di rumah-rumah setinggan. Setinggan adalah satu kawasan penempatan yang
dibina secara rawak di atas tanah milik kerajaan, swasta ataupun milik orang
perseorangan. Kawasan setinggan yang wujud ini telah mencemarkan persekitaran
kawasan perbandaran. Perkara ini terjadi kerana setinggan ini biasanya
dikaitkan dengan golongan miskin dan kawasan setinggan ini pula biasanya tidak
selesa, sesak, kotor dan juga kurang kemudahan-kemudahan asas.
Pelbagai usaha telah dijalankan
dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar ini termasuklah masalah setinggan
yang melibatkan golongan miskin di kawasan bandar. Antara usaha yang dilakukan
ialah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Program Pembangunan Rakyat
Termiskin ini adalah satu program yang telah dijalankan dalam Rancangan
Malaysia Ketujuh iaitu rancangan yang berlangsung pada tahun 1996 sehingga
2000. Manakala projek Perumahan Rakyat (PPR) pula ialah salah satu program yang
dilaksanakan dalam PPRT.
Projek Perumahan Rakyat ini telah
dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara. Antara objektif utama pelaksanaan
projek ini adalah untuk mengawal dan menempatkan semula setinggan dan memberi kemudahan serta meringankan beban
kepada golongan miskin. Golongan miskin ini diberi bantuan dalam membina rumah
yang lebih selesa ataupun mereka boleh memiliki rumah yang dibina oleh kerajaan
dengan harga yang lebih rendah dan mampu dimiliki. Hal ini demikian kerana
rumah merupakan salah satu unsur penting dalam kehidupan manusia dan tahap
keselesaan dan keselamatan rumah itu haruslah dititikberatkan.
Di samping itu juga, Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) telah memainkan peranan mereka dalam menangani masalah
kemiskinan bandar ini apabila PBT ini mempunyai peranan yang strategik dalam
melaksanakan setiap program dan
rancangan pembasmian kemiskinan bandar. Usaha yang dijalankan oleh PBT ini
harus disokong oleh pihak-pihak lain seperti sektor swasta, NGO ataupun
persatuan penduduk.
PBT telah mengambil inisiatif dan
mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan projek perumahan yang berskala besar
bertujuan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di kalangan penduduk di kawasan
bandar. Pada masa yang sama PBT juga
menjamin akan meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin bandar.
Selain itu juga, kerajaan juga
menubuhkan Dana Rumah Kos Rendah yang
bernilai kira-kira RM 1.1 bilion pada tahun 1994. Pada tahun yang sama juga,
kerajaan juga telah memperkenalkan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah. Dana dan tabung yang ditubuhkan ini adalah
bertujuan untuk mengatasi masalah setinggan yang dihadapi oleh masyarakat
miskin di kawasan bandar. Melalui dana dan tabung ini, golongan miskin bandar
ini boleh mendapatkan modal untuk membina rumah yang lebih baik jika
dibandingkan dengan rumah di kawasan setinggan.
Namun begitu, terdapat banyak
masalah dalam melaksanakan Dana Rumah Kos
Rendah dan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah ini. Oleh yang demikian,
kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menswastakan sektor perumahan ini.
Langkah alternatif yang melibatkan penswastaan setinggan ini mempunyai banyak
kelebihan apabila perumahan kos rendah yang disediakan oleh pihak swasta ini
lebih efisien. Penswastaan ini dapat
membantu golongan miskin bandar untuk menikmati kawasan perumahan yang selesa.
Perkara ini juga meningkatkan pemilikan dan pemilihan rumah.
Isu-isu perumahan ini merupakan isu
yang sukar untuk diselesaikan terutama sekali di bandar-bandar besar. Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam
menyelesaikan masalah perumahan di Kuala Lumpur. DBKL juga merupakan pihak yang
bertanggungjawab dalam melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin di Kuala
Lumpur. DBKL ini diberi tanggungjawab
dan tugas yang besar dalam melaksanakan program ini sejak 1995.
DBKL telah melaksanakan banyak langkah dalam
mengatasi masalah perumahan ini terutamanya yang melibatkan golongan miskin
bandar. Sejak tahun 1958 DBKL telah membina rumah teres, rumah berkelompok,
rumah pangsa, rumah panjang (transit) untuk memenuhi keperluan perumahan
golongan yang berpendapatan rendah dan miskin di kawasan Bandaraya Kuala
Lumpur. Antara program perumahan untuk golongan miskin yang dilaksanakan oleh
DBKL ialah Program Perumahan Rakyat Desa Tun Razak sebanyak 1824 unit, Program
Perumahan Taman Mulia sebanyak 912 unit dan banyak lagi program perumahan yang
lain.
Selain itu, DBKL ini juga menawarkan
kadar bayaran sewa yang murah kepada golongan miskin bandar ini dengan kadar
subsidi. Kadar sewa yang ditawarkan adalah lebih murah jika dibandingkan dengan
kadar sewa rumah pada pasaran di Kuala Lumpur. Hal ini memperlihatkan
kesungguhan DBKL dalam menyediakan kemudahan perumahan yang selesa kepada golongan
miskin dan berpendapatan rendah d Kuala Lumpur.
4.3 Agensi-agensi kerajaan, NGO dan Swasta.
Bantuan dari agensi-agensi kerajaan dan swasta juga
merupakan satu usaha dalam membasmi masalah kemiskinan bandar. Pihak kerajaan
dan swasta berganding bahu dalam mengatasi masalah kemiskinan yang melibatkan
golongan yang berpendapatan rendah di kawasan bandar. Antara agensi yang
terlibat dalam membasmi kemiskinan bandar ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS ini telah melaksanakan beberapa program dalam menangani masalah kemiskinan
bandar.
Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) ialah
salah satu program yang diilhamkan oleh LZS dalam menangani masalah kemiskinan
bandar. Program ini bertujuan untuk menjejaki golongan fakir atau miskin
melalui program ini. Melalui program ini
juga, pihak LZS akan mengenal pasti golongan fakir dan miskin yang berada di
Selangor tetapi tidak mendaftar dengan LZS.
Golongan miskin dan fakir yang berdaftar dengan LZS ini akan diberikan
bantuan dari pelbagai aspek dalam mempertingkatkan taraf hidup mereka. Antara
bantuan yang diberikan adalah bantuan bulanan, bantuan pendidikan, modal
perniagaan dan sebagainya. Bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat
membantu golongan miskin ini dalam mengatasi kemelut kemiskinan yang dihadapi.
Pelaksanaan program ini
bertemakan ‘ Kami Sedia Membantu’ .
Melalui program ini juga, pihak LZS menjalankan bancian dari rumah ke rumah
untuk mencari golongan fakir dan miskin di kawasan bandar Selangor yang layak untuk
mendapatkan bantuan dari pihak LZS. Program yang dilaksanakan LZS ini
mendapatkan kerjasama dari pemimpin setempat, jawatankuasa penduduk, wakil
surau atau masjid dan pelbagai pihak lagi.
Selain itu, terdapat juga
pihak-pihak NGO yang menjalankan program dalam membasmi kemiskinan di kawasan
bandar ini. Penubuhan pusat runding cara harian atau Pusat Rahmat adalah salah
satu usaha dalam membasmi kemiskinan bandar. Pusat Rahmat ini ditubuhkan adalah
bertujuan untuk membasmi kemiskinan bandar dan program ini telah mendapat
kerjasama daripada pihak kerajaan dan juga pihak NGO. Pihak kerajaan dan NGO
bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan program ini.
Melalui usaha ini terdapat dua cara
dalam membantu golongan-golongan miskin bandar ini. Pertama ialah melalui
kaedah “ walk-in” iaitu melibatkan
sesiapa sahaja yang mengetahui kemiskinan yang menimpa jiran atau orang yang
berada di sekitar , mereka ini boleh melaporkan keadaan jiran atau masyarakat
sekitar mereka kepada Pusat Rahmat.
Kaedah kedua pula ialah melalui kaedah “reaching-out” iaitu apabila petugas-petugas Pusat Rahmat
termasuklah sukarelawan-sukarelawan Pusat Rahmat ini menjalankan lawatan dan
penyiasatan di kawasan-kawasan tumpuan. Kaedah ini dijalankan bagi mengenal pasti
sendiri golongan-golongan yang berhak mendapatkan bantuan dari Pusat Rahmat.
4.4 Menambah
peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan
Kehadiran
golongan miskin bandar adalah disebabkan oleh mereka yang berpendapatan rendah
atau penganggur yang tidak mampu bersaing dalam menongkah arus kehidupan di
bandar yang kian pesat mengalami proses perbandaran. Golongan yang tidak mampu
ini akhirnya akan terpinggir dari kemajuan dan kemodenan bandar itu. Hal ini
demikian kerana, kebanyakan golongan yang terperangkap dalam fenomena kemiskinan
bandar ini ialah masyarakat luar bandar yang berhijrah ke bandar ataupun warga
asing. Mereka ini berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan untuk
mengubah nasib keluarga atau diri, namun kerana kebanyakan mereka tidak
mempunyai kelulusan yang baik, akhirnya mereka ini tidak mampu bersaing dan
terus berada dalam perangkap kemiskinan.
Oleh kerana golongan miskin ini tidak mampu bersaing dalam meningkatkan
pendapatan mereka, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang drastik
dengan menarik pelbagai pelaburan asing untuk meningkatkan peluang pekerjaan
golongan miskin ini. Kebanyakan pelaburan ini dilakukan dalam sektor
perkilangan oleh itu kita dapat lihat banyak kilang-kilang yang dibina di
bandar-bandar adalah bertujuan untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan
miskin dan juga para penganggur untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Selain itu juga, peluang pekerjaan yang diberikan kepada golongan miskin
ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan golongan miskin bandar ini malah ia
akan menjamin kehidupan yang lebih baik dan perkara ini sedikit sebanyak dapat
membantu golongan ini keluar dari kancah kemiskinan. Peluang pekerjaan yang
diberikan ini juga dapat membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah ini
terus bersaing dalam meniti kehidupan bandar yang terus mencabar pada hari ini.
Di samping itu juga, kerajaan telah memperkenalkan banyak program latihan
untuk melatih golongan-golongan belia muda bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Walaupun kebanyakan mereka ini tercicir dari bidang pendidikan kerana
terperangkap dalam kancah kemiskinan, namun golongan ini dapat membantu
meningkatkan pendapatan keluarga atau diri sendiri dengan melengkapkan diri
dengan kemahiran-kemahiran tertentu dan membolehkan mereka ini mendapatkan
pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Hal ini demikian kerana, pada
hari ini kita dapat melihat kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu mampu
memberi pendapatan yang baik kepada pemiliknya sebagai contoh kemahiran
menjahit, membaiki kereta dan sebagainya.
4.5 Menaikkan
kadar gaji pekerja
Selain dari
menyediakan perumahan dan juga peluang pekerjaan, kerajaan juga cuba menaikkan
gaji pada pekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Kenaikan gaji ini
penting kerana kita tahu dunia pada hari ini kian berkembang pesat terutama
sekali melibatkan kawasan bandar. Oleh yang demikian, tahap gaji yang berada pada
paras lama sudah tidak relevan dengan arus perbandaran pada hari ini.
Melihat pada bajet 2012 yang telah dikatakan mampu menangani masalah
kemiskinan. Hal ini kerana, melalui bajet 2012 ini, pekerja di sektor awam akan
mendapat kenaikan gaji dan juga mendapat kadar bonus yang agak lumayan. Perkara
ini secara tidak langsung dapat membantu golongan pekerja sektor awam yang
berada pada paras kemiskinan untuk keluar dari kancah berkenaan. Mereka bukan
sahaja dapat keluar dari kancah kemiskinan malah mereka mungkin dapat memberi
keselesaan yang lebih kepada keluarga mereka sama ada dari segi perumahan dan
juga berpeluang memberi pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.
Manakala bagi pekerja di sektor swasta pula, kerajaan telah berbincang dengan
pihak swasta untuk meningkatkan gaji pokok pekerja swasta. Namun, perkara ini
sukar untuk dilaksanakan kerana sektor swasta tidak berada di bawah kawalan oleh
kerajaan. Namun begitu, kerajaan tetap berusaha untuk membantu golongan pekerja
swasta yang berada pada tahap kemiskinan untuk membantu mereka keluar dari
masalah kemiskinan yang dihadapi oleh mereka.
Walaupun kenaikan gaji pekerja ini tidak dapat menangani masalah kemiskinan
bandar secara menyeluruh namun kebanjiran pekerja dalam sektor awam mahupun
swasta di kawasan bandar ini secara tidak langsung dapat menangani masalah
kemiskinan bandar. Hal ini demikian kerana, masalah kemiskinan bandar ini
terjadi akibat pendapatan yang rendah dan tidak mampu untuk menanggung kos sara
hidup yang tinggi di kawasan bandar. Oleh yang demikian, kenaikan gaji ini
secara tidak langsung dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin
ini menjalani kehidupan yang lebih selesa dan juga teratur.
4.6 Program
karnival kerjaya
Bagi mengatasi masalah kemiskinan
bandar ini juga pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan, umpamanya
melaksanakan program seperti Karnival Kerjaya Antarabangsa. Karnival ini dianjurkan
oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang
belum mendapat pekerjaan atau yang telah bekerja. Karnival ini biasanya akan
disertai oleh syarikat-syarikat yang akan menawarkan jawatan kosong dalam
pelbagai bidang mengikut kelulusan, dengan ini orang ramai terutamanya golongan
belia boleh merebut peluang memilih pekerjaan yang ditawarkan mengikut
kelulusan mereka.
Seperti yang dijalankan di
Kota Kinabalu yang dilangsungkan di pusat perdagangan Sabah. Karnival yang
dianjurkan itu menurut Ketua Menteri Sabah merupakan langkah yang mampu
mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di Sabah. Dalam karnival
tersebut telah disertai oleh kira-kira 85 buah syarikat yang menawarkan lebih
6,000 jawatan kosong pelbagai peringkat
pekerjaan, termasuklah bagi mereka yang berkelulusan ijazah. Oleh itu, golongan
belia di Sabah telah diberi keistimewaan dan mereka haruslah merebut peluang
ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Karnival seperti ini
merupakan satu idea yang sangat memberangsangkan untuk menarik lebih ramai
golongan belia yang tidak bekerja terutamanya. Selain dari negeri Sabah,
kerajaan juga turut menganjurkan program
karnival sebegini di negeri-negeri lain. Ini adalah bertujuan untuk menarik
lebih ramai golongan belia melibatkan diri dalam sektor pekerjaan bagi
meningkatkan pembangunan negara di samping mengurangkan kadar pengangguran.
Program seperti ini perlu diteruskan lagi pada tahun-tahun seterusnya agar
dapat menarik lebih ramai pengunjung. Oleh sebab itu, program seperti karnival
kerjaya ini merupakan langkah proaktif pihak kerajaan bagi mengurangkan masalah
kemiskinan yang berlaku terutamanya belia yang merupakan golongan yang ramai
untuk dijadikan sebagai aset negara yang mampu membendung masalah ini.
4.7 Kemajuan dan pembangunan pinggir
bandar
Selain itu, usaha yang dijalankan
adalah dengan meningkatkan kemajuan dan pembangunan di pinggir bandar. Ini
adalah untuk menjadikan kawasan pinggir bandar juga turut maju daripada segi
pembangunan sealiran dengan pembangunan yang berada di bandar. Jika melihat
kepada kawasan bandar ia selalunya menjadi kawasan tumpuan ramai kerana faktor
pembangunan dan kemajuan sekali gus menyebabkan berlakunya aliran migrasi yang
akan bertumpu di kawasan tersebut. Migrasi berlaku kerana penduduk pinggir
bandar berada dalam taraf hidup yang rendah berbanding di bandar. Oleh itu,
untuk mengubah nasib mereka cuba untuk mendapatkan pekerjaan di bandar dan ini
akan menyebabkan berlakunya tumpuan masyarakat ke pusat bandar.
Untuk mengurangkan kadar
migrasi ini, pembangunan akan diberi perhatian di kawasan pinggir bandar. Ini
adalah untuk mengurangkan kadar aliran migrasi masuk tanpa kawalan ke pusat
bandar. Kemudahan seperti infrastruktur dan perkhidmatan akan dibina di kawasan
tersebut agar pembangunan yang dibuat adalah mengikut perancangan yang cekap
dan lebih efisien. Pembinaan seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain
memudahkan masyarakat yang tinggal di situ menggunakan kemudahan yang
disediakan. Tidak ketinggalan juga mereka yang tinggal di luar bandar turut
sama-sama dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerana jalan perhubungan
yang dibina. Biasanya kemudahan rangkaian jalan raya yang dibina ini menghubungkan
penduduk dari luar bandar ke kawasan bandar.
Pihak kerajaan terutamanya
akan merangka beberapa projek pembangunan yang sesuai untuk dibina di kawasan
pinggir bandar, ini adalah bertujuan untuk memberikan bantuan kepada mereka
yang menjalankan aktiviti pekerjaan mereka. Sekiranya pembinaan yang dibuat
tidak mengikut efisien penduduk sekitarnya pembinaan yang dibuat mungkin akan
sia-sia kerana sektor pembinaan yang dibuat tidak menepati kerjaya mereka.
Umpamanya, di Terengganu kawasan pinggir bandarnya merupakan kawasan pantai.
Oleh sebab itu, segala usaha dibuat adalah menepati kerjaya mereka sebagai
nelayan dengan membina jeti untuk pemunggahan hasil tangkapan dan pemberian
subsidi minyak. Terdapat juga pembinaan daripada sektor pelancongan seperti di
duyung dan pantai Batu Buruk. Pembinaan kawasan pelancongan ini dapat
mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat yang tinggal di
kawasan tersebut. Oleh sebab itu, peluang pekerjaan tidak akan tertumpu di
pusat bandar sahaja dan ini dapat mengurangkan migrasi penduduk luar bandar
terus ke pusat bandar kerana mereka juga mendapat peluang untuk bekerja di
kawasan pinggir bandar dengan pelbagai sektor pekerjaan.
4.8 Menyusun semula masyarakat
Selain itu juga, usaha yang dibuat
adalah dengan menyusun semula masyarakat. Rentetan daripada peristiwa 13 Mei
memperlihatkan jurang antara kaum Melayu dan Cina. Pengenalan dasar pecah dan
perintah dalam sektor ekonomi mengikut ras umpamanya oleh pihak British telah
mewujudkan jurang antara kaum dari sudut ekonomi. Misalnya orang-orang Cina
tinggal di bandar-bandar dengan menjalankan kegiatan perniagaan dan juga di
kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong, manakala kaum Melayu tinggal di luar
bandar dan bekerja sebagai petani dan nelayan sahaja, dan kaum India kebanyakannya
pula sebagai buruh kasar kerajaan dan bekerja sebagai pekerja di ladang.
Oleh sebab itu, selepas
penjajahan British pihak kerajaan telah merangka satu dasar yang mampu menyusun
semula masyarakat tanpa mengira kaum. pelaksanaan dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan langkah bijak kerajaan untuk
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dalam perancangan dasar ini
kerajaan telah merangka beberapa strategi awal untuk mengurangkan kadar
kemiskinan.
Jika dilihat, kawasan
bandar telah dikuasai oleh kaum cina dalam aktiviti perniagaan menyebabkan kaum
lain tidak mampu bersaing searah dengan kaum Cina apabila berhijrah ke bandar,
ini adalah disebabkan oleh penguasaan
kaum Cina di bandar lebih berpengalaman dalam hal ini. Keadaan ini merupakan
sebahagian punca yang menyebabkan kerajaan merangka satu dasar untuk
menghapuskan masalah ini daripada terus berlanjutan. Malaysia yang terdiri
daripada masyarakat yang berbilang kaum seharusnya perlu saling bekerjasama
dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan sosial. Walau bagaimanapun, usaha
kerajaan tidak hanya bergantung pada DEB sahaja, baru-baru ini kerajaan turut
merangka satu pelan baru yang menjadi rentetan daripada Dasar Ekonomi Baru ini.
Pelan tersebut ialah Model
Ekonomi Baru (MEB) yang telah dirangka sebagai usaha untuk membantu rakyat
dalam mengurangkan beban kehidupan.
Tujuan MEB ini diperkenalkan adalah bagi melonjakkan ekonomi negara agar
menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
Oleh itu, segala usaha kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengimbangi
kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum. sekiranya semua kaum
bersatu masalah kemiskinan tidak akan berlaku walhal di kawasan bandar
sekalipun. Ini kerana kemiskinan di bandar merupakan kes terpencil yang
sememangnya tidak patut berlaku.
5.0 Cabaran dalam
membasmi kemiskinan bandar.
5.1 Cabaran yang
dihadapi oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Antara faktor penubuhan Kementerian Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan bandar adalah untuk menangani masalah kemiskinan
dalam kalangan penduduk di kawasan bandar. Peranan yang dimainkan oleh
kementerian ini amat penting dalam memastikan masalah kemiskinan dalam kalangan
masyarakat bandar dapat dikawal selain golongan ini diberikan bantuan yang
sewajarnya agar dapat bersaing dan meneruskan kehidupan mereka di bandar.
Namun begitu, dalam melaksanakan program untuk membasmi kemiskinan ini
banyak cabaran yang harus ditempuhi oleh kementerian ini. Bagi melaksanakan
setiap program yang telah dirancang, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan
Kesejahteraan Bandar ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada
jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Kerjasama yang dijalinkan adalah untuk
memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik akan
tetapi dalam kerjasama yang diadakan terdapat segelintir jabatan tidak dapat
memberi kerjasama sepenuhnya. Kerjasama erat dari semua pihak penting bagi
mengelak berlakunya pertindihan maklumat, tindakan dan sebagainya. Perkara ini
terjadi kerana setiap jabatan mempunyai skop kerja mereka yang tersendiri dan
hal itu menyebabkan mereka tidak dapat memberi sepenuh komitmen kepada program
yang dijalankan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.
Selain itu juga, sikap pekerja-pekerja yang berkhidmat di Kementerian
Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar yang tidak serius dalam
menjalankan tugas mereka juga menjadi cabaran dalam membasmi kemiskinan bandar.
Sikap tidak serius ini menyebabkan program yang dilaksanakan tidak mendapat
perhatian yang serius dan perkara ini menyebabkan kepincangan terhadap program
yang dilaksanakan. Di samping itu juga, sikap tidak serius segelintir pekerja
ini akan menyebabkan sesuatu urusan itu memerlukan masa yang panjang untuk
disiapkan padahal urusan itu tidak memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan.
Sikap ini akan melemahkan organisasi yang menjalankan program kerana urusan
yang dilaksanakan tidak berjalan dengan lancar kerana sikap pekerja yang suka
melambat-lambatkan sesuatu urusan itu.
5.2 Cabaran
dalam pembangunan perumahan dan penswastaan setinggan.
Setinggan merupakan salah satu faktor yang menyumbang
kepada masalah kemiskinan bandar. Bagi mengatasi masalah setinggan yang banyak
berlaku di kawasan bandar, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif
dalam menangani masalah ini. Antara usaha
yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah Program
Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Dana Rumah Kos Rendah, Tabung Pusingan
Rumah Kos Rendah dan pelbagai lagi. Namun begitu, dalam melaksanakan
usaha-usaha yang telah dirancang oleh kerajaan ini, terdapat pelbagai cabaran
perlu dihadapi dalam proses perlaksanaan program-program ini.
Antara cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan program perumahan dan juga
penswastaan setinggan ialah melibatkan peruntukan. Program Dana Rumah Kos
Rendah menelan belanja RM1.1 bilion manakala Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah
juga memerlukan peruntukan yang sangat banyak. Oleh yang demikian, masalah
peruntukan merupakan cabaran yang terbesar yang dihadapi oleh kerajaan dalam
melaksanakan program-program ini. Hal ini terjadi kerana, pihak kerajaan lebih
gemar melabur dan menumpukan kepada pembinaan projek-projek mega yang
menunjukkan pembangunan dan kemajuan negara seperti projek pembinaan lapangan
terbang KLIA yang menelan belanja kira RM 9.0 bilion, projek pembinaan
Putrajaya yang bernilai RM20.1 bilion
dan juga projek-projek mega yang lain. Oleh sebab pembinaan projek-projek mega
ini memerlukan peruntukan yang banyak, program pembinaan rumah kos rendah untuk
golongan miskin bandar telah terbantut kerana kekurangan peruntukan.
Bagi mengatasi masalah peruntukan yang dihadapi, kerajaan telah mengambil
langkah yang drastik dengan menswastakan setinggan. Kerajaan mengambil langkah
menswastakan setinggan kerana yakin bahawa pihak swasta mampu menyediakan
perumahan kos rendah yang lebih baik dan efisien. Namun begitu, proses
penswastaan setinggan ini juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Hal ini
demikian kerana, pihak swasta yang
kadang kala hanya mementingkan keuntungan sahaja. Pihak swasta biasanya
mementingkan keuntungan kerana pendapatan mereka bergantung kepada keuntungan
yang mereka memperoleh daripada sesebuah projek itu. Oleh yang demikian, mereka
ini cenderung menjual rumah dengan harga yang tinggi ataupun menggunakan
barangan pembinaan yang kurang berkualiti demi mendapat keuntungan yang tinggi
dan berlipat kali ganda. Sikap segelintir pihak swasta yang cenderung
mementingkan keuntungan ini menjadi cabaran dalam penswastaan setinggan dan
perkara ini secara tidak langsung membantutkan proses pembersihan setinggan
dalam kalangan golongan miskin bandar.
Selain itu juga, pembinaan rumah kos rendah ini juga sentiasa dikaitkan
dengan bahan yang bermutu rendah dan tidak berkualiti. Hal ini menyebabkan
rumah yang dibina tidak bertahan lama dan sering mengalami kerosakan. Hal ini
menyebabkan masyarakat miskin bandar tidak berminat untuk memiliki rumah
berkenaan kerana takut akan keselamatan mereka yang terancam di samping risiko
lain seperti kos pembaikan semula bahagian rumah yang rosak dan sebagainya.
Di samping itu juga, perumahan kos rendah yang dibina juga biasanya
mempunyai ruang yang sempit dan tidak selesa. Hal ini demikian kerana, rumah
yang dibina biasanya mempunyai ruang yang sempit sesuai dengan kos yang di peruntukan.
Perkara ini secara tidak langsung menyukarkan golongan miskin yang mempunyai
keluarga yang agak besar. Keadaan rumah yang sempit ini tidak dapat memberikan
keselesaan kepada penghuninya. Keadaan rumah yang tidak selesa ini menyebabkan
golongan miskin bandar ini tidak minat untuk berpindah ke kawasan perumahan kos
rendah ini dan lebih selesa memilih untuk terus menetap di kawasan setinggan.
Walaupun kawasan setinggan ini tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap
namun saiz rumah yang lebih besar jika dibandingkan dengan rumah kos rendah
menyebabkan mereka ini lebih rela tinggal di kawasan setinggan.
Perumahan kos rendah yang dibina di kawasan yang jauh dari sektor ekonomi
dan kemudahan awam juga menjadi cabaran kepada perumahan kos rendah dan
penswastaan setinggan. Rumah yang dibina jauh dari kawasan kegiatan ekonomi dan
kemudahan awam kerana harga tanah yang lebih rendah jika dibandingkan dengan
harga tanah di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi yang pesat serta
mempunyai kemudahan yang lengkap. Perkara
ini menyebabkan golongan miskin bandar ini tidak berminat untuk
berpindah. Hal ini demikian kerana sukar bagi mereka untuk pergi bekerja serta
jaringan pengangkutan yang terhad juga menyukarkan mereka untuk bergerak.
Langkah penswastaan setinggan adalah salah satu langkah yang bijak kerana
pemaju perumahan dikehendaki membina 30 peratus perumahan kos rendah. Ini dapat
membantu kerajaan menangani masalah setinggan dalam kalangan masyarakat miskin
bandar kerana kerajaan yang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membina
rumah kos rendah. Namun begitu, syarat
yang dikenakan oleh kerajaan tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak swasta. Hal
ini demikian kerana, pemaju tidak mahu menanggung risiko kerugian dan tidak
mendapat untung yang lebih kerana setiap pelaburan yang lakukan pemaju mahu keuntungan yang maksimum. Oleh itu, kerajaan harus mengambil alih
semula tanggungjawab yang diberikan kerana ia merupakan tanggungjawab sosial
kerajaan.
5.3 Cabaran yang dihadapi oleh agensi kerajaan, NGO dan
Swasta.
Cabaran dalam mendapatkan bantuan dari agensi-agensi
bukan kerajaan dan juga swasta ialah sukar untuk mendapatkan kerjasama dari
pihak yang berkenaan. Hal ini demikian kerana, agensi-agensi bukan kerajaan dan
swasta ini juga mempunyai bidang seliaan mereka yang tersendiri dan menyebabkan
mereka tidak dapat memberi tumpuan dan kerjasama yang baik dalam melaksanakan
program pembasmian kemiskinan. Namun terdapat juga agensi yang memberi
kerjasama yang baik dalam menangani masalah kemiskinan bandar ini. Antara
agensi yang memberi kerjasama serta turun menghulurkan bantuan ialah Lembaga
Zakat Selangor (LZS). Lembaga Zakat Selangor ini telah melancarkan satu program
untuk membasmi kemiskinan bandar. Namun dalam proses pelaksanaan program ini
terdapat juga cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak LZS.
Antara cabaran yang dihadapi oleh
pihak LZS ialah sukar untuk menjejaki golongan miskin yang layak. Hal ini
kerana, bukan semua golongan miskin bandar layak untuk mendapatkan bantuan dari
pihak LZS. Penerima bantuan daripada LZS hendaklah betul-betul layak mengikut syarat-syarat yang telah
ditetapkan oleh pihak LZS. Pihak LZS terpaksa mengerah tenaga pekerja-pekerja
serta sukarelawan LZS untuk menjejaki golongan miskin bandar yang berada di
sekitar negeri Selangor. Tinjauan yang dilakukan oleh pekerja dan sukarelawan
LZS ini memudahkan pihak LZS mengenal pasti individu yang layak untuk menerima
bantuan akan tetapi terdapat juga
segelintir golongan miskin ini tidak memberi kerjasama yang baik ketika
tinjauan dilakukan. Hal ini menyebabkan pekerja serta sukarelawan LZS tidak
dapat mengumpul data dengan baik dan mungkin terdapat individu yang tercicir
ketika tinjauan dilakukan.
Selain itu juga, terdapat sebilangan
golongan yang menipu maklumat diri mereka semata-mata untuk mendapatkan bantuan
dari pihak LZS. Perkara ini secara tidak langsung menjejaskan matlamat program
untuk membasmi kemiskinan bandar kerana bantuan yang dihulurkan adalah kepada
golongan yang tidak layak dan ini secara tidak langsung menjejaskan peluang
golongan miskin bandar untuk mendapatkan bantuan dari pihak LZS. Di samping itu
juga, terdapat segelintir golongan miskin bandar ini terdiri daripada golongan
yang kurang berpendidikan dan menyebabkan mereka ini tidak tahu akan saluran
yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan. Oleh yang demikian, golongan
ini akan terus tercicir daripada mendapat bantuan dalam membantu mereka
menghadapi kehidupan di bandar.
5.4 Cabaran dalam memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan
pendapatan golongan miskin
Antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan dalam membasmi kemiskinan bandar
ialah mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan ini bagi meningkatkan
pendapatan golongan miskin ini. Namun dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan
kepada golongan ini terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh
kerajaan dalam merealisasikan usaha ini. Antara cabaran yang paling besar ialah
kesukaran mendapatkan kepercayaan pelabur asing untuk melabur dalam sektor
ekonomi di Malaysia. Pelaburan asing ini amat penting dalam mewujudkan peluang
pekerjaan kepada masyarakat bandar. Jika pelabur asing ini tidak berminat untuk
melabur di Malaysia mungkin ia akan menyukarkan kerajaan dalam menyediakan
peluang pekerjaan yang secara jelas peluang pekerjaan yang disediakan oleh
kerajaan tidak dapat menampung pertambahan penduduk bandar. Tanpa pelaburan
dari luar peluang pekerjaan adalah terhad dan golongan miskin ini akan terus
berada dalam kancah kemiskinan.
Selain itu, kebanyakan pelaburan yang terdapat di Malaysia adalah
melibatkan sektor perindustrian seperti perkilangan. Sektor perkilangan membuka
banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat bandar. Namun begitu, kerana
kepesatan pembangunan bandar, tanah yang diperlukan untuk membina kilang adalah
terhad dan kilang ini terpaksa dibina di kawasan pinggir bandar. Perkara ini
mendatangkan masalah kepada segelintir golongan kerana tidak mempunyai
kemudahan pengangkutan. Di samping itu juga cabaran kepada peluang pekerjaan
ini ialah pembinaan kilang yang berleluasa di kawasan bandar ini akan
menyumbang kepada masalah alam sekitar seperti pencemaran air, udara dan
sebagainya.
Kelulusan yang dimiliki oleh segelintir masyarakat miskin bandar ini juga
tidak cukup untuk memenuhi syarat yang diperlukan untuk seseorang itu diambil
pekerja. Hal ini menjadi cabaran yang sukar untuk diselesaikan kerana terdapat
ramai golongan miskin bandar ini mempunyai tahap pendidikan yang rendah kerana
keluarga mereka tidak mampu untuk memberi peluang pendidikan yang lebih tinggi
dan mereka ini akan terus terperangkap dalam kancah kemiskinan. Mereka ini
bukan sahaja tidak mempunyai pendidikan yang tinggi malah tidak mempunyai
kemahiran seperti kemahiran menggunakan komputer atau kemahiran berbahasa Inggeris
dan perkara ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang
lebih baik di samping tidak mempunyai pengalaman.
Sikap golongan miskin bandar ini juga menjadi cabaran dalam menangani
masalah kemiskinan bandar ini. Hal ini demikian kerana, terdapat juga
segelintir golongan ini yang masih memilih kerja. Mereka ini menolak peluang
pekerjaan yang disediakan sebagai contoh terdapat segelintir masyarakat miskin
bandar tidak berminat untuk bekerja di sektor perkilangan kerana pada pendapat
mereka sektor perkilangan adalah satu sektor yang meletihkan padahal sektor
perkilangan boleh memberi pulangan yang baik jika mereka berusaha dan mungkin
boleh membantu meningkatkan pendapatan keluarga dalam membiayai kos sara hidup
yang tinggi di kawasan bandar.
5 .5 Cabaran
dalam menaikkan kadar gaji pekerja sektor awam dan swasta.
Kebanyakan
sektor awam dan swasta tertumpu di kawasan bandar. Oleh itu ramai penduduk luar
bandar yang berhijrah ke kawasan bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan
yang disediakan oleh sektor awam dan juga swasta. Namun begitu, kebanjiran
penduduk dan juga kemajuan bandar yang pesat menyebabkan kawasan bandar tidak
mampu menampung keperluan penduduk yang ramai serta menyediakan keperluan serta
kemudahan yang lengkap kepada masyarakat bandar. Perkara ini secara tidak
langsung telah menyebabkan lahirnya golongan miskin bandar.
Bagi menangani masalah kemiskinan bandar ini, kerajaan telah mengambil
inisiatif menaikkan gaji pekerja sektor awam. Kenaikan gaji ini disambut baik
oleh pekerja di sektor awam kerana kenaikan gaji ini dapat mengurangkan beban mereka
dalam menanggung kos sara hidup di kawasan bandar. Namun begitu, kenaikan gaji
ini tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. Hal ini demikian kerana, bukan
semua pekerja yang bekerja di bandar berada dalam sektor awam kerana terdapat
juga pekerja yang bekerja di sektor swasta. Kerajaan tidak dapat meningkatkan
pendapatan pekerja swasta kerana sektor swasta tidak berada di bawah kawalan
atau seliaan kerajaan. Perkara ini menjadi cabaran kepada pihak kerajaan untuk
berbincang dengan pihak swasta untuk meningkatkan gaji pokok yang diperoleh
oleh pekerja swasta.
Walaupun telah pekerja sektor awam menerima kenaikan gaji, namun kerana
pembangunan pesat dari hari ke hari menyebabkan kenaikan gaji yang diberi masih
tidak mencukupi terutama sekali melibatkan golongan miskin bandar yang
mempunyai keluarga yang besar. Hal ini kos sara hidup seperti barangan
keperluan asas terpaksa dibeli dengan harga yang lebih tinggi jika dibandingkan
dengan luar bandar. Ini mendatangkan masalah kepada golongan miskin bandar. Selain
cabaran dari segi kos sara hidup yang tinggi
cabaran dalam kenaikan kadar gaji ini juga ialah mengenai sikap individu
itu sendiri. Terdapat juga segelintir daripada mereka ini yang terdiri dari
golongan miskin ini gagal menguruskan kewangan mereka dan akhirnya mereka ini
akan terus berada pada paras kemiskinan. Perkara ini terjadi kerana mereka ini
terlalu boros dan tidak menabung demi masa depan mereka serta keluarga.
5.6 cabaran
dalam pelaksanaan Karnival Kerjaya
Kerajaan juga turut menghadapi cabaran
dalam pelaksanaan program karnival Kerjaya Antarabangsa. Walaupun dikatakan
program sebegini mendapat sambutan daripada golongan belia terutamanya. Namun,
kebanyakan jawatan-jawatan yang ditawarkan adalah tidak menepati minat belia,
jawatan yang ditawarkan adalah lebih bersifat formal yang berlainan dengan
minat belia yang suka kepada persekitaran kerja lebih kepada bentuk tidak
formal. Tetapi, tidak dinafikan masih terdapat antara mereka yang memohon dan
jumlahnya sangatlah sedikit, antara mereka yang memohon pula belum tentu
dipilih untuk bekerja kerana syarikat yang menawarkan jawatan-jawatan kosong di
karnival ini menyenaraikan syarat-syarat kelulusan bagi jawatan yang dipohon.
Keadaan ini menyebabkan mereka yang tidak bekerja dan yang bekerja tetapi ingin
mendapatkan pekerjaan yang lebih baik tidak berkesempatan merebut peluang
tersebut. Oleh sebab itu, mereka masih berada pada tahap kehidupan yang rendah
dengan jumlah pendapatan yang tidak mencukupi untuk keperluan harian.
Selain itu, karnival kerjaya yang
dilaksanakan ini hanya bertumpu di kawasan tertentu menyebabkan ramai antara
golongan belia yang tidak mengetahuinya. Di samping itu juga, karnival yang
dijalankan biasanya dibuat di kawasan bandar menyebabkan mereka yang tinggal
berjauhan daripada tempat tersebut tidak mampu untuk menghadiri karnival
tersebut.
Kurangnya hebahan mengenai karnival
ini juga menyebabkan ramai antara belia mahupun suri rumah yang sedang mencari
pekerjaan tidak berkesempatan merebut peluang memohon jawatan yang ditawarkan.
Di samping itu juga, waktu pelaksanaan program ini yang singkat tidak
memberikan waktu dan ruang kepada mereka yang ingin berkunjung. Biasanya ia
hanya dijalankan beberapa hari dan dibuat pada waktu bekerja menjadi kekangan
kepada mereka yang bekerja dan kekangan kepada suri rumah kerana terpaksa
menjalankan rutin harian.
Masalah lain yang timbul juga ialah
tidak mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat besar untuk mengambil tempat
menyertai karnival sebegini. Hal ini demikian kerana mereka mahu menjaga
prestasi syarikat, mereka juga tidak mahu ambil risiko dengan mengambil pekerja
yang tidak berkelulusan baik dan tidak berpengalaman bekerja. Ini kerana,
mereka tidak mahu tahap pencapaian syarikat menurun. Di samping itu juga,
syarikat besar ini khuatir pekerja baru ini tidak bersungguh-sungguh dan tidak
berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
5.7 cabaran dalam meningkatkan
kemajuan dan pembangunan pinggir bandar.
Bagi usaha meningkatkan
kemajuan dan pembangunan di pinggir bandar pula cabaran yang dilalui ialah
kerajaan kekurangan peruntukan terhadap projek-projek pembinaan yang telah
dirangka. Kebanyakan peruntukan lebih diberi keutamaan kepada projek-projek
mega yang memerlukan peruntukan yang besar. Oleh sebab ini projek pembinaan yang
ingin dilaksanakan terpaksa ditangguh terlebih dahulu untuk diberi ruang kepada
projek yang lebih besar.
Selain itu juga, pembinaan
yang telah lama dibina tergendala akibat kekurangan peruntukan. Ini menyebabkan
projek tersebut berhenti di pertengahan jalan, dan untuk menunggu peruntukan
disalurkan memerlukan masa yang agak panjang sehinggakan pembinaan yang
tergendala ini telah banyak rosak dan memerlukan penambahbaikan yang banyak.
Keadaan ini menyebabkan peruntukan yang diperoleh hanya dapat membaiki
kerosakan.
Masalah lain yang dihadapi
juga adalah daripada sikap masyarakat.
Misalnya bantuan subsidi minyak yang diberikan kerajaan kepada golongan nelayan
dijual oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehinggakan bantuan itu tidak
sampai kepada mereka yang berhak.
Selain itu, pembinaan
daripada sektor pelancongan yang telah membuka ruang pekerjaan kepada penduduk
telah dipenuhi oleh golongan buruh yang datang dari luar negara. Ini menyebabkan, penduduk sekitarnya
mengambil keputusan berpindah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan di sana.
Keadaan inilah menyebabkan lebih ramai penduduk pinggir mendiami kawasan bandar
di sekitar kawasan setinggan. Mereka sanggup hidup dalam keadaan yang serba
kekurangan dengan bekerja di bandar yang pendapatannya sangat rendah daripada
tinggal di pinggir bandar yang tidak menjamin peluang pekerjaan.
5.8 Cabaran dalam menyusun semula
masyarakat.
Usaha daripada dasar
Ekonomi Baru (DEB) juga turut menghadapi kekangan dan cabarannya dalam
mengatasi masalah kemiskinan di bandar. Antaranya ialah masalah mentaliti
antara kaum yang lebih bersikap prejudis terhadap kaum lain. Peluang ekonomi
lebih diberikan keutamaan kepada kaum mereka sahaja menyebabkan kaum lain tidak
mendapat peluang. Ini menyebabkan kaum lain masih hidup dalam kemiskinan di
bandar.
Selain itu, daripada segi
pengalaman dalam sektor-sektor tertentu. Misalnya kaum Cina lebih berpengalaman
dalam hal perniagaan dan ini memberi ruang kepada mereka membuka perniagaan di
bandar, berbeza pula dengan kaum Melayu dan India yang lebih kepada pengalaman
dalam sektor pertanian. Oleh sebab itu, penghijrahan kaum Melayu dan India ke
bandar menambahkan lagi masalah kepada mereka kerana kurang pengalaman dalam
urusan perniagaan dan pengurusan. Ini menyebabkan mereka hanya mampu
mendapatkan peluang pekerjaan di sektor informal sahaja. Pendapatan yang
diperoleh hanya mencukupi untuk keperluan harian sahaja dan mereka tidak mampu
untuk hidup dalam suasana kehidupan di bandar dengan taraf hidup yang sangat
tinggi.
Selain itu juga, cabaran daripada pelan yang baru
dilaksanakan. Kebanyakan pelan yang dilaksanakan masih dalam proses percubaan
dan penilaian sama ada ia akan berjaya ataupun tidak. Oleh sebab itu masyarakat
tidak mahu menerima akan perubahan yang akan dibuat kerana khuatir perancangan
yang dibuat tidak kesampaian dan yang menjadi mangsanya adalah rakyat sendiri.
Kebimbangan rakyat menyebabkan pelan yang dilaksanakan kebiasaannya tidak
menjadi dan matlamat kerajaan untuk membasmi kemiskinan bandar tidak menjadi.
Rakyat tidak memandang serius masalah ini tetapi pihak kerajaan cuba yang
terbaik agar kemiskinan di bandar tidak wujud menjelang tahun akan datang.
5.0 Kesimpulan
Masalah
kemiskinan bandar merupakan satu masalah yang terpencil kerana kebanyakan masalah
kemiskinan biasanya dikaitkan dengan masyarakat luar bandar. Namun begitu,
kebanjiran penduduk luar bandar dan
warga asing yang berhijrah ke kawasan bandar telah menyebabkan pertambahan
kepada golongan miskin di kawasan bandar. Menyedari masalah ini, kerajaan telah
mengambil pelbagai langkah untuk membasmi kemiskinan bandar ini. Akan tetapi
dalam proses pelaksanaan program pembasmian kemiskinan ini, pihak kerajaan atau
pun pihak-pihak lain menempuhi banyak cabaran dan rintangan untuk menjayakan
sesuatu program itu.
Walaupun
pembasmian dalam kalangan masyarakat bandar ini tidak dapat ditangani
sepenuhnya namun, hasilnya dapat kita lihat bahawa jumlah penduduk miskin
bandar telah berkurangan. Mereka kini mampu bersaing dan mampu meningkatkan
taraf hidup mereka dengan bantuan yang telah diberikan. Mereka juga mampu untuk
hidup dengan lebih selesa di rumah-rumah kos rendah yang disediakan oleh pihak
kerajaan dan swasta dan menikmati kemudahan-kemudahan asas yang lengkap dan
selesa.
Bukan
semua masyarakat miskin bandar mampu keluar dari kancah kemiskinan, namun usaha
yang berterusan dari kerajaan dan agensi-agensi lain dalam menangani masalah
kemiskinan ini menyebabkan nasib mereka ini terbela. Mungkin pada suatu hari
nanti golongan miskin bandar ini mampu keluar dari kancah kemiskinan dan mampu
hidup dengan baik dengan menikmati segala kemudahan dan kelengkapan yang telah
disediakan oleh kerajaan dalam memastikan keselesaan setiap penduduknya dan
mereka ini mampu bersaing dalam dunia globalisasi dan proses perbandaran yang
pesat membangun.
Rujukan
Ahmad
Syahir Sarani, Mohamad Khairudin Mohamad ( 2004). Pembasmian Kemiskinan Bandar
dan Luar Bandar. Institut Perkembangan Minda. Petaling Jaya.
Chamhuri
Siwar, Mohd. Halfah Piei ( 1988). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan:
Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Chamhuri
Siwar, Nor Aini Idris (2003). Kemiskinan Bandar dan Sektor Tidak Formal Di
Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.
Kerajaan
komited kurangkan kemiskinan di kawasan bandar ( 2009). Diperoleh pada
Laily Paim & Sharifah Azizah Haron
( 2010). Kemiskinan di Malaysia: Isu
Fundamental
&
Paparan Realiti. Selangor
Darul Ehsan : Universiti Putera Malaysia.
Mohd
Amim Othman, Nurizan Yahya (2004). Golongan Berpendapatan Rendah: Realiti
dan Cabaran. Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Norhaslina
Hassan ( 2006). Dinamika Masyarakat Bandar Malaysia: Ke Arah Kualiti Hidup
Mapan. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Program Pembasmian Kemiskinan bandar.
Diperoleh Mac 14, 2012 daripada
Sakinah Mohamed. Diperoleh pada Mac
14, 2012 daripada