Monday, 23 July 2012

USAHA DAN CABARAN YANG MASIH DIHADAPI DALAM MENGATASI MASALAH KEMISKINAN BANDAR


1.0 PENGENALAN
Bandar merupakan satu agen yang membawa perubahan dalam pelbagai bidang. Ini kerana bandar berperanan sebagai pusat dalam segala urusan sama ada bidang pentadbiran, ekonomi mahupun sosial. Ia juga menjadi tempat kepada pertembungan budaya masyarakat seperti Malaysia yang memiliki rakyat berbilang kaum. Kemajuan dalam pelbagai bidang menjadikan bandar sebuah kawasan yang mendapat tumpuan masyarakat dari luar bandar dan kawasan sekitarnya. keadaan ini boleh meningkatkan pembangunan yang semakin pesat dengan pembinaan pelbagai prasarana serta kemudahan bagi menampung penduduk yang semakin bertambah.
Walau bagaimanapun, penumpuan dan migrasi yang tidak terkawal di sesuatu kawasan akan membawa kesan yang negatif. Ini kerana penduduk yang hanya bertumpu di kawasan bandar sahaja menyebabkan mereka tidak mampu mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal dalam jangka masa yang singkat, berikutan kebanyakan mereka yang berhijrah ke bandar tidak mengetahui kehidupan di bandar dengan taraf hidupnya yang tinggi berbanding kehidupan di luar bandar. Masalah ini akan mewujudkan kepada berlakunya kemiskinan bandar, kerana mereka hanya mampu mendapatkan pekerjaan di sektor informal sahaja atas sebab persaingan,  tahap pendidikan yang rendah, sikap yang tidak mahu berusaha dan ditimpa musibah. Begitu juga dengan mereka yang tinggal di bandar terpaksa bersaing dengan golongan migran untuk mendapat tempat.
Kemiskinan secara umumnya yang ditakrifkan oleh Charles Booth ( disebut dalam Holman, 1978:3) sebagai seseorang yang hidup dalam keadaan yang susah untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang mencukupi. Manakala bandar pula menurut Wan Ibrisam Fikry Wan Ismail menyatakan bandar merupakan pusat kepada kekuasaan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial di dalam masyarakat. Tetapi definisi bagi kemiskinan dan bandar ini ditakrifkan secara berbeza-beza mengikut kepada perspektif yang ingin dilihat. Oleh sebab itu, kemiskinan bandar dapat ditakrifkan sebagai wujudnya golongan yang tidak berkemampuan dalam memenuhi keperluan hidup di bandar yang lebih maju dengan taraf hidup yang lebih tinggi.
Oleh sebab itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membendung masalah kemiskinan bandar ini. Namun, bagi menyelesaikan masalah ini memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan kerana pelbagai inisiatif harus difikirkan untuk mengekalkan kesejahteraan negara. Segala usaha yang dijalankan pula akan menghadapi cabaran masing-masing tidak kira sama ada dapat diatasi mahupun sedang dalam proses mengatasinya.


2.0 JENIS KEMISKINAN 
Kemiskinan bandar dapat dikategorikan kepada tiga iaitu kemiskinan mutlak, relatif dan tegar. Kemiskinan mutlak ialah satu keadaan di mana isi rumah tidak berupaya mencapai pendapatan yang boleh menampung keperluan. Kemiskinan mutlak ialah satu konsep yang menggunakan jumlah pendapatan isi rumah sebagai kayu ukur garis kemiskinan sesebuah masyarakat. Kemiskinan ini bersifat mutlak dengan melihat kepada pendapatan isi rumah yang secara jelasnya menggambarkan kuasa beli mereka yang memberi kesan kepada kepenggunaan. Oleh sebab itu, pendapatan isi rumah yang rendah akan mengakibatkan kuasa beli menurun sekali gus menjejaskan keperluan hidup.
Manakala kemiskinan relatif pula berlaku kerana ketidakseimbangan pendapatan satu kumpulan dalam sesuatu masyarakat. Konsep kemiskinan ini dilakukan adalah dengan membandingkan purata pendapatan dan bahagian pendapatan daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar ( KDNK) dalam kumpulan penduduk sama ada mengikut purata pendapatan, etnik, kawasan kediaman dan sebagainya. Jika terdapat golongan yang menerima pendapatan paling rendah daripada segi agihan pendapatan akan dikategorikan sebagai miskin.
            Kemiskinan tegar pula ialah isi rumah yang tidak berupaya mencapai sekurang-kurangnya separuh daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) bagi menampung kehidupan asas mereka. Menampung kehidupan bermaksud pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas seperti nutrisi makanan dan minuman yang membolehkan setiap ahlinya mempunyai tubuh badan yang sihat.


3.0 FAKTOR KEMISKINAN BANDAR
          Kemiskinan bandar berlaku antaranya adalah disebabkan oleh faktor taraf pendidikan, ini kerana tahap pendidikan seseorang itulah yang akan menjamin mendapatkan tempat dalam sesuatu pekerjaan. Didapati masalah ini berlaku adalah daripada kalangan yang berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh sebab itu, golongan ini terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan pekerjaan di samping mereka tidak memiliki sebarang kemahiran tertentu dalam sesuatu bidang untuk diceburi agar mendapat pekerjaan. Taraf pendidikan yang sekadar kelulusan sijil sahaja tidak memberikan jaminan yang besar untuk mendapat pekerjaan dalam sektor formal, ini kerana kebanyakan syarikat lebih mementingkan kecekapan dan kemahiran dalam menjalankan pengurusan. Oleh sebab itu, mereka yang berkelulusan rendah sukar untuk mendapatkan pekerjaan di bandar sekali gus meningkatkan jumlah pengangguran di bandar.
Selain itu, sikap masyarakat juga membawa kepada masalah ini. Mereka hanya berserah kepada nasib dan takdir sahaja tanpa berusaha untuk mendapatkan pekerjaan. Begitu juga bagi mereka yang tinggal di bandar tidak berusaha mendapatkan bantuan daripada program rakyat termiskin umpamanya. Pelaksanaan program sebegini oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan terutamanya yang berpendapatan rendah. Terdapat juga segolongan masyarakat kita yang memilih pekerjaan yang ditawarkan, jika pekerjaan tersebut lebih kepada sektor informal mereka biasanya kurang meminati dan sanggup menunggu mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Sikap masyarakat yang terlalu memilih pekerjaan juga menyebabkan sektor informal dipenuhi dengan pekerja daripada luar negara yang datang untuk mendapatkan peluang ini. Keadaan ini akan mewujudkan persaingan golongan tempatan dengan pekerja luar yang datang mendapatkan peluang pekerjaan. Natijahnya, golongan tempatan sering diabaikan kerana pekerja luar kini semakin mendapat tempat di hati majikan kerana sikap mereka yang tidak memilih dan merungut dalam bekerja. Hal ini menyebabkan rakyat tempatan terpaksa menganggur kerana tidak diberi peluang utama dalam pekerjaan yang dipohon kerana persaingan dengan pekerja luar yang lebih komited dalam bekerja.
Kepadatan penduduk juga menjadi punca kepada masalah kemiskinan di bandar. Penduduk yang terlalu padat menyebabkan kerajaan terpaksa membina perumahan-perumahan kepada masyarakat untuk disewa. Akan tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mampu untuk membayar sewa yang terlalu tinggi. Ekoran daripada itu, golongan yang tidak berkemampuan ini mendapatkan tempat tinggal yang lebih murah sehingga mewujudkan kawasan setinggan kerana kosnya yang lebih murah dan berpatutan.
            Ketidakstabilan institusi keluarga juga menjadi punca kepada masalah ini. Pendapatan isi rumah yang tidak mencukupi untuk kos sara hidup menyebabkan kebanyakan suri rumah terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kos sara hidup. Kebanyakan pekerjaan yang dipilih lebih kepada perniagaan sendiri seperti menjaja, berniaga kecil-kecilan dan perniagaan pasar. Pendapatan daripada perniagaan yang dijalankan juga adalah tidak menentu menyebabkan mereka tidak mampu memenuhi keperluan asas.
Selain itu, penawaran dalam pekerjaan yang kurang berbanding jumlah yang memohon pekerjaan mewujudkan kepada berlakunya masalah pengangguran. Ini menyebabkan mereka perlu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan yang dipohon, manakala mereka yang tidak layak terpaksa mendapatkan pekerjaan lain. Bagi mereka yang berkelulusan rendah pula tidak diberi peluang pekerjaan dalam sektor formal kerana tidak berkelayakan dan tidak memiliki kemahiran. Hal ini menyebabkan terdapat segelintir yang tidak bekerja mencari jalan mudah dengan merompak dan mencuri untuk mendapatkan wang bagi menampung kehidupan.
Bagi yang memiliki tahap pendidikan rendah, mereka hanya mampu bertumpu dalam sektor informal sahaja seperti buruh binaan, pembantu rumah dan pekerja kilang. Pendapatan dari sektor pekerjaan sebegini adalah sangat rendah dan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup di bandar. Oleh itu, mereka terpaksa berjimat dan menggunakan wang hanya untuk keperluan yang penting sahaja.
Walau bagaimanapun, menurut pendapat daripada ahli sosiologi pula menyatakan kemiskinan bandar merupakan  masalah yang bersifat kompleks serta mempunyai dimensi yang berbeza-beza. Golongan ini kebiasaannya tidak berusaha mendapatkan bantuan daripada program yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Selain itu, mereka tidak berupaya dan tidak sanggup merebut peluang ekonomi yang diberikan oleh kerajaan. Terdapat juga segolongan yang hanya berserah kepada nasib dan takdir sahaja tanpa berusaha mengubah gaya kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Ketidakstabilan dalam institusi keluarga juga turut menjadi punca kepada berlakunya masalah ini. 


4.0 Usaha-usaha dalam mengatasi masalah kemiskinan di bandar.

4.1  Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar, pihak kerajaan telah mengambil satu       langkah yang drastik apabila menukarkan Kementerian Wilayah Persekutuan kepada    Kementerian Wilayah Persekutuan  dan Kesejahteraan Bandar. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ialah satu kementerian yang ditubuhkan untuk menyediakan satu pelan tindakan komprehensif  dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara. Selain itu juga, kementerian ini berperanan dalam memperkukuh dan memperluas program pembasmian kemiskinan bandar.  
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah mengambil inisiatif dengan menjalinkan banyak hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak dan kementerian. Antara agensi  yang bersama-sama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ialah Jabatan Kebajikan, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perdana Menteri  serta agensi-agensi yang lain. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan pertindihan tanggungjawab dalam pelaksanaan pembasmian kemiskinan.
 Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah melaksanakan beberapa  langkah dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar ini. Antara langkah yang diambil oleh kementerian ini ialah menyediakan satu pelan yang komprehensif dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar dan menjalankan program-program yang bersesuaian dalam menangani masalah kemiskinan bandar ini.
Kemiskinan bandar pada hari ini membabitkan golongan yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000. Oleh yang demikian ramai masyarakat bandar yang terperangkap dengan kehidupan maju dan taraf hidup yang tinggi di kawasan bandar. Ini kerana, pendapatan masyarakat bandar rata-ratanya kurang daripada RM3,000 dan peningkatan taraf pendapatan bulanan ini menyumbang kepada bertambahnya golongan miskin bandar.


4.2  Pembinaan perumahan dan penswastaan setinggan
Kepesatan dan pembangunan bandar telah menyebabkan ramai masyarakat luar bandar mahupun warga asing memilih untuk menetap dan bekerja di kawasan bandar. Pertambahan penduduk ini telah mengundang kepada bertambahnya permintaan terhadap sektor perumahan.  Perkara ini menjadi lebih meruncing apabila permintaan perumahan mampu milik oleh golongan miskin bandar tidak dapat dipenuhi kerana pertambahan penduduk yang pesat sehingga tidak dapat menampung kepadatan penduduk di bandar. Hal ini secara tidak langsung telah mewujudkan masalah setinggan  yang merupakan satu sektor perumahan yang tidak formal dan fenomena setinggan ini telah menjadi masalah kepada negara.
Setinggan merupakan salah satu ciri kemiskinan bandar. Hal ini demikian kerana, golongan masyarakat miskin di kawasan bandar ini biasanya akan menetap di rumah-rumah setinggan.  Setinggan adalah satu kawasan penempatan yang dibina secara rawak di atas tanah milik kerajaan, swasta ataupun milik orang perseorangan. Kawasan setinggan yang wujud ini telah mencemarkan persekitaran kawasan perbandaran. Perkara ini terjadi kerana setinggan ini biasanya dikaitkan dengan golongan miskin dan kawasan setinggan ini pula biasanya tidak selesa, sesak, kotor dan juga kurang kemudahan-kemudahan asas.
Pelbagai usaha telah dijalankan dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar ini termasuklah masalah setinggan yang melibatkan golongan miskin di kawasan bandar. Antara usaha yang dilakukan ialah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Program Pembangunan Rakyat Termiskin ini adalah satu program yang telah dijalankan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh iaitu rancangan yang berlangsung pada tahun 1996 sehingga 2000. Manakala projek Perumahan Rakyat (PPR) pula ialah salah satu program yang dilaksanakan dalam PPRT.
Projek Perumahan Rakyat ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara. Antara objektif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk mengawal dan menempatkan semula setinggan  dan memberi kemudahan serta meringankan beban kepada golongan miskin. Golongan miskin ini diberi bantuan dalam membina rumah yang lebih selesa ataupun mereka boleh memiliki rumah yang dibina oleh kerajaan dengan harga yang lebih rendah dan mampu dimiliki. Hal ini demikian kerana rumah merupakan salah satu unsur penting dalam kehidupan manusia dan tahap keselesaan dan keselamatan rumah itu haruslah dititikberatkan.
Di samping itu juga, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memainkan peranan mereka dalam menangani masalah kemiskinan bandar ini apabila PBT ini mempunyai peranan yang strategik dalam melaksanakan setiap program  dan rancangan pembasmian kemiskinan bandar. Usaha yang dijalankan oleh PBT ini harus disokong oleh pihak-pihak lain seperti sektor swasta, NGO ataupun persatuan penduduk.
PBT telah mengambil inisiatif dan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan projek perumahan yang berskala besar bertujuan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di kalangan penduduk di kawasan bandar.  Pada masa yang sama PBT juga menjamin akan meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin bandar.
Selain itu juga, kerajaan juga menubuhkan Dana Rumah Kos  Rendah yang bernilai kira-kira RM 1.1 bilion pada tahun 1994. Pada tahun yang sama juga, kerajaan juga telah memperkenalkan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah.  Dana dan tabung yang ditubuhkan ini adalah bertujuan untuk mengatasi masalah setinggan yang dihadapi oleh masyarakat miskin di kawasan bandar. Melalui dana dan tabung ini, golongan miskin bandar ini boleh mendapatkan modal untuk membina rumah yang lebih baik jika dibandingkan dengan rumah di kawasan setinggan.
Namun begitu, terdapat banyak masalah dalam melaksanakan Dana Rumah Kos  Rendah dan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah ini. Oleh yang demikian, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menswastakan sektor perumahan ini. Langkah alternatif yang melibatkan penswastaan setinggan ini mempunyai banyak kelebihan apabila perumahan kos rendah yang disediakan oleh pihak swasta ini lebih efisien.  Penswastaan ini dapat membantu golongan miskin bandar untuk menikmati kawasan perumahan yang selesa. Perkara ini juga meningkatkan pemilikan dan pemilihan rumah.
Isu-isu perumahan ini merupakan isu yang sukar untuk diselesaikan terutama sekali di bandar-bandar besar. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah perumahan di Kuala Lumpur. DBKL juga merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin di Kuala Lumpur. DBKL  ini diberi tanggungjawab dan tugas yang besar dalam melaksanakan program ini sejak 1995.
 DBKL telah melaksanakan banyak langkah dalam mengatasi masalah perumahan ini terutamanya yang melibatkan golongan miskin bandar. Sejak tahun 1958 DBKL telah membina rumah teres, rumah berkelompok, rumah pangsa, rumah panjang (transit) untuk memenuhi keperluan perumahan golongan yang berpendapatan rendah dan miskin di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur. Antara program perumahan untuk golongan miskin yang dilaksanakan oleh DBKL ialah Program Perumahan Rakyat Desa Tun Razak sebanyak 1824 unit, Program Perumahan Taman Mulia sebanyak 912 unit dan banyak lagi program perumahan yang lain.
Selain itu, DBKL ini juga menawarkan kadar bayaran sewa yang murah kepada golongan miskin bandar ini dengan kadar subsidi. Kadar sewa yang ditawarkan adalah lebih murah jika dibandingkan dengan kadar sewa rumah pada pasaran di Kuala Lumpur. Hal ini memperlihatkan kesungguhan DBKL dalam menyediakan kemudahan perumahan yang selesa kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah d Kuala Lumpur.

  
4.3 Agensi-agensi kerajaan, NGO dan Swasta.
Bantuan dari agensi-agensi kerajaan dan swasta juga merupakan satu usaha dalam membasmi masalah kemiskinan bandar. Pihak kerajaan dan swasta berganding bahu dalam mengatasi masalah kemiskinan yang melibatkan golongan yang berpendapatan rendah di kawasan bandar. Antara agensi yang terlibat dalam membasmi kemiskinan bandar ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS). LZS ini telah melaksanakan beberapa program dalam menangani masalah kemiskinan bandar.
Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) ialah salah satu program yang diilhamkan oleh LZS dalam menangani masalah kemiskinan bandar. Program ini bertujuan untuk menjejaki golongan fakir atau miskin melalui program ini.  Melalui program ini juga, pihak LZS akan mengenal pasti golongan fakir dan miskin yang berada di Selangor tetapi tidak mendaftar dengan LZS.  Golongan miskin dan fakir yang berdaftar dengan LZS ini akan diberikan bantuan dari pelbagai aspek dalam mempertingkatkan taraf hidup mereka. Antara bantuan yang diberikan adalah bantuan bulanan, bantuan pendidikan, modal perniagaan dan sebagainya. Bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan miskin ini dalam mengatasi kemelut kemiskinan yang dihadapi.
Pelaksanaan program ini bertemakan  ‘ Kami Sedia Membantu’ . Melalui program ini juga, pihak LZS menjalankan bancian dari rumah ke rumah untuk mencari golongan fakir dan miskin di kawasan bandar Selangor yang layak untuk mendapatkan bantuan dari pihak LZS. Program yang dilaksanakan LZS ini mendapatkan kerjasama dari pemimpin setempat, jawatankuasa penduduk, wakil surau atau masjid dan pelbagai pihak lagi.
Selain itu, terdapat juga pihak-pihak NGO yang menjalankan program dalam membasmi kemiskinan di kawasan bandar ini. Penubuhan pusat runding cara harian atau Pusat Rahmat adalah salah satu usaha dalam membasmi kemiskinan bandar. Pusat Rahmat ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk membasmi kemiskinan bandar dan program ini telah mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan dan juga pihak NGO. Pihak kerajaan dan NGO bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan program ini.
Melalui usaha ini terdapat dua cara dalam membantu golongan-golongan miskin bandar ini. Pertama ialah melalui kaedah  “ walk-in” iaitu melibatkan sesiapa sahaja yang mengetahui kemiskinan yang menimpa jiran atau orang yang berada di sekitar , mereka ini boleh melaporkan keadaan jiran atau masyarakat sekitar mereka kepada Pusat Rahmat.  Kaedah kedua pula ialah melalui kaedah “reaching-out”  iaitu apabila petugas-petugas Pusat Rahmat termasuklah sukarelawan-sukarelawan Pusat Rahmat ini menjalankan lawatan dan penyiasatan di kawasan-kawasan tumpuan. Kaedah ini dijalankan bagi mengenal pasti sendiri golongan-golongan yang berhak mendapatkan bantuan dari Pusat Rahmat.


4.4 Menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan
Kehadiran golongan miskin bandar adalah disebabkan oleh mereka yang berpendapatan rendah atau penganggur yang tidak mampu bersaing dalam menongkah arus kehidupan di bandar yang kian pesat mengalami proses perbandaran. Golongan yang tidak mampu ini akhirnya akan terpinggir dari kemajuan dan kemodenan bandar itu. Hal ini demikian kerana, kebanyakan golongan yang terperangkap dalam fenomena kemiskinan bandar ini ialah masyarakat luar bandar yang berhijrah ke bandar ataupun warga asing. Mereka ini berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan untuk mengubah nasib keluarga atau diri, namun kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kelulusan yang baik, akhirnya mereka ini tidak mampu bersaing dan terus berada dalam perangkap kemiskinan. 
Oleh kerana golongan miskin ini tidak mampu bersaing dalam meningkatkan pendapatan mereka, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang drastik dengan menarik pelbagai pelaburan asing untuk meningkatkan peluang pekerjaan golongan miskin ini. Kebanyakan pelaburan ini dilakukan dalam sektor perkilangan oleh itu kita dapat lihat banyak kilang-kilang yang dibina di bandar-bandar adalah bertujuan untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan miskin dan juga para penganggur untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Selain itu juga, peluang pekerjaan yang diberikan kepada golongan miskin ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan golongan miskin bandar ini malah ia akan menjamin kehidupan yang lebih baik dan perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan ini keluar dari kancah kemiskinan. Peluang pekerjaan yang diberikan ini juga dapat membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah ini terus bersaing dalam meniti kehidupan bandar yang terus mencabar pada hari ini.
Di samping itu juga, kerajaan telah memperkenalkan banyak program latihan untuk melatih golongan-golongan belia muda bagi meningkatkan kemahiran mereka. Walaupun kebanyakan mereka ini tercicir dari bidang pendidikan kerana terperangkap dalam kancah kemiskinan, namun golongan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga atau diri sendiri dengan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu dan membolehkan mereka ini mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Hal ini demikian kerana, pada hari ini kita dapat melihat kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu mampu memberi pendapatan yang baik kepada pemiliknya sebagai contoh kemahiran menjahit, membaiki kereta dan sebagainya.

4.5 Menaikkan kadar gaji pekerja
Selain dari menyediakan perumahan dan juga peluang pekerjaan, kerajaan juga cuba menaikkan gaji pada pekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Kenaikan gaji ini penting kerana kita tahu dunia pada hari ini kian berkembang pesat terutama sekali melibatkan kawasan bandar. Oleh yang demikian, tahap gaji yang berada pada paras lama sudah tidak relevan dengan arus perbandaran pada hari ini.
Melihat pada bajet 2012 yang telah dikatakan mampu menangani masalah kemiskinan. Hal ini kerana, melalui bajet 2012 ini, pekerja di sektor awam akan mendapat kenaikan gaji dan juga mendapat kadar bonus yang agak lumayan. Perkara ini secara tidak langsung dapat membantu golongan pekerja sektor awam yang berada pada paras kemiskinan untuk keluar dari kancah berkenaan. Mereka bukan sahaja dapat keluar dari kancah kemiskinan malah mereka mungkin dapat memberi keselesaan yang lebih kepada keluarga mereka sama ada dari segi perumahan dan juga berpeluang memberi pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka. Manakala bagi pekerja di sektor swasta pula, kerajaan telah berbincang dengan pihak swasta untuk meningkatkan gaji pokok pekerja swasta. Namun, perkara ini sukar untuk dilaksanakan kerana sektor swasta tidak berada di bawah kawalan oleh kerajaan. Namun begitu, kerajaan tetap berusaha untuk membantu golongan pekerja swasta yang berada pada tahap kemiskinan untuk membantu mereka keluar dari masalah kemiskinan yang dihadapi oleh mereka.
Walaupun kenaikan gaji pekerja ini tidak dapat menangani masalah kemiskinan bandar secara menyeluruh namun kebanjiran pekerja dalam sektor awam mahupun swasta di kawasan bandar ini secara tidak langsung dapat menangani masalah kemiskinan bandar. Hal ini demikian kerana, masalah kemiskinan bandar ini terjadi akibat pendapatan yang rendah dan tidak mampu untuk menanggung kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar. Oleh yang demikian, kenaikan gaji ini secara tidak langsung dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin ini menjalani kehidupan yang lebih selesa dan juga teratur.


4.6 Program karnival kerjaya
Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar ini juga pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan, umpamanya melaksanakan program seperti Karnival Kerjaya Antarabangsa. Karnival ini dianjurkan oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan atau yang telah bekerja. Karnival ini biasanya akan disertai oleh syarikat-syarikat yang akan menawarkan jawatan kosong dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, dengan ini orang ramai terutamanya golongan belia boleh merebut peluang memilih pekerjaan yang ditawarkan mengikut kelulusan mereka.
Seperti yang dijalankan di Kota Kinabalu yang dilangsungkan di pusat perdagangan Sabah. Karnival yang dianjurkan itu menurut Ketua Menteri Sabah merupakan langkah yang mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di Sabah. Dalam karnival tersebut telah disertai oleh kira-kira 85 buah syarikat yang menawarkan lebih 6,000 jawatan kosong  pelbagai peringkat pekerjaan, termasuklah bagi mereka yang berkelulusan ijazah. Oleh itu, golongan belia di Sabah telah diberi keistimewaan dan mereka haruslah merebut peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Karnival seperti ini merupakan satu idea yang sangat memberangsangkan untuk menarik lebih ramai golongan belia yang tidak bekerja terutamanya. Selain dari negeri Sabah, kerajaan juga  turut menganjurkan program karnival sebegini di negeri-negeri lain. Ini adalah bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan belia melibatkan diri dalam sektor pekerjaan bagi meningkatkan pembangunan negara di samping mengurangkan kadar pengangguran. Program seperti ini perlu diteruskan lagi pada tahun-tahun seterusnya agar dapat menarik lebih ramai pengunjung. Oleh sebab itu, program seperti karnival kerjaya ini merupakan langkah proaktif pihak kerajaan bagi mengurangkan masalah kemiskinan yang berlaku terutamanya belia yang merupakan golongan yang ramai untuk dijadikan sebagai aset negara yang mampu membendung masalah ini.

4.7 Kemajuan dan pembangunan pinggir bandar
Selain itu, usaha yang dijalankan adalah dengan meningkatkan kemajuan dan pembangunan di pinggir bandar. Ini adalah untuk menjadikan kawasan pinggir bandar juga turut maju daripada segi pembangunan sealiran dengan pembangunan yang berada di bandar. Jika melihat kepada kawasan bandar ia selalunya menjadi kawasan tumpuan ramai kerana faktor pembangunan dan kemajuan sekali gus menyebabkan berlakunya aliran migrasi yang akan bertumpu di kawasan tersebut. Migrasi berlaku kerana penduduk pinggir bandar berada dalam taraf hidup yang rendah berbanding di bandar. Oleh itu, untuk mengubah nasib mereka cuba untuk mendapatkan pekerjaan di bandar dan ini akan menyebabkan berlakunya tumpuan masyarakat ke pusat bandar.
Untuk mengurangkan kadar migrasi ini, pembangunan akan diberi perhatian di kawasan pinggir bandar. Ini adalah untuk mengurangkan kadar aliran migrasi masuk tanpa kawalan ke pusat bandar. Kemudahan seperti infrastruktur dan perkhidmatan akan dibina di kawasan tersebut agar pembangunan yang dibuat adalah mengikut perancangan yang cekap dan lebih efisien. Pembinaan seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain memudahkan masyarakat yang tinggal di situ menggunakan kemudahan yang disediakan. Tidak ketinggalan juga mereka yang tinggal di luar bandar turut sama-sama dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerana jalan perhubungan yang dibina. Biasanya kemudahan rangkaian jalan raya yang dibina ini menghubungkan penduduk dari luar bandar ke kawasan bandar.
Pihak kerajaan terutamanya akan merangka beberapa projek pembangunan yang sesuai untuk dibina di kawasan pinggir bandar, ini adalah bertujuan untuk memberikan bantuan kepada mereka yang menjalankan aktiviti pekerjaan mereka. Sekiranya pembinaan yang dibuat tidak mengikut efisien penduduk sekitarnya pembinaan yang dibuat mungkin akan sia-sia kerana sektor pembinaan yang dibuat tidak menepati kerjaya mereka. Umpamanya, di Terengganu kawasan pinggir bandarnya merupakan kawasan pantai. Oleh sebab itu, segala usaha dibuat adalah menepati kerjaya mereka sebagai nelayan dengan membina jeti untuk pemunggahan hasil tangkapan dan pemberian subsidi minyak. Terdapat juga pembinaan daripada sektor pelancongan seperti di duyung dan pantai Batu Buruk. Pembinaan kawasan pelancongan ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut. Oleh sebab itu, peluang pekerjaan tidak akan tertumpu di pusat bandar sahaja dan ini dapat mengurangkan migrasi penduduk luar bandar terus ke pusat bandar kerana mereka juga mendapat peluang untuk bekerja di kawasan pinggir bandar dengan pelbagai sektor pekerjaan.
4.8 Menyusun semula masyarakat
Selain itu juga, usaha yang dibuat adalah dengan menyusun semula masyarakat. Rentetan daripada peristiwa 13 Mei memperlihatkan jurang antara kaum Melayu dan Cina. Pengenalan dasar pecah dan perintah dalam sektor ekonomi mengikut ras umpamanya oleh pihak British telah mewujudkan jurang antara kaum dari sudut ekonomi. Misalnya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar dengan menjalankan kegiatan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong, manakala kaum Melayu tinggal di luar bandar dan bekerja sebagai petani dan nelayan sahaja, dan kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan bekerja sebagai pekerja di ladang.
Oleh sebab itu, selepas penjajahan British pihak kerajaan telah merangka satu dasar yang mampu menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum. pelaksanaan dasar Ekonomi Baru (DEB)  merupakan langkah bijak kerajaan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dalam perancangan dasar ini kerajaan telah merangka beberapa strategi awal untuk mengurangkan kadar kemiskinan. 
Jika dilihat, kawasan bandar telah dikuasai oleh kaum cina dalam aktiviti perniagaan menyebabkan kaum lain tidak mampu bersaing searah dengan kaum Cina apabila berhijrah ke bandar, ini adalah disebabkan oleh  penguasaan kaum Cina di bandar lebih berpengalaman dalam hal ini. Keadaan ini merupakan sebahagian punca yang menyebabkan kerajaan merangka satu dasar untuk menghapuskan masalah ini daripada terus berlanjutan. Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum seharusnya perlu saling bekerjasama dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan sosial. Walau bagaimanapun, usaha kerajaan tidak hanya bergantung pada DEB sahaja, baru-baru ini kerajaan turut merangka satu pelan baru yang menjadi rentetan daripada Dasar Ekonomi Baru ini.
Pelan tersebut ialah Model Ekonomi Baru (MEB) yang telah dirangka sebagai usaha untuk membantu rakyat dalam mengurangkan beban kehidupan.  Tujuan MEB ini diperkenalkan adalah bagi melonjakkan ekonomi negara agar menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.  Oleh itu, segala usaha kerajaan ini adalah bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum. sekiranya semua kaum bersatu masalah kemiskinan tidak akan berlaku walhal di kawasan bandar sekalipun. Ini kerana kemiskinan di bandar merupakan kes terpencil yang sememangnya tidak patut berlaku.


5.0 Cabaran dalam membasmi kemiskinan bandar.

5.1 Cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan                      Kesejahteraan Bandar.
 Antara faktor penubuhan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan bandar adalah untuk menangani masalah kemiskinan dalam kalangan penduduk di kawasan bandar. Peranan yang dimainkan oleh kementerian ini amat penting dalam memastikan masalah kemiskinan dalam kalangan masyarakat bandar dapat dikawal selain golongan ini diberikan bantuan yang sewajarnya agar dapat bersaing dan meneruskan kehidupan mereka di bandar.
Namun begitu, dalam melaksanakan program untuk membasmi kemiskinan ini banyak cabaran yang harus ditempuhi oleh kementerian ini. Bagi melaksanakan setiap program yang telah dirancang, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Kerjasama yang dijalinkan adalah untuk memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik akan tetapi dalam kerjasama yang diadakan terdapat segelintir jabatan tidak dapat memberi kerjasama sepenuhnya. Kerjasama erat dari semua pihak penting bagi mengelak berlakunya pertindihan maklumat, tindakan dan sebagainya. Perkara ini terjadi kerana setiap jabatan mempunyai skop kerja mereka yang tersendiri dan hal itu menyebabkan mereka tidak dapat memberi sepenuh komitmen kepada program yang dijalankan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.
Selain itu juga, sikap pekerja-pekerja yang berkhidmat di Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar yang tidak serius dalam menjalankan tugas mereka juga menjadi cabaran dalam membasmi kemiskinan bandar. Sikap tidak serius ini menyebabkan program yang dilaksanakan tidak mendapat perhatian yang serius dan perkara ini menyebabkan kepincangan terhadap program yang dilaksanakan. Di samping itu juga, sikap tidak serius segelintir pekerja ini akan menyebabkan sesuatu urusan itu memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan padahal urusan itu tidak memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan. Sikap ini akan melemahkan organisasi yang menjalankan program kerana urusan yang dilaksanakan tidak berjalan dengan lancar kerana sikap pekerja yang suka melambat-lambatkan sesuatu urusan itu.


5.2 Cabaran dalam pembangunan perumahan dan  penswastaan setinggan.
Setinggan merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah kemiskinan bandar. Bagi mengatasi masalah setinggan yang banyak berlaku di kawasan bandar, pihak kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam menangani masalah ini.  Antara usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah ini ialah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), Dana Rumah Kos Rendah, Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah dan pelbagai lagi. Namun begitu, dalam melaksanakan usaha-usaha yang telah dirancang oleh kerajaan ini, terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapi dalam proses perlaksanaan program-program ini.
Antara cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan program perumahan dan juga penswastaan setinggan ialah melibatkan peruntukan. Program Dana Rumah Kos Rendah menelan belanja RM1.1 bilion manakala Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah juga memerlukan peruntukan yang sangat banyak. Oleh yang demikian, masalah peruntukan merupakan cabaran yang terbesar yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan program-program ini. Hal ini terjadi kerana, pihak kerajaan lebih gemar melabur dan menumpukan kepada pembinaan projek-projek mega yang menunjukkan pembangunan dan kemajuan negara seperti projek pembinaan lapangan terbang KLIA yang menelan belanja kira RM 9.0 bilion, projek pembinaan Putrajaya  yang bernilai RM20.1 bilion dan juga projek-projek mega yang lain. Oleh sebab pembinaan projek-projek mega ini memerlukan peruntukan yang banyak, program pembinaan rumah kos rendah untuk golongan miskin bandar telah terbantut kerana kekurangan peruntukan.
Bagi mengatasi masalah peruntukan yang dihadapi, kerajaan telah mengambil langkah yang drastik dengan menswastakan setinggan. Kerajaan mengambil langkah menswastakan setinggan kerana yakin bahawa pihak swasta mampu menyediakan perumahan kos rendah yang lebih baik dan efisien. Namun begitu, proses penswastaan setinggan ini juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana,  pihak swasta yang kadang kala hanya mementingkan keuntungan sahaja. Pihak swasta biasanya mementingkan keuntungan kerana pendapatan mereka bergantung kepada keuntungan yang mereka memperoleh daripada sesebuah projek itu. Oleh yang demikian, mereka ini cenderung menjual rumah dengan harga yang tinggi ataupun menggunakan barangan pembinaan yang kurang berkualiti demi mendapat keuntungan yang tinggi dan berlipat kali ganda. Sikap segelintir pihak swasta yang cenderung mementingkan keuntungan ini menjadi cabaran dalam penswastaan setinggan dan perkara ini secara tidak langsung membantutkan proses pembersihan setinggan dalam kalangan golongan miskin bandar.
Selain itu juga, pembinaan rumah kos rendah ini juga sentiasa dikaitkan dengan bahan yang bermutu rendah dan tidak berkualiti. Hal ini menyebabkan rumah yang dibina tidak bertahan lama dan sering mengalami kerosakan. Hal ini menyebabkan masyarakat miskin bandar tidak berminat untuk memiliki rumah berkenaan kerana takut akan keselamatan mereka yang terancam di samping risiko lain seperti kos pembaikan semula bahagian rumah yang rosak dan sebagainya.
Di samping itu juga, perumahan kos rendah yang dibina juga biasanya mempunyai ruang yang sempit dan tidak selesa. Hal ini demikian kerana, rumah yang dibina biasanya mempunyai ruang yang sempit sesuai dengan kos yang di peruntukan. Perkara ini secara tidak langsung menyukarkan golongan miskin yang mempunyai keluarga yang agak besar. Keadaan rumah yang sempit ini tidak dapat memberikan keselesaan kepada penghuninya. Keadaan rumah yang tidak selesa ini menyebabkan golongan miskin bandar ini tidak minat untuk berpindah ke kawasan perumahan kos rendah ini dan lebih selesa memilih untuk terus menetap di kawasan setinggan. Walaupun kawasan setinggan ini tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap namun saiz rumah yang lebih besar jika dibandingkan dengan rumah kos rendah menyebabkan mereka ini lebih rela tinggal di kawasan setinggan.
Perumahan kos rendah yang dibina di kawasan yang jauh dari sektor ekonomi dan kemudahan awam juga menjadi cabaran kepada perumahan kos rendah dan penswastaan setinggan. Rumah yang dibina jauh dari kawasan kegiatan ekonomi dan kemudahan awam kerana harga tanah yang lebih rendah jika dibandingkan dengan harga tanah di kawasan yang mempunyai kegiatan ekonomi yang pesat serta mempunyai kemudahan yang lengkap. Perkara  ini menyebabkan golongan miskin bandar ini tidak berminat untuk berpindah. Hal ini demikian kerana sukar bagi mereka untuk pergi bekerja serta jaringan pengangkutan yang terhad juga menyukarkan mereka untuk bergerak.
Langkah penswastaan setinggan adalah salah satu langkah yang bijak kerana pemaju perumahan dikehendaki membina 30 peratus perumahan kos rendah. Ini dapat membantu kerajaan menangani masalah setinggan dalam kalangan masyarakat miskin bandar kerana kerajaan yang tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membina rumah kos rendah.  Namun begitu, syarat yang dikenakan oleh kerajaan tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak swasta. Hal ini demikian kerana, pemaju tidak mahu menanggung risiko kerugian dan tidak mendapat untung yang lebih kerana setiap pelaburan yang lakukan  pemaju mahu keuntungan yang maksimum.  Oleh itu, kerajaan harus mengambil alih semula tanggungjawab yang diberikan kerana ia merupakan tanggungjawab sosial kerajaan.

5.3 Cabaran yang dihadapi oleh agensi kerajaan, NGO dan Swasta.
Cabaran dalam mendapatkan bantuan dari agensi-agensi bukan kerajaan dan juga swasta ialah sukar untuk mendapatkan kerjasama dari pihak yang berkenaan. Hal ini demikian kerana, agensi-agensi bukan kerajaan dan swasta ini juga mempunyai bidang seliaan mereka yang tersendiri dan menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan dan kerjasama yang baik dalam melaksanakan program pembasmian kemiskinan. Namun terdapat juga agensi yang memberi kerjasama yang baik dalam menangani masalah kemiskinan bandar ini. Antara agensi yang memberi kerjasama serta turun menghulurkan bantuan ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS). Lembaga Zakat Selangor ini telah melancarkan satu program untuk membasmi kemiskinan bandar. Namun dalam proses pelaksanaan program ini terdapat juga cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak LZS.
Antara cabaran yang dihadapi oleh pihak LZS ialah sukar untuk menjejaki golongan miskin yang layak. Hal ini kerana, bukan semua golongan miskin bandar layak untuk mendapatkan bantuan dari pihak LZS. Penerima bantuan daripada LZS hendaklah betul-betul  layak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak LZS. Pihak LZS terpaksa mengerah tenaga pekerja-pekerja serta sukarelawan LZS untuk menjejaki golongan miskin bandar yang berada di sekitar negeri Selangor. Tinjauan yang dilakukan oleh pekerja dan sukarelawan LZS ini memudahkan pihak LZS mengenal pasti individu yang layak untuk menerima bantuan  akan tetapi terdapat juga segelintir golongan miskin ini tidak memberi kerjasama yang baik ketika tinjauan dilakukan. Hal ini menyebabkan pekerja serta sukarelawan LZS tidak dapat mengumpul data dengan baik dan mungkin terdapat individu yang tercicir ketika tinjauan dilakukan.
Selain itu juga, terdapat sebilangan golongan yang menipu maklumat diri mereka semata-mata untuk mendapatkan bantuan dari pihak LZS. Perkara ini secara tidak langsung menjejaskan matlamat program untuk membasmi kemiskinan bandar kerana bantuan yang dihulurkan adalah kepada golongan yang tidak layak dan ini secara tidak langsung menjejaskan peluang golongan miskin bandar untuk mendapatkan bantuan dari pihak LZS. Di samping itu juga, terdapat segelintir golongan miskin bandar ini terdiri daripada golongan yang kurang berpendidikan dan menyebabkan mereka ini tidak tahu akan saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan. Oleh yang demikian, golongan ini akan terus tercicir daripada mendapat bantuan dalam membantu mereka menghadapi kehidupan di bandar.


5.4 Cabaran dalam memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin
Antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan dalam membasmi kemiskinan bandar ialah mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan ini bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin ini. Namun dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan ini terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan dalam merealisasikan usaha ini. Antara cabaran yang paling besar ialah kesukaran mendapatkan kepercayaan pelabur asing untuk melabur dalam sektor ekonomi di Malaysia. Pelaburan asing ini amat penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat bandar. Jika pelabur asing ini tidak berminat untuk melabur di Malaysia mungkin ia akan menyukarkan kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang secara jelas peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan tidak dapat menampung pertambahan penduduk bandar. Tanpa pelaburan dari luar peluang pekerjaan adalah terhad dan golongan miskin ini akan terus berada dalam kancah kemiskinan.
Selain itu, kebanyakan pelaburan yang terdapat di Malaysia adalah melibatkan sektor perindustrian seperti perkilangan. Sektor perkilangan membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat bandar. Namun begitu, kerana kepesatan pembangunan bandar, tanah yang diperlukan untuk membina kilang adalah terhad dan kilang ini terpaksa dibina di kawasan pinggir bandar. Perkara ini mendatangkan masalah kepada segelintir golongan kerana tidak mempunyai kemudahan pengangkutan. Di samping itu juga cabaran kepada peluang pekerjaan ini ialah pembinaan kilang yang berleluasa di kawasan bandar ini akan menyumbang kepada masalah alam sekitar seperti pencemaran air, udara dan sebagainya.
Kelulusan yang dimiliki oleh segelintir masyarakat miskin bandar ini juga tidak cukup untuk memenuhi syarat yang diperlukan untuk seseorang itu diambil pekerja. Hal ini menjadi cabaran yang sukar untuk diselesaikan kerana terdapat ramai golongan miskin bandar ini mempunyai tahap pendidikan yang rendah kerana keluarga mereka tidak mampu untuk memberi peluang pendidikan yang lebih tinggi dan mereka ini akan terus terperangkap dalam kancah kemiskinan. Mereka ini bukan sahaja tidak mempunyai pendidikan yang tinggi malah tidak mempunyai kemahiran seperti kemahiran menggunakan komputer atau kemahiran berbahasa Inggeris dan perkara ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik di samping tidak mempunyai pengalaman.

Sikap golongan miskin bandar ini juga menjadi cabaran dalam menangani masalah kemiskinan bandar ini. Hal ini demikian kerana, terdapat juga segelintir golongan ini yang masih memilih kerja. Mereka ini menolak peluang pekerjaan yang disediakan sebagai contoh terdapat segelintir masyarakat miskin bandar tidak berminat untuk bekerja di sektor perkilangan kerana pada pendapat mereka sektor perkilangan adalah satu sektor yang meletihkan padahal sektor perkilangan boleh memberi pulangan yang baik jika mereka berusaha dan mungkin boleh membantu meningkatkan pendapatan keluarga dalam membiayai kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar.


5 .5 Cabaran dalam menaikkan kadar gaji pekerja sektor awam dan swasta.
Kebanyakan sektor awam dan swasta tertumpu di kawasan bandar. Oleh itu ramai penduduk luar bandar yang berhijrah ke kawasan bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang disediakan oleh sektor awam dan juga swasta. Namun begitu, kebanjiran penduduk dan juga kemajuan bandar yang pesat menyebabkan kawasan bandar tidak mampu menampung keperluan penduduk yang ramai serta menyediakan keperluan serta kemudahan yang lengkap kepada masyarakat bandar. Perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan lahirnya golongan miskin bandar.
Bagi menangani masalah kemiskinan bandar ini, kerajaan telah mengambil inisiatif menaikkan gaji pekerja sektor awam. Kenaikan gaji ini disambut baik oleh pekerja di sektor awam kerana kenaikan gaji ini dapat mengurangkan beban mereka dalam menanggung kos sara hidup di kawasan bandar. Namun begitu, kenaikan gaji ini tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. Hal ini demikian kerana, bukan semua pekerja yang bekerja di bandar berada dalam sektor awam kerana terdapat juga pekerja yang bekerja di sektor swasta. Kerajaan tidak dapat meningkatkan pendapatan pekerja swasta kerana sektor swasta tidak berada di bawah kawalan atau seliaan kerajaan. Perkara ini menjadi cabaran kepada pihak kerajaan untuk berbincang dengan pihak swasta untuk meningkatkan gaji pokok yang diperoleh oleh pekerja swasta. 
Walaupun telah pekerja sektor awam menerima kenaikan gaji, namun kerana pembangunan pesat dari hari ke hari menyebabkan kenaikan gaji yang diberi masih tidak mencukupi terutama sekali melibatkan golongan miskin bandar yang mempunyai keluarga yang besar. Hal ini kos sara hidup seperti barangan keperluan asas terpaksa dibeli dengan harga yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan luar bandar. Ini mendatangkan masalah kepada golongan miskin bandar. Selain cabaran dari segi kos sara hidup yang tinggi  cabaran dalam kenaikan kadar gaji ini juga ialah mengenai sikap individu itu sendiri. Terdapat juga segelintir daripada mereka ini yang terdiri dari golongan miskin ini gagal menguruskan kewangan mereka dan akhirnya mereka ini akan terus berada pada paras kemiskinan. Perkara ini terjadi kerana mereka ini terlalu boros dan tidak menabung demi masa depan mereka serta keluarga.


5.6 cabaran dalam pelaksanaan Karnival Kerjaya
Kerajaan juga turut menghadapi cabaran dalam pelaksanaan program karnival Kerjaya Antarabangsa. Walaupun dikatakan program sebegini mendapat sambutan daripada golongan belia terutamanya. Namun, kebanyakan jawatan-jawatan yang ditawarkan adalah tidak menepati minat belia, jawatan yang ditawarkan adalah lebih bersifat formal yang berlainan dengan minat belia yang suka kepada persekitaran kerja lebih kepada bentuk tidak formal. Tetapi, tidak dinafikan masih terdapat antara mereka yang memohon dan jumlahnya sangatlah sedikit, antara mereka yang memohon pula belum tentu dipilih untuk bekerja kerana syarikat yang menawarkan jawatan-jawatan kosong di karnival ini menyenaraikan syarat-syarat kelulusan bagi jawatan yang dipohon. Keadaan ini menyebabkan mereka yang tidak bekerja dan yang bekerja tetapi ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih baik tidak berkesempatan merebut peluang tersebut. Oleh sebab itu, mereka masih berada pada tahap kehidupan yang rendah dengan jumlah pendapatan yang tidak mencukupi untuk keperluan harian.
Selain itu, karnival kerjaya yang dilaksanakan ini hanya bertumpu di kawasan tertentu menyebabkan ramai antara golongan belia yang tidak mengetahuinya. Di samping itu juga, karnival yang dijalankan biasanya dibuat di kawasan bandar menyebabkan mereka yang tinggal berjauhan daripada tempat tersebut tidak mampu untuk menghadiri karnival tersebut.
Kurangnya hebahan mengenai karnival ini juga menyebabkan ramai antara belia mahupun suri rumah yang sedang mencari pekerjaan tidak berkesempatan merebut peluang memohon jawatan yang ditawarkan. Di samping itu juga, waktu pelaksanaan program ini yang singkat tidak memberikan waktu dan ruang kepada mereka yang ingin berkunjung. Biasanya ia hanya dijalankan beberapa hari dan dibuat pada waktu bekerja menjadi kekangan kepada mereka yang bekerja dan kekangan kepada suri rumah kerana terpaksa menjalankan rutin harian.
Masalah lain yang timbul juga ialah tidak mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat besar untuk mengambil tempat menyertai karnival sebegini. Hal ini demikian kerana mereka mahu menjaga prestasi syarikat, mereka juga tidak mahu ambil risiko dengan mengambil pekerja yang tidak berkelulusan baik dan tidak berpengalaman bekerja. Ini kerana, mereka tidak mahu tahap pencapaian syarikat menurun. Di samping itu juga, syarikat besar ini khuatir pekerja baru ini tidak bersungguh-sungguh dan tidak berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab mereka.


5.7 cabaran dalam meningkatkan kemajuan dan pembangunan pinggir bandar.
Bagi usaha meningkatkan kemajuan dan pembangunan di pinggir bandar pula cabaran yang dilalui ialah kerajaan kekurangan peruntukan terhadap projek-projek pembinaan yang telah dirangka. Kebanyakan peruntukan lebih diberi keutamaan kepada projek-projek mega yang memerlukan peruntukan yang besar. Oleh sebab ini projek pembinaan yang ingin dilaksanakan terpaksa ditangguh terlebih dahulu untuk diberi ruang kepada projek yang lebih besar.
Selain itu juga, pembinaan yang telah lama dibina tergendala akibat kekurangan peruntukan. Ini menyebabkan projek tersebut berhenti di pertengahan jalan, dan untuk menunggu peruntukan disalurkan memerlukan masa yang agak panjang sehinggakan pembinaan yang tergendala ini telah banyak rosak dan memerlukan penambahbaikan yang banyak. Keadaan ini menyebabkan peruntukan yang diperoleh hanya dapat membaiki kerosakan.
Masalah lain yang dihadapi juga adalah daripada sikap  masyarakat. Misalnya bantuan subsidi minyak yang diberikan kerajaan kepada golongan nelayan dijual oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehinggakan bantuan itu tidak sampai kepada mereka yang berhak.
Selain itu, pembinaan daripada sektor pelancongan yang telah membuka ruang pekerjaan kepada penduduk telah dipenuhi oleh golongan buruh yang datang dari luar negara.  Ini menyebabkan, penduduk sekitarnya mengambil keputusan berpindah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan di sana. Keadaan inilah menyebabkan lebih ramai penduduk pinggir mendiami kawasan bandar di sekitar kawasan setinggan. Mereka sanggup hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dengan bekerja di bandar yang pendapatannya sangat rendah daripada tinggal di pinggir bandar yang tidak menjamin peluang pekerjaan.


5.8 Cabaran dalam menyusun semula masyarakat.
Usaha daripada dasar Ekonomi Baru (DEB) juga turut menghadapi kekangan dan cabarannya dalam mengatasi masalah kemiskinan di bandar. Antaranya ialah masalah mentaliti antara kaum yang lebih bersikap prejudis terhadap kaum lain. Peluang ekonomi lebih diberikan keutamaan kepada kaum mereka sahaja menyebabkan kaum lain tidak mendapat peluang. Ini menyebabkan kaum lain masih hidup dalam kemiskinan di bandar.
Selain itu, daripada segi pengalaman dalam sektor-sektor tertentu. Misalnya kaum Cina lebih berpengalaman dalam hal perniagaan dan ini memberi ruang kepada mereka membuka perniagaan di bandar, berbeza pula dengan kaum Melayu dan India yang lebih kepada pengalaman dalam sektor pertanian. Oleh sebab itu, penghijrahan kaum Melayu dan India ke bandar menambahkan lagi masalah kepada mereka kerana kurang pengalaman dalam urusan perniagaan dan pengurusan. Ini menyebabkan mereka hanya mampu mendapatkan peluang pekerjaan di sektor informal sahaja. Pendapatan yang diperoleh hanya mencukupi untuk keperluan harian sahaja dan mereka tidak mampu untuk hidup dalam suasana kehidupan di bandar dengan taraf hidup yang sangat tinggi.
Selain itu juga,  cabaran daripada pelan yang baru dilaksanakan. Kebanyakan pelan yang dilaksanakan masih dalam proses percubaan dan penilaian sama ada ia akan berjaya ataupun tidak. Oleh sebab itu masyarakat tidak mahu menerima akan perubahan yang akan dibuat kerana khuatir perancangan yang dibuat tidak kesampaian dan yang menjadi mangsanya adalah rakyat sendiri. Kebimbangan rakyat menyebabkan pelan yang dilaksanakan kebiasaannya tidak menjadi dan matlamat kerajaan untuk membasmi kemiskinan bandar tidak menjadi. Rakyat tidak memandang serius masalah ini tetapi pihak kerajaan cuba yang terbaik agar kemiskinan di bandar tidak wujud menjelang tahun akan datang.


5.0 Kesimpulan
Masalah kemiskinan bandar merupakan satu masalah yang terpencil kerana kebanyakan masalah kemiskinan biasanya dikaitkan dengan masyarakat luar bandar. Namun begitu, kebanjiran penduduk luar  bandar dan warga asing yang berhijrah ke kawasan bandar telah menyebabkan pertambahan kepada golongan miskin di kawasan bandar. Menyedari masalah ini, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk membasmi kemiskinan bandar ini. Akan tetapi dalam proses pelaksanaan program pembasmian kemiskinan ini, pihak kerajaan atau pun pihak-pihak lain menempuhi banyak cabaran dan rintangan untuk menjayakan sesuatu program itu.
Walaupun pembasmian dalam kalangan masyarakat bandar ini tidak dapat ditangani sepenuhnya namun, hasilnya dapat kita lihat bahawa jumlah penduduk miskin bandar telah berkurangan. Mereka kini mampu bersaing dan mampu meningkatkan taraf hidup mereka dengan bantuan yang telah diberikan. Mereka juga mampu untuk hidup dengan lebih selesa di rumah-rumah kos rendah yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta dan menikmati kemudahan-kemudahan asas yang lengkap dan selesa.
Bukan semua masyarakat miskin bandar mampu keluar dari kancah kemiskinan, namun usaha yang berterusan dari kerajaan dan agensi-agensi lain dalam menangani masalah kemiskinan ini menyebabkan nasib mereka ini terbela. Mungkin pada suatu hari nanti golongan miskin bandar ini mampu keluar dari kancah kemiskinan dan mampu hidup dengan baik dengan menikmati segala kemudahan dan kelengkapan yang telah disediakan oleh kerajaan dalam memastikan keselesaan setiap penduduknya dan mereka ini mampu bersaing dalam dunia globalisasi dan proses perbandaran yang pesat membangun.
  
Rujukan
Abdullah Ahmad Badawi. Majlis Pelancaran Pusat Rahmat. Diperoleh pada Mac 20, 2012 daripada http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklahtpm&id=3474.
Ahmad Syahir Sarani, Mohamad Khairudin Mohamad ( 2004). Pembasmian Kemiskinan Bandar dan Luar Bandar. Institut Perkembangan Minda. Petaling Jaya.
Chamhuri Siwar, Mohd. Halfah Piei ( 1988). Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan: Kumpulan Rencana Tentang Kemiskinan. Dewan Bahasa dan Pustaka.                     Kuala Lumpur.
Chamhuri Siwar, Nor Aini Idris (2003). Kemiskinan Bandar dan Sektor Tidak Formal Di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.
Khairol Azli Mohamad . Kemiskinan Bandar: Penswastaan Kawasan Setinggan Dan Peminggiran Sosial. Diperoleh pada Mac 20, 2012 daripada http://pangurusan-islam.tripod.com/kemiskinan_bandar.htm.

Kerajaan komited kurangkan kemiskinan di kawasan bandar ( 2009). Diperoleh pada
Laily Paim & Sharifah Azizah Haron ( 2010). Kemiskinan di Malaysia: Isu Fundamental 
& Paparan Realiti. Selangor Darul Ehsan : Universiti Putera Malaysia.
Mohd Amim Othman, Nurizan Yahya (2004). Golongan Berpendapatan Rendah: Realiti dan Cabaran. Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Norhaslina Hassan ( 2006). Dinamika Masyarakat Bandar Malaysia: Ke Arah Kualiti Hidup Mapan. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
Program Pembasmian Kemiskinan bandar. Diperoleh Mac 14, 2012 daripada   
              http://www.mdtm.gov.my/web/guest/ppkb
Sakinah Mohamed. Diperoleh pada Mac 14, 2012 daripada 





6 comments:

  1. saya amik isi entry ya untuk buat rujukan paper3 sej. terima kasih ^-^

    ReplyDelete
  2. izinkan saya menjadikan entry ini sebagai rujukan untuk tugasan esei saya..terima kasih.. :)

    ReplyDelete
  3. izinkan saya amik isi entry ini untuk buat rujukan assignment saya ye..terima kasih

    ReplyDelete
  4. Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...