Wednesday 2 November 2011

SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA (SUHAKAM): PERANAN DAN BIDANG KUASA

SEJARAH PENUBUHAN SUHAKAM

            Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ini ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulungnya pula diadakan pada 24 April 2000.

            Penyertaan Malaysia yang aktif di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Commission for Human Rights-UNCHR) telah menyebabkan Malaysia juga berusaha menubuhkan sebuah institusi hak asasi manusia pada peringkat nasional pada tahun 1993 hingga 1995. Pada waktu itu, Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Seterusnya pada tahun 1995, Malaysia diberi penghormatan iaitu dilantik sebagai Pengerusi sesi ke-52 UNCHR. Ketua perwakilan pada masa itu adalah Tan Sri Dato’ Musa Hitam.

MENGAPA MALAYSIA MENUBUHKAN SUHAKAM?


            Kerajaan Malaysia telah mempertimbangkan sebab-sebab yang mendorong penubuhan sebuah institusi kebangsaan hak asasi manusia ini. Antara sebab-sebabnya adalah :

1.                  Penglibatan Malaysia yang aktif di dalam UNCHR.

2.                  Perhatian antarabangsa terhadap isu-isu hak asasi manusia natijah daripada kejayaan Persidangan Sedunia berhubung Hak Asasi Manusia pada tahun 1993 di Vienna.


3.                  Kerajaan-kerajaan yang menyertai UNCHR termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia meliputi rangkuman sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga meyedari peri pentingnya diwujudkan badan-badan hak asasi manusia di peringkat negara masing-masing. 

BEBERAPA FAKTOR YANG MENDORONG CADANGAN INI


1.                              Terdapat tekanan yang semakin meluas di peringkat antarabangsa terhadap hak asasi manusia dan kesedaran bahawa isu ini melewati sempadan dan kedaulatan sebuah negara.

2.                              Penglibatan Malaysia dalam sistem Bangsa-bangsa Bersatu.

3.                              Suasana politik Malaysia yang kian bertukar dengan para pengundinya semakin menyedari perkembangan politik di samping masyarakat awam yang bergerak maju dan bertambah peka tentang politik.

Maka, sebagai ketua perwakilan Malaysia ke UNCHR, Tan Sri Dato’ Musa Hitam mencadangkan buat pertama kalinya kepada kerajaan Malaysia iaitu pada tahun 1994 inilah masanya yang terbaik bagi Malaysia menubuhkan badan hak asasi kebangsaannya sendiri yang bebas.

RANG UNDANG-UNDANG


      Pada 24 April 1999, lima tahun selepas idea itu diajukan, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengumumkan bahawa Kerajaan akan membentang satu Rang Undang-undang dalam sidang Parlimen pada bulan Julai 1999 bagi menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

      Rang Undang-undang ini berpandukan kepada Prinsip Paris 1992 yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi penubuhan sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia yang bebas dan juga pengalaman yang ada pada institusi hak asasi manusia yang sudah tertubuh, terutamanya di rantau Asia Pasifik.

PERLANTIKAN


      Pada 3 April 2000, Kerajaan mengumumkan perlantikan pengerusi pertama SUHAKAM iaitu Tan Sri Dato’ Musa bin Hitam dan 12 ahli Suruhanjaya yang akan berkhidmat selama dua tahun dan penggal perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan. Pelantikan tersebut dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

      Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia membenarkan pelantikan sehingga 20 orang ahli, namun begitu keputusan telah dibuat bahawa SUHAKAM akan memulakan tugasnya dengan 13 ahli sahaja pada waktu itu sehinggalah apabila lebih ramai ahli dirasakan perlu. Ahli SUHAKAM dipilih bagi mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga berdasarkan pengalaman, iltizam, kebebasan dan kewibawaan individu berkenaan.

PERANAN SUHAKAM


      Peranan SUHAKAM sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 4(1) adalah:

a)      Untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubung hak asasi manusia.

b)      Untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil.

c)      Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam perjanjian dan suratcara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia.

d)     Untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa hendaklah diberi perhatian berat kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

      Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Justeru itu, SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah di putuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti dihentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah.

BIDANG KUASA SUHAKAM


Akta penubuhan telah memberi SUHAKAM kuasa yang membolehkannya menjalankan fungsinya dengan efektif.  Di bawah Seksyen 4(2) dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, Akta 597, SUHAKAM diberikan kuasa:

a)      Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk mengakujanji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar dan bengkel dan untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu.

b)      Untuk menasihati Kerajaan dan / atau pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajaan dan / atau pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil.

c)      Untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan Akta ini.

d)     Untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor yang perlu.

e)      Untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu.

f)       Untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu mengikut undang-undang bertulis yang berkuakuasa, jika ada, berhubung dengan aktiviti itu.

KEPENTINGAN SUHAKAM KEPADA RAKYAT


            Penubuhan SUHAKAM pada tahun 1999 telah banyak membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa mereka.  SUHAKAM memainkan peranan penting sebagai medium perantaraan di antara rakyat dengan kerajaan.   Pertubuhan ini telah memudahkan prosedur pengaduan yang melibatkan kerajaan.  Rakyat Malaysia yang ditindas atau tidak mendapat hak yang sepatutnya sebagai individu di Malaysia boleh mengadu kepada SUHAKAM untuk campurtangan dan seterusnya membantu mereka meyelesaikan masalah yang dialami oleh pengadu.

Pihak SUHAKAM bersedia membantu tanpa adanya sikap pilih kasih.  Penyiasatan akan dibuat berdasarkan aduan yang diterima.  Sekiranya kes yang dilaporkan benar, pihak SUHAKAM dengan sedaya upaya akan cuba untuk membantu menyelesaikannya dengan pihak yang bertanggungjawab.  SUHAKAM juga telah menyedarkan masyarakat bahawa mereka mempunyai hak ke atas diri mereka sendiri dan selagi sesuatu perkara yang berlaku tidak melanggar hak kebebasan asasi individu mereka boleh hidup dengan aman dan damai.  Andai kata terjadi sesuatu perkara yang melanggar hak kebebasan asasi mereka,  setiap individu boleh melaporkan perkara itu kepada SUHAKAM untuk mendapatkan pengadilan yang sewajarnya.
           
Bagi memudahkan urusan pengaduan,  SUHAKAM telah membahagikan kumpulan kerja mengikut bidang tertentu iaitu Kumpulan Kerja Pendidikan dan Promosi Hak Asasi Manusia, Kumpulan kerja Pembaharuan Perundangan dan Triti Antarabangsa, Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan dan Kumpulan kerja Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan.

Sikap proaktif SUHAKAM telah memberi keyakinan kepada umum bahawa Suruhanjaya ini mampu membantu menyelesaikan masalah yang diadukan kerana mereka sanggup turun padang tidak kira di mana sekalipun ia berlaku.  Maka tidak hairanlah banyak kes yang diadukan dapat diselesaikan oleh SUHAKAM dan hingga kini aduan yang diterima telah bertambah.  Ini menunjukkan masyarakat telah mengiktiraf SUHAKAM dan peranannya dalam masyarakat.

PENUTUP

SUHAKAM telah banyak membantu mengembalikan hak masyarakat dalam kehidupan mereka.  Peranan yang dimainkan tidak sewajarnya diperlekehkan oleh masyarakat.  Berdasarkan kajian dan bacaan, pihak SUHAKAM telah banyak membuat penyelidikan dan sanggup turun padang untuk menyaksikan sendiri apa yang dikatakan oleh pengadu agar mereka mendapat gambaran yang sebenarnya.  Walaupun SUHAKAM mempunyai batas-batas tertentu dalam menjalankan tugasnya, namun dengan kerjasama pihak yang terbabit banyak perkara telah dapat diselesaikan.  Oleh itu masyarakat yang masih tidak pasti peranan SUHAKAM sewajarnya mengikuti seminar-atau bengkel yang dianjurkan agar hak kebebasan asasi mereka terbela.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...