Thursday 3 November 2011

KERONCONG

 2.0 PENGENALAN

Maksud keroncong mengikut Kamus Dewan Edisi ketiga ialah lagu irama dan lagu melayu dan sejenis irama lagu yang lembut biasanya menggunakan alat muzik yang dipetik dan digesek.
(Sumber: Dipetik daripada Kamus Dewan,1997)

 Keroncong berasal dari Betawi (Jakarta) pada abad ke-16 dan ke-17 sewaktu Portugis mula bertapak di kawasan Asia Tenggara. Pada mulanya, melodi Portugis dinyanyikan dengan iringan beberapa buah gitar oleh orang Portugis berkulit hitam yang dikenali sebagai Mardijkers. Lama-kelamaan pada akhir abad ke-19 hasil seni muzik keroncong menjadi sempurna, namun begitu muzik keroncong ini berubah dari semasa ke semasa. Ia dimainkan oleh orang Serani dari kelas bawahan (orang peranakan dari bangsa Belanda dengan bangsa Indonesia) di Betawi. Keroncong dinyanyikan oleh kaum lelaki Serani yang dipanggil “Budaya Keroncong”. Mereka berjalan-jalan dibandar-bandar Betawi pada waktu malam sambil menyanyikan pantun bertemakan kasih sayang dan asmara yang ditujukan kepada kaum perempuan. Selain itu, melodi-melodi keroncong dinyanyikan dalam teater komedi stambul yang muncul di Surabaya pada tahun 1981. Pada awalnya, melodi-melodi ini diiringi oleh kod yang dimainkan dengan gitar, piano, atau alat muzik yang sedia ada dalam komedi stambul. Melodi-melodi ini dikenali sebagai Stambul I dan Stambul II.
 (Sumber: Dipetik daripada Pengantar Muzik Malaysia buku II, 1999)

ANALISIS

Dari maksud lagi sudah dapat dilihat bahawa muzik keroncong ini lembut dengan menggunakan alat muzik yang dipetik dan digesek. Keadaan seperti dapat mententeramkan jiwa dan tenang apabila mendengarnya. Tidak seperti muzik zaman sekarang yang ganas. Muzik seni keroncong merupakan satu irama muzik yang berasal dari Indonesia dan berkembang ke Malaysia. Kebiasaannya, lagu keroncong dihasilkan dengan penuh puitis dan memuji-muji terutamanya kepada kaum wanita. Lagu ini biasanya dikeudarakan di corong-corong radio dan didengari  pada waktu malam, sesuai dengan lenggok irama lagunya.

3.0 PERKEMBANGAN KERONCONG

Muzik keroncong berasal dari zaman keagungan Islam Andalusia. Kerajaan Umayyah yang diasaskan oleh Khalifah Abd Rahman Al Dakhil di Cordova Sepanyol dan berjaya membangunkan satu tamadun yang hebat. Kerajaan Islam Umayyah berkembang dengan pesat di Andalus, Sepanyol, dan membangunkan tamadun dalam bidang agama dan bukan agama. Cordova telah menjadi pusat ilmu pada kurun ke-10 Masihi dan bangsa Eropah belajar dari kaum muslimin bukan sahaja di Cordova tetapi di Seville, Toledo dan Granada. Andalus telah melahirkan ramai tokoh-tokoh Islam dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang muzik. Ibnu Firas dan Ibnu Ziryab adalah antara pelopor bidang muzik pada masa itu. Portugis dahulu adalah sebahagian dari Sepanyol. Apabila Kristian mengambil alih Andalus, ramai umat Islam yang dihalau dan dipaksa menukar agama. Ramai umat Islam yang berpura-pura menukar agama dengan cuba mengekalkan keIslaman mereka. Golongan ini dinamakan Morisko yang merujuk kepada kata asal Moors iaitu orang Islam yang berasal dari Maghribi.

Seni muzik keroncong mula diperkenalkan ke semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 apabila ramai pekerja buruh Indonesia terutama dari Pulau Jawa berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencari pekerjaan. Hal ini disebabkan oleh aktiviti perusahaan perlombongan biji timah dan perladangan getah telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Penduduk Jawa juga tidak ketinggalan membawa bersama kesenian mereka termasuk seni muzik gamelan, keroncong, muzik untuk wayang kulit, kuda kepang dan barongan. Kawasan-kawasan yang terdapat banyak kegiatan muzik keroncong adalah di tempat-tempat di mana terdapat ramai orang Jawa dan keturunannya seperti di negeri Johor, di pantai barat negeri Selangor dan Perak. Lagu-lagu keroncong juga sangat popular dalam kalangan Baba di Pulau Pinang dan Melaka. Pada mulanya, lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh orang-orang tempatan adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Lama-kelamaan, pencipta lagu tempatan mencipta lagu keroncong bercorak Melayu.
 (Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada Ensiklopedia)

Pada tahun 1930-an, muzik keroncong sudah menjadi salah satu seni muzik yang popular di Tanah Melayu, ia juga turut didendangkan oleh penyanyi-penyanyi tempatan dan telah mendapat rakaman dari syarikat rakaman 78 RPM. Di samping itu, majlis pementasan dan pertandingan keroncong juga diadakan di taman-taman hiburan sekitar bandar-bandar di Tanah Melayu. Dari segi penyusunan alat muzik dan cara permainan baru telah ditetapkan di Indonesia dan di Tanah Melayu. Penyusunan alat muzik dan cara permainan baru ini menentukan idiom keroncong istimewa yang masih digunakan oleh kumpulan keroncong ketika ini.
 (Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan Sinkretik, 1997)

Keroncong adalah merupakan salah satu muzik rakyat Indonesia yang berkembang sejak Abad XIX, dibahagikan kepada 3 masa perkembangan iaitu KERONCONG TEMPO DOELOE (1880-1920), KERONCONG ABADI (1920-1960), dan KERONCONG MODERN (1960-sekarang). Keroncong adalah sejenis muzik Indonesia yang memiliki hubungan sejarah dengan sejenis muzik Portugis yang dikenal sebagai fado. Sejarah keroncong di Indonesia dapat ditarik hingga akhir abad ke-16,di saat kekuatan Portugis mulai lemah di Nusantara. Keroncong terawal ialah dari muzik yang dimainkan oleh kanak-kanak dan opsir Portugis dari daratan India (Goa) serta Maluku. Bentuk awal muzik ini disebut moresco, yang diiringi oleh alat muzik dawai. Dalam perkembangannya, sejumlah unsur tradisional Nusantara telah menyerap masuk seperti, penggunaan seruling serta beberapa komponen gamelan. Pada sekitar abad ke-19 bentuk muzik campuran ini sudah popular di kebanyakan tempat di Nusantara, bahkan hingga ke Semenanjung Malaya. Masa keemasan ini berlanjut sehingga sekitar tahun 1960-an, dan kemudian semakin hilang akibat masuknya gelombang muzik popular (muzik rock yang berkembang sejak 1950, dan berjayanya muzik Beatle dan sejenisnya sejak tahun 1961 hingga sekarang). Meskipun demikian, muzik keroncong masih tetap dimainkan dan dinikmati oleh berbagai lapisan masyarakat di Indonesia dan Malaysia hingga sekarang.
           
Pada mulanya muzik keroncong biasanya dipersembahkan di majlis-majlis jamuan atau pesta. Kini keroncong telah mula bertukar corak, sesuai dengan peredaran masa dan selera terutama cara persembahannya. Gubahan muzik keroncong dibuat untuk permainan pancaragam (orkestra) dan kumpulan gitar rancak Johor dan Program Pengembangan muzik Keroncong telah dilancarkan pada tahun 1997. Program ini bermula dengan pengambilan 5 orang tenaga pengajar keroncong dari Indonesia sehinggalah membawa kepada penganjuran beberapa buah bengkel asas kejurulatihan muzik keroncong. Bengkel ini telah diadakan dengan jayanya pada 15-18 Jun 1999 di Pusat Kegiatan Seni. Bengkel yang dilaksanakan berjaya melahirkan kumpulan muzik keroncong di beberapa buah daerah. Sehingga kini terdapat 11 buah kumpulan keroncong di Majlis-majlis Daerah di Johor seperti Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Segamat. Sepanjang tahun 2000, siri pertandingan muzik keroncong dan nyanyian lagu-lagu keroncong di seluruh daerah negeri Johor telah diselengarakan oleh Yayasan Warisan Johor.

Pada 14 Mac 2001, Pertandingan Nyanyian Lagu Keroncong Remaja dan Terbuka Johor telah dilangsungkan di Auditorium RTM, Pusat Penyiaran Sultan Iskandar Johor Bahru. Y.A.B. Dato  Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor dan Yang Berbahagia Datin Profesor Jamilah Ariffin turut hadir menyerikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut. Usaha untuk mengembangkan muzik keroncong ini melalui langkah-langkah yang inovatif dan berkesan akan diteruskan. Dengan sokongan padu semua pihak, muzik keroncong akan muncul sebagai muzik alternatif yang digemari ramai.

Muzik keroncong lebih condong pada progresi akord dan jenis alat yang digunakan. Sejak pertengahan abad ke-20 lebih kurang tiga jenis keroncong telah diketahui dan dapat dikenali dari pola progresi akordnya. Bagi pemuzik yang sudah memahami alurnya, mengiringi lagu-lagu keroncong sebenarnya tidaklah susah, sebab mencukupi dengan menyesuaikan pola yang berlaku. Pengembangan dilakukan dengan menjaga konsistensi pola tersebut. Selain itu, terdapat juga bentuk-bentuk campuran serta adaptasi. Muzik keroncong mempunyai tiga jenis iaitu, keroncong asli ia memiliki bentuk lagu A - B - C. Kebanyakan dibawakan sebanyak dua kuplet utuh (dari atas). Alur akordnya seperti tersusun di bawah ini: (A) | I , , , | I , , , | V , , , | V , , , | II , , , | II , , , | V , , , | V , , , | V , , , | V , , , | (B) | IV , , ,| IV , , ,|IV , , , | V , , , | I , , , | I , , , | V , , , | V , , , | I , , , | IV , V , | (C) | I , , , | IV , V , | I , , ,| I , , , | V , , , | V , , , | I , , ,|
 Keroncong asli kadang-kadang  bermula dengan prospel terlebih dahulu. Prospel merupakan  intro yang mengarah ke nada/akord awal lagu, yang dilakukan oleh alat musik melodi seperti seruling/flut, biola, atau gitar.

Jenis kedua ialah stambul, ia merupakan jenis keroncong yang namanya diambil dari bentuk sandiwara yang dikenal pada akhir abad ke-19 hingga pada awal abad ke-20 di Indonesia dengan nama Komedi stambul. Nama "stambul"  ini diambil dari Istambul di Turki. Ia memiliki dua tipe progresi akord yang masing-masing disebut sebagai Stambul I dan Stambul II. Stambul dimulakan oleh penyanyi itu sendiri, atau intro lagu bukan dari alat muzik melainkan dari penyanyi tanpa iringan instrumen terlebih dahulu. Contoh: Stb. Jauh Di Mata, Stb.II Dewa-dewi.

Keroncong yang ke tiga ialah langgam, bentuk lagu langgam ada dua versi. Yang pertama A - A - B - A dengan pengulangan dari bahagian A kedua. berbeza sedikit pada versi kedua, iaitu pengulangannya secara langsung pada bahagian B. Walaupun sudah memiliki bentuk baku, namun pada perkembangannya irama ini lebih bebas diekspresikan. Penyanyi yang arif mengenai keroncong ini seperti Hetty Koes Endang sering merekam lagu-lagu non keroncong dan langgam menggunakan irama yang sama, dan kebanyakan tetap dinamakan langgam. Alura kord-nya sebagaimana berikut:

| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , , | I , , , | I , , , |
| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , , | I , , , | I , , , |
|IV , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | II , , , | II , , , | V , , ,| V , , ,|
| I , , , | IV , V , | I , , , | I , , , | V , , , | I , , , | I , , , |

                                 (Dipetik dan diubahsuai daripada: http://www.indonesia_flasher.com)

ANALISIS

            Muzik keroncong bermula pada zaman keagungan agama Islam pada zaman dahulu lagi. Keroncong mula bertapak di Indonesia dan kemudian berkembang ke Tanah Melayu. Oleh kerana faktor kekurangan hiburan di Tanah Melayu, kemasukan lagu keroncong ke Tanah Melayu diterima baik oleh masyarakatnya pada masa itu dan ianya dijadikan sebagai salah itu hiburan. Muzik keroncong juga bukan sahaja untuk dijadikan lagu, malah turut dijadikan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis seperti perayaan, konsert-konsert beraneka ragam dan pertunjukan di hotel. Muzik keroncong boleh dipelbagaikan. Hal ini dapat dilihat dari dulu lagi kerana keroncong digunakan sebagai persembahan tetapi sekarang sudah terdapat perubahan dalam melodinya kerana telah diubahsuai dan telah ditambah dengan melodi baru zaman sekarang. Keadaan seperti ini membolehkan muzik keroncong menarik minat anak-anak muda zaman sekarang agar dapat mewujudkan perasaan minat akan muzik tradisional seperti ini. Kebiasaannya, keroncong memaparkan suatu sikap baik yang boleh memupuk nilai-nilai murni kepada yang mendengarnya dengan penghayatan.

Kemasukan seni muzik keroncong ke Tanah Melayu dapat menambahkan lagi seni kebudayaan kepada masyarakat Tanah Melayu dalam aspek kesenian dan budaya. Pada mulanya seni muzik keroncong yang dimainkan oleh masyarakat tempatan adalah lagu yang berasal dari Indonesia, namun secara perlahan masyarakat Tanah Melayu semakin berminat dan mencipta lagu-lagu keroncong bercorak keMelayuan. Perkara yang mengecewakan ialah seni muzik keroncong telah berubah dari yang asal akibat peredaran dek arus zaman, seni muzik ini semakin terhapus terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini disebabkan golongan remaja pada masa ini terdedah kepada muzik yang popular sahaja.  Walaupun seni muzik ini berasal dari negara jiran namun ia tetap dikekalkan dalam kebudayaan Melayu. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan program muzik keroncong yeng telah dilancarkan pada tahun 1997. Pelaksanaan program ini adalah untuk menjadikan muzik keroncong sebagai muzik altenatif yang digemari ramai disamping dapat membina jati diri generasi muda. Hasil daripada proses pembentukan jati diri ini menghasilkan modal insan yang memahami realiti diri, bangsa dan dapat memahami kekuatan budaya serta tamadun sendiri. Akhirnya generasi muda dapat menggunakan kekuatan pemahaman ini untuk mengharungi cabaran globalisasi ke arah menghasilkan masyarakat Melayu glokal.

3.0 PENGGIAT KERONCONG

            Pada awal kemunculan keroncong di Malaysia, lagu-lagu keroncong Indonesia sudah mula bertapak lama di Malaysia. Lama-kelamaan, selepas Perang Dunia Kedua, terdapat pencipta lagu tempatan yang mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P.Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada akhir-akhir ini Mahzan Manan dan Arif Ahmad.

(Sumber : Dipetik dan diubahsuai daripada buku  Seni Muzik Keroncong, Ariff Ahma,  2001)

BIODATA PENGGIAT

ZUBIR SAID (1907-1987)

Zubir Said dilahirkan pada 22 Julai 1907. Beliau merupakan anak sulung kepada seorang penghulu bernama Mohamad Said bin Sanang. Beliau memulakan karier muziknya di Singapura pada awal tahun 1930 -an dengan kumpulan bangsawan City Opera. Kerjaya sebagai pemimpin Orkestra Studio Malay Film Production (MPF) milik Shaw Brothers bermula pada tahun 1949 di mana beliau banyak menghasilkan lagu-lagu untuk filem. Lebih dikenali sebagai Pak Zubir, beliau dianggap guru kepada ramai penggubah lagu termasuk P. Ramlee. Lagu-lagu ciptaan beliau kebanyakkannya berunsurkan tradisional, moden dan patriotik. Antara lagu-lagu beliau yang popular sehingga hari ini ialah lagu Sayang Disayang nyanyian asal Rubiah dan telah dirakamkan semula oleh Katrina Dahari. Pak Zubir juga menghasilkan lagu-lagu untuk kanak-kanak seperti Semoga Bahagia, Orang Singapura dan satu kejayaan besar dalam hidupnya ialah lagu ciptaan beliau Majulah Singapura telah dipilih sebagai lagu kebangsaan Republik Singapura. Pak Zubir meninggal dunia pada tahun 1987 di Singapura.
 ( Sumber: Dipetik daripada buku P. Ramlee – Erti Yang Sakti, 1999)

AHMAD JA’AFAR 

Ahmad Ja’afar dilahirkan di Sumatera, Indonesia pada 30 Ogos 1919. Bapanya seorang ejen wayang gambar bisu sementara bapa saudaranya pula ialah seorang tukang biola yang menjadi penghias lagu-lagu hiburan semasa filem-filem bisu ditayangkan. Penglibatan seriusnya dalam bidang muzik bermula setelah berhijrah ke Singapura pada tahun 1946. Perkenalannya dengan pemuzik Osman Ahmad memudahkan laluannya untuk menjadi pemuzik di kota tersebut. Pada tahun 1950, beliau berpeluang mencipta lagu Ibu sebagai lagu tema filem yang sama tajuknya dan dinyanyikan oleh P. Ramlee. Beliau kemudian diberi kepercayaan menghasilkan lagu-lagu  untuk filem Penghidupan dan beberapa buah lagu lagi. Antara lagunya yang masih segar ialah Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Saloma. Lagu-lagu ciptaannya turut didendangkan oleh Ahmad Daud, Nona Asiah, dan R Azmi. Ahmad Ja’afar pernah mengasaskan Orkes Rayuan Kencana yang amat popular pada tahun1950-an kerana sering diundang oleh Radio Malaya di Singapura. Beliau turut memimpin Orkestra HMV untuk mengiringi rakaman lagu-lagu  P. Ramlee  ke piring hitam. Beliau kini mengajar muzik setelah bersara dari Perbadanan Penyiaran Singapura pada tahun1992.
 (Sumber: Dipetik daripada P. Ramlee - Erti  Yang Sakti, 1999)

P. RAMLEE (1929-1973)

Dilahirkan di   Pulau Pinang pada pagi Rabu, Hari Raya Aidilfitri, 22 Mac 1929, Teuku Zakaria merupakan anak tunggal kepada pasangan Teuku Nyak Puteh dan Che Mah Hussin. Beliau mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa, seterusnya di Penang Free School sehingga Free School sehingga Perang Dunia Kedua dimana beliau memasuki sekolah tentera Laut Jepun (Kaigun).

Penglibatan beliau dalam dunia muzik bermula dengan  menganggotai pancaragam ‘Sinaran Bintang Sore’ pancaragam ‘Teruna Sekampung’ seterusnya berpindah ke pancaragam ‘Mutiara’ dan menggabungkan diri dengan pancaragam keroncong pemuda Indonesia sebagai pemain biola utama. Kariernya dalam bidang seni muzik bermula selepas menang dalam pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang dimana beliau dilamar  oleh B.S. Rajhans seorang pengarah filem dari Shaw Brothers, Singapura. Di Studio Malay Film Production, Jalan Ampas Singapura, P. Ramlee ditugaskan sebagai penyanyi latar (playback singer) kepada S.Rommai Noor. Beliau berlakon dalam filem pertamanya iaitu Chinta dan diberi peluang untuk mengarah filem pertamanya, Penarik Beca yang membawa anugerah ‘Pengarah Terbaik’ pada tahun 1956.

            P. Ramlee menimba ilmu dalam bidang seni muzik dari komposer veteran seperti Zubir Said, Osman Ahmad dan Yusof B. Selain mencipta dan menggubah lagu, P. Ramlee juga menulis lirik bagi lagu-lagu ciptaannya. Oleh kerana hambatan tugas beliau meminta rakan setugasnya untuk membantu menulis lirik lagu iaitu S. Sudarmaji, Jamil Sulong, H. M. Rohaizad dan muridnya, Yusnor Ef. Airmata Di Kuala Lumpur merupakan lagu perpisahannya sementara Laksamana Do Re Mi adalah filem terakhir beliau. Sepanjang hayatnya beliau telah berlakon dalam 66 filem, mengarah 37 filem, mencipta banyak lagu dimana 250 buah lagu telah menjadi popular. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan sakit jantung.   
 (Sumber: Dipetik daripada buku Senandung Warisan, 2004)

ANALISIS

            Penggiat keroncong kebanyakkannya berasal dari Singapura  dan penglibatan awal mereka adalah dalam kumpulan-kumpulan yang memainkan alat muzik pada ketika itu. Pengiat seni muzik keroncong  ini berasal dari keluarga yang menetap di kawasan kampong. Oleh kerana itu, mereka mudah terdedah kepada muzik keroncong yang banyak dimainkan oleh masyarakat terutamanya golongan tua pada masa itu. Dengan pendedahan sebegitu, minat dalam jiwa mereka terhadap lagu keroncong telah menyebabkan mereka ingin belajar lebih mendalam terhadap muzik keroncong. Mereka bermula dengan mempelajari not-not muzik, kemudian bermain alat muzik dan akhirnya menghasilkan lagu keroncong. Pendedahan yang besar terhadap lagu keroncong pada masa dahulu telah memudahkan penggiat seni muzik keroncong ini menghasilakn lagu keroncong dan diterima oleh semua masyarakat pada ketika itu. Ditambah pula dengan kekurangan genre muzik lain, muzik keroncong mendapat tempat di hati masyarkat pada masa itu dan menggalakkan lagi penggiat seni muzik keroncong untuk menghasilkan lagu keroncong. Kini lagu keroncong ciptaan mereka masih lagi kedengaran dicorong-corong radio tetapi kurang mendapat sambutan daripada masyarakat dan seni muzik keroncong ini masih diteruskan oleh beberapa nama baru seperti Tan Sri S. M Salim dan M. Nasir  sehingga kini.                                     


 4.0 PENERUS KERONCONG 

            Sehingga kini, lagu keroncong masih lagi dimainkan oleh penggiat seni yang meminati muzik keroncong di persada seni muzik Malaysia. Dengan adanya penerus-penerus yang masih memperjuangkan seni muzik ini seperti M. Nasir, Tan Sri S.M. Salim, Katrina Dahari dan Yusni Hamid lagu keroncong tidak akan berkubur begitu sahaja dan ianya akan terus dikenali oleh generasi akan datang. Syarikat EMI(M) Bhd merupakan syarikat yang masih giat merakamkan lagu-lagu keroncong yang dihasilkan oleh penggiat-penggiat seni masa kini.

Biodata Penerus

M. NASIR

M.Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Bin Mohamad ialah seorang penyanyi, penggubah lagu, pelakon serta pelukis yang menetap di Malaysia. Beliau di lahirkan di Singapura pada 4 Julai 1957. Beliau juga dikenali dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia. Selain itu, M.Nasir merupakan pengasas Kumpulan Kembara pada tahun 80-an dan beliau adalah pemilik Luncai Emas Sdn.Bhd. Selaku komposer, beliau merupakan insan yang bertanggungjawab terhadap kegemilangan artis-artis terkenal tanah air antaranya Dato’ Siti Nurhaliza, Hattan, Misha Omar, Ziana Zain dan Mawi. Antara lagu ciptaannya ialah Sekuntum Mawar Merah, Mustika, Hati Emas, Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah dan Lagu Jiwa Lagu Cinta.

            Beliau juga telah banyak merakamkan album antaranya Sang Pecinta(2006), Kembara(1991), M. Nasir vs Ebiet G. Ade-Penyanyi Nusantara(2002) dan Senandung Sayang duet bersama Aishah(2001). Salah satu filem yang dibintanginya dan memberi impak yang cukup besar kepada rakyat Malaysia ialah Puteri Gunung Ledang dan beliau memegang watak sebagai Hang Tuah  yang turut digandingkan dengan Datin Tiara Jacquelina.

            Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang penggiat aktif yang meneruskan perjuangan seni muzik keroncong di Malaysia. Lagu keroncong beliau yang paling popular ialah Keroncong Untuk Ana. Oleh sebab itu, minatnya terhadap lagu keroncong amat mendalam. Beliau telah menyanyikan lagu Seri Kandi Cinta dalam versi irama keroncong.
(Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada http://wikipedia.org.my)

ARIFF AHMAD

                Ariff Ahmad ialah seorang yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan merupakan seorang karyawan tamu di Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah menceburkan diri dalam bidang kesenian selama 40 tahun dan berkhidmat di Radio Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti Malaya, Institut Teknologi Mara dan kini bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain menjadi pensyarah, beliau juga giat menerbitkan album dan filem untuk Radio Malaysia, Filem Negara Malaysia dan Universiti Malaya. Antara lain, beliau telah menerbitkan album sulung gesekan biola solo Hamzah Dolmat, album Gamelan Malaysia dan album Keroncong Selangor.

            Sebagai seorang penggiat seni muzik, beliau amat menggemari seni muzik keroncong. Hasil minat yang mendalam terhadap muzik keroncong, beliau telah berjaya menghasilkan sebuah buku yang bertajuk “Seni Muzik Keroncong” dan diterbitkan di Malaysia oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. Di dalam buku tersebut beliau menulis mengenai seni muzik keroncong, bentuk asas seni muzik keroncong, perkembangan lagu keroncong, lirik lagu keroncong dan nota lagu keroncong.

            Antara lagu-lagu yang telah beliau hasilkan ialah Alam Ria, Batu Belah, Bukit Kayangan, Bukit Melawati, Bumi Ilhamku, Dalam Ingatanku, Di Kala Senja, Empang Pecah, Jangan Menjeling, Suara Kasih, Yang Dipuja, Siapa Itu, Di Samping Mu dan Tiada Tanda. Semua lagu ini adalah hasil ciptaan beliau dan lagu yang dihasilkan adalah bercorak Melayu.
(Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada buku Seni Muzik Keroncong, 2001)


ANALISIS

Analisis yang dapat dibuat berdasarkan seni muzik keroncong ini ialah, pemain-pemain muzik pada zaman ini tidak begiti berminat untuk mempelajari muzik keroncong kerana ia memerlukan ketekunan mengikut peraturan yang dikehendaki.Hanya segelintir penggiat seni yang berminat untuk mengembangkan dan menjadi penerus kepada seni muzik ini seperti M.Nasir,Ariff Ahamd dan Yusni Hamid.Dari segi nilai komersial, seni muzik keroncong ini tidak begitu tinggi dan menarik.Mungkin disebabkna perkara inilah juga ramai penerbit muzik tidak berani mengambil risiko menanggung kerugian bagi menghasilkan album keroncong ini kerana pasarannya yang terhad.Tetapi seni muzik ini tidak boleh dibiarkan terus lenyap dalam industri muzik tanah air bagi menghargai perjuangan penggiat-penggiat terdahulu yang berusaha mengembangkan seni muzik ini.Namun, pada hakikatnya, seni muzik ini mungkin boleh diperkembangkan lagi jika adanya usaha-usaha untuk mempopularkannya kembali.Pihak-pihak tertentu seperti radio, televisyen, penerbit-penerbit album muzik dan video seharusnya memberi penumpuan kepada perkembangan muzik ini.Selai itu, seni muzik ini juga boleh dijadikan salah satu mata pelajaran dalam subjek muzik di Institusi-institusi Pengajian Tinggi.Oleh itu, sebagai generasi penyambung warisan, nilai sezaman harus disuntik agar generasi baru dapat mengenali dan menerima seni muzik ini.Namun begitu, nilai tradisional seni muzik ini tidak perlu diubah secara total agar keaslian muziknya dapat dikekalkan.



5.0 LAGU KERONCONG YANG POPULAR

Secara umumnya, lirik lagu keroncong memuja rasa cinta dan asmara, alam sekeliling, tanah air, dan bangsa atau mesej moral yang menjadikan keroncong sangat digemari.
Antara lagu irama keroncong yang popular di Malaysia ialah Selamat Tinggal Bungaku yang dihasilkan oleh Allahyarham Johar Bahar. Beliau merupakan seorang komposer yang terkenal di zaman 1940-an. Lagu Selamat Tinggal Bungaku ini dinyanyikan oleh Tan Sri S.M Salim.

Selamat Tinggal Bungaku

Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu di mana nak tujukan
Setitik airmata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira ku kirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik diri mu sendiri

Lagu : Johar Bahar/ Ahmad Wan Yet
Lirik : Johar Bahar

     
      Selain itu, antara lagu-lagu keroncong yang dihasilkan oleh Johar Bahar yang popular ialah Malaysia Tanah Airku, Banjaran Titiwangsa, Gunung Kinabalu. Lagu-lagu ini pernah dinyanyikan oleh beberapa penyanyi terkenal seperti Mariam Ahmad, Allahyarhamah Rafeah Buang, dan mendiang Broery Marantika.
      Semasa hayatnya, beliau giat memperjuangkan lagu-lagu dengan irama keroncong kerana beliau percaya bahawa irama yang lembut juga boleh membakar semangat patriotisme anak bangsa.
Keroncong Untuk Ana 1

Benarkah tiada bagiku
Ruang di hatimu untukku bertapak
Walaupun sejengkal jari
Agar dapat ku berdiri
Di ambang pintumu

1
Kemana
Hilangnya keroncong
Oh! cinta yang kita
Nyanyikan bersama

Ataupun
Aku yang bersalah
Hanya menepuk tangan
Sebelah saja

Ana.. Ana..
Ana.. Ana..

( ulang dari 1 )

Tiada ku sangka akhirnya
Kau tutup semua
Pintu cinta untukku
Hinggaku
Termanggu tiada
Arah nak ku tuju
Membawa hatiku
Lagu: M. Nasir
Lirik: S. Amin Shahab


Kuala Lumpur

Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat masyhor sangat permai
Kotanya bersih o o o o
Hawa nyaman saban hari

Hidup aman kelak bangsa
Satu hati o o o o
Ibu negeri Malaysia

Memperkenalkan makmur
Diserata dunia
Jikalau tuan ingin akan menghibur
Sila datang Kuala Lumpur

Kuala Lumpur ibu negeri
Sangat mashyor sangat permai
Kotanya bersih  o o o o
Hawa nyaman saban hari

Hidup aman kelak bangsa
Satu hati o o o o
Ibu negeri Malaysia

Memperkenalkan makmur
Diserata dunia
Jikalau tuan ingin akan menghibur
Sila datang Kuala Lumpur


Muzik: P. Ramlee
Lirik: Ainol Jamal
Penyanyi: Saloma
Filem: Ragam P. Ramlee


ANALISIS

          Melalui analisis yang dijalankan, alat-alat muzik keroncong sangat berkait rapat dengan alat-alat muzik gamelan. Alat-alat muzik keroncong mempunyai peranannya yang tersendiri dalam menghasilkan melodi yang indah dalam keroncong. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam persembahan keroncong juga lebih luas berbanding dengan persembahan muzik gamelan. Antara alat muzik keroncong ialah biola, seruling, gitar, cello, double bass dan cak. Muzik keroncong mungkin menambah alat-alat lain seperti alat gitar Hawaii, akordian atau vibrofon. Petikan gitar, bass dan ukulele dalam muzik keroncong seakan membawa sesiapa sahaja yang meminatinya ke daerah dan suasana yang berlainan.
          Walau bagaimanapun, bukan sebarang orang yang boleh memainkan alat muzik keroncong dengan baik. Petikan dan ketukan pada alat muzik keroncong perlu dilakukan seiring dengan melodi agar pendengar dapat merasai penyampaian muzik, lagu dan maksud-maksud tersirat yang terdapat pada lirik lagu keroncong tersebut. Alat-alat muzik sememangnya merupakan elemen yang penting dalam penyampaian muzik keroncong.

6.0 ALAT-ALAT MUZIK YANG DIGUNAKAN DALAM KERONCONG

 Di peringkat awal kelahiran muzik keroncong di Indonesia, alat-alat muzik gamelan telah digunakan bersama-sama alat-alat muzik keroncong yang dibawa oleh orang-orang Portugis. Melalui peredaran zaman, alat-lat muzik dari Barat seperti gitar, violin, cello, dan bass mula mengambil peranannya, menggantikan alat-alat muzik gamelan.

Violin(Biola)
Alat muzik bertali empat ini dimainkan dengan cara digesek dengan alat penggeseknya yang khas. Sebutan biasa alat ini ialah biola. Violin dan Viola mempunyai sedikit perbezaan. Viola lebih besar daripada violin dan bunyi viola lebih kasar. Violin digunakan dalam muzik keroncong sebagai alat melodi.

Seruling(Flute)
Sejenis alat muzik tiupan yang menghasilkan bunyi yang lembut dan gemalai sesuai dengan muzik keroncong.

Cuk(Ukulele)
Sejenis alat muzik bertali empat ini merupakan alat utama muzik keroncong.

Cak(TenorBanjo)
Alat muzik bertali empat ini berpasangan dengan cuk (ukulele) dan digunakan dalam muzik keroncong untuk meningkah bunyi rentak.

Gitar
Alat  muzik  bertali  enam  ini digunakan dalam muzik keroncong. Lazimnya dua buah gitar digunakan iaitu sebuah gitar rentak dan sebuah lagi gitar melodi.

Selo(Cello)
Alat  muzik  bertali  empat  ini  selalunya  dimainkan  dengan  cara  digesek. Walau bagaimanapun dalam muzik keroncong alat ini dipetik dengan ibu jari sahaja.


Double-Bass
Alat muzik paling besar ini mempunyai empat tali. Dalam Orkestra Simfoni alat ini dimainkan secara digesek, tetapi dalam muzik keroncong dimainkan dengan petikan jari sahaja. Untuk muzik keroncong tiga tali sahaja iaitu G, D dan A digunakan
.
  (Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada Pengantar Muzik Buku II, 1999)



ANALISIS

Melalui analisis yang dijalankan, lagu-lagu keroncong yang dihasilkan mempunyai nilai-nilai sentimental yang tersendiri. Setiap lagu mempunyai gaya penyampaian yang berbeza. Selain itu, setiap baris ayat mengandungi maksud yang mendalam berdasarkan tema lagu tersebut. Kebanyakan lagu yang dihasilkan bertemakan kenegaraan, percintaan terhadap ibu bapa mahupun kekasih serta semangat patriotik.

Lagu-lagu ini bukan sahaja diminati oleh golongan tua malah golongan muda juga turut mula meminati karya seni lagu keroncong ini. Ini kerana, rentak irama keroncong ini tidak terlalu berat untuk didengar. Rentak iramanya yang lembut pasti akan membuat pendengarnya merasakan ketenangan jiwa dan mengasyikkan.

Kini, rakyat Malaysia yang menggemari lagu-lagu keroncong ini boleh mendengar terus di corong-corong radio seperti Radio FM Klasik terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Di sini, para peminat lagu keroncong boleh mendapatkan maklumat berkaitan penyanyi serta lagu keroncong itu sendiri.

Oleh itu, lagu-lagu keroncong yang dicipta mempunyai nilai-nilai tertentu yang boleh dijadikan panduan serta pengajaran untuk kita semua. Dalam hal ini, anak-anak muda zaman sekarang perlu menanamkan minat untuk mendengar lagu-lagu seperti ini kerana ia dapat memberi impak yang besar dalam diri mereka serta dapat mengubah persepsi mereka terhadap lagu-lagu seperti ini.

7.0 KESIMPULAN

            Dari segi sifat dan konsep serta strukturnya, seni muzik keroncong sangat sesuai dengan Dasar Kebudayaan kita kerana seni muzik keroncong merupakan hasil adunan kesenian yang berteraskan kebudayaan asal masyarakat Melayu di rantau ini. Seni muzik keroncong di negara ini di lihat mempunyai masa depan yang baik kerana cita rasa muzik ini mempunyai keserasian dalam kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Seni muzik keroncong ternyata mempunyai falsafah keindahan tersendiri kerana alunannya yang sopan dan tertib. Seni muzik keroncong terhad kepada golongan orang-orang dewasa sahaja. Bagi mereka yang berjiwa muda, muzik keroncong seolah-olah tidak dapat masuk ke dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu, muzik keroncong kini semakin dipinggirkan kerana genre muzik hiburan yang lain lebih mendapat tempat di dalam jiwa mereka.

            Pelbagai cara dan usaha telah dijalankan dalam proses pengembangannya, namun penerimaannya masih ditahap yang lama. Media elektronik khususnya yang merupakan satu media yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang berkesan kepada masyarakat perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengembangkan lagi seni muzik keroncong kepada masyarakat masa kini. Pihak berkuasa media elektronik khususnya radio dan televisyen harus memainkan peranan yang lebih agresif bagi mempopularkan muzik tradisional khususnya muzik keroncong. Pihak siaran televisyen pula, program muzik keroncong harus diperkenalkan agar dapat ditonton, didengar, dan dihayati oleh seluruh rakyat.

            Secara keseluruhannya, diharapkan seni muzik keroncong dapat diperkembangkan lagi kepada generasi sekarang supaya tidak luput ditelan zaman. Muzik keroncong boleh dipelbagaikan agar dapat diterima di dalam jiwa remaja masa kini yang lebih berminat kepada genre muzik yang lain seperti hip hop dan rock. Hal ini membolehkan muzik keroncong akan terus dimartabatkan oleh generasi kini dan akan datang agar khazanah lagu rakyat dan tradisional ini terus hidup di dalam jiwa mereka. Dengan mengenal sejarah evolusi dan perkembangan lagu keroncong, serta lagu-lagu tradisional di dalamnya, diharapkan dapat menarik minat masyarakat tua dan muda, kemudian menghayati dan akhirnya melibatkan diri dalam menghargai nilai seni budaya bangsa.

8.0 BIBLOGRAFI

Arrif Ahmad (2001).”Seni Muzik Keroncong”. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan  
   Malaysia.
Tan Sooi Beng dan Patricia Matusky (1999). “Pengantar Muzik Malaysia, Buku II”. Pulau
   Pinang: Practical Printer. 46-51
Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006). “Lagu Rakyat Memupuk Kesantunan Melayu”.
   Hulu Kelang: Dewan Bahasa dan Pustaka. 276-289
Tan Sooi Beng dan Patricia Matusky (1997). “Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan
   Sinkretik”. Pulau Pinang: Sinaran Bros Sdn. Bhd. 343-451
Buku Ensiklopedia. Utusan Publication and Distribution.
Zubir Said (2004). “Senandung Warisan”. Arkib Negara Malaysia
Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (1999). “Erti yang Sakti- P. Ramlee”. Pelanduk Publication
   12-13
Hajah Noresah bt Baharom (1997). “Kamus Dewan Edisi Ketiga”. Hulu Kelang: Dewan     
   Bahasa dan Pustaka. 657























1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...