Wednesday, 7 March 2012

HAK ASASI MANUSIA

1.0 PENGENALAN
            Isu serta perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia mula mendapat perhatian serius di peringkat antarabangsa melalui pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pada tahun 1948. Kewujudan konsep hak asasi manusia masih baru nam         un menurut Paine, idea dan pemikiran mengenai hak asasi manusia sudah dapat dikesan setelah kewujudan manusia itu sendiri. Dalam konteks hak asasi manusia, negara yang mengamalkan demokrasi akan berpegang kepada enam falsafah demokrasi iaitu rasional, bermoral, kesamarataan, kebolehan mencapai kemajuan, berkerajaan sendiri iaitu kerajaan dengan kehendak rakyat, dan kebebasan. Hak asasi ini juga wujud dalam masyarakat dan negara yang mendokong nilai-nilai demokratik seperti kebebasan untuk bercakap, kebebasan untuk mengekspresi dan kebebasan untuk mengutarakan pendapat serta pemikiran. Bagi menjamin setiap individu memiliki hak tanpa sebarang diskriminasi, semua individu dan masyarakat harus dilayan sama rata tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan.
            Isu hak asasi manusia telah menjadi isu sejagat apabila ianya mula diperdebatkan diperingkat dunia dan sering menjadi agenda utama di dalam setiap persidangan antarabangsa. Ianya adalah kesan daripada kesedaran masyarakat dunia tentang hak asasi manusia sebagai warga sesebuah negara. Keputusan kerajaan Malaysia untuk menubuhkan institusi hak asasi manusia bermula apabila Malaysia mula bergiat aktif dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBBB) bagi isu hak asasi manusia. Selain itu juga Malaysia turut terpilih sebagai ahli suruhanjaya oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) pada 1993-1995. Tan Sri Musa Hitam pada ketika itu Ketua Perwakilan Malaysia telah dilantik sebagai pengerusi yang ke 52 bagi United Nations High Commissioner for Refugee (UNCHR) dan seterusnya di pilih untuk penggal kedua di UNCHR pada tahun 1996 hingga 1998 dan seterusnya untuk penggal ke 3 pula iaitu pada tahun 2001 hingga 2003. Penyertaan aktif malaysia dalam pertubuhan ini telah membuktikan bahawa Malaysia sendiri dengan telusnya menitik beratkan hak asasi manusia sejagat terutamanya hak asasi rakyat Malaysia itu sendiri.

2.0 KONSEP HAK ASASI MANUSIA
            Hak asasi manusia difahami umum sebagai prinsip-prinsip asas dalam kehidupan berpolitik sesebuah masyarakat seperti hak kebebasan bercakap, hak kebebasan beragama, hak kebebasan bergerak dan lain-lain. Secara umumnya, hak asasi manusia bermaksud cara atau tindakan seseorang manusia memperlakukan seseorang manusia yang lain mengikut dasar kemanusiaan sebenar. Namun begitu terdapat pelbagai konsep serta definisi mengenai hak asasi manusia. Menurut Wong Hon Wai 2001, hak asasi manusia boleh ditakrifkan sebagai hak dan dasar yang wajib diterima dengan sama rata seperti hak untuk memberi pendapat, mendapat perlindungan dan pendidikan yang sempurna, makanan, menganut agama atau kepercayaan dan sebagainya. Manakala menurut Kofi Anan, Hak asasi manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia. Hak asasi manusia bersifat sejagat, tidak boleh dibahagikan dan saling bergantung. Hak asasilah yang menjadikan kita manusia dan berteraskan prinsip hak asasi manusia kita membina kesucian maruah manusia.
            Namun begitu, contoh makna dan contoh yang diberikan sebenarnya adalah merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Seiring dengan pengedaran zaman hak asasi manusia harus diberi tafsiran dan pengertian yang lebih meluas dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia. Dalam penafsiran moden terdapat tiga dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, konvenan Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik 1966 dan konvenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966. Dalam kedua-dua konvenan antarabangsa tersebut, hak-hak asasi manusia tidak terbatas dalam perkara-perkara seperti hak yang terdapat di bawah undang-undang hak sivil dan politik iaitu hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan dan hak-hak dibawah hak sosial, kebudayaan dan ekonomi seperti hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat. Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai merupakan definisi hak asasi manusia. Pemikiran Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam pemikiran hak asasi moden. Maka sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.
Hak asasi manusia secara jelasnya diwartakan dalam undang-undang antarabangsa. Ia diwujudkan untuk memenuhi piagam PBB itu sendiri iaitu hak asasi manusia adalah milik semua dan tiada pengecualian. Semua manusia secara azalinya dilahirkan dengan hak asasi dan ia bukan keistimewaan untuk golongan tertentu sahaja. Sebagai lanjutan kepada 'International Bill Of Right' yang diwujudkan lebih awal. Selepas itu diwujudkan pula Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia yang memberikan garis panduan berkenaan dengan Hak Asasi Manusia. Berkenaan isu semasa iaitu "Agenda Global", Charles Norchiu menekankan bahawa pengisytiharan sejagat mewakili sempadan persetujuan berkenaan hak asasi tanpa terikat dengan budaya dan tradisi.
Hak asasi sejagat seterusnya dikukuhkan lagi dengan dua konvenan antarabangsa iaitu "International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights, and International Covenant on Civil and Political Rights" yang mengambil berat berkenaan dengan pencabulan hak asasi manusia seperti pembunuhan etnik, diskriminasi perkauman, diskriminasi wanita, hak kanak-kanak dan golongan minoriti, toleransi beragama. Malah banyak lagi yang diwartakan tetapi yang paling popular dan menjadi garis panduan umum ialah Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi manusia. Pelanggaran kepada mana-mana perkara ini sebenarnya boleh diujuk kepada Mahkamah Keadilan antarabangsa (ICJ). Tetapi secara teknikalnya banyak kes pelanggaran hak asasi manusia tidak dapat diheret ke mahkamah ini atas pelbagai sebab. Contohnya penjajahan Amerika terhadap Iraq yang jelas mencabul hak asasi rakyat iraq dalam penentuan sendiri kepimpinan negara tidak dapat dicegah oleh undang-undang antatarabangsa.

3.0 TEORI HAK ASASI MANUSIA
            hak asasi manusia adalah asas utama dalam moral semula jadi masyarakat .Perspektif ini boleh difinisikan sebagai moral theory of human right atau teory Moral Hak Asasi Manusia kerana tuntutan manusia adalah berdasarkan hak asasi yang berada dalam persekitaran hak asasi manusia. Berdasarkan teori klasik ia menyatakan bahawa manusia berhak mendapat keuntungan dan kebaikan iaitu keperluan moral mereka yang berharga sebagai manusia. Hal yang demikian adalah kerana hak asasi manusia adalah asas dalam membentuk maruah dan martabat manusia dan ianya kekal bersifat sejagat. Ianya juga boleh digunakan oleh mana-mana individu tanpa mengambil kita bangsa, agama, kewarganegaraan, jantina, umur mahupun etnik. Oleh kerana hak asasi manusia adalah unik dalam konteks moral semulajadi manusia maka ianya telah wujud secara bebas dari dalam kelompok masyarakat dan negara yang mana manusia boleh tinggal secara bebas di dalamnya. Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa hak asasi manusia merupakan satu perkara yang mampu mengatasi undang-undang kerana ia merupakan perkara yang diperolehi daripada keaadaan semulajadi mereka yang sah atau moral yang sahih. Ianya bukan berasal perlembagaan atau peruntukan undang-undang atau tindakan tertentu yang dilakukan oleh negara dan organisasi antarabangsa.
            Selain daripada teori klasik, teori keadilan sosial hak asasi manusia juga merupakan salah satu teori dalam hak asasi manusia. Teori ini telah dikemukakan oleh Charles Beitz. Melalui teori ini beliau telah membuktikan hak dalam terma  pembahagian keadilan berbanading moral semulajadi manusia. Berdasarkan teori ini hak asasi manusia adalah hak-hak yang berasaskan norma keadilan sosial yang menjamin kebaikan manusia.
Charles Beitz mendakwa oleh kerana doktrin klasik merupakan hak semula jadi yang membatasi hak keselamatan perseorangan, teori ini gagal mengambil kira tuntutan sosioekonomi dan model keadilan sosial dalam menyediakan kedudukan yang lebih menyeluruh kepada hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, dalam model Charles beitz masih terdapat batasan-batasan tertentu.
             Selain itu juga teori hak asasi manusia yang tersusun juga merupakan salah satu teori dalam hak asasi manusia yang menyatakan bahawa hak asasi manusia semestinya bertujuan memberikan kebaikan kepada manusia. Menurut Henry Shue  yang merupakan pendokong teori ini menyatakan bahawa manusia sukar untuk mencapai kehidupan yang baik sekiranya tidak mengamalkan hak asasi manusia. Shue juga turut menyatakan bahawa terdapat tiga jenis hak asasi manusia iaitu keselamatan, kebebasan dan kehidupan. Teori seterusnya adalah teori saintifik sosial hak asasi manusia. Dalam teori ini menyatakan bahawa hak asasi adalah persetujuan yang merentasi budaya. Oleh kerana perubahan dari segi adat dan budaya berterusan dalam masyarakat maka peringkat tertinggi dalam hak asasi manusia sangat sukar untuk dicapai. Melalui teori ini, ia mementingkan perjanjian antarabangsa dalam mendapatkan pendekatan yang baik dan menarik dalam hak asasi manusia. Dapatlah kita simpulkan bahawa Para sarjana masih mempunyai pandangan dan pengertian yang berbeza tentang hak asasi manusia.

Hak asasi manusia wujud dalam masyarakat yang mendokong nilai-nilai demokratik seperti kebebasan untuk bercakap, kebebasan untuk berekspresi dan kebebasan untuk mengutarakan pemikiran. Demi menjamin setiap individu memiliki hak ini tanpa diskriminasi, semua orang harus dilayan secara sama rata tidak mengira agama, bangsa dan keturunan. Sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, Malaysia memiliki perspektifnya yang tersendiri terhadap kebebasan asasi. Kewujudan pelbagai fahaman politik, agama, etnik dan keturunan menyebabkan kebebasan asasi di Malaysia lebih bersifat kebebasan yang dikawal dan terbatas. Hal ini adalah untuk menjamin ketenteraman dan keharmonian masyarakat. Hak asasi manusia di Malaysia ini dijamin melalui peruntukan dalam Bahagian Kedua, Kebebasan Asasi, Perlembagaan Persekutuan. Terdapat sembilan peruntukan hak asasi manusia iaitu Perkara 5. Kebebasan diri, Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang, Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah dan perbicaraan berulang, Perkara 8. Sama rata, Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, Perkara 10. Kebebasan bercakap berhimpun dan berpersatuan, Perkara 11. Kebebasan beragama, Perkara 12. Hak terhadap pendidikan dan Perkara 13. Hak terhadap harta. Kebebasan asasi ini bukan satu konsep kebebasan yang mutlak tetapi ia mempunyai batasan-batasan untuk mengelakkan kebebasan daripada membawa kepada ketidakstabilan. Pelbagai peruntukan lain membataskan kebebasan asasi ini selain kewujudan undang-undang sekatan seperti akta fitnah dan hasutan.


4.0 PERKARA DALAM HAK ASASI MANUSIA :

4.1       Perkara 5 : Kebebasan Diri
Kebebasan diri merupakan salah satu pekara yang terdapat dalam bahagian dua perlembagaan Malaysia iaitu berkaitan dengan kebebasan asasi. Kebebasan diri bermaksud hak atau kebebasan yang kita punyai sebagai manusia dan sesetengah kebebasan asasi ini telah diperuntukan di dalam perlembagaan Malaysia. oleh yang demikian, hak dan kebebasan ini dikatakan telah dijamin dan kebebasan asasi ini tidak boleh diambil daripada seseorang kecuali dengan keizinan perlembagaan.
Kebebasan diri merupakan salah satu perkara yang terdapat dalam kebebasan asasi dan merupakan satu aspek kebebasan yang asas. Kebebasan diri ini menekankan bahawa seseorang itu tidak boleh diambil nyawanya atau dihapuskan kebebasannya kecuali dikehendaki oleh undang-undang. Selain itu jika seseorang itu ditangkap, dia mempunyai hak untuk mengetahui sebab-sebab dia ditangkap dan berhak untuk mendapatkan peguam bagi membelanya di mahkhamah dan berhak memilih mana-mana peguam untuk membelanya. Peruntukan kebebasan diri ini termaktub dalam Perkara 5 dalam Perlembagaan Malaysia.
Kebebasan diri merupakan perkara lima yang terdapat dalam bahagian dua kebebasan asasi  dalam perlembagaan Malaysia. Terdapat lima Fasal yang terkandung dalam pekara lima perlembagaan pertama. Fasal pertama membincangkan mengenai  tiada seorang pun yang boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.  Fasal kedua pula ialah berkaitan dengan jika pengaduan dibuat kepada Mahkhamah Tinggi atau kepada mana-mana hakim Mahkhamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang adalah ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkhamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah di sisi undang-undang, mahkhamah itu hendaklah memerintahkan orang itu dibawa ke hadapan mahkhamah itu dan melepaskannya.
Fasal tiga pula berkaitan dengan jika seseorang ditangkap makan ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ditangkap dan ia hendaklah di benarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu. Fasal empat pula menyatakan jika seseorang itu ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang majistret dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan , tetapi walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam ( tidak termasuk masa perjalanan yang perlu ) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu dan fasal lima dan yang terakhir ialah fasal tiga dan fasal empat tidak dipakai terhadap orang negara musuh.
Fasal pertama dalam perkara lima menyatakan bahawa  tiada seorang pun yang boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang. Ini bermakna setiap orang mempunyai hak untuk hidup  dan menjalani aktiviti harian dan tiada seorang insan pun yang boleh meragut nyawanya  seperti yang telah termaktub dalam  Perlembagaan Malaysia  Perkara 5 (1).  Jika seseorang itu dengan sengaja atau tidak sengaja mengambil nyawa seseorang, ia boleh didakwa di mahkamah kerana hal ini melanggar hak kebebasan diri yang telah termaktub dalam perkara 5 (1) Perlembagaan Malaysia.
Antara kes mahkhamah yang melibatkan perkara 5 (1) adalah kes yang melibatkan kes Ahmad Raduan Awang Dol menentang  Public Prosecutor. Kes ini berkenaan dengan satu pembunuhan yang melibatkan Ahmad Raduan Awang telah dituduh membunuh Awang Jamli bin Awang Sani. Kes ini adalah bertentangan dengan Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan  kerana mengikut fasal yang termaktub di dalam perlembagaan itu, tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.

Contoh kes berkaitan perkara 5 :
Kes Ahmad Raduan Awang Dol Melawan Public Prosecutor.
            Dalam kes ini didapati Ahmad Raduan Awang telah melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan dan beliau telah didapati bersalah oleh mahkhamah kerana melanggar Perkara 5 (1) dan telah disabitkan hukuman dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Hal ini demikian kerana, seseorang individu itu tidak mempunyai hak untuk membunuh individu lain. Hal ini menunjukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan diri masing-masing dalam menjalankan aktiviti harian mereka. Jika terdapat masalah, perbalahan ataupun perselisihan faham, hal ini haruslah diselesaikan dengan cara baik dan juga rasional.
Tindakan Ahmad Raduan Awang  yang telah membunuh mangsa iaitu Awang Jamli bin Awang Sani walaupun dalam pembelaan dirinya menyatakan  bahawa pembunuhan yang terjadi adalah berlaku secara tanapa niat namun tindakan tersebut telah menyebabkan kematian mangsa iaitu Awang Jamli bin Awang Sani. Oleh yang demikian, tertuduh iaitu Ahmad Raduan Awang  telah didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan  yang membawa hukuman gantung mandatori. Kes pembunuhan ini telah terjadi akibat daripada perbalahan yang berlaku di Kampung Tutus Hilir Mukah, Sarawak pada 25 November 1994 dan dengan membunuh mangsa, tertuduh telah menghalang kebebasan diri mangsa untuk terus menjalankan kehidupannya.
Fasal dua perkara 5 dalam Perlembagaan Malaysia ialah jika pengaduan dibuat kepada Mahkhamah Tinggi atau kepada mana-mana hakim Mahkhamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang adalah ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkhamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah di sisi undang-undang, mahkhamah itu hendaklah memerintahkan orang itu dibawa ke hadapan mahkhamah itu dan melepaskannya. Hal ini bermaksud jika seseorang warganegara itu ditangkap dengan tidak mengikut undang-undang, dia boleh membuat pengaduan kepada mahkhamah  terhadap penangkapannya. Beliau juga boleh memohon  habeas corpus  daripada mahkhamah untuk membebaskan dirinya.
Peruntukan ini merujuk kepada hak bagi mereka yang ditahan untuk membuat permohonan di Mahkamah Tinggi supaya menyiasat permohonan mereka dan melepaskan tahanan tersebut sekiranya didapati bahawa penahanan tersebut adalah tidak sah. Hak ini adalah berasaskan kepada undang-undang common law  Inggeris tentang permohoan habeas corpus. Common law bermaksud undang-undang tradisi tidak bertulis England, berasaskan kebudayaan dan adat tempatan, yang mula menapak semenjak beribu-ribu tahun dahulu sebelum kewujudan Amerika Syarikat lagi. Hari ini, kebayakan common law ini sudah pun dimaktubkan secara bertulis (statut). Walau bagaimanapun, kadang-kadang para pakar undang-undang akan merujuk kepada asas prinsip common law dalam memahami maksud sebenar sesuatu statut.
Habeas corpus pula ialah merujuk kepada satu pemohonon yang dibuat oleh seseorang indivitu yang ditangkap kepada mahkhamah  bagi menentukan samada penangkapan yang dilakukan terhadapnya adalah sah dari segi undang-undang atau tidak sah daru segi undang. Habeas corpus ini biasanya terjadi apabila penangkapan individu itu mempunyai bukti atau keterangan yang tidak jelas dan kukuh. Jika perkara ini terjadi seseorang itu layak untuk memohon habeas corpus daripada mahkhamah.
Fasal 3 Perkara 5 dalam Perlembagaan Malaysia pula menyatakan bahawa dengan jika seseorang ditangkap makan ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ditangkap dan ia hendaklah di benarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu. Fasal ini bermaksud jika  seseorang warganegara yang ditangkap oleh pihak polis, maka beliau hendaklah diberitahu tentang sebab-sebab dia ditangkap dengan seberapa segera yang boleh. Hal ini demikian kerana,  bagi membolehkannya berunding dengan peguam yang dipilihnya danbeliau berhak dibela oleh peguam tersebut.

Kes Kam Teck Soon Melawan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Kes yang berkaitan dengan Perkara 5 (3) ialah mengenai kes Kam Teck Soon melawan Timbalan Menteri  Dalam Negeri  Malaysia. kes ini ialah mengenai penangkapan Kam Teck Soon dan tujuh rakannya oleh pihak polis. Kam Teck Soon ( plaintif ) telah mendakwa bahawa ingin mengetahui alasan beliau ditangkap beserta afidavit-afidavit  yang disediakan oleh pihak defenden iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia. hal ini demikian kerana, plaintif telah mendakwa penangkapan yang dilakukan terhadap dirinya  adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan yang telah menyatakan jika seseorang ditangkap makan ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ditangkap dan ia hendaklah di benarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu.
Plaintif telah ditangkap dibawah Seksyen 3 (1) dan telah ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat ( Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah, 1996) pada 8 Julai 1999. Keterangan telah menunjukkan bahawa plaintif  tidak dimaklumkan tentang alasan penangkapannya. Oleh yang demikian, hal ini telah melanggar Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana walaupun Ordinan tersebut  menafikan tentang perlunya pemberitahuan alasan penagkapan , ia seharusnya bersandarkan ada Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan mengkaji dari sudut autoriti, fakta kes serta hujah-hujah yang konkrit. Oleh itu, maka jelaslah bahawa proses pengadilan kes ini telah melanggar Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan dan mahkhamah telah memutuskan bahawa plaintif telah dibebaskan daripada tuduhan.
Perkara 5 (4) pula menyatakan bahawa jika seseorang itu ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang majistret dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan , tetapi walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam ( tidak termasuk masa perjalanan yang perlu ) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu. Fasal ini menerangkan bahawa seseorang warganegara tidak boleh ditahan oleh pihak polis lebih 24 jam kecuali setelah dibawa ke hadapan seorang majistret untuk mendapat perintah tahanan.
Tempoh untuk membawa  seseorang yang ditangkap ke majistret adalah berbeza mengikut taraf kewarganegaraannya. Fasal (4) ini telah menbezakan antara hak warganegara dan hak kepada bukan warganegara. Dalam fasal (4) ini hak bukan warganegara adalah sedikit jika dibandingkan dengan hak kepada warganegara. Hak untuk seseorang warganegara untuk dibawa ke hadapan majistret adalah dalam tempoh 24 jam manakala hak untuk dibawa ke hadapan majistret bagi bukan warganegara adalah dalam tempoh 14 hari. Perkara 5 (5) pula menyatakan bahawa fasal (3) dan (4) tidak dipakai terhadap orang negara musuh.
 Namun begitu terdapat juga sekatan terhadap Perkara 5 ini  kerana sekatan yang dibuat adalah bertujuan untuk menyekat kebebasan tersebut daripada dipraktikkan bagi menjaga kepentingan orang ramai.  Walaupun pada dasarnya sesuatu perkara itu mengenai kebebasan namun jika tindakan itu dikhuatiri akan menjejaskan ketenteraman orang ramai, maka ia boleh dibantah atau dinafikan. Pembatalan kebebasan diri ini dilakukan mengikut peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Akta Keselamatan Dalam Negeri telah diluluskan oleh Parlimen mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
Akta ini memperuntukkan kuasa untuk menahan seseorang tanpa bicara jika kesalahan yang dilakukan difikirkan boleh menganggugugat keselamatan awam dan negara. Undang-undang ini boleh dibuat oleh Parlimen walaupun akan bertentangan dengan hak asasi atau kuasa negeri dan undang-undang ini akan terhenti  kuatkuasanya jika kedua-dua Majlis Parlimen meluluskan usul untuk membatalkan undang-undang itu.  Walaupun kebebasan ini diwujudkan namun, Perlembagaan Persekutuan masih menjamin hak kebebasan diri daripada teraniaya dengan mewujudkan Perkara 151 yang memberikan perlindungan terhadap seseorang yang ditaham di bawah Akta  Keselamatan Dalam Negeri.
4.2       Perkara 6 : Keabdian Dan Kerja Paksa
Menurut kepada peruntukan dalam perkara 6 ini menyatakan tidak ada siapa yang boleh ditahan sebagai abdi atau dipaksa untuk bekerja termasuk kanak-kanak. Tetapi parlimen boleh membuat undang-undang  bagi mewajibkan khidmat negara. Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada seseorang yang disabit kesalahan bukanlah dikira sebagai paksaan kerja.
Walau bagaimanapun, didapati masih terdapat kes berhubung perkara ini.  Penguatkuasaan Akta pasport Malaysia telah memberikan kebebasan kepada majikan untuk memegang pasport pekerjanya. Ini menunjukkan undang-undang tidak menghalang para majikan daripada memegang pasport pekerja mereka. Keadaan ini telah membawa kepada masalah di mana pekerja akan lebih terdedah terhadap pemerdagangan dan kerja paksa kerana majikan yang mengambil kesempatan ke atas pekerja mereka.  Keadaan sebegini lah yang akan menjadikan pekerja asing terperangkap di mana beberapa syarikat misalnya meminta bayaran sehinggakan pekerja terdedah dengan ikatan hutang. Hutang yang perlu dilunaskan tersebut telah dijadikan sogokan oleh majikan dan memaksa pekerja asing bekerja dalam keadaan yang teruk.  Mereka juga dipaksa bekerja lebih masa, diberi upah yang lebih rendah daripada yang dijanjikan, dipotong gaji dan diberi tempat tinggal yang teruk.
Selain itu juga, terdapat juga kes berkaitan dengan wanita asing yang bekerja sebagai pembantu rumah didera dan dipaksa bekerja dalam keadaan teruk. Selain itu, undang-undang turut melarang pengambilan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun sebagai pekerja, tetapi hanya dengan keadaan tertentu undang-undang memberikan kelonggaran seperti kerja ringan dalam perusahaan milik keluarga, pekerjaan dalam bidang hiburan awam, bekerja untuk kerajaan di sekolah atau di institusi latihan atau bekerja sebagai perintis yang diluluskan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tidak dibenarkan bekerja melebihi enam jam sehari atau melebihi enam hari seminggu atau pada waktu malam. Ini menunjukkan kerja paksa adalah dilarang dan segala penubuhan akta adalah bertujuan untuk mengelakkan masalah berlakunya kes kerja paksa yang membabitkan golongan yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak.
Contoh kes berkaitan perkara 6 :
Kes Nirmala Bonat
Nirmala ialah seorang warga Indonesia yang telah bekerja sebagai pembantu rumah. Dia telah didera oleh majikannya Yim yang berbangsa Cina. Mahkamah telah mengambil kira hukuman terhadap Yim selama 20 tahun di bawah seksyen 326 kanun keseksaan, dan hakim mahkamah seksyen telah menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun untuk setiap pertuduhan kerana telah sampai kepada hukuman paling tinggi dikenakan di bawah seksyen tersebut. Yim didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu mencederakan Nirmala menggunakan seterika dan satu lagi tuduhan menyimbah air panas terhadap mangsa di Villa Putera, jalan Tun Ismail di Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.
Walau bagaimanapun, hakim telah membenarkan rayuan Yim untuk menggugurkan penyabitannya terhadap hukuman penjara 18 tahun kerana kekeliruan dalam kertas pertuduhan di mana berdasarkan kepada keterangan Nirmala di mahkamah yang menyatakan kejadian beliau diserang dengan seterika berlaku pada Mac dan bukan pada April.  Ketika dalam penghakiman juga didapati keterangan oleh mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda dia mempunyai penyakit sawan atau tidak siuman. Dan keterangan yang diberikan mangsa adalah sejajar dengan laporan perubatan dan keterangan pakar. Ini membolehkan mangsa mempunyai peluang untuk mengadu kepada sesiapa mengenai kes dera ke atasnya.  Hukuman yang dijatuhkan terhadap Yim adalah sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perbuatan seperti itu terutamanya kepada mereka yang lemah. Walau bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh tidak dilaksanakan lagi kerana dia telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah rayuan.
4.3       Perkara 7 : Perlindungan Daripada Undang-Undang Jenayah Kuat Kuasa Ke         
        Belakang Dan Perbicaraan Berulang.
(1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu  dilakukan.

(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.
Peruntukkan ini membawa makna tiada sesiapa boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau ketinggalan yang tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang pada masa ia dilakukan dan kerana sesuatu kesalahan tiada sesiapa pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan. Ini bermaksud hukuman yang dikenakan ke atas pesalah haruslah setimpal dengan kesalahannya. Hukuman yang terlalu berat akan mengancam nyawa pesalah, manakala pesalah tidak akan berasa insaf atau sedar sekiranya hukuman terlalu ringan.
Perkara 7(1) menekankan bahawa adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan sedangkan perbuatan tersebut tidaklah dianggap sebagai kesalahan semasa ianya dilakukan. Oleh yang demikian, seseorang tidak boleh dihukum untuk sesuatu yang tidak salah pada masa ianya dilakukan. Contohnya, kesalahan untuk memandu melebihi had laju 80km/j, jika seseorang yang memandu melebihi had tersebut sebelum undang-undang digubal, pemandu tersebut  tidak boleh dihukum. Ini dikenali sebagai larangan terhadap undang-undang retrospektif.

Sekiranya hukuman bagi suatu jenayah itu ditingkatkan, seseorang yang melakukan kesalahan sebelum ianya ditingkatkan tidak boleh dikenakan hukuman yang ditingkatkan. Contohnya, sekiranya undang-undang dipinda supaya hukuman bagi kesalahan melebihi had laju ditingkatkan kepada hukuman penjara daripada hukuman denda, seseorang yang bersalah memandu melebihi had laju sebelum ia dipinda tidak boleh dikenakan hukuman penjara.

Seseorang yang dibebaskan atau disabitkan untuk sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula untuk kesalahan yang sama, melainkan sabitan atau pembebasan itu dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi daripada ia dibebaskan dan perbicaraan semula diarahkan.
Perkara 7(2) adalah berasaskan kepada prinsip common law autrefois acquit dan autrefois convict. Untuk memahami perlindungan yang diperuntukkan dalam Perkara 7(2), kita hendaklah memahami dua (2) persoalan undang-undang sebagaimana berikut;
(i) sama ada di dalam sesuatu kes itu, mahkamah sudah pun memutuskan bahawa Orang Kena Tahan (OKT) itu sudah dibebaskan (acquitted) atau sudah dihukumkan bersalah (guilty); dan
(ii) makna perkataan “kesalahan yang sama”.
Perbezaan di antara “dibebaskan” (acquitted) dan “dilepaskan tetapi tidak dibebaskan” (discharge not amounting to acquittal-dnaa) perlulah kita fahami. Di dalam sesetengah kes pihak pendakwa mempunyai hak untuk membuka semula siasatan terhadap kes tersebut dan OKT boleh di dakwa semula di mahkamah yang sama sekiranya pihak pendakwa boleh membawa saksi-saksi dan bukti-bukti baru untuk memberi keterangan-keterangan baru di mahkamah untuk mensabitkan kesalahan yang dilakukan OKT.

Contoh Kes berkaitan Perkara 7 :
Loh Kooi Choon melawan Government Of Malaysia [1977] 2 Mlj 187.

Loh Kooi Choon telah ditahan di bawah RRE (Enekmen Kediaman Terhad) . Semasa berlaku penangkapannya,  beliau tidak dibawa ke hadapan majistret dalam masa 24 jam.  Loh  Kooi Choon mendakwa penahanannya bertentangan dengan Perkara 5. Beliau telah membuat rayuan. Walau bagaimanpun,  sebelum rayuannya di dengar di mahkamah,  peruntukan Perkara 5(4) telah dipinda dengan penambahan semua tangkapan di bawah RRE tidak perlu dibawa hadapan majistret. Looh Kooi Choon mendakwa pindaan perlembagaan tersebut telah melanggar Perkara 7. Keputusan : Mahkamah menolak rayuan Loh Kooi Choon. Perlimen boleh meminda mana-mana bahagian perlembagaan dengan syarat ianya mengikut peruntukan ditetapkan di bawah Perkara 193(3).
Di dalam kes Looh Kooi Choon mahkamah telah memutuskan bahawa perkara 7(1) boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu;
(i) perlindungan daripada kewujudan undang-undang jenayah berkuatkuasa ke belakang; dan
(ii) perlindungan daripada penambahan hukuman berkuatkuasa ke belakang terhadap sesuatu jenayah.
Public Prosecutor melawan Mohamed Ismail [1984] 2 Mlj 219.

Mohamed Ismail telah didapati bersalah bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar ganja. Pada tarikh beliau didapati bersalah, hukuman untuk seksyen tersebut telah dipinda.  Di dalam kes ini terdapat undang-undang baru yang telah menghalang hakim daripada menggunakan kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Mengikut undang-undang baru yang dipinda, hukuman mati adalah mandatori. Walau bagaimanapun, Orang Kena Tuduh (OKT) telah dibicarakan di bawah undang-undang lama Akta Dadah Berbahaya 1952 yang telah memberi kuasa budi bicara kepada hakim terhadap kesalahan pengedaran dadah. Pindaan terhadap undang-undang berlaku semasa hari OKT dijatuhkan hukuman bersalah dan mahkamah memutuskan bahawa OKT dalam kes ini masih layak untuk dihukumkan mengikut undang-undang terdahulu.
Keputusan : Mohamed Ismail dihukum di bawah hukuman lama kerana ia bercanggah dengan artikel 7.

4.4       Perkara 8: Kesamarataan
Menurut perlembagaan Malaysia hak kesamarataan penting kerana ia mengelakkan diskriminasi dan ketidakadilan dalam menegakkan hak asasi manusia. Hal ini selaras dengan perkara 8 yang diperuntukkan dalam perlembagaan persekutuan:
(1)   Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
(2)   Kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyatanya oleh perlembagaan ini, tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang berkenaan dengan memperolehi, memegang atau melepaskan harta atau berkenaan dengan menubuhkan atau menjalankan apa-apa tred, perniagaan, profesyen, vokesyen atau pekerjaan.
Melalui peruntukkan perkara 8, fasal (1) menjelaskan bahawa semua orang mempunyai hak yang sama disisi undang-undang dan hak terhadap pembelaan melalui perundangan. Oleh sebab itu, tiada diskriminasi yang harus berlaku oleh kerana perbezaan agama, kaum, keturunan, tempat lahir, atau jantina sebagaimana yang diperuntukkan dalam perkara 8, fasal (2). Dalam perkara 8, fasal (2) juga menjelaskan bahawa sesuatu perlantikkan jawatan atau pekerjaan adalah dibawah pihak berkuasa awam atau pentadbiran undang-undang yang mana setiap orang boleh memperolehi, melepaskan dan memegang harta atau jawatan melalui hak kesamarataan. Walaubagaimanapun peruntukkan ini tertakluk kepada beberapa perkara dan fasal yang terdapat dalam perlembagaan Malaysia. Berdasarkan perkara 8, fasal (5) terdapat enam peruntukkan yang menyebut tentang hal-hal yang tidak terbatal atau tidak terlarang akibat perkara 8. Selain itu, perkara 8 ini juga harus dibaca bersama dengan perkara 153 yang mana mengenai hak dan keistimewaan orang melayu. Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang melayu. Hal ini kerana kesamarataan bagi semua kaum untuk tujuan pendidikan dan perniagaan dibezakan atas sebab keistimewaan kepada orang melayu dan bumiputera dipersetujui melalui konsep kontrak sosial.
Hak keistimewaan orang melayu dalam perlembagaan persekutuan, merujuk kepada hak-hak orang melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak istimewa orang melayu dan bumiputera meliputi bidang perkhidmatan awam di bawah perkara 153, fasal 2, 3 dan 4, bidang ekonomi di bawah perkara 153 fasal 6 dan bidang pelajaran di bawah perkara 153 fasal 2, 3 dan 4. Selain itu, kedudukan istimewa orang melayu juga terdapat dalam peruntukan perkara 89 dan 90, yang mana berkaitan dengan tanah rizab orang melayu dan perkara 8(5)(f) yang berkenaan dengan kemasukan orang melayu dalam rejimen askar melayu dengan pengecualian orang bukan melayu sebagimana yang dikuatkuasakan. Hak-hak keistimewaan orang melayu ini tidak boleh dipertikaikan kerana ia dilindungi di bawah akta hasutan 1948(pindaan 1971). Hal ini menunjukkan hak kesamarataan yang dimiliki oleh penduduk di tanah melayu.
Melihat dari sudut kepentingannya, kita dapat lihat bahawa orang melayu merupakan penduduk asli atau peribumi di negara ini. Justeru adalah wajar orang-orang melayu diberikan hak keistimewaan tersebut sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan malaysia. Hal ini kerana sebelum perlembagaan diwujudkan orang melayu lebih banyak terlibat dalam bidang perikanan atau pertanian. Justeru adalah wajar orang-orang melayu diberi keutamaan dalam semua aspek yang dinyatakan diatas yang melibatkan bidang pendidikan, ekonomi, pekhidmatan dan tanah rizab orang melayu bagi membolehkan mereka memperbaiki taraf hidup yang sebelum ini agak jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
Merujuk perkara 153 yang menyatakan bahawa kedudukan istimewa orang melayu dan bumiputera dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Larangan dari mempersoalkan tentang peruntukan-peruntukan sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang. Perkara 153 memperuntukkan bahawa Yang Dipertua Agong(YDPA) bertanggungjawab menjaga dan memelihara kedudukan istimewa orang melayu dan kepentingan kaum sah lain. Peruntukan ini telah dipinda di bawah akta perlembagaan (pindaan) yang 1971 bagi menjelaskan bahawa perkara ini perlu diikuti oleh bumiputera sabah dan Sarawak sebagaimana diikuti oleh orang melayu. Perkara 153 ini juga telah dipinda untuk menghapuskan ketidakseimbangan yang terdapat antara orang melayu dan bumiputera kaum-kaum lain dalam bidang pendidikan.  Hal ini boleh dibuktikan dengan jelas melalui fasal 8A yang mana YDPA berkuasa dalam memberi arahan kepada universiti, maktab atau yayasan pelajaran dalam menentukan perezaban penempatan orang melayu dan bumiputera sabah dan Sarawak dalam pendidikan tinggi Malaysia sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh YDPA mengikut kelayakan dan pihak yang berkuasa hendaklah mengikut arahan itu dengan sempurna.

4.5       Perkara 9: Larangan Buang Negeri Dan Kebebasan Bergerak.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi yang mana rakyat boleh bergerak secara bebas dan seterusnya boleh bermastautin dan mencari rezeki di seluruh negara tanpa mempunyai sekatan. Hal ini selaras dengan Perkara 9 yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan Malaysia :
(1)   Tiada seseorang warganegara pun boleh dibuang negeri atau ditahan masuk ke dalam persekutuan.
Menurut peruntukan dalam Perkara 9, Fasal 1 ini, setiap warganegara memilik hak untuk tidak dibuang negeri atau ditahan daripada masuk ke mana-mana bahagian persekutuan kecuali atas sebab keselamatan persekutuan, ketenteraman awam, kesihatan awam, kesihatan awam atau hukuman bagi pesalah yang dibuat secara sah disisi undang-undang. Selain itu, setiap warganegara juga jelas memiliki hak untuk bergerak bebas dalam persekutuan dan bermastautin dalam persekutuan dalam mana-mana bahagian yang dikehendaki mereka. Semua warganegara malaysia diberi hak kebebasan bergerak dan bermastautin di seluruh kawasan dalam negara.
            Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kes yang akan mengehadkan kebebasan bergerak kepada rakyat iaitu untuk ketenteraman awam. Sebagai contoh, jika sesebuah kawasan itu mempunyai masalah ketenteraman awam seperti sedang berlaku tunjuk perasaan, kawasan tersebut akan dikawal dan orang awam akan dilarang memasukinya. Selain itu, jika berlaku masalah kesihatan awam seperti sesebuah kawasan itu diserang penyakit yang berpunca daripada virus seperti selsema burung. Hal ini akan menyebabkan kawasan tersebut akan dikawal dan dimasuki orang awam dan hukuman kepada pesalah-pesalah iaitu pesalah telah diberi hukuman buang negeri. Oleh itu, pesalah tersebut tidak boleh memasuki negeri tersebut.

            Perkara ini sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan Malaysia perkara 9 (2) dan (3) :
(2)   Tertakluk kepada fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang mengenai keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam atau hukuman bagi pesalah-pesalah, tiap-tiap warganegara adalah berhak bergerak dengan bebasnya di seluruh persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.
(3)   Selagi sesuatu negeri lain ada dalam kedudukan istimewa di bawah perlembagaan ini berbanding dengan negeri tanah melayu, parlimen boleh dengan undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara negeri itu dengan negeri-negeri lain, ke atas hak-hak yang diberi oleh fasal (2) berkenaan dengan bergerak dan bermastautin
Perkara 9 ini boleh dilihat dengan jelas melalui kes yang di bawah ke mahkamah. Antara kes yang dibincangkan di bawah perkara 9 ialah kes Datuk Syed Kechik b. Syed Mohd melawan Government of Malaysia [1979] 2 MLJ 101 dan kes Pihak Berkuasa Negeri Sabah melawan Sugumar Balakrishnan [2002]3 MLJ 72.

Contoh kes berkaitan perkara 9 :
Kes Datuk Syed Kechik B. Syed Mohd Melawan Government Of Malaysia [1979] 2 Mlj 101.
            Datuk Syed Kechik merupakan planitif yang berasal dari Kedah dan telah dihantar bertugas ke Sabah pada tahun 1965. Plaintif telah merasa selesa tinggal di Sabah dan juga telah berkeluarga dan turut menyekolahkan anaknya di negeri tersebut. Di samping itu, plaintif juga telah menjalankan perniagaan di Sabah kerana kemudahan-kemudahan yang dinikmati ketika bermastautin di negeri Sabah. Oleh  kerana itu, plaintif telah memohon kepada mahkamah negeri untuk mendapat keistimewaan menjadi anak negeri sabah pada tahun 1971, dan permohonan tersebut telah diterima. Kes ini telah dirujuk di bawah perkara 11(2) yang mana tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai ika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri. Oleh sebab itu, permohonan Datuk Syed Kechik telah diterima pakai di bawah perkara 11(2). Mahkamah negeri Sabah telah memberikan hak asasi kepada Datuk Syed Kechik berdasarkan perlembagaan persekutuan berhubung dengan kebebasan bergerak bagi setiap warganegara. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit konflik apabila berlaku pergolakan dalam sistem politik di Sabah.
            Konflik politik di sabah berlaku adalah kerana pilihanraya yang diadakan pada tahun 1976 yang mana parti BERJAYA turut bertanding bagi merebut kerusi tersebut. Pilihanraya ini telah menimbulkan satu konflik kepada permohonan Datuk Syed Kechik untuk bermastautin di Sabah. Perkara ini adalah kerana manifesto yang dibawa oleh parti BERJAYA  adalah untuk menghalau keluar Datuk Syed Kechik dari negeri Sabah sekiranya parti tersebut berjaya memenangi pilihan raya yang diadakan. Oleh yang demikian Datuk Syed Kechik telah membuat rayuan di mahkamah pesekutuan. Rayuan yang dibuat oleh Datuk Syed Kechik ini telah diterima oleh mahkamah persekutuan dan susulan daripada kes tersebut Datuk Syed Kechik tidak dibuang negeri dan beliau berhak untuk bermastautin di negeri Sabah. Dalam kes ini, telah dimenangi oleh Datuk Syed Kechik yang mana rayuan yang dibuat oleh beliau telah diterima oleh mahkamah persekutuan.

Secara tidak langsung kes ini merujuk kepada perkara 9 perlembagaan persekutuan yang mana larangan buang negeri dan kebebasan bergerak menjadi rujukan dalam membuat keputusan kes ini. Oleh sebab itu, kes Datuk Syed Kechik ini adalah merujuk kepada Perkara 9 perlembagaan dalam panduan kepada mahkamah membuat keputusan. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang demokrasi kerana mengadili sesuatu perkara dengan mudah menggunakan undang-undang dan tidak bersifat berat sebelah. Oleh hal yang demikian, perlembagaan persekutuan harus dijadikan asas kepada setiap perkara yang melibatkan rakyat Malaysia terutamanya bagi kes-kes yang berkaitan dengan hak asasi manusia sebagai warganegara.

Kes Pihak Berkuasa Negeri Sabah Melawan Sugumar Balakrishnan [2002] 3 Mlj 72
Kes ini melibatkan pihak berkuasa tempatan dengan Sugumar Balakrishnan. Sugumar Balakrishnan bertindak selaku responden adalah seorang warganegara yang berasal dari Negeri Sembilan. Beliau telah pergi ke Sabah pertama kali untuk bekerja sebagai guru pada tahun 1975. Pada tahun 1995, beliau telah memohon untuk mendapatkan permit masuk dan permit tersebut telah diberikan kepada beliau pada 27 disember 1995. Permit yang diberikan boleh digunakan dalam tempoh dua tahun sahaja. Walaupun begitu pada 12 november 1997, beliau telah diberikan notis pembatalan permit oleh pihak berkuasa negeri Sabah. Apabila notis pembatan permit ini diberikan kepada beliau telah membuktikan bahawa permit yang diperolehi oleh beliau telah dibatalkan.
Apabila permit ini telah dibatalkan ianya membawa maksud bahawa beliau iaitu Sugumar Balakrishnan yang merupakan responden tidak lagi dibenarkan untuk tinggal atau bermastautin di kawasan tersebut. Melalui afidavit yang dibuat menyatakan bahawa responden sudah hilang punca pendapatan akibat daripada pembatalan permit tersebut. Responden telah diarahkan untuk keluar daripada negeri Sabah atau dalam erti kata lain tidak dibenarkan bermastautin di negeri Sabah walaupun belaiu telah menetap lama di negeri tersebut. Tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan ini telah bertentangan dengan perkara 9 dalam perlembagaan persekutuan Malaysia yang mana menyatakan:

(1)   Tiada seseorang warganegara pun boleh dibuang negeri atau ditahan masuk ke dalam persekutuan.
(2)   Tertakluk kepada fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang mengenai keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam atau hukuman bagi pesalah-pesalah, tiap-tiap warganegara adalah berhak bergerak dengan bebasnya di seluruh persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.
(3)   Selagi sesuatu negeri lain ada dalam kedudukan istimewa di bawah perlembagaan ini berbanding dengan negeri tanah melayu, parlimen boleh dengan undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara negeri itu dengan negeri-negeri lain, ke atas hak-hak yang diberi oleh fasal (2) berkenaan dengan bergerak dan bermastautin
Sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia bahawa negeri Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan khas dari segi kemasukan imigran ke negeri berkenaan. Rakyat semenanjung yang ingin berkunjung atau bermastautin di 2 negeri berkenaan harus mematuhi seksyen 59 Akta Imigresen 1959/63. Tujuan diadakan syarat ini adalah untuk memastikan bahawa cabaran perlembagaan tidak boleh dilakukan terhadap negeri-negeri ini berhubung dengan penggunaan kuasa khas imigresen iaitu digunakan untuk mengawal kemasukan dari Semenanjung Malaysia. 
            Oleh kerana pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan notis pembatalan permit responden sebelum tempoh tamat permit maka pembatalan permit tersebut adalah tidak sah. Namun demikian, responden masih boleh memohon untuk mendapat permit baru bagi membolehkan responden untuk terus tinggal dan bermastautin di negeri tersebut. Kebebasan bergerak dab bermastautin yang diberikan kepada setiap warganegara Malaysia adalah benar namun ianya juga tertakluk kepada akta imigresen yang memperuntukkan keistimewaan khas bagi negeri Sabah dan Sarawak. Sebagai warganegara yang berasal dari semenanjung, responden harus mematuhi segala prosedur dan undang-undang untuk bermastautin di negeri Sabah.
Walaupun, perkara 9 (1) (3) telah menyatakan tentang hak kebebasan  bergerak kepada seluruh Warganegara Malaysia namun ianya tidak mempunyai sekatan yang telah dibuat dalam perkara 9 (3). Oleh itu pembatalan permit responden adalah sah dan tidak melanggar perkara-perkara yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan khususnya tentang hak kebebasan diri.

4.6       Perkara 10 : Kebebasan Bersuara, Berhimpun Dan Menubuh Persatuan
Perkara 10 dalam perlembagaan persekutuan telah menyatakan mengenai kebebasan masyarakat seperti yang dinyatakan dalam fasal (1) (a), (b) dan (c) iaitu tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran, semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata dan semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan. Namun perkara 10 (1) (a) (b) dan (c) yang tertakluk kepada fasal (2), (3) dan (4) masih tertakluk kepada sekatan-sekatan yang telah ditetapkan oleh badan perundangan. Seperti kebebasan bercakap dalam fasal (1) (a) iaitu undang-undang memiliki 3 kategori menyekat kebebasan ini iaitu berhubung dengan kehormatan yang meliputi perkara fitnah dan penghinaan terhadap mahkamah. Kedua berkaitan dengan keselamatan negara yang membabitkan kata-kata dan penerbitan yang berunsur hasutan atau penghinaan melampau dan menyekat kebebasan bercakap jika membabitkan kemoralan iaitu yang melibatkan akhbar[1].
Kebebasan bersuara merupakan kebebasan yang secara kolektif diiktiraf oleh masyarakat madani sebagai sebahagian daripada pelaksanaan proses demokrasi. Kepentingannya boleh dianggap sebagai mengatasi kebebasan-kebebasan lain yang dijamin oleh undang-undang. Kelebihan kebebasan ini ialah membolehkan pencarian dan penyataan kebenaran, penyampaian maklumat dan pembetulan kepada kepincangan dalam pemerintahan. Namun hak ini bukanlah satu-satunya hak yang perlu dipertahankan dan perlu diimbangkan dengan keperluan lain masyarakat dan negara.
Selain itu, perkara yang melibatkan keselamatan negara dan ketenteraman awam pula undang-undang turut mempunyai batasan untuk menyekat kebebasan untuk bersuara. Misalnya Akta Hasutan yang digunakan untuk melarang ulasan awam terhadap isu-isu yang dianggap sensitif seperti hal berkaitan dengan perkauman dan keagamaan. Bagi menyekat dan mencegah penyampaian ucapan dalam bidang politik juga kerajaan turut menguatkuasakan akta-akta yang boleh menyekat kebebasan bersuara serta mengambil tindakan terhadap pihak yang mengkritik terhadap segelintir pihak dan individu yang mengkritik kerajaan sama ada secara terbuka atau sebaliknya. Antara akta yang dikuatkuasakan ialah seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA, 1960), yang merupakan undang-undang tahanan pencegahan. Akta hasutan (1948) iaitu yang merupakan suatu akta undang-undang yang menggubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta Rahsia Rasmi (OSA, 1972), Akta Fitnah (1957), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU, 1971), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) serta undang-undang lain yang berkaitan dengan jenayah fitnah.
Perkara yang menyentuh mengenai hal-hal sensitif seperti hal-hal yang melibatkan agama, budaya, keturunan, bahasa, hak istimewa orang Melayu, mengganggu privasi seseorang dan sesuatu yang beransur hasutan dan fitnah undang-undang juga boleh menghalang di bawah kebebasan bercakap. Namun jika sekatan yang dikenakan oleh akta-akta, undang-undang dan perintah eksekutif ke atas sesuatu perkara dilihat sebagai menghalang kebebasan bercakap, pihak yang terlibat atau tertuduh boleh menggunakan saluran mahkamah bagi mendapatkan hak mereka. Ini dapat dilihat dalam kes Mark Koding v Pendakwa Raya [1982] 2 MLJ 120.
Begitu juga dengan kebebasan berhimpun dalam fasal (1) (b) di mana undang-undang turut memiliki sekatan untuk kepentingan keselamatan negara dan ketenteraman awam. Secara umumnya kedua-dua frasa ini berkait rapat walaupun tiada tafsiran undang-undang yang khusus mengenainya. Di mana frasa ‘keselamatan negara’ adalah merujuk kepada keperluan untuk menjaga negara daripada ancaman aktiviti subversif.[2] Manakala ketenteraman awam pula merujuk kepada keteraturan sistem kehidupan dalam kalangan khalayak awam untuk kebaikan mereka. Bagi menjelaskan lagi maksud kepada ketenteraan awam dapat dilihat melalui perbezaan kekacauan ketenteraman awam dengan perbuatan melanggar undang-undang. Perbuatan melanggar undang-undang hanyalah membabitkan individu atau beberapa orang individu sahaja. Sekiranya perhimpunan dilakukan tanpa permit, kesalahan yang dilakukan adalah melanggar undang-undang. Manakala perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam adalah bermaksud perbuatan yang boleh menyebabkan persekitaran tidak selamat dalam kalangan orang awam. Bagi menentukan sama ada perbuatan itu hanya melanggar undang-undang atau menjejaskan ketenteraman awam ialah, adalah perlakuan itu menyebabkan rasa tidak selamat orang awam atau kumpulan masyarakat yang berada di sesuatu tempat, ataupun perlakuan yang membabitkan individu tertentu sahaja tanpa menjejaskan ketenteraman awam.
Sekiranya perlakuan yang dibuat hanya mengganggu seseorang atau beberapa individu sahaja ini ialah perbuatan yang melanggar undang-undang. Sekiranya masyarakat tidak dapat menjalankan rutin harian, maka perbuatan itu membabitkan gangguan kepada ketenteraman awam. Ini menunjukkan keadaan yang menjejaskan kepada ketenteraman awam ialah mengganggu aktiviti harian ahli masyarakat.
            Dalam fasal (1) (c) yang membicarakan tentang kebebasan untuk menubuhkan persatuan menyatakan bahawa semua warga adalah berhak menubuh persatuan, namun pertubuhan yang ingin ditubuhkan adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang telah ditetapkan oleh badan perundangan. Sekatan yang dibuat adalah mengikut acuan suasana, budaya, kepercayaan, semangat, sejarah dan nilai-nilai demi kepentingan negara. Melalui beberapa akta yang dikuatkuasakan adalah untuk mengawal aktiviti orang ramai dalam apa-apa persatuan yang mereka sertai. Misalnya Akta pertubuhan 1966, yang menyatakan pertubuhan tempatan yang mempunyai 7 orang ahli atau lebih hendaklah didaftarkan, dan jika pertubuhan yang boleh mewujudkan kemudaratan kepada kepentingan keselamatan persekutuan, keamanan awam dan akhlak awam maka pertubuhan itu adalah haram dan tidak boleh didaftarkan dan jika didaftarkan pun ia akan terbatal berikutan pertubuhan tersebut menggugat keselamatan negara dan orang awam. Selain daripada akta ini terdapat juga akta-akta lain seperti Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU, 1971).  Akta yang dibuat ini adalah bertujuan untuk menyekat apa-apa pertubuhan yang boleh menggugat keselamatan persekutuan atau ketenteraman awam.
 Contoh Kes Berkaitan perkara 10 :
Kes Mark Koding v Pendakwa Raya [1982] 2 MJL 120
Mark Koding adalah seorang ahli parlimen dari Sabah. Beliau telah ditahan atas sebab mengeluarkan kata-kata yang berbaur hasutan dalam ucapannya dalam Bahasa Melayu di dewan Rakyat pada tanggal 11 Oktober 1978.  Dalam ucapan beliau dalam Dewan Rakyat mengandungi perkara seperti menuntut agar sekolah- sekolah aliran Cina dan Tamil ditutup dan dihapuskan papan-papan tanda jalan raya di negeri tersebut yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil. Mendengar ucapan tersebut, ahli-ahli parlimen lain yang berbangsa Cina dan India telah membuat laporan polis dan menyebabkan beliau ditahan atas sebab kata-kata yang berbaur hasutan.  Pertuduhan itu adalah seperti berikut:

“Keadaan eksklusif dalam negara kita di masa ini adalah hasil daripada baik hati kaum Bumiputera membiarkan sekolah-sekolah China dan India menggunakan bahasa mereka selepas Merdeka. Sekiranya tokoh-tokoh kita yang awal dapat meramalkan keadaan yang berlaku pada masa ini dan tidak bertolak ansur untuk menghapuskan pelajaran China dan Tamil sudah tentu kita tidak akan menghadapi masalah yang kita hadapi sekarang ini. Bagaimanapun, masih ada lagi masa untuk kita membaiki keadaan ini. Tindakan kita bukanlah mencerminkan tujuan dan kepercayaan tokoh-tokoh kita yang lalu oleh sebab mereka telah bertindak berdasarkan kepada keadaan yang wujud pada masa itu dan mereka dengan ikhlas mempercayai bahawa mereka telah dapat menyelesaikan isu tersebut. Mereka tidak dapat disalahkan dengan apa yang terjadi pada hari ini oleh sebab cabaran-cabaran yang kita terima hari ini bukanlah datang dari zaman mereka. Cabaran yang kita hadapi sekarang adalah tanggungjawab kita untuk mengatasinya.
Tuan Yang di-Pertua, masanya sudah tiba bagi Dewan yang mulia ini untuk memutuskan sama ada kita akan terus membenarkan sekolah-sekolah China dan Tamil dan bahasa tersebut di papan-papan tanda di jalan-jalan raya di negeri itu. Saya, seratus peratus berpendapat bahawa kita harus menutup sekolah-sekolah jenis tersebut dan menyekat sama sekali penulisan papan-papan tanda dalam bahasa itu. Sekiranya tindakan-tindakan ini kelak bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan maka kita harus merombak Perlembagaan tersebut demi kepentingan rakyat dan negara. Kalau kita gagal melakukan hakikat ini bermakna kita menghampakan amanah yang diamanatkan oleh rakyat dan juga melenyapkan harapan dan aspirasi generasi baru kita yang tidak mahu melihat negara mereka dicap oleh identiti orang asing. Adakah kita mahu mewujudkan identiti kita atas asas kemelayuan, kechinaan atau keindiaan. Saya rasa sudah pasti kemelayuan atau kebumiputeraan kerana tidak ada alternatif yang lain demi survival negara kita.”
Di mahkamah, hakim telah membuat semakan ke atas perkara tersebut sama ada benar-benar berlaku berdasarkan kepada handsard parliament[3] ataupun tidak. Setelah disemak, didapati kata-kata Mark Koding telah tercatat dalam Malaysian Hansard yang bertajuk ‘ Parliamentary Debates of Dewan Rakyat’ Voll No. 3 dalam muka surat 223 hingga 238 bertarikh 11 Oktober 1978. Perkara ini juga telah dijelaskan lagi oleh Yahya Manap iaitu ketua editor Malaysian hansard yang menerangkan bahawa sesuatu ucapan dalam parlimen dirakam verbatim, disemak termasuklah disemak oleh speaker sendiri dan diterbitkan.
Kemudiannya tertuduh telah membuat rayuan kepada mahkamah atas alasan jawatannya sebagai seorang ahli parlimen di mana beliau berhak untuk memberikan ucapan dan tidak boleh dikenakan sebarang tindakan di bawah artikel 63. Para sarjana juga mempunyai pandangan sama bahawa tindakan yang dibuat oleh tertuduh adalah tidak bertentangan dengan undang-undang kerana kata-kata yang dikeluarkan oleh tertuduh adalah di dalam parlimen dan bukannya di luar persidangan itu.  Ini menunjukkan kata-kata beliau adalah bersifat parliamentary Privillages yang merujuk kepada kata-kata yang disampaikan dalam parlimen mempunyai kekebalan undang-undang.
Namun begitu, mahkamah mendapati bahawa tertuduh tetap bersalah kerana kata-kata yang diucapkan adalah terarah kepada hasutan dan beliau telah disabitkan di bawah Akta Hasutan dan perbicaraan dalam kes ini telah dimenangi oleh pendakwa raya. Tetapi kes ini dibuka semula untuk memberi peluang kepada tertuduh atas dasar beliau adalah seorang ahli parlimen. Dalam kes ini tertuduh telah diberikan pertimbangan kerana beliau adalah pesalah pertama yang melakukan kesalahan sedemikian di dalam dewan rakyat walaupun hasutan ada satu kesalahan yang serius. Akhirnya tertuduh dibebaskan di bawah seksyen 173 (a).

4.7       Perkara 11 : Kebebasan Beragama
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak:-
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.
Ini memberi pengertian setiap orang berhak memeluk dan mengamalkan agamanya. Kebebasan beragama pula ini tidak boleh melanggar undang-undang am tentang keamanan, kesihatan atau kebaikan akhlak awam. Di sinilah terletaknya had kebebasan beragama. Sekiranya ada kumpulan yang percaya bahawa agamanya memaksa mereka membunuh orang dan membuat beberapa perbuatan keji, sudah tentu Perlembagaan tidak akan membenarkan agama seperti ini diamalkan kerana ia mengganggu keselamatan awam.
Perkara 11 menyatakan “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,” tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Perkara 3 menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dan bahawa “Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.” Perkara 160 Perlembagaan mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam. Mahkamah sivil umumnya menyerahkan bidang kuasa kepada mahkamah Syariah dalam kes-kes yang berkaitan dengan keluar daripada agama Islam, dan mahkamah Syariah pula enggan membenarkan sesiapa keluar daripada agama Islam. Perlembagaan mengenalpasti raja-raja sebagai “Ketua Agama Islam” di negeri mereka masing-masingdan Yang Di Pertuan Agong bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja. Pendaftar Pertubuhan, di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menentukan sama ada sesebuah pertubuhan agama itu boleh didaftarkan untuk layak menerima bantuan kewangan dan faedah-faedah lain daripada kerajaan. Pihak Pendaftar tidak mempunyai dasar yang konsisten untuk mengenalpasti pelbagai pertubuhan agama ataupun kriteria yang digunakan untuk membuat penentuan tersebut. Kumpulan-kumpulan tersebut telah mendaftarkan pertubuhan mereka bawah Akta Syarikat seperti Jehovah’s Witnesses dan Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (Mormon).
Selain itu, terdapat juga peruntukan dalam Perkara 11 yang menyebut bahawa seseorang tidak boleh dipaksa untuk membayar cukai sekiranya pendapatan yang diperolehi daripada cukai tersebut akan digunakan semua atau sebahagian daripadanya untuk maksud agama yang lain daripada agamanya. Segala hak ini tidak terganggu atau tersekat walaupun agama Islam adalah agama rasmi, melainkan tentang pengembangan agama kepada orang-orang Islam sahaja. Di sini badan perundangan bagi setiap negeri di Tanah Melayu berhak membuat undang-undang untuk menyekat pengembangan agama kepada orang-orang Islam. Bagi tujuan ini beberapa buah negeri telah meluluskan enakmen-enakmen untuk mengawal dan menyekat penyebaran agama-agama lain dalam kalangan orang Islam, contohnyanya negeri Kelantan telah meluluskan enakmen untuk tujuan itu dan berkuatkuasa pada 1 Januari 1987. Kedah, Melaka dan Selangor juga turut meluluskan undang-undang yang serupa dalam tahun 1988. Undang-undang di negeri Selangor antaranya memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan menggalakkan, mempengaruhi atau membangkitkan perasaan seorang Islam untuk menukar agama, menyebabkan seorang kanak-kanak Islam dipengaruhi oleh unsur-unsur bukan agama Islam, mendekati seorang Islam untuk tujuan bersyarah atau menunjukkan beliau apa-apa perkara tentang agama bukan Islam, menghantar apa-apa juga bahan bertulis tentang agama bukan Islam kepada seorang Islam dan mengedarkan apa-apa jua bahan bertulis tentang agama bukan Islam kepada orang Islam di tempat awam.
Kerajaan mengharamkan 56 ajaran yang dianggap sebagai “sesat” di dalam Islam kerana membahayakan keselamatan negara dan boleh memecahbelahkan masyarakat Islam. Kumpulan yang diharamkan termasuk Ahmadiyyah, Ismailiah, Syiah, dan Baha’i. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membuat garis panduan persekutuan tentang apa yang dikatakan kelakuan atau kepercayaan yang “sesat.” Pihak berkuasa negeri lazimnya menurut garis panduan ini dalam memutuskan hal-hal yang berkaitan dengan perkara tersebut. Dengan kebenaran mahkamah Syariah, kerajaan boleh menangkap dan menahan anggota kumpulan “sesat” bagi “pemulihan” ke “jalan sebenar Islam.” Kumpulan Qadiani, satu cabang gerakan Ahmadiyah yang sudah bergerak aktif sejak empat tahun  dan telah isytiharkan sesat kerana mempunyai doktrin Islam yang berbeza dengan tafsiran rasmi dengan kumpulan tersebut percaya pengikutnya hendaklah mengerjakan Haji di India. Kerajaan mengharamkan dan merampas bahan-bahan agama yang didapati menyeleweng atau menghina. Kerajaan turut mengharamkan 57 buah buku bertemakan agama, termasuk Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism (Wanita Islam dan Cabaran Ektremisme Islam) karya Norani Othman, pengasas bersama Sisters In Islam (SIS) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang memperjuangkan hak asasi wanita. Pihak berkuasa kastam merampas enam judul buku kanak-kanak Kristian yang mengandungi perkataan yang dianggap eksklusif untuk agama Islam. Penggunaan perkataan “Allah” (Tuhan), “Baitullah” (Rumah Tuhan), dan “Solat” (sembahyang) dihadkan penggunaannya bagi orang Islam oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mendakwa perkataan-perkataan ini di bawah bidang kuasa masyarakat Islam.

Contoh Kes Berkaitan Perkara 11 :
Teoh Eng Huat V Kadhi, Pasir Mas  [1990] 2 Mlj 301
Dalam kes ini seorang gadis bukan Islam yang berumur 17 tahun telah diislamkan oleh seorang kadi tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya. Bapanya telah membawa tuntutan ke mahkamah memohon satu pengisytiharan bahawa penganutan itu tidak sah kerana menurut undang-undang dan perlembagaan seorang bapa dan penjaga berhak menentukan agama, pelajaran dan asuhan anaknya. Mahkamah merujuk kepada Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah mengatakan bahawa dalam Perkara 11 fasal (1) perkataan tiap-tiap orang' merujuk kepada bahawa kebebasan beragama terpakai kepada semua orang tanpa mengira umur asalkan orang tersebut sempurna akal dan berupaya membuat keputusan. Semasa memeluk Islam gadis itu berumur 17 tahun 8 bulan dan pada pada itu beliau berupaya membuat keputusan sendiri untuk melaksanakan haknya di bawah perlembagaan untuk bebas mengamalkan agama pilihan beliau.
Mahkamah juga merujuk Perkara 12 fasal (3) dan fasal (4). Mahkamah menekankan kedua-dua fasal ini hendaklah dibaca bersama. Fasal (3) melarang seseorang diwajibkan menerima ajaran-ajaran, mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama lain. Sementara fasal (4) memperuntukkan bagi tujuan fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya. Mahkamah mengatakan bahawa daripada fakta kes dan keterangan yang diberi tiada apa yang menunjukkan bahawa gadis tersebut telah diwajibkan untuk menerima ajaran atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama selain agamanya sendiri. Perkara 11 diwajibkan  mempunyai elemen paksaan  keterangan langsung yang didapati tiada wujud paksaan atau unsur-unsur sebegitu yang dikenakan terhadap gadis tersebut. Pihak menuntut menegaskan dengan menghendaki anak gadisnya melafazkan dua kalimah syahadah ialah satu perbuatan diwajibkan seperti yang dilarang oleh fasal (3) Perkara 12. Mahkamah mengatakan bahawa ia kehendak upacara tersebut tetapi bukan satu syarat untuk mengambil bahagian dalam upacara itu. Tambahan lagi tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa gadis tersebut dipaksa untuk memeluk Islam seperti yang dibuktikan dalam kenyataan bersumpah beliau yang mengatakan bahawa beliau memeluk Islam dengan rela hati tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.
Mahkamah Agong dalam keputusan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu menolak penafsiran Mahkamah Tinggi tentang Perkara 12 fasal (3) dan (4). Mahkamah Agong menegaskan fasal (4) adalah nyata iaitu agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun mesti ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya. Namun kedudukan gadis itu tidak disentuh kerana beliau sekarang sudah pun berumur lebih 18 tahun dan telah pun memeluk Islam dengan sukarela dan adalah tidak adil untuk memberi keputusan sebaliknya.

4.8       Perkara 12 : Hak–Hak Berkenaan Pelajaran
Hak-hak berkenaan dengan pelajaran adalah Perkara 12 bahagian 2 Perlembagaan Malaysia.  Terdapat 5 fasal yang termaktub dalam Perkara 12 ini. Fasal (1) ialah dengan tidak menyentuh keluasan makna Perkara 8, tidaklah boleh ada perbezaan terhadap mana-mana jua warganegara semata-mata oleh sebab ugama, kaum, keturunan atau tempat lahir. Fasal (1) ini juga terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Fasal 1(a) dan Fasal 1(b).
Fasal 1(a) menerangkan bahawa dalam pentadbiran mana-mana yayasan pelajaran yang diselenggara oleh sesuatu pihak berkuasa awam, dan khususnya tentang kemasukkan murid-murid atau pelajar-pelajar atau tentang bayaran manakala Fasal 1(b) pula menyatakan tentang peruntukan bantuan kewangan dari wang sesuatu pihak berkuasa awam untuk menanggung  murid-murid atau untuk pelajaran murid-murid  atau pelajar-pelajar dimana-mana yayasan pelajaran (samada diselenggara atau tidak diselenggara oleh sesuatu pihak berkuasa awamdan sama ada dalam atau luar persekutuan).
Perkara 12 (2) pula menyatakan bahawa tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak untuk menubuhkan dan menyelenggara institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak dalam ugama kumpulan itu sendiri, dan tidaklah boleh ada pembezaan semata-mata oleh sebab ugama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau mengadakan membantu dalam mengadakan ajaran dalam ugama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.
Perkara 12 (3) pula menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri. Perkara 12 (4) menyatakan bahawa ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.
Perkara  12 (1) menerangkan bahawa setiap orang mempunyai hak berkenaan pelajaran tanpa mengira  agama,kaum, keturunan dan tempat lahir. Hal ini menunjukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mendapatkan pelajaran kerana mereka berhak untuk mendapatkannya seperti yang telah dinyatakan dalam Perkara 12 (1).  Oleh yang demikian, pihak-pihak berkuasa awam yang terlibat tidak boleh mempunyai sikap  diskriminasi terhadap mana-mana warganegara berdasarkan agama, kaum, keturunan atau tempat lahir terutama sekali apabila melibatkan kemasukkan pelajar-pelajar ke sekolah atau universiti dan juga diskriminasi terhadap bayaran dalam menuntut pelajaran bersesuai an dengan fasal 1 (a) dan  tiada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara berdasarkan agama, kaum, keturunan atau tempat lahir apabila melibatkan peruntukan bantuan kewangan dari pihak berkuasa awam untuk menanggung pelajaran para pelajar dimana-mana yayasan pelajaran  bersesuaian dengan fasal 1 (b) yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 12 (2) pula menerangkan bahawa tiap-tiap kumpulan agama berhak untuk menubuhkan dan menyelenggarakan institusi untuk pendidikan kanak-kanak dalam kumpulan itu sendiri. Hal ini bermaksud, mana-mana agama mempunyai kebebasan dan hak untuk menubuhkan dan menyelenggara institusi pendidikan untuk kanak-kanak dalam kumpulan itu sendiri. Mereka boleh menubuhkan seberapa banyak institusi pendidikan yang mereka mampu selagi pekara ini tidak mengganggu ketenteraman masyarakat dan juga negara.
Perkara 12 (3) pula menyatakan bahawa tiada sesiapa boleh diwajibkan menerima ajaran  atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara agama selain dari agamanya sendiri. Hal ini bermaksud tiada sesiapa pun yang boleh dipaksa untuk mengikuti atau menerima ajaran serta mengambil bahagian dalam mana-mana upacara keagamaan negara lain. Hal ini menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk memilih pelajaran yang ingin dipelajarinya dan sesiapa tidak boleh menentukan pelajaran yang perlu diambil olehnya melainkan dirinya sendiri.
Perkara 12 (4) pula menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau panjaganya. Hal ini bermaksud seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun haruslah mengikut pelajaran agama yang telah ditetapkan oleh ibu bapa dan penjaga mereka. Hal ini demikian kerana, agama yang dianuti mereka adalah bergantung kepada ibu bapa dan penjaga sehinggalah berumur lapan belas tahun.

4.9       Perkara 13 : Hak Terhadap Harta
(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai
Mengikut Perkara 13 iaitu Hak Terhadap Harta, seseorang tidak boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Ini bermakna semua orang berhak untuk mengumpul sebanyak harta untuk kegunaan peribadi. Namun begitu, sekiranya harta yang dikumpul itu jika didapati tidak sah oleh undang-undang maka harta tersebut adalah boleh untuk dilucutkan secara sah. Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan tiada pampasan yang mencukupi. Perkara 13 adalah adalah sebagai satu cara untuk melindungi kepentingan harta rakyat. Sebagai kesimpulan seperti yang ditegaskan hak asasi manusia ini untuk kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan kebebasan kepercayaan.

Contoh Kes Berkaitan Perkara 13 :
Adong Bin Kuwau & Ors Lwn Kerajaan Negeri Johor [1997] 1 Mlj 418
Tanah yang selama ini menjadi kampung halaman dan tempat tinggal plaintif (sekumpulan masyarakat Orang Asli) telah diambil defendan untuk membina ampangan merangkumi kawasan seluas 53,273 ekar untuk membolehkannya menjual air mentah ke Singapura. Mereka hanya diberikan pampasan sebanyak RM 560,535. Apabila kes ini dirujuk ke mahkamah, Mahkamah Tinggi Johor Baru memutuskan bahawa hak plaintif pada tanah berkenaan hendaklah dihormati, lalu memerintahkan defendan membayar pampasan kepada plaintif sebanyak RM 26 juta.
Keputusan : Kerajaan Negeri Johor telah merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana akhirnya rayuan ini ditolak. Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa hak Orang Asli yang diiktiraf itu merangkumi hak untuk terus tingal pada tanah yang telah sekian lama didukui oleh nenek moyang mereka, dan hak ini tidak hilang atau dimansuhkan oleh undang-undang moden.

Kes Leonard Lim Yaw Chiang melawan Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak
Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak daripada memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah membawa dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga turut memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.
Keputusan : Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

5.0  SUHAKAM : SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ini ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Akta tersebut telah diwartakan pada 9 September 1999. Mesyuarat sulungnya pula diadakan pada 24 April 2000. Penyertaan Malaysia yang aktif di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Commission for Human Rights-UNCHR) telah menyebabkan Malaysia juga berusaha menubuhkan sebuah institusi hak asasi manusia pada peringkat nasional pada tahun 1993 hingga 1995. Pada waktu itu, Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Seterusnya pada tahun 1995, Malaysia diberi penghormatan iaitu dilantik sebagai Pengerusi sesi ke-52 UNCHR. Ketua perwakilan pada masa itu adalah Tan Sri Dato’ Musa Hitam.
Kerajaan malaysia telah menimbangkan sebab-sebab penubuhan Hak Asasi Manusia Malaysia. Antaranya ialah penglibatan malaysia yang aktif dalam UNCR semenjak tahun 1993. Selain itu juga, impak daripada kejayaan persidangan dunia berhubung hak asasi manusia pada tahun 1993 di vienna telah menarik perhatian masyarakat dunia turut menarik perhatian malaysia bagi mewujudkan pertubuhan Hak Asasi Manusia. Selain itu juga, faktor penyumbang kepada pertubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia adalah kerana  negara-negara yang menyertai UNCHR termasuk Malaysia, bersetuju bahawa hak-hak asasi manusia meliputi rangkuman sejagat dan tidak boleh dipisahkan dan mereka juga meyedari bahawa pentingnya diwujudkan badan-badan hak asasi manusia di peringkat negara masing-masing. Hal ini telah menjadikan Malaysia salah satu negara yang memperjuangkan hak asasi manusia.
Namun begitu masih terdapat pelbagai faktor lain yang telah mendokong cadangan penubuhan SUHAKAM ini antaranya ialah terdapat tekanan yang meluas di peringkat antarabangsa terhadap hak asasi manusia dan menyedari bahawa isu ini merentasi sempadan dan kedaulatan sesebuah negara. selain itu juga, penglibatan Malaysia yang begitu aktif dalam pertubuhan bangsa-bangsa bersatu dan juga suasana politik malaysia yang semakin berkembang di samping masyarakat malaysia yang bergerak maju dan peka terhadap isu-isu semasa, isu-isu hak asasi manusia dan juga isu-isu politik. Oleh yang demikian, berdasarkan faktor-faktor tersebut Tan Sri Dato’ Musa Hitam yang ketika itu merupakan perwakilan Malaysia telah mencadangkan buat pertama kalinya kepada kerajaan Malaysia bagi menubuhkan badan asasi manusia sendiri yang bebas.
Pada 24 April 1999 pula iaitu lima tahun selepas idea itu diajukan, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan membentang satu Rang Undang-undang dalam sidang Parlimen pada bulan Julai 1999 bagi menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia. Rang Undang-undang ini berpandukan kepada Prinsip Paris 1992 yang memperuntukkan kriteria antarabangsa bagi penubuhan sesebuah suruhanjaya hak asasi manusia yang bebas dan juga pengalaman yang ada pada institusi hak asasi manusia yang sudah tertubuh, terutamanya di rantau Asia Pasifik.
Terdapat pelbagai fungsi dan kuasa penubuhan suhakam antaranya ialah bagi membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia. Selain itu juga suruhanjaya ini berfungsi bagi memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan mengenai hak asasi manusia. Selain itu juga, suruhanjaya ini juga berfungsi dalam menasihati dan membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan, dan tatacara pentadbiran serta mengesyorkan langkah yang perlu diambil. Seterusnya ia juga turut berfungsi bagi mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia. Suruhanjaya hak asasi manusia turut berperanan dalam menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia yang disebut di bawah seksyen 12. Fungsi menyiasat aduan berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 Akta tersebut. Seksyen 12 memberi SUHAKAM kuasa memulakan penyiasatan terhadap tuduhan wujudnya pelanggaran hak asasi, di samping bertindak berasaskan aduan yang dibuat kepadanya. Justeru itu, SUHAKAM tidak boleh menyiasat aduan yang menjadi perkara prosiding yang sedang menunggu keputusan mana-mana mahkamah undang-undang atau yang sudah di putuskan dengan muktamad oleh mahkamah. Penyiasatan mesti dihentikan sekiranya perkara yang sedang disiasat dibawa ke mahkamah.
Dalam pada itu, bagi menjalankan segala peranan dan fungsinya suruhanjaya menjalankan kuasa-kuasa yang telah ditetapkan dalam akta 597 antaranya mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program , seminar dan bengkel serta melakukan penyebaran dan mengedarkan hasil penyelidikan bagi memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia. Seterusnya SUHAKAM juga berkuasa dalam mengesyorkan kepada kerajaan mahupun pihak berkuasa mengenai langkah-langkah yang sesuai terhadap aduan yang telah dibuat serta mengambil langkah-langkah yang sesuai dalam mengatasi masalah tersebut. SUHAKAM juga berperanan dalam mengkaji dan menentukan sama ada sah atau tidak tentang apa-apa perlanggaran hak asasi manusia mengikut peruntukan akta ini. selain itu juga suruhanjaya ini turut mempunyai kuasa bagi melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh undang-undang yang berhubung dengan tempat tahanan tersebut. Selain itu juga ia turut berperanan dalam mengeluarkan penyataan awam mengenai hak asasi manusia apabila perlu. Selain daripada itu, Seksyen 4(4) Akta berkenaan menegaskan bahawa perhatian berat harus diberikan kepada Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 selagi pengisytiharan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, apa jua hak dan kebebasan yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi ada dirujuk dalam UDHR mesti dipertimbangkan dengan syarat tidak ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Manakala mengenai anggota suruhanjaya dan tempoh jawatan pula, ahli suruhanjaya hendaklah terdiri tidak lebih daripada dua puluh orang anggota. Anggota-anggota tersebut pula haruslah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri. Selain itu juga, anggota-anggota juga hendaklah dilantik dalam kalangan tokoh-tokoh terkenal termasuklah mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang, agama dan kaum. Setelah itu anggota-anggota yang telah dilantik ini hendaklah memegang jawatan mereka selama dua tahun dan layak dilantik semula menjadi ahli suruhanjaya sekiranya tamat tempoh. Manakala mengenai pengerusi dan naib pengerusi SUHAKAM  pula, Yang Di Pertuan Agong hendaklah menetapkan salah seorang daripada anggota yang dilantik di bawah seksyen 5 untuk dilantik sebagai pengerusi  mahupun naib pengerusi suruhanjaya. Manakala tempoh jawatan bagi pengerusi dan naib pengerusi adalah selama tempoh mereka berkhidmat sebagai anggota dalam suruhanjaya. Namun jika pengerusi suruhanjaya tidak dapat menjalankan tugas sebagai pengerusi dalam tempoh tertentu diatas apa jua sebab, naib pengerusi hendaklah menjalankan tugas sebagai pengerusi.
Pada 3 April 2000, Kerajaan mengumumkan perlantikan pengerusi pertama SUHAKAM iaitu Tan Sri Dato’ Musa bin Hitam dan 12 ahli Suruhanjaya yang akan berkhidmat selama dua tahun dan penggal perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan. Pelantikan tersebut dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia membenarkan pelantikan sehingga 20 orang ahli, namun begitu keputusan telah dibuat bahawa SUHAKAM akan memulakan tugasnya dengan 13 ahli sahaja pada waktu itu sehinggalah apabila lebih ramai ahli dirasakan perlu. Ahli SUHAKAM dipilih bagi mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga berdasarkan pengalaman, iltizam, kebebasan dan kewibawaan individu berkenaan.

Contoh Kes Berkaitan Hak Asasi :
Kes Yit Hon Kit VS Menteri Dalam Negeri
             Kes Yit Hon Kit merupakan satu kes yang agak rumit apabila dia mencabar menteri dalam negeri kerana mengemukakan perintah penahanan terhadapnya pada 17 febuari 1986. Beliau kemudiannya membuat permohonan habeas corpus untuk membantah perintah penahanan terhadapnya yang tidak mempunyai bukti bahawa beliau bersalah. Hakim yang mengadili kes ini pada ketika itu adalah Yang Arif Edgar Joseph Jr.J.
Kronologi kesnya bermula apabila Yit Hon Kit dikatakan menjadi seorang pemimpin daripada sebuah masyarakat rahsia yang dikenali sebagai Siang Ang beliau dikatakan telah aktif dalam operasi tersebut sejak tahun 1983. Beliau kemudiannya dituduh kerana telah mengarahkan ahli persatuan untuk membunuh seorang lelaki di sepanjang jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan Perak pada tahun 1984. Fakta tuduhan kes tersebut diperkuatkan lagi oleh Encik Ibrahim bin Abdullah iaitu pembantu setiausaha Jabatan yang bertanggungjawab untuk memproses fail kes pemohon. Beliau kemudiannya telah ditangkap oleh Inspector Ng Thiam Siew anti perkumpulan rahsia di rumahnya di Selayang Selangor pada jam 10 pagi  pada 24 disember 1984 atas tuduhan membunuh. Pada hari yang sama juga pemohon telah diserahkan kepada Inspektor Tai Cheng Boon untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. 
  Apabila disemak dalam notis yang bertarikh 3 april 1986 tertuduh masih lagi dalam tahanan.  Pada 26 disember 1985,  Pc Hosni bin Tahir telah diarahkan oleh pegawal atasannya iaitu Inspektor Tai Cheng agar membawa pemohon keluar dari penjara dan membawanya ke pejabat polis, Teluk Intan Perak tanpa memberitahu pemohon sebab beliau dibawa ke sana kerana Pc Hosni hanya mendapat perintah daripada pagawai atasannya sahaja. Pemohon memprotes dan mengatakan bahawa beliau tidak bersalah dan menyangkal tuduhan cateforically fakta di atas dan meminta perintah penahanan tersebut ditutup. Beliau berhak menyangkal tuduhan tersebut kerana pemohon berhak  ketasnya dengan menyatakan perintah penahanan ini melewati vitiated oleh mala Fides dan mengatakan alasan-alasan yang dicipta ke atasnya tiada dalam lingkup Ordonansi. Namun dalam undang-undang setiap pemaksaan dibenarkan dan dalam hal fundamental dan penting bagi pemohon sebagai subjek kebebasan sesuai dengan persyaratan perundangan yang harus diperhatikan kepada seseorang yang merampas kebebasannya.
Undang-undang mengesahkan penahanan tanpa proses mahkamah harus ditafsirkan secara ketat kerana undang-undang memberi perlindungan kepada setiap warganegara yang harus diintepretasikan secara bebas. Oleh itu, pemohon berhak meminta kebebasan peribadi untuk permohonan writ of Habeas Corpus bagi membatalkan arahan yang merampas dirinya dari kebebasan. Titik yang paling utama diambil ialah bukti perlanggaran pertama dalam perlembagaan perkara 5 (3) iaitu jika seseorang ditangkap maka ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera sebab-sebab dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang  yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu. Dalam kes Yit Hon Kit ini beliau hendaklah diberi kebebasan untuk mendapatkan seorang peguam yang sesuai dengan pilihannya untuk membelanya. Sekiranya terdapat complaintis dibuat kepada hakim atau mahkamah tinggi, sekiranya seseorang ditahan secara tidak sah mahkamah akan menyiasat aduan daripada pemohon melainkan penahanan adalah tidak sah. Seperti fakta-fakta yang dihuraikan  di atas pemohon hanya mengetahui akan asas penangkapannya di bawah seksyen 3(1) pada 21 febuari 1986, ketika dia diberitahu dengan diakui salinan perintah penahanan ‘ Borang 13A dan membentuk aku’ dengan inspector Abdul Malik bin Abu Bakar yang menjelaskan kepadanya.
Oleh itu, merujuk kepada kes Yit Hon Kit ini, beliau haruslah diberikan alasan kenapa penahanannya ditangguhkan terlalu lama kerana ia adalah kewajipan Negara ataupun sesuatu kuasa itu. Merujuk kepada kes Md. Sahabuddin ada menjelaskan mengenai penangguhan antara jenayah dan perintah penahanan, mahkamah memutuskan penahanan sebegini tidak sah kerana subbjektif tidak mempunyai perhubungan rasional berdekatan dengan prejudicial bertindak. Perintah penahanan adalah membatalkan, peraturan yang dibuat oleh pemohon mutlak untuk diarahkan supaya dibebaskan. Satu-satu affidavit diandaikan sebagai pengganti daripadanya, adalah mereka ditegaskan oleh Encik Ibrahim bin Abdullah yang bertugas untuk memproses fail kes pemohon dan memasang sebuah abstrak atasnya yang menunjukkan titik-titik untuk pemohon dan terhadap pemohon. Dia belum mengatakan bahawa ia diberi kuasa untuk bersumpah affidavit dan telah menawarkan penjelasan apapun untuk tidak adanya surat pernyataan yang bertentangan dengan Timbalan Menteri. Oleh sebab itu, kegiatan jenayah yang diajukan kepada pemohon terlalu jauh dari titik undang-undang untuk menahannya.


6.0 KESIMPULAN
Konsep hak asasi manusia telah lama wujud dalam masyarakat dan agama. Sebelum undang-undang berkaitan dengan hak asasi manusia didokumenkan, masyarakat dan agama telah menerima dan mengiktiraf hak asasi manusia. Hak kemanusiaan ini dapat dilihat dari dua segi iaitu dari segi moral dan perundangan. Dari segi perundangan, hak kemanusiaan ini merupakan satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang warganegara sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang Negara tersebut. Manakala dari segi moralnya, hak kemanusiaan merupakan satu tanggapan moral yang diterima dalam sekelompok masyarakat itu. Anggota-anggaota masyarakat tersebut mangakui dan menerima hak-hak tertentu yang harus dinikmati oleh anggota masyarakat berkenaan walaupun perkara itu tidak terdapat dalam undang-undang.
            Walaubagaimanapun, berdasarkan situasi di malaysia, masih terdapat banyak undang-undang telah menyekat kebebasan hak asasi manusia seperti hak kebebasan bersuara dalam perkara 10. Walaupun dalam pelembagaan memberikan kebebasan bersuara, namun masih terdapat sekatan-sekatan yang digunakan antaranya akta hasutan dan akta fitnah. Selain itu juga, akta keselamatan dalam negeri juga merupakan salah satu undang-undang yang melanggar hak asasi manusia. Namun penghapusan terdapat ISA baru-baru ini menunjukkan satu langkah yang baik dalam memastikan hak asasi manusia terpelihara. Walaubagaimanapun, sekatan-sekatan terhadap hak asasi ini juga amat penting bagi menjaga keharmonian negara daripada individu-individu atau kumpulan yang menggunakan hak kebebasan asasi bagi kepentingan sendiri yang akhirnya mampu menggugat keselamatan negara.


7.0 Bibliografi

Amnesty Internasional ( 2010). Terjerat Eksploitasi Pekerja Asing di Malaysia.  United Kingdom, London : Amnesty Internasional Publication.
Khairiyah Salwa Mokhtar, Yessy Oktavia Misdi (2005). suruhanjaya hak-hak asasi manusia         malaysia (SUHAKAM) dan kesedaran masyarakat : Satu kajian kes di Pulau Pinang.            Universiti Sains Malaysia. Diperoleh daripada     http://eprints.usm.my/9821/1/Suruhanjaya_Hak-hak Asasi_ Manusia_ Malaysia_                 (SUHAKAM)_dan_Kesedaran_Masyarakat_(PPPJJ)_2005.pdf
Laporan Hak Asasi Manusia 2010 : Malaysia Biro Demokrasi, Hak Asasi Manusia, dan Buruh. Laporan amalan Hak Asasi Manusia Negara Malaysia 2010. Diperoleh pada November 20, 2011 daripada http://photos.state.gov/libraries/malaysia/231771/PDFs/hrrpt2010_bm.pdf
Lembaga Penyelidikan Undang-Undang (2009). Undang-undang Malaysia : Perlembagaan          Persekutuan. Selangor : International Law Book Services.
Mohd Safar Hasim (2001). Kebebasan dan Kebebasan Bersuara: Satu Tinjauan dari Sudut Perlembagaan dan Undang-undang Malaysia. Diperoleh pada November 20, 2011 daripada http://www.ukm.my/jkom/journal/pdf_files/2001/V17_4.pdf
Norraihan Zakaria (2007). Konsep Hak Asasi Manusia.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan           Pustaka.
Suruhanjaya Penyemak Undang-Undang Malaysia(2006). Undang-undang Malaysia : Akta           597, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia  1999 (2006). Diperoleh daripada http://www.agc. gov.my/Akta/Vol. %2012/Akta%20597.pdf


                                                                                                                   

[1] Akhbar: merujuk kepada apa-apa penyiaran yang mengandungi berita, pandangan, laporan-laporan mengandungi berita-berita, pandangan, pemerhatian tentang kejadian, apa-apa kenyataan, pemerhatian atau komen berhubung dengan sesuatu berita.
[2] Aktiviti subversif: merujuk kepada pemberontakan yang boleh menggugat ancaman kepada keselamatan negara.
[3] Hansard Parliament, merujuk kepada catatan yang diambil dalam dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...