Wednesday, 22 February 2012

~**Keselamatan Insan**~

PENGENALAN
Keselamatan negara amat penting untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Keselamatan negara seharusnya menitikberatkan kepada aspek keselamatan insan. Hal ini demikian kerana negara yang selamat dapat dilihat daripada keadaan rakyatnya yang hidup dalam keadaan aman dan sejahtera tanpa sebarang ancaman yang boleh menggugat keharmonian hidup. Jika dahulu keselamatan negara digugat oleh ancaman ketenteraan dari luar yang membabitkan pertempuran senjata secara langsung. Namun kini keadaan sudah berbeza, keselamatan sesebuah negara bukan lagi datangnya daripada ancaman tersebut tetapi berpunca daripada keadaan dalam negara itu sendiri. ancaman ini biasanya melibatkan perang dingin yang membabitkan ketegangan daripada politik, ekonomi dan sosial dalam negara. Negara yang sedang membangun adalah antara negara yang terlibat kepada masalah ini kerana masih lemah daripada segi perpaduan dan masih dalam proses untuk menjadikan negara yang kukuh dalam ekonomi dan juga politik.
Definisi bagi keselamatan negara dikatakan berbeza antara satu negara dengan negara lain, secara amnya keselamatan dapat diertikan sebagai bebas daripada ancaman. Ancaman yang berlaku dalam sesebuah negara telah menjadi isu penting kerana boleh menggugat keselamatan. Oleh itu,  sesebuah negara lazimnya akan menggariskan nilai teras yang penting untuk dilindungi seperti hak asasi manusia dan sistem demokrasi berparlimen. Apabila nilai-nilai ini terancam maka dengan sendirinya keselamatan negara turut terancam.
Jika melihat kepada keadaan dunia sekarang. Didapati telah banyak berlaku masalah-masalah yang boleh mengancam keselamatan diri, masyarakat dan yang paling bahaya sekali adalah menggugat keselamatan negara. Melihat kepada rata-rata masalah adalah berpunca daripada pelbagai faktor sama ada daripada segi politik, ekonomi mahupun sosial.

POLITIK
Keadaan politik yang tidak stabil dan lemah juga menjadi ancaman. Budaya politik yang mempunyai unsur yang tidak sihat dengan pelbagai unsur negatif akan memberi kesan kepada negara. Aspek budaya politik jika dilihat adalah satu elemen fundamental iaitu sistem sosial berdasarkan kepada ketaatsetiaan golongan pemerintah dengan rakyat.  Akan tetapi, jika sesebuah pemerintahan itu tidak mendasari kepada mengorientasikan nilai, norma dan tingkah laku keadaan politik dikatakan bersifat kotor. Hal ini demikian kerana, berlakunya penindasan daripada golongan atas terhadap golongan bawah. Seperti berlakunya ketidakadilan agihan bantuan dari segi pembangunan dan kemajuan antara kawasan menyebabkan wujud ketidakpuasan hati masyarakat kerana agihan yang dibuat tidak menepati garis panduan sebenar. [1]
Selain itu, sikap pemimpin yang mengamalkan kegiatan ugutan dan rasuah dalam politik menyebabkan keadaan politik negara menjadi terumbang ambing dan sering berlaku penyelewengan dalam pemerintahan. Amalan rasuah oleh sesetengah pemimpin dalam pilihan raya dengan mengamalkan politik wang bagi mendapatkan undi adalah satu cara yang kotor. Undian yang bercorak sokongan berat sebelah akibat sogokan wang menyebabkan pemimpin yang dipilih tidak mempunyai akauntabiliti. Oleh sebab itu, apabila mereka melaksanakan pentadbiran ia tidak memberikan sebarang pulangan kepada rakyat. Hal ini berlaku kerana kesilapan dalam memilih pemimpin dalam pentadbiran sehinggakan pentadbiran negara terjejas.
Selain itu juga, apabila seseorang elit itu baru berkuasa dia akan menggunakan kebebasan dan penyekatan sebagai alat kepentingan berdasarkan kepada demokrasi. Apabila berjaya mendapatkan kuasa individu ini akan mengambil rakan-rakan mereka turut serta untuk mendapatkan pengaruh dan ketenteraman. Ahli-ahli ini pula akan ditugaskan untuk menggunakan pengaruh mereka dengan elit yang telah berpengaruh untuk menyesuaikan dasar mereka. Oleh itu, apabila dasar telah terlaksana ia hanya akan memberikan kepentingan kepada golongan parti mereka sahaja. Keadaan sebegini jugalah yang akan melemahkan dan berlaku ketidakstabilan dalam politik sehingga menggugat sistem pentadbiran negara.
Ketidaksefahaman ideologi dalam parti politik juga akan mewujudkan percanggahan pendapat antara golongan ahli politik. Perbezaan ideologi mengenai isu-isu berkaitan menyebabkan parti-parti politik yang tidak menerima pendapat yang diutarakan akan menyangkal hebat demi mempertahankan ideologi mereka. Oleh sebab itu, apabila sering berlaku pertikaian ia akan melemahkan keadaan politik negara kerana sering disogokkan dengan pelbagai ideologi yang berbeza dalam sesuatu parti. Oleh itu, jika setiap parti sering mempertahankan diri mereka tanpa kompromi antara satu sama lain, keadaan ini akan menimbulkan perselisihan dan akhirnya boleh mewujudkan rusuhan yang besar antara ahli dalam parti politik.
Kepimpinan berdendam juga adalah punca yang boleh menggugat keselamatan negara, kepimpinan berteraskan dendam yang sentiasa mencari kelemahan pemimpin lain agar diri mereka sahaja menonjol menyebabkan berlakunya percanggahan antara pemimpin. Keadaan ini menyebabkan anggota-anggota yang berada di bahagian atas piramid parti akan mengambil kesempatan daripada pertikaian yang berlaku dengan menuduh seorang demi seorang anggota parti sebagai bertanggungjawab terhadap beberapa kegagalan kerja. Justeru itulah, akan berlakunya pemecatan bagi menghapuskan mereka yang tidak bertolak ansur dan meragukan daripada senarai parti. [2]
 Politik perkauman pula menjadi punca kepada berlakunya perpecahan masyarakat. Perkara ini sering berlaku di negara-negara sedang membangun kerana pihak kolonial dahulu telah membawa masuk imigran ke negara menyebabkan negara kini terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, apabila pilihan raya dibuat, didapati setiap kaum akan menghantar wakil mereka untuk turut terlibat dalam sistem pemerintahan. Setelah satu-satu kaum itu telah menjadi pemerintah, mereka hanya memberikan keutamaan kepada kaum mereka sahaja sehinggakan kaum lain disisihkan. Bantuan dan keistimewaan sering kali diperoleh oleh kaum mereka dan sering berlaku ketidakseimbangan agihan bantuan antara kaum. Maka akan berlakulah komplot dari kaum lain untuk menjatuhkan pemimpin tersebut yang akhirnya menjejaskan keadaan politik negara. Lama-kelamaan perpaduan kaum semakin pudar kerana pergaduhan yang sering berlaku dan akhirnya boleh mengakibatkan perpecahan antara kaum.
Melihat kepada negara maju mereka menjalankan tadbir urus negara dengan baik. Ini kerana, mereka menggunakan corak pemerintahan yang demokrasi. Tetapi berbeza dengan negara membangun kebanyakannya hanya menjalankan pentadbiran semi-demokrasi. Corak pemerintahan seperti ini menyebabkan tidak berlaku kebebasan dalam politik, ini kerana pemerintah bersikap tidak bertanggungjawab dan tidak menjalankan tadbir urus dengan baik. Pilihan raya yang dibuat secara berkala mengikut perlembagaan pada asalnya, tetapi lama-kelamaan wujud juga beberapa kekurangan seperti kebebasan bersuara daripada rakyat tidak dihormati.
Selain itu juga, undang-undang yang sentiasa diubah-ubah demi kepentingan diri menyebabkan berlaku penekanan dalam politik dan keadaan ini telah menggugat akauntabiliti. Pilihan raya yang hanya kadang kala dibuat menyebabkan pemerintah mendapat respon yang rendah daripada rakyat. Keadaan ini turut menyekat kebebasan rakyat dalam menyuarakan oposisi ke atas dasar yang tidak dipersetujui dan rakyat kelihatan tidak ada kepentingan dalam sistem politik. Ini menunjukkan sistem demokrasi yang dilaksanakan adalah berkualiti rendah, jika pemerintahan telah menunjukkan kelemahan dalam politik apatah lagi rakyat yang turut sama menerima tempias.
Di samping itu, masalah pendemokrasian yang dibuat daripada cetusan pembangunan ekonomi di sesebuah kawasan, tetapi pemerintah hanya membuat tumpuan di kawasan bandar. Ini kerana rakyat yang tinggal di bandar terdedah kepada pelbagai kemajuan dan pembangunan, ini menunjukkan  mereka memiliki kesedaran politik yang tinggi. Tetapi kewujudan kumpulan ini menurut karl Mark, mereka akan meminta kebebasan dalam pelbagai cara seperti mengumpul harta, berniaga dan kebebasan dalam ekonomi. Hal ini telah mewujudkan pertentangan kelas iaitu golongan mengeksploitasi dan golongan dieksploitasi. Kesan daripada itu, pendekatan kemajuan dan perkembangan ekonomi tidak menggerakkan proses pendemokrasian. Walaupun ekonomi berkembang tetapi wujud pula kelas menengah yang bersekutu dengan kelas elit untuk mendapatkan pelbagai kebebasan.
Oleh sebab itu, kestabilan politik sangat penting kepada sesebuah negara kerana ia merupakan tonggak keamanan. Jika penyelewengan telah berlaku dalam organisasi pentadbiran maka organisasi-organisasi lain turut terjejas. Kelemahan dalam urus tadbir juga menyebabkan politik terumbang ambing kerana sikap pemimpin yang mementingkan kelebihan diri menyebabkan keadaan politik negara entah ke mana.

KONFLIK ETNIK
Kesan daripada penaklukan luar yang membawa imigran telah menyebabkan negara terdiri daripada pelbagai kaum, faktor inilah yang telah mencetuskan kepada berlakunya konflik etnik. konflik boleh berlaku dalam pelbagai cara, antaranya dilema yang berlaku antara kaum yang boleh mengancam kehidupan masyarakat majmuk. Permusuhan akan berlaku apabila perpaduan antara kaum semakin berkurangan. Hal ini akan menyebabkan perpecahan sehingga mewujudkan perasaan etnisiti yang kuat dalam diri masing-masing. Oleh sebab itu, berlakulah pergaduhan yang besar antara kaum kerana sikap tidak mempercayai menebal dalam diri masing-masing. Hal yang berlaku boleh mencetuskan keganasan yang boleh menggugat keselamatan antara kaum.
Konflik juga berlaku disebabkan oleh peminggiran dalam politik, ekonomi dan sosial. Peminggiran politik boleh mencetuskan kepada berlakunya konflik ini. Sesebuah negara yang memiliki banyak bangsa tentulah ada golongan etnik yang dominan iaitu menguasai. Apabila hanya sesuatu bangsa itu sahaja menguasai politik keadaan ini akan menyebabkan bangsa lain terpinggir. Oleh sebab itu, kelebihan sering diperolehi oleh satu bangsa sahaja, hal ini akan menyebabkan berlakunya sifat tidak puas hati daripada bangsa lain kerana mereka sering dipinggirkan. Maka akan lahirlah perasaan etnosentrik dalam diri bangsa yang dominan sehinggalah mewujudkan sifat prejudis terhadap bangsa yang lain. Melihat di Indonesia, yang dominan di negara tersebut ialah orang jawa oleh sebab itu merekalah yang memonopoli dalam bidang politik.
Begitu juga dengan peminggiran dalam ekonomi, dikatakan kaum yang majoriti akan menguasai keadaan ekonomi. Ini kerana mereka lebih berkuasa daripada kaum lain yang minoriti. Melihat di Amerika, kebanyakkan yang kaya ialah mereka daripada golongan berkulit putih dan tinggal di kawasan bandar. Tetapi orang yang berkulit hitam walaupun tinggal di bandar mereka hanya tinggal di kawasan setinggan sahaja. Ini menunjukkan yang majoriti akan menguasai daripada yang minoriti. Masalah seperti inilah yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dan berlakunya penindasan kepada kaum lain. Penindasan ini sekaligus akan menghakis teras sosio-budaya sesuatu kaum terhadap kaum lain, dan fenomena ini turut akan menjejaskan ketahanan sosial, perpaduan rakyat, menggugat ketenteraman awam dan akhirnya mencetuskan keganasan.
Peminggiran daripada segi sosial juga boleh mewujudkan konflik. Ini kerana, amatlah sukar untuk memaksa sesuatu kumpulan etnik itu untuk mengubah kesemua nilai, sikap dan norma-norma yang mencorakkan sesuatu kumpulan. Walaupun sesuatu kumpulan etnik itu berkongsi satu rasa kesedaran dengan sesuatu kumpulan etnik lain, tetapi keadaan sosial mereka tidak boleh dihapuskan kerana mereka bukan dengan mudahnya diasimilasi oleh kaum majoriti di sesebuah negara itu. Oleh itu, perasaan kekitaan yang ada dalam diri sesuatu kaum itu tidak berasaskan kepada kesedaran kebangsaan sesebuah negara, tetapi budaya yang dibawa mereka adalah satu perkara penting yang perlu dikekalkan dalam diri. Keadaan ini jika dilihat boleh mengundang persengketaan apabila terdapat penolakan daripada sesuatu kaum terhadap budaya yang dibawa oleh etnik lain.
Selain itu, sesebuah negara turut terancam apabila menghadapi dilema Sahsiah dan ekonomi. Hal ini demikian kerana, ia boleh mencetus kepada berlakunya dilema dan konflik etnik. Keadaan ini agak membimbangkan kerana melibatkan golongan pemimpin. Apabila sesetengan golongan pemimpin ini didapati mencari pengaruh mereka menerusi peniupan sentimen etnisiti atau perkauman. Dilihat di Malaysia iaitu daripada kenyataan tentang memprovokasi kemarahan majoriti orang Melayu mengenai Chin Peng. Oleh itu, individu tertentu termasuk orang Melayu yang menyemarakkan isu ini dikatakan seolah-olah ingin menyemarakan sentimen pribumi supaya mencetuskan konflik etnik. Kelompok liberal juga kelihatan mahu mewujudkan pertumpahan darah yang akan melaga-lagakan rakyat disamping politik negara menjadi terumbang ambing. Oleh itu, mana-mana kelompok liberal yang bermain dengan sentimen entik perlu disingkirkan agar masyarakat yang hidup dalam pelbagai kaum tidak akan bersengketa antara satu sama lain. Selain itu, keadilan adalah satu jalan terbaik agar sesetengah kaum tidak berasa terpinggir sehinggakan boleh mewujudkan sifat prejudis antara kaum, yang boleh mencetuskan kepada berlakunya pergolakan dan boleh menggugat keselamatan negara dan bangsa.
Faktor penaklukan luar juga adalah penyebab kepada berlakunya konflik etnik. Kesan daripada pengaruh penaklukan menyebabkan kaum minoroti menunjukkan perasaan syak wasangkay ang begitu mendalam terhadap pemimpin. Keistimewaan yang dimiliki oleh kaum ini ketika zaman penaklukan yang kini sudah tidak ada menyebabkan mereka tidak berpuas hati. Akhirnya kaum yang minoriti ini akan berasa tersisih dan akhirnya mula mencetuskan pergolakan untuk mendapatkan semula keistimewaan seperti pada ketika dahulu.
Tuntutan terhadap persamaan hak, keadilan dan kesejahteraan sesuatu kaum juga boleh menimbulkan konflik. Tumpuan negara kepada kestabilan politik dan ekonomi menyebabkan tuntutan oleh sesuatu kaum jarang diberi perhatian. Keadaan ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati.[3]
Oleh itu, konflik yang berlaku dalam kumpulan etnik boleh membawa kepada sesuatu perkara yang buruk. Keadaan yang berlaku boleh mencetuskan rusuhan antara kaum dan akhirnya akan membawa perpecahan dalam masyarakat majmuk.
JENAYAH
Masalah kes jenayah yang berlaku juga adalah satu punca. Pertumbuhan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membuka ruang kepada berlakunya jenayah siber. Bentuk serangan sebegini dikatakan menarik dan berkesan untuk digunakan kerana cara ini tidak memerlukan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan kos untuk pembangunan, penyelenggaraan serta penggunaan tenaga tentera yang canggih. Ini kerana, hanya dengan usaha yang minima sahaja diperlukan untuk mencipta maklumat palsu atau memanipulasi maklumat ke atas sesebuah sistem maklumat. Jenayah ini dapat berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu penulisan blog dan ilustrasi yang boleh menyebabkan kepada berlakunya ketidaksefahaman. Pelbagai tohmahan palsu juga dibuat dan idea yang digunakan menggunakan idea-idea progresif yang dicedok dari luar bertujuan untuk memfitnah dan menghebohkan maklumat palsu. [4] Keadaan ini boleh membocorkan maklumat penting negara dan boleh menimbulkan fitnah walaupun tidak diketahui lagi akan kesahihannya. Selain itu, penggunaan teknologi seperti telefon bimbit juga mampu untuk membocorkan rahsia kerajaan, dengan melihat di Malaysia rahsia kerajaan telah terbongkar, segalanya mula dikesan apabila mesyuarat membabitkan agen atau jabatan kerajaan sedang berlangsung.[5] Oleh itu, ugutan dan fitnah boleh membahayakan seseorang menyebabkan mereka berasa tidak selamat dan mengganggu pergerakan mereka.
Tindakan yang boleh merendahkan nilai kemanusiaan sejagat juga dikatakan satu jenayah yang besar. Penularan pelbagai gejala dengan menidakkan hak orang lain menyebabkan masyarakat dijadikan sebagai satu objek untuk melakukan perkara yang boleh merendahkan maruah diri masyarakat atau individu seperti mana jenayah penyeludupan manusia. Hal ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya penindasan kerana terlalu memberi tekanan kepada masyarakat dan gejala-gejala yang berlaku ini sekali gus akan meningkatkan pelbagai kesan lain yang bersifat tidak perikemanusiaan. Ini menunjukkan manusia tidak lagi mampu untuk mempertahankan hak asasi mereka di sesebuah negara itu.
Kes jenayah secara besar-besaran dan tidak terkawal dalam negara juga adalah jenayah antarabangsa. Ini kerana, kes-kes besar yang dilaporkan biasanya melibatkan golongan atasan yang berpengaruh seperti jenayah dadah. Golongan kuat ini akan menyalurkan bantuan berupa senjata dan wang hinggakan penjenayah tidak takut akan undang-undang negara kerana berasa selamat apabila mengetahui mereka dilindungi. Ini akan memberikan masalah kepada pihak kerajaan untuk membanteras kerana kerajaan kelihatan tidak berkuasa dan tidak berani untuk menghapuskan jenayah tersebut berikutan bimbang akan keselamatan diri yang diugut dengan pelbagai cara.
Terorisme pula adalah satu isu yang dilihat daripada pelbagai perspektif. Tindakan yang dibuat biasanya akan dirancang terlebih dahulu dan mempunyai target  antaranya dengan cara mengugut untuk menakut-nakutkan masyarakat. Keganasan berbentuk kuasa atau secara fizikal boleh menyebabkan kecederaan dan kematian dan tindakan ini boleh mengancam kestabilan dan keutuhan sesuatu wilayah. Kesempatan diambil apabila sesebuah negara tidak mempunyai tadbir urus yang cekap, kemiskinan dan masyarakat tidak berpendidikan tinggi menyebabkan senang untuk dipengaruhi, globalisasi yang berlaku dan pengaiban terhadap identiti masyarakat menyebabkan wujudnya keganasan.
Selain itu, negara yang kurang demokrasi juga boleh membawa kepada masalah jenayah. Pemerintahan berbentuk kuku besi adalah satu pentadbiran yang tidak menghormati hak asasi manusia dan rakyat telah menjadi mangsa keadaan kerana sifat sesetengah pihak yang berkepentingan dalam mendapatkan pengaruh mereka. Keadaan ini sekaligus akan menggugat kestabilan politik negara. Kewujudan kuasa asing dalam campurtangan politik terutamanya akan melemahkan sistem pemerintahan negara disamping rakyat kehilangan hak serta kebebasan.
 Oleh itu, keganasan yang berlaku sememangnya boleh menggugat keselamatan negara. Ini kerana, rakyat telah menjadi mangsa oleh mereka yang berkuasa demi kepentingan diri.

KEMISKINAN
Kemiskinan yang berlaku menyebabkan masyarakat senang untuk dipengaruhi. Apabila kadar kemiskinan sesebuah negara meningkat menunjukkan negara itu tidak mampu untuk mengatasi masalah ini. sumber kewangan negara yang berkurangan disamping berlakunya penyelewengan oleh golongan atasan menyebabkan peruntukan bagi membantu rakyat yang miskin tidak mencukupi. Kita juga dapat lihat bagaimana isu kemiskinan yang berlaku menyebabkan rakyat mengambil keputusan untuk berpindah dan mendapatkan bantuan daripada negara lain bagi memperolehi nafkah dan keselamatan. Melihat kadar kemiskinan yang tinggi di Somalia menunjukkan rakyatnya menderita dan menyebabkan berlakunya kebuluran berikutan kekurangan bekalan makanan sehingga mengakibatkan ratusan ribu manusia terkorban. [6]
Selain itu, kemiskinan juga boleh mengakibatkan penyebaran pelbagai jenis penyakit berjangkit. Ini kerana kemiskinan telah menghalang rakyat untuk mendapatkan sumber makanan berkhasiat untuk tubuh badan.[7] Penularan wabak penyakit adalah disebabkan oleh faktor penggunaan air yang tidak dirawat, kurangnya amalan kebersihan diri yang betul dan akibat daripada peningkatan kepadatan penduduk. Selain itu, kajian terbaru mendapati penyebaran pelbagai penyakit telah tersebar tanpa melalui sentuhan seperti udara tercemar dan diet pemakanan yang tidak seimbang. Akibat daripada kesihatan rakyat yang terjejas negara terpaksa menampung perbelanjaan yang tinggi.
Kepadatan penduduk di sesebuah negara juga boleh mengakibatkan kemiskinan. Akibat penduduk yang terlalu ramai menyebabkan pihak pentadbir terpaksa memberi pelbagai bentuk bantuan sama ada wang ringgit mahupun subsidi kepada mereka yang daif.  Kelihat kepada Indonesia yang memiliki penduduk padat menyebabkan rakyatnya hidup dalam kesempitan, migrasi ke negara jiran juga akan berlaku oleh rakyat Indon sebagai inisiatif mereka untuk mendapatkan kesenangan hidup yang lebih baik daripada kehidupan mereka di negara sendiri. oleh itu, akan wujud pelbagai kes jenayah dan gejala sosial yang boleh mengugut keselamatan.

KESIMPULAN
Oleh itu, keselamatan negara sememangnya pada hari ini banyak berpunca daripada keadaan dari dalam negara itu sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui keadaan politik disamping sikap rakyat yang lebih mementingkan diri mereka. Segala masalah yang berlaku dikatakan bermula dengan sikap individu atau organisasi dalam negara itu sendiri. Ini dapat dilihat daripada isu-isu yang berlaku kebanyakkannya bermula dengan sikap masyarakat yang pentingkan kemahuan diri.
Walau bagaimanapun, jika diteliti semula isu-isu yang sebenarnya bergantung antara satu sama lain. Ini menunjukkan sesuatu isu yang berlaku adalah daripada rentetan isu lain yang mempunyai matlamat yang sama untuk diperjuangkan seperti keganasan yang berlaku ada mempunyai kaitan dengan keadaan politik. Mungkin politik yang telah dilaksanakan tidak mendapat sokongan menyebabkan ada antara pihak yang berkomplok untuk menjatuhkan seseorang tokoh itu. Hal ini boleh menimbulkan ketidaksefahaman dan akhirnya boleh menyebabkan keganasan.  Jika dilihat, walaupun terdapat isu-isu seperti migrasi, kes dadah, penyeludupan manusia dan kemiskinan tidak memberikan kesan kepada keselamatan negara secara mendadak, tetapi dalam jangkamasa panjang ia akan memberikan dampak keatas kelangsungan kehidupan bagi sesebuah negara. walaupun pada dasarnya ia merupakan isu sejagat yang hanya membabitkan penduduk yang mendiami sesebuah negara, namun akhirnya ia boleh merebak menjadi bebanan masalah besar kepada negara.


 BIBLIOGRAFI
Creative thingking (2011). Ancaman penduduk Asia pasifik. Diperoleh pada November 1, 2011 daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm
Harold Lasswell (1986). Politik, siapa mendapat apa bila bagaimana.Kuala Lumpur: Bewan Bahasa dan Pustaka.
Kusnanto Anggoro ( 2003). Keamanan nasional, pertahanan negara, dan ketertiban umum. Diperoleh pada November 1,2011 daripada http://www.lfip.org/english/pdf/bali-seminar/Keamanan%20Nasional%20Pertahanan%20Negara%20-%20koesnanto%20anggoro.pdf
Mohd Taib Osman (2004). Globalisasi, patriotisme dan isu-isu kemasyarakatan.Universiti Malaya: siri wacana dari menara.
Rais (2009). Ancaman siber kian berbahaya. Diperoleh pada November 3,2011 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm
Ruhaine Ahmad (2011). Akta keselamatan masyarakat majmuk.diperoleh pada Oktober 17, 2011 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Sity Daud & Zarina Othman ( 2005). Politik dan keselamatan. Bangi, Selangor: Universiti kebangsaan Malaysia
                                                                                      


[1] Jamaie Hamil, Mohd. Mahadee Ismail, Nidzam Sulaiman, Suzanna Mohamed Isa & Zaini Othman. Politik dan keselamatan: budaya politik Melayu: kesinambungan dan perubahan, 2005. Hlm 71-98
[2] Harold D.Lasswell. politik: siapa mendapat apa bila bagaimana, 1986. Hlm 67-82
[3]  Nor Azizan Idris. Politik dan keselamatan: Etnisiti dan ideologi dalam hubungan Malaysia-China, 2005. Hlm 115-121.
[4] Ancaman siber kian berbahaya (2009). http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0914&pub=Utusan Malaysia&sec=jenayah&pg=je 01.htm ( 3 November 2011)
[5] Metra Syahril Mohamed. Utusan Malaysia:Kakitangan awam guna SMS bocor rahsia kerajaan ,2005.
[6]  Sity Daud & Zarina Othman. Politik dan keselamatan :Keselamatan insan dan jaringan keselamatan sosial , 2005. Universiti kebangsaan Malaysia. Hlm 189-190.
[7] Ancaman penduduk asia pasifik (2011).http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=pub=Utusan Malaysia&sec=Dalam Negeri&pg=dn 16.htm ( 1 November 2011)


No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...