Friday 25 November 2011

PENCEMARAN

PENGENALAN
Alam sekitar merupakan anugerah semulajadi daripada Maha pencipta. Keindahan alam sekitar yang tidak dapat ditandingi ini harus dipelihara agar keasliannya berkekalan dalam jangka yang panjang. Adanya persekitaran yang bersih manusia dapat hidup dalam keadaan aman dengan udara yang segar lagi nyaman serta pemandangan yang memukau. Namun sejak akhir-akhir ini, arus pemodenan yang semakin pesat telah mendatangkan musibah kepada alam sekitar. Hal ini adalah disebabkan oleh berlakunya peningkatan pemodenan dan pembangunan. Dalam usaha untuk mengecapi kemajuan dan pemodenan yang semakin pesat kini telah menyebabkan pencemaran alam sekitar yang kritikal dan sangat berbahaya. Walaupun pembangunan dan pemodenan yang  dilakukan adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dari segi ekonomi dan sosial, namun bagi sesebuah negara yang sedang membangun misalnya tidak mampu mengelak dari masalah-masalah pencemaran alam yang berpunca daripada pelaksanaan pemodenan itu sendiri. Pencemaran merupakan satu topik yang selalu hangat diperkatakan, tetapi masalah ini tidak diambil serius oleh mereka yang bertanggungjawab. Sewajarnya tindakan perlu diambil demi mengatasi masalah pencemaran ini daripada terus menular dengan lebih bahaya kepada penduduk. Sebagai contoh, wujudnya kesan negatif  yang melanda alam sekitar kita yang dahulunya bersih dari bahan toksik dan bahan tercemar. Hal ini demikian kerana sungai pada masa dahulu amat sesuai untuk kegunaan harian tetapi kini sungai terlalu kotor dan jijik untuk dijadikan sebagai punca untuk kegunaan harian. Misalnya keadaan sungai di Klang dan di sungai Kelantan.
             

1.0 KONSEP
1.1 Pencemaran
Menurut kamus dewan edisi keempat pencemaran ialah perbuatan mencemarkan (mengotorkan), pengotoran;~ alam perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap. Menurut kamus pelajar terbitan khas KBSM pula pencemaran ialah perihal mencemari atau mencemarkan : pengotoran. Mengikut kamus AM cetaka ketiga tahun 2001 menyatakan bahawa pencemaran adalah pengotoran atau perbuatan mengotorkan.
Menurut Dr wong Yin Yi dalam blog Cikgujana Ibrahim, pencemaran alam sekitar membawa maksud perbuatan mencemarkan alam sekitar dengan unsur-unsur yang kotor. Maka sesuatu yang pada asalnya bersih dan dapat digunakan dengan baik dan selamat telah menjadi kotor dan mendatangkan mudarat apabila digunakan.
Menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekililing dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah yang menumblkan sesuatu keadaan berbahaya bukan  sahaja binatang tetapi juga manusi dan tumbuh-tumbuhan.

1.2 Pencemaran alam
Pencemaran alam bermaksud sebagai pembuangan benda-benda atau bahan yang terhasil dari perlaksanaan aktiviti pembangunan dan pemodenan ke alam sekitar yang menyebabkan tergangunya ekosistem dan kemandirian hidupan khususnya manusia. Pencemaran juga sesuatu perubahan secara langsung atau tidak langsung terhadap sifat-sifat fizikal, haba , kimia dan biologi dengan mengeluarkan dan melepaskan bahan-bahan yang berbahaya kepada manusia dan hidupan-hidupan liar yang lain. Pencemaran alam sering menghantui pemikiran manusia tetapi segelintirnya hanya memejam sebelah mata mengenai masalah ini yang semakin parah mendekati manusia. Oleh itu, kesan-kesan negatif pencemaran alam harus ditangani dengan secepat mungkin dengan langkah-langkah yang terbaik.  Pencemaran alam yang boleh diklasifikasikan  kepada empat iaitu udara, air, tanah dan bunyi.
1.3 Udara
Mengikut kamus pelajar, udara bermaksud campuran berbagai-bagai gas yang terdapat di muka bumi. Selain itu ia juga membawa erti ruang muka bumi yang berisi hawa, angkasa. Mengikut kamus dewan edisi ketiga pula, udara ialah campuran pelbagai jenis gas yang terdapat di atas muka bumi. Selain itu ia menunjukkan ruang di atas bumi yang berisi, hawa, angkasa atau awang-awang.
1.4 Air
Mengikut kamus AM air merupakan barang cair yang biasa kita minum, untuk mandi dan sebagainya. Mengikut kamus dewan edisi keempat pula, air ialah cecair yang terbentuk daripada dua bahagia hidrogen dan satu bahagian oksigen (dalam keadaan yang murni, tidak mempunyai warna, bau atau rasa.)
1.5 Tanah
Mengikut kamus dewan edisi ke tiga dan keempat ialah lapisan bumi yang diatasnya sekali atau keadaan bumi di sesuatu tempat.
1.6 Bunyi
Mengikut kamus dewan edisi ketiga dan keempat ialah sesuatu yang kedengaran atau dapat didengar selain suara manusia. Takrifan bunyi bising pula yang dapat diterima oleh orang ramai ialah ‘bunyi yang tidak dikehendaki’. Namun begitu, dalam kalangan badan kehakima dan perundangan, definisi yang tepat agak sukar diterima kerana ia berkaitan dengan kesukaran mengukur dan menilai bunyi secara objektif (kerse, 1975)
Keempat-empat unsur ini merupakan anugerah semulajadi oleh-Nya. Dan kita sebagai manusia yang hidup dimuka bumi ini harus menggunakannya kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain. Namun akibat kerakusan manusia keempat-empat unsur ini semakin lama semakin terjejas akibar daripada aktiviti seperti peridustrian, pertanian, pelancongan dan banyak lagi.

2.0 PUNCA-PUNCA PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Pelbagai punca yang telah dikenalpasti dalam menyumbang kepada pencemaran alam sekitar antaranya ialah melalui perindustrian. Sektor perindustrian terutamanya industri getah, kimia dan eletronik telah banyak memberikan kesan negatif keatas alam sekitar. Malahan pengeluaran yang semakin meningkat dari kilang-kilang tersebut telah meningkatkan pembebasan bahan pencemar yang terdiri daripada bahan organik atau bukan organik, gas dan habuk. Pembebasan gas yang merbahaya secara berlebihan menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Kebiasaannya asap yang dibebaskan  mengandungi gas atau bendasing yang merbahaya seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida, hidrokarbon dan sebagainya.
Namun begitu, setiap kilang menghasilkan bahan pencemar yang berbeza. Contohnya, industri kimia melepaskan kimia yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Indusri logam pula mengeluarkan gas sulfur dioksida dan habuk toksid.  Hal ini sudah pasti mampu meningkatkan kadar pencemaran udara terutama di kawasan-kawasan perindustrian.
Selain pelepasan bahan toksid ke udara, pembangunan zon industri tanpa pembangunan terperinci dan terancang akan mengakibatkan pencemaran bunyi. Hal yang demikian adalah disebabkan oleh bunyi mesin, kipas-kipas ekzos dan pelbagai jenis enjin menghasilkan paras bunyi yang tinggi. Contoh kilang yang menghasilkan paras bunyi yang tinggi adala kilang PERWAJA STEEL di Kemaman, Terengganu. Selain itu juga, perindustrian turut menyumbangkan kepada pencemaran air. Sungai-sungai yang berada berhampiran dengan kilang sering menjadi mangsa apabila sisa-sisa toksid dialirkan ke sungai tersebut. Pembuangan sisa-sisa toksid kedalam sungai ini akan menyebabkan berlakunya pencemaran sungai yang teruk. Sisa-sisa toksid tersebut mempunyai pelbagai bahan kimia yang merbahaya yang mampu menyebabkan perubahan dari segi warna, bau dan juga kandungan air sungai.
            Selain itu juga, pertanian turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. pertanian secara ladang atau pertanian secara besar-besaran mampu menyumbangkan kepada pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran tanih. Penggunaan teknologi pertanian seperti baja kimia dan penggunaan racun serangga mampu menyumbangkan kepada peningkatan kadar pencemaran tanih. Penggunaan racun serangga dan baja kimia yang berlebihan ini turut menyebabkan berlakunya pencemaran air sungai. Apabila hujan turun di kawasan tanaman ini, ia akan mengakibatkan aliran air hujan akan memasuki tanah dan membawa bersama bahan kimia ke sungai. Seterusnya, air larian permukaan turut membawa sisa-sisa tanaman ke dalam sungai. Hal ini mampu menyebabkan sungai menjadi keruh dan tercemar.
            Kegiatan penternakan seperti penternakan kambing, lembu, babi dan sebagainya yang  berhampiran dengan sungai juga turut menyumbang kepada pencemaran khususnya pencemaran sungai. Sesetengah penternak yang tidak bertanggungjawab sering mengabaikan kebersihan sungai dengan membuang najis haiwan  dan sisa makanan ternakan mereka ke sungai. Selain itu, bangkai haiwan ternakan juga turut dibuang kedalam sungai yang akhirnya mencemarkan sungai di kawasan tersebut. Hal ini menyebabkan berlakunya peningkatan bakteria dalam air terutamanya E coli, cacing nomatob dan mikro lain.
            Selain daripada itu, pencemaran alam sekitar juga disebabkan oleh faktor perbandaran. Kawasan perbandaran terutamanya bandaraya memiliki kepadatan penduduk yang tinggi. Pertambahan peluang pekerjaan dibandar menyebabkan berlakunya migrasi penduduk ke kawasan kota. Hal ini telah mendorong wujudnya masalah sistem kumbahan. Oleh yang demikian, pemaju mengenakan jalan singkat dengan mengalirkan sistem kumbahan ini ke sungai. Tambahan pula pembangunan yang pesat menjadikan kawasan tersebut terdedah kepada pencemaran. Peningkatan bilangan kenderaan telah meningkatkan pencemaran udara. Kebanyakan kenderaan bermotor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api fosil. Hal ini kerana kenderaan bermotor membebaskan asap dan gas-gas tercemar seperti gas carbon monoksida dan karbon dioksida. Selain itu juga, pencemaran bunyi juga turut berlaku akibat daripada pembinaan bangunan. Bunyi jentera dan juga mesin bagi tujuan ini sangat kuat tambahan pula bunyi kenderaan memungkinkan berlakunya pencemaran bunyi yang tinggi di kawasan ini.
            Sektor pelancongan juga turut menyumbang kepada pencemaran alam. Pertambahan bilangan hotel di kawasan pelancongan menyebabkan berlakunya tanah runtuh dimana hal ini mampu menyebabkan pencemaran sungai. Apabila hujan berlaku, ia akan menyebabkan berlakunya air larian permukaan yang akhirnya membawa sisa tanah runtuh ke sungai. Hal ini akhirnya menjadikan sungai berkelodak dan akhirnya mencemarkan sungai. Sisa kumbahan daripada hotel-hotel dan chalet yang dialirkan ke sungai turut menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Semestinya kawasan pelancongan merupakan kawasan tumpuan pelancong tidak mengira sama ada dari dalam mahupun luar negara. Sudah semestinya juga ia akan meningkatkan sisa buangan sampah sarap.
            Sektor perikanan juga turut menyebabkan berlakunya pencemaran terutamanya pencemaran sungai dan laut.  Tumpahan minyak daripada bot-bot nelayan di kawasan laut dan juga sungai mengakibatkan berlakunya pencemaran air. Selain itu, nelayan laut dalam juga sering membuang sampah serta sisa makanan mereka ke dalam laut. Hal ini telah memberikan kesan buruk kepada hiduapan akuatik.
            Sikap masyarakat pada hari ini juga mampu menjadi faktor utama yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar. sikap mereka yang suka membuang sampah dimerata-rata tempat menjadikan kawasan petempatan mereka dipenuhi sampah sarap. Sikap mereka yang hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk membersihkan kawasan mereka menyebabkan kebersihan di tempat mereka semakin merosot. Sampah sarap yang berlonggok di tepi jalan menyebabkan berlakunya pencemaran bau yang mengundang ketidakselesaan penduduk setempat. Selain itu juga, para penduduk terutamanya di kawasan luar bandar lebih gemar melakukan pembakaran terbuka bagi melupuskan sampah sarap. Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran udara apabila gas karbon dioksida dibebaskan secara berlebihan ke udara. Selain itu, masyarakat pada masa kini sering bergantung kepada teknologi moden seperti peti sejuk dan pekakasan eletrik yang lain. Perkakasan eletrik ini banyak membebaskan gas CFC yang menyebabkan berlakunya penipisan ozon. Selain itu, penyembur serangga atau aerosil juga turut mempunyai gas CFC yang mampu menyebabkan pencemaran udara.
            selain itu juga, aktiviti penerokaan tanah melalui sektor pembalakan juga turut mengundang kepada pencemaran alam sekitar seperti pencemaran bunyi, pencemaran air, dan pencemaran udara. Penerokaan ini biasanya adalah bertujuan untuk membina kawasan petempatan dan juga kawasan kilang selain bagi tujuan mendapatkan sumber kayu kayan. Penggunaan jentera dan juga mesin-mesin bagi melakukan penebangan dan pemprosesan kayu menghasilkan bunyi yang berfrekuensi tinggi yang akhirnya berlaku pencemaran bunyi di kawasan berkenaan. Selain itu juga, pembakaran kawasan hutan ini turut menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Selain itu pencemaran air pula berlaku akibat air larian permukaan yang membawa sisa-sisa hasil pembalakan ke sungai. Seperti yang berlaku di Lojing, Kelantan beberapa tahun yang lepas yang telah menjadikan sungai dikawasan berkenaan keruh dan kotor.
            Faktor-faktor semulajadi juga mampu menyebabkan pencemaran alam sekitar. Antara kejadian semulajadi yang sering dikaitkan dengan pencemaran alam ialah gempa bumi, letusan gunung berapi dan juga pembakaran hutan secara semulajadi. Letusan gunung berapi menyebabkan berlakunya pembebasan debu-debu dan habuk ke atmosfera menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Manakala pembakaran hutan secara semulajadi pula menyebabkan berlakunya pembebasan karbon dioksida secara berlebihan ke udara yang turut menyebabkan berlakunya pencemaran udara. Pembakaran hutan secara semulajadi ini biasanya disebabkan oleh kemarau yang panjang. Oleh itu api ini lebih mudah merebak dan amat sukar untuk dipadam. Oleh itu ia mampu menyebabkan berlakunya jerebu seterusnya menyebabkan pencemaran udara secara meluas seperti yang berlaku di Indonesia sehingga mengakibatkan berlakunya jerebu di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di sekitar negara kita.

3.0 CABARAN TERHADAP ISU-ISU PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Dalam arus globalisasi yang mencapai ke arah pemodenan kini negara kita semakin hampir menuju ke arah negara maju. Namun dalam jangka masa yang ingin dicapai itu pelbagai halangan perlu ditempuhi terutamanya pencemaran yang berlaku di negara kita. Lihat saja di mana-mana pasti akan ada berita mengenai pencemaran alam sekitar. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan sikap manusia yang leka mengejar arus pemodenan sehinggakan persekitaran diabaikan. Pencemaran yang berlaku telah memberi kesan yang buruk kepada persekitaran seperti berlakunya banjir kilat. Banjir kilat bermaksud kenaikan paras air secara tiba-tiba dan surut dengan tiba-tiba. Kejadian banjir kilar biasanya berlaku di kawasan bandar-bandar besar yang mempunyai taburan penduduk yang padat serta kadar penbinaan yang tinggi. Ia berlaku adalah disebabkan oleh aliran permukaan pesat akibat berlakunya perubahan guna tanah. Kebanyakan kawasan di bandar-bandar memiliki permukaan yang bersifat tidak telap air seperti simen dan konkrik. Selain itu keadaan alur sungai dan longkang yang tersumbat membawa kepada berlakunya pemendapan kelodak serta kejadian hujan ribut seperti hujan ribut perolakan yang lebat. masalah ini berlaku adalah berpunca daripada sikap masyarakat yang suka membuang sampah ke dalam sistem saliran. Contoh terdekat yang boleh kita ambil adalah kejadian banjir kilat yang berlaku di bandaraya Kuala Lumpur.

Selain itu, pencemaran yang berlaku turut menyebabkan kepada berlakunya hujan asid. Kejadian hujan asid berlaku adalah disebabkan oleh hujan yang turun dan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas yang terdapat di atmosfera. Aktiviti perkilangan yang mengeluarkan gas-gas beracun seperti karbon monoksida serta sulfur dioksida boleh menyebabkan berlakunya kejadian hujan asid. Ia boleh membawa kesan buruk kepada persekitaran, haiwan dan tumbuhan. Hujan asid yang berlaku boleh memusnahkan tumbuhan dalam tasik serta hidupan akuatik seperti plakton dan memberikan kesan kepada pembiakan ikan dan amfibia. Ia berlaku adalah disebabkan oleh penurunan nilai PH di dalam air. Selain itu juga kejadian hujan asid turut memberi kesan kepada manusia, mereka yang terkena hujan asid menyebabkan kulit mereka menjadi kemerah-merahan dan mengelupas. Selain manusia hujan asid juga memberi kesan kepada bangunan, kadar asid yang tinggi akan menyebabkan berlakunya hakisan seperti cat-cat pada bangunan. Ia juga boleh melunturkan dan merosakkan cat kereta serta boleh membawa kepada pengaratan barangan besi.
Antara kesan negatif yang seringkali dikaitkan dengan pencemaran alam sekitar ialah mampu menjejaskan kesihatan. Penggunaan air yang tidak bersih akibat pencemaran boleh menyebabkan pelbagai penyakit antaranya penyakit taun, penyakit kulit dan sebagainya. selain daripada itu, pencemaran udara juga mampu menjejaskan kesihatan manusia. Manusia mungkin akan mengalami masalah pada jantung akibat menyedut terlalu banyak udara yang tidak bersih. Pencemaran ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan manusia namun ia turut menjejaskan kesihatan haiwan. Haiwan juga bergantung kepada persekitaran yang bersih untuk hidup dengan sihat. Apabila haiwan khusunya haiwan ternakan terdedah dengan pencemaran khususnya pencemaran air, ia pasti mengundang pelbagai jenis penyakit seperti penyakit kuku dan mulut. Hal ini akan memberikan kesan kepada manusia yang memakan haiwan ternakan tersebut. Penggunaan kereta yang bertambah pesat yang berlaku kini berbanding dengan tahun 1950-an dan 1960-an dahulu turut meninbulkan banyak masalah pencemaran seperti pencemaran udara, bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi yang kita sedia maklum. Pengeluaran gas menoksida daripada kenderaann bermotor iaitu sejenis gas beracun. Gas ini boleh membunuh sekiranya ia tekumpul dalam kawasan tertutup. Di samping itu juga, kehadiran bahan kimia dalam kendaraan bermotor seperti plumbum boleh memyebabkan berlakunya kerosakan otak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

            Selain itu juga, pencemaran turut menyebabkan berlakunya kesan rumah hijau. Pertambahan gas- gas merbahaya dalam udara seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen menyebabkan berlakunya peningkatan suhu setempat. Hal ini demikian kerana bahan-bahan dan gas tersebut merupakan penyerap haba yang baik. Oleh itu gas tersebut akan menyerap haba yang terkandung dalam udara dan juga memerangkap haba daripada sinaran cahaya matahari. Selain itu juga gas-gas ini berupaya mengurangkan kandungan air dalam udara. Hal ini seterusnya mampu menyebabkan berlakunya pulau haba terutamanya di kawasan bandar. Selain itu ia turut menyebabkan berlakunya kemarau.
Pencemaran turut menyebabkan berlakunya kepupusan terutamanya kepupusan hidupan akuatik. Tumpahan minyak di kawasan-kawasan laut menyebabkan udara tidak dapat masuk ke dalam air. Hal ini disebabkan oleh sifat minyak yang tidak sebati dengan air yang akhirnya menutupi permukaan air. Hal ini telah menhalang kemasukan oksigen ke dalam air yang akhirnya menyebabkan spesis hidupan air kekurangan oksigen seterusnya mengalami kepupusan. Pencemaran akuatik juga turut memberi kesan kepada tumbuhan akuatik. Misalnya, pencemaran tumpahan minyak di kawasan laut menyebabkan ganguan terhadap pembesaran dan pertumbuhan plankton.

4.0 PENDEKATAN DALAM MENGATASI ISU PENCEMARAN ALAM SEKITAR      
Dalam arus pemodenan dan pembangunan yang pesat kini, pencemaran yang berlaku telah memberi impak kepada alam sekitar serta semakin mengancam keselesaan kehidupan manusia. Oleh itu, dalam menangani masalah ini kita haruslah mempunyai jalan alternatif yang terbaik agar arus pemodenan yang pesat berlaku ini diteruskan tanpa menjejaskan ekosistem dan kemandirian hidupan khususnya manusia. Antara langkah yang dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam ialah melalui teknologi media cetak. Peranan media massa  amat penting kerana kemajuan teknologi tersebut berfungsi sebagai penyampai  maklumat. Oleh itu, adanya media massa ini ia dapat menyebarkan maklumat mengenai kepentingan alam sekitar. Hal ini demikian kerana, media cetak dapat menyalurkan maklumat-maklumat yang dapat menyedarkan penduduk tentang pentingnya menjaga alam sekitar dengan penuh tanggungjawab dan rasional. Sebagai contoh, pencetakan melalui surat khabar mengenai kesedaran yang tinggi terhadap alam sekitar serta sikap cintakan alam sekitar. Di samping itu, teknologi media cetak juga boleh menerbitkan buku-buku dan risalah yang berkualiti mengenai alam sekitar dan kepentingan air, udara dan tanih. Hal ini dapat membantu golongan masyarakat mendapat ilmu pengetahuan yang baru dan dapat mengatasi masalah pencemaran alam.
Selain itu, media elektronik juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah pencemaran alam dengan lebih kreatif. Adanya teknologi ini secara tidak langsung ia dapat menyampaikan maklumat mengenai kesedaran untuk memeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui iklan-iklan, rancangan televisyen dan berita. Hal ini demikian kerana, apabila kaedah media elektronik dilakukan ini dapat menarik lebih ramai golongan lapisan masyarakat untuk melihat dan mendengar berita mengenai pencemaran alam yang berlaku di sekeliling mereka. Sebagai contoh, iklan kartun yang menceritakan keburukan membuang sampah dan rancangan televisyen seperti Majalah Tiga (M3) yang sering memaparkan pemasalahan pencemaran alam dan langkah mengatasi masalah tersebut.
Selain itu, penggunaan teknologi moden juga merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam. Sebagai contoh, tanpa kemajuan teknologi moden manusia tidak mampu membersihkan tumpahan minyak di laut dan membersihkan sungai. Adanya kemajuan teknologi moden ia dapat mengubah cara mengeksploitasikan alam sekitar dengan baik dan tanpa menjejaskan alam sekitar. Peningkatan kemajuan teknologi yang semakin moden kini dapat mengurangkan pencemaran udara dengan penciptaan alatan canggih seperti penapis asap ekzos kenderaan dan asap dari kilang-kilang perindustrian. Hal ini dapat mengurangkan kandungan karbon monoksida dan sulfur oksida di ruang atmosfera dengan lebih sistematik. Selain itu, dengan adanya teknologi rawatan air yang moden ia dapat merawat dan menapis air kumbahan atau sisa-sisa buangan kilang sebelum di lepaskan ke dalam sungai atau laut dengan selamat dan bersih. Peningkatan teknologi Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) semakin maju telah mencetuskan penyelidikan ke atas minyak kelapa sawit sebagai pengganti bahan api dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar. Hal ini dapat mengurangkan pengeluaran asap plumbum yang menjejaskan kualiti udara bersih di atmosfera.
Teknologi moden dapat mengatasi masalah pencemaran alam dengan menguruskan sisa pepejal seperti kaca, kertas, bahan plastik dan getah melalui teknologi kitar semula. Teknologi kitar semula merupakan langkah untuk mengurangkan tempat pelupusan sampah dan pembaziran bahan mentah kerana sisa pepejal itu dapat dijadikan bahan terpakai. Secara tidak langsung, dapat mengelakkan pembuangan sampah dan sisa toksik ke dalam sungai yang menyebabkan pemcemaran air berlaku. Selain itu, teknologi kitar semula juga dapat dapat mengurangkan penggunaan sumber mentah seperti pokok kerana kertas yang dihasilkan dari pokok telah dikitar semula. Hal ini dapat mengelakkan berlakunya pemcemaran tanah seperti hakisan tanah, pembalakan haram dan pembakaran terbuka yang menyebabkan pencemaran udara.
Di samping itu juga, organisasi-organisasi tertentu seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbangkan kepada kebersihan alam sekitar. Misalnya guru-guru di sekolah, mereka harus menanamkan sikap prihatin kepada alam sekitar melalui pendidikan moral di sekolah serta mengadakan pertandingan antara kelas bagi kelas yang paling bersih agar para pelajar mempunyai sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Balai rakyat pula boleh mengadakan pertandingan, misalnya pertandingan kedai makan, kawasan kejiranan yang terbersih untuk  mengurangkan disamping mengatasi masalah pencemaran berlaku. Selain itu, kita sebagai individu turut memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang  harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh digunakan semula, menggunakan barang-barang yang dibuat daripada barang yang diproses semula dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan. Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa juga kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan daripada pencemaran yang berterusan berlaku.
Tidak ketinggalan juga perundangan daripada pihak kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku kini. Pelbagai undang-undang telah digubal oleh bertujuan untuk mengawal kualiti alam sekitar. Misalnya akta Kualiti Alam Sekitar. Peraturan ini dibahagikan kepada enam bahagian termasuklah peraturan kenderaan bermotor yang mengehadkan pelepasan asap kenderaan secara berlebihan iaitu dihadkan kepada 50 HDU. Selain itu dalam akta ini mengandungi peraturan kualiti alam sekitar, di bawah akta ini ada mengatakan had jarak kawasan industi dengan kawasan  kediaman kepada 1000 meter. Akta ini dibuat adalah bertujuan untuk memelihara kualiti alam sekitar disamping untuk melindungi manusia agar tidak dijangkiti dengan pelbagai penyakit. Tanggungjawab untuk menjamin sebuah negara yang bersih bukan sahaja dipikul oleh pihak kerajaan malah institusi pendidikan turut berperanan dalam menangani masalah pencemaran yang berlaku. Sebab-sebab pendidikan alam sekitar perlu ialah kerana ia dapat membentuk sikap positif diri terhadap alam sekitar. Dengan adanya kesedaran dalam setiap diri seseorang individu mereka akan sedar tentang betapa pentingnya menjaga kualiti alam sekitar. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) iaitu dalam matapelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah  pula ialah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) khususnya dalam matapelajaran sains seperti biologi. Pada peringkat ketiga pula ialah pada peringkat pengajian tinggi iaitu melalui kursus Sains Alam dan Biologi. Pendedahan kepada pelajar tentang alam sekitar merupakan cara awal untuk memupuk mereka agar menjaga kebersihan persekitaran supaya alam sekitar bersih dan berkekalan untuk generasi seterusnya.
Selain itu, kempen kesedaran alam sekitar boleh dijalankan untuk menghebahkan masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran. Pihak kerajaan telah menjalankan banyak kempen kesedaran mengenai alam sekitar, namun keberkesanan melalui kempen tersebut amat menyedihkan dan tidak mendapat tumpuan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana kempen yang dijalankan hanya dapat memberikan kesedaran dalam jangka masa singkat. Jadi pihak kerajaan telah membuat lebih banyak inisiatif misalnya membuat tayangan mengenai tahap kebersihan di setiap kawasan di malaysia agar penduduk lebih cenderung dalam menjaga kebersihan di kawasan mereka, menampalkan lebih banyak memo dan gambar berkenaan kebersihan di setiap kawasan samaada kawasan bandar mahupun luar bandar . Disamping itu, kerajaan turut menjalankan kempen pada setiap bulan agar masyarakat lebih mengingati bahawa pentingnya menjaga kebersihan persekitaran.
Perbandaran lestari yang ingin dicapai oleh kerajaan kita juga adalah langkah yang baik. Konsep perbandaran dalam taman yang kini sedang dalam proses turut membantu untuk mengurangkan berlakunya pencemaran alam. Hal ini demikian kerana tumbuhan akan memainkan peranan yang penting untuk menyeimbangkan kadar pencemaran udara di kawasan bandar terutamanya. Pokok-pokok yang ditanam berfungsi sebagai pemerangkap habuk dan ini sekaligus dapat mengurangkan kadar pencemaran udara.
Selain itu, kerjasama serantau juga amat penting dalam mengatasi pencemaran terutamanya pencemaran udara dan pencemaran laut. Terdapat empat buah negara yang sering berkongsi perairan iaitu singapura, Thailand, Indonesia dan Malaysia. Indonesia dan Malaysia telah banyak memainkan peranan dalam menjaga perairan. Kedua-dua negara ini melalui ASEAN telah banyak menyalurkan pendapat bagi isu-isu Selat Melaka. Satu rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Kontigensi Kebangsaan Mengawal Tumpahan Minyak telah diadakan di Jabatan Alam Sekitar. tujuan rancangan ini diadakan adalah bagi melakukan tindakan serta merta jika berlaku tumpahan minyak di perairan Malaysia. Bagi pencemaran udara pula, kerajaan Malaysia sering menghantar bantuan bagi memadamkan kebakaran yang berlaku di kawasan hutan seperti hutan di Sumatera, Indonesia. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya jerebu akibat pelepasan gas serta habuk daripada pembajkaran hutan secara besar-besaran.



5.0 PENDAPAT TOKOH
Menurut pendapat Datuk M.Hafiz Ali semua rakyat Malaysia telah mengetahui dan menonton tentang kesan buruk pencemaran di televisyen atau internet. Baginya kesan yang amat dirasai sekarang adalah akibat daripada pencemaran udara iaitu pemanasan global yang semakin meningkat daripada hari ke hari. Menurutnya pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia. Di samping itu juga berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, pemusnahan ozon dan hujan asid. Menurutnya juga, pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup. Baginya juga terdapat sejenis lagi unsur yang boleh terhasil iaitu melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Selain itu, menurutnya berlaku pencemaran air. Apa yang kita ketahui pencemaran air berlaku akibat daripada aktiviti perindustrian, pertanian, penternakan, perbandaran, pelancongan, perikanan serta sikap masyarakat. Menurut Datuk M.Hafiz lagi pencemaran air berlaku buka sahaja dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan lain. Antara kesan yang berlaku ialah seperti kematian organisma laut di perairan cetek kesan daripada tumpahan minyak ke laut. Menurut beliau, apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak ia boleh mengancam kehidupan laut serta burung dan ini sekaligus menjejaskan sumber pendapatan nelayan.



KESIMPULAN
Tuntasnya, arus pemodenan yang semakin maju telah membawa satu perubahan luar biasa kepada kawasan dan cara kehidupan masyarakat pada masa kini. Pemodenan daripada segi teknologi dan pembangunan secara meluas sememangnya memberi kesan positif kepada negara dalam kegiatan ekonomi mahupun sosial. Walau bagaimanapun, setiap perubahan positif melalui pemodenan yang pesat turut memberi kesan negatif terhadap kawasan dan kehidupan masyarakat. Oleh itu, kesan perubahan pemodenan yang berterusan telah menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku dan permasalahan itu tidak dibendung dengan rasional dan terbaik. Rancangan pemodenan dan pembangunan teknologi merupakan sesuatu yang baik bagi meningkatkan kemajuan sesebuah Negara, namun disebabkan kecuaian manusia itu sendiri keadaan telah menyebabkan pencemaran alam sekitar sperti pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran tanah dan pencemaran bunyi. Kecuaian manusia menggunakan teknologi yang moden juga menjadi faktor utama berlakunya pencemaran alam sekitar dengan meluas melepasi sempadan atau pencemaran global. Kemajuan dalam bidang  perindustrian, pertanian, perikanan, pelancongan serta beberapa lagi industi sebenarnya membawa kesan kepada alam sekitar.
            Oleh itu, langkah-langkah yang efektif perlu diambil agar dapat membendung pencemaran alam sekitar dengan sistematik. Tuntasnya, semua pihak yang terlibat haruslah berkerjasama memelihara alam sekitar agar dapat mengekekalkan kebersihanya dan keindahan alam ciptaan Tuhan yang Esa ini. Kita hendaklah sedar dan prihatin terhadap kebersihan alam sekitar agar generasi akan datang turut dapat menukmatinya. Oleh itu, setiap insan yang hidup di dunia ini berperanan menjaga alam sekitar agar terus bersih dan selamat untuk didiami oleh semua makhluk yang bernyawa.



BIBLIOGRAFI


Ancaman Serius Pemanasan Global – oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar, diterbitkan oleh Harian Metro, 26 mei 2009.

Dampak pencemaran lingkungan –oleh Wisnu Arya Wardhana,penerbit Andi Offset Yog Yakarta,cetakan edisi kedua, 1999.

Dewan Bahasa dan Pustaka – kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edis keempat, DBP.

http: // znr.tripot.com/ rencana

Pencemaran bunyi bising – oleh Mansor Ibrahim dan Mohd Asri Abu Bakar, diterbitkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor Darul Takzim, 19997.

Penilaian Kesan-kesan Alam Sekitar – oleh Abdullah Mohamad Said, diterbitkan oleh Institusi Teknologi MARA, Shah Alam, 1992.







1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...