Saturday 10 March 2012

Isu Malaysia Tidak Pernah Dijajah

PENGENALAN
Isu Malaysia tidak pernah dijajah, merupakan isu yang baru dibangkitkan setelah kenyataan ini dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara ( MPN) mengatakan Malaysia tidak pernah dijajah oleh British. Setelah isu ini mula dibangkitkan, kelihatan banyak media dan orang persendirian serta tidak ketinggalan rakyat Malaysia menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing mengenai kenyataan yang telah dikeluarkan ini. Ada yang menyangkalnya dengan hebat dan ada yang menyokong kenyataan ini. Tetapi yang pastinya kenyataan ini telah menggemparkan rakyat Malaysia berikutan pemikiran kita sejak zaman persekolahan lagi telah disuntik dengan fakta sejarah mengenai penjajahan barat di Tanah Melayu (TM). Oleh itu, tidak hairanlah masyarakat menentang terus kenyataan ini kerana merasakan sejarah yang telah dipelajari adalah satu fakta yang mana mungkin sesuatu yang direka semata-mata. Tetapi majlis Profesor Negara semestinya ada jawapan dan kerelevenan tersendiri sebelum mengeluarkan kenyataan ini. Masakan ia dikeluarkan jika tidak ada penyelidikan, ini agak mustahil. Kerana penyelidikan dan pembacaan yang banyak tidak mustahil mampu mengungkai peristiwa bersejarah.
Daripada isu ini saya mengambil pendapat daripada beberapa orang yang berpengalaman kerana saya berpendapat apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh tentang isu ini ada kebenarannya. Ini kerana mereka lebih arif tentang masalah ini berbanding masyarakat kita dan mereka adalah golongan yang  memiliki pengalaman soal negara termasuk sejarah negara kita. Daripada pendapat yang diberikan oleh mereka seperti Tun Mahathir, Prof. Zainal Kling dan Timbalan Perdana Menteri saya membuat pendapat saya dan mengambil intipati yang mereka katakan sebagai satu input yang penting.
Walau bagaimanapun,  kita harus melihat masalah ini dengan berpandangan jauh dan jangan hanya melihat kepada satu fakta atau usul sahaja bahkan perlu lebih lagi. Kita juga harus melihat daripada konteks sejarah dan tidak perlulah diusulkan dengan politik semasa kerana khuatir akan wujud masalah lain yang boleh mengelirukan lagi keadaan yang ingin dipastikan, iaitu untuk mengetahui adakah benar Malaysia kita tidak pernah dijajah ataupun sebaliknya.


ISU MALAYSIA TIDAK PERNAH DIJAJAH
Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh MPN di Putrajaya baru-baru ini mengatakan Malaysia atau Tanah Melayu tidak pernah dijajah tetapi hanya berada di bawah naungan British. Menurut Prof datuk Dr Zainal Kling, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN menyatakan hanya tiga buah negeri sahaja menjadi tanah jajahan British iaitu Singapure, Melaka dan Pulau Pinang. Menurut beliau lagi fakta sejarah yang ada sekarang harus diubah dan fakta mengenai Tanah Melayu terjajah selama 400 tahun adalah satu fakta yang tidak benar. Hal ini demikian kerana Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sahaja iaitu semasa Malayan Union (MU) diperkenalkan oleh pihak British untuk kepentingan mereka dan untuk menjadikan Tanah Melayu, Negeri-Negeri selat Melayu sebagai direct rule dari London melalui gavenor iaitu koloni. Selain itu, kita hanya terjajah pada zaman Jepun iaitu selama 3 tahun.
Di samping itu juga, beliau menyatakan bahawa perkataan jajahan dan naungan membawa pengertian berbeza daripada sudut sejarah pemerintahan Tanah Melayu sejak sebelum merdeka. Ini  kerana Tanah Melayu dijadikan naungan kerajaan British dan pemerintahan Tanah Melayu ketika ini adalah tertakluk di bawah institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu. Menurut kenyataan yang dikeluarkan juga menegaskan tuduhan yang diberikan keatas anggota polis, pemimpin parti politik dan pegawai Melayu sebagai kakitangan British adalah tidak benar dan bercanggah dengan fakta sejarah. Sebaliknya golongan haluan kiri yang menentang polis merupakan golongan yang menentang pasukan keselamatan Tanah Melayu.
Daripada kenyataan yang dikeluarkan ini, sebenarnya Profesor Zainal Kling menyatakan Malaysia dijajah tetapi tidaklah secara langsung. Ini dapat dilihat daripada penulisan ‘emily Sadka’ dalam bukunya bertajuk protected Malay yang ditulis pada tahun 1970an membicarakan tentang kedudukan Melayu dan sistem politik Melayu.
Dalam penulisannya ini, menjelaskan keadaan Tanah Melayu yang pada masa itu sangat kucar kacir. Oleh itu, raja-raja Melayu membuat keputusan untuk meminta nasihat daripada British bagi membantu dalam soal pemerintahan. Jika dilihat pada asalnya memanglah tujuan British adalah murni kerana kesanggupan mereka membantu raja-raja Melayu dalam konteks pemerintahan, iaitu dimana orang Melayu memerlukan sesuatu cara untuk bersahabat dengan orang Barat.
Dalam konteks ini, British datang ke Negeri Melayu dan menjalankan tugas  seperti yang dikehendaki oleh raja-raja Melayu agar membantu untuk menstabilkan dalam melaksanakan pentadbiran dengan baik. Namun, akhirnya British telah mengambil kesempatan terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh raja Melayu dengan meletakkan pegawai tadbirnya dalam pemerintahan di Tanah Melayu. Disamping itu juga, mereka turut memperkenalkan sistem pemerintahan mereka dalam pentadbiran di Tanah Melayu.
Kesempatan ini diambil setelah mereka melihat dan mengkaji keadaan masyarakat Melayu yang banyak bergantung kepada pemerintah. Mereka juga dapati segala apa-apa yang berkaitan dengan masalah rakyat hinggalah kepada keputusan adalah tertakluk kepada kuasa raja dan jika rakyat ingkar dengan perintah raja mereka akan menerima balasan atau dengan kata lainnya tulah. Ini menunjukkan raja sangat memainkan peranan penting kepada rakyat. Oleh itu, banyak hak orang Melayu digubal setelah British campur tangan dalam pemerintahan sehinggalah hak yang melindungi orang Melayu turut digubal. Misalnya soal tanah British memahami bahawa konsep kerakyatan dan kehidupan orang Melayu sejak zaman dahulu lagi adalah bergantung kepada tanah.
Selain itu, prof juga ada menyebut tentang sistem kepimpinan Melayu, dimana menurut prof. Datuk dan prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim menyatakan British datang adalah dengan mengekalkan imej Melayu. Tetapi untuk memastikan kedudukan imej mereka turut terjaga di Tanah Melayu konsep derhaka dijadikan satu konsep yang mantap oleh mereka agar tersemat dalam jiwa orang Melayu. Di sini kita dapat lihat daripada konsep ini, orang Melayu menjadikan raja sebagai identiti dan lambang yang tinggi. Oleh itulah, sehingga kini kita dapat lihat 9 orang raja di Malaysia dan rakyat masih lagi memandang tinggi terhadap institusi beraja.
Perbincangan mengenai Malaysia tidak pernah dijajah dapat dilihat juga daripada kuasa raja. Dimana menurut peguam Inggeris Rolan Bradll menyatakan British sebenarnya tidak boleh menjalankan aktiviti sewenang-wenangnya terhadap raja-raja Melayu kerana raja-raja Melayu masih lagi berhak terhadap negara mereka. Oleh itu, apabila raja Melayu sudah tidak mempunyai kuasa menyebabkan saudagar-saudagar yang berdagang ke TM misalnya tidak lagi membuat hubungan baik dengan raja Melayu untuk aktiviti perdagangan import dan eksport. Ini menunjukkan segala kuasa raja telah beralih ke tangan British sehinggalah menyebabkan hubungan Inggeris dengan orang bukan Melayu semakin erat dan raja Melayu hanya berkuasa dalam soal agama dan adat Melayu sahaja.
Melihat kepada pakar Perlembagaan pula iaitu, Profesor Abdul Aziz Bari berkata, daripada segi teknikalnya memang negeri-negeri Melayu bukan atau tidak pernah dijajah. Hal ini demikian kerana negeri-negeri Melayu hanya dilindungi kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sahaja yang pernah dijajah. Menurut beliau lagi, kehadiran British adalah berasaskan kepada perjanjian dengan raja setiap kerajaan dan pegawai British ditugaskan untuk menjalankan pentadbiran dan kedaulatan tetap ada pada raja.
Menurut persetujuan oleh Profesor tentang Negeri Melayu tidak pernah dijajah kebanyakannya menyebut hanya setengah daripada negeri sahaja yang dijajah dan bukannya seluruh Tanah Melayu. Ini menunjukkan penegasan daripada setengah ahli akademik untuk mengubah semula sejarah yang dikatakan berlaku kekeliruan adalah untuk memberi pengetahuan sebenar kepada kita tentang sejarah sebenar.
Melihat kepada masyarakat pula, pada saya kebanyakan mereka melontarkan kata yang tidak enak. Seperti yang dikatakan pada awal perbincangan tentang isu Malaysia tidak pernah dijajah ini, orang ramai hanya tahu fakta sejarah yang kebanyakannya daripada pengajaran di sekolah. Justeru itu, pengetahuan kita tentang sejarah yang sebenar adalah sangat cetek. Ini dapat dibuktikan dengan keadaan masyarakat Malaysia sekarang yang tidak tahu akan Malaysia dengan lebih mendalam kerana memandang akan sejarah sesuatu yang tidak penting dalam kehidupan mereka seharian. Oleh itu, penentangan akan kenyataan ini tidak perlu secara kritis kerana kita perlu berfikir dengan lebih rasional.
            Perkara ini akan menjadi lebih rumit apabila masyarakat berfikir kenyataan yang dibuat adalah menyeleweng daripada fakta sejarah. Kita harus ketahui sebenarnya apa yang dikatakan bukanlah mengatakan sejarah sekarang adalah semua salah tetapi perlu diperbetulkan mana-mana yang keliru misalnya tentang Tanah Melayu dijajah selama 400 tahun. Hal ini kerana, apa yang kita ketahui daripada isu ini kita dijajah hanya semasa malayan Union dan semasa kependudukan jepun di Tanah melayu.
Kita juga dapat lihat British telah berjaya menjadikan kita tanah jajahan iaitu untuk mendapatkan sumber bekalan mentah dan mencampuri urusan pentadbiran sebenarnya dapat dilihat daripada penyelidikan mereka. Mereka telah banyak membuat kajian tentang budaya orang Melayu sehinggakan mereka tahu akan kelemahan dan kekuatan kita. Oleh itu, dengan mudah mereka dapat mempengaruhi orang Melayu demi kepentingan mereka. Hal ini, menyebabkan kita mudah dipujuk kerana sifat orang Melayu yang lemah lembut. Di sini, kita dapat lihat mereka mudah untuk mengambil kesempatan keatas kita.
Tun Dr.Mahathir Mohamad juga berkata, Malaysia tidak pernah dijajah, tetapi beliau menegaskan penasihat-penasihat British yang telah bertindak seolah-olah pihak mereka adalah pemerintah sebenar berbanding dengan raja-raja Melayu. Ini dapat dilihat apabila British mula mengambil kesempatan dengan meletakkan penasihat mereka dalam pemerintahan. Seperti  yang dikatakan pada asalnya sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British ke Tanah Melayu untuk menasihat bagaimana untuk mentadbir negara. Akan tetapi sebaliknya British telah bertindak seolah-olah kita dijajah. Ini menunjukkan tun menegaskan kita dijajah bukan cara tawanan tetapi cara yang digunakan mereka melihatkan kita seolah-olah dijajah.
Apabila saya membaca daripada Tun lagi, kedatangan British bukan untuk memberi nasihat bahkan kelihatan memberi arahan. Tambah Tun penasihat British memerintah manakala pemerintah pula memberi nasihat. Keadaan ini berbeza daripada tugas British mula-mula ke Tanah Melayu. Melihat kepada kenyataan Tun yang menyusul kata-kata dari Majlis Profesor Negara (MPN) iaitu fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah. Tun juga berkata ia harus dibaiki daripada sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru-guru, ahli politik atau penafsir politik.
Jika dilihat daripada perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah tetapi sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi. Dan perlu difahamkan bahawa perkataan dinaungi tidak sama dengan kolonial. Pendapat mengenai isu ini jika dilihat sejak mula lagi Tanah Melayu bukanlah tanah jajahan atau kolonial dan fakta ini perlu diubah. Tun juga bersependapat dengan MPN dalam kenyataan yang dibuat menegaskan zaman pentadbiran British yang disamakan dengan penjajahan British sebenarnya tidak sahih dan tidak wajar digunakan. Daripada pendapat Tun ini, difikirkan bahawa Malaysia sebenarnya berada di bawah naungan British sahaja dan buka kita dijajah. Kenyataan ini ada benarnya juga kerana kita dapat lihat sendiri daripada perjanjian Pangkor yang dibuat antara British dengan sultan.
Namun begitu, berlainan pula dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata di dewan rakyat mengakui Malaysia pernah dijajah. Pendapat beliau kelihatan berbeza dengan apa yang dikeluarkan oleh MPN dan pendapat daripada Tun. Beliau menegas lagi, sama ada negara dijajah ataupun tidak jawapan yang akan beliau katakan adalah ya. Beliau tegas mengambil pendirian walaupun ada beberapa pihak yang  berpendapat bahawa kita tidak dijajah. 
Menurut beliau jika dikaji semula sejarah, kita telah menyambut kemerdekaan pada setiap tahun. Oleh itu, kemerdekaan yang disambut takkanlah hanya sia-sia sahaja. Ini menunjukkan bahawa kita tahu kita dijajah. Selama 54 tahun kita menyambut perayaan ini mestikah ada signifikannya. Selain itu, kedatangan British sebagai penasihat pada waktu ini sebenarnya untuk memberikan nasihat kepada raja, dan dalam konteks ini nasihat yang diberikan harus diikuti kerana kita sendiri yang mengundang mereka membantu dalam hal pentadbiran. Ia adalah suatu yang tidak bebas dan terpaksa mengikut apa yang dinasihat.
Tan Seri ketika diminta memberikan pendirian berhubung isu ini didakwa menimbulkan kekeliruan rakyat khususnya pelajar sekolah. Berkata beliau bimbang kerana usul yang dikeluarkan menyebabkan pelajar sekolah terutamanya keliru akan sejarah sebenar kerana mereka diajar Malaysia merdeka pada 31 Ogos. Menurut beliau bagaimana pula dengan keadaan pelajar yang ingin menduduki peperiksaan dalam jangkamasa terdekat ini. Sekiranya soalan yang dikeluarkan kepada mereka berkait rapat dengan isu ini. Ini akan menyebabkan pelajar gagal menjawabnya.
Daripada apa yang dikatakan oleh Timbalan Perdana menteri ada betulnya juga kerana masyarakat sudah lama didedahkan dengan perayaan yang disambut setiap tahun. Untuk mendapatkan kenyataan yang sebenar ia agak susah. Pada asalnya saya juga tertanya-tanya bagaimana kemerdekaan disambut sedangkan kita tidak dijajah. Adakah kemerdekaan yang disambut ini adalah satu simbol bagi negara sahaja atau sebaliknya. Tetapi selepas melihat daripada beberapa pendapat mungkin benar ada berlaku kekhilafan dalam catatan atau mungkin ada yang terlepas pandang mengenai fakta sejarah. Jika tidak isu ini tidak mungkin akan timbul dan dipersoalkan. Jika melihat kepada pandangan Tan Seri juga beliau lebih bimbang akan pelajar sekolah yang keliru tentang Malaysia sama ada dijajah ataupun tidak, dan kebimbang ini menunjukkan kerisauan terhadap potensi keputusan pelajar nanti. Oleh itu, isu ini harus diselesaikan dengan kadar segera agar kita mempunyai fakta yang sebenar dan ternoktah.
Daripada apa yang saya lihat dan saya ambil, pandangan dan ulasan yang dibuat oleh Majlis Profesor Negara  dan Tun Dr. Mahathir kelihatan membuat penegasan daripada perkataan yang dibuat harus ditukarkan. Misalnya penjajahan British yang disamakan dengan zaman pentadbiran British. Selain itu, perkataan dinaungi dengan jajahan yang ditegaskan adalah dua perkataan yang berbeza. Menurut mereka pandangan yang diberikan lebih menjurus kepada pertukaran perkataan, kerana setiap perkataan yang dikeluarkan walaupun hanya satu perkataan ia boleh membawa kepada maksud yang berlainan. Oleh itu, jika diajar kepada pelajar disekolah dan masyarakat dikhuatiri mereka akan tersalah anggap.
Dikatakan keseluruhan pandangan yang diambil daripada kenyataan ini didapati sebilangan yang bersuara adalah daripada mereka dalam golongan akademik. Ini menunjukkan perkara ini adalah mainan akademik. Jadi tidak boleh dikatakan kenyataan yang dikeluarkan oleh MPN adalah suatu yang salah kerana kemungkinan ia menjadi satu kenyataan yang benar. Oleh itu, orang luar yang mendengar kenyataan yang dikeluarkan itu tidak tahu lebih mendalam akan perkara sebenar kerana kita hanya belajar soal sejarah tidak keseluruhannya. Malaysia tidak pernah dijajah dikatakan tidak dapat diterima kerana masih terdapat beberapa buah negeri yang dijajah, dan negeri-negeri ini berada dalam senarai negeri di Tanah Melayu. Tetapi jika mengubah fakta yang tidak betul adalah lebih baik untuk generasi akan datang. Tetapi kita sedia maklum untuk mengubahnya amatlah sukar kerana bagaimana pandangan negara luar terhadap negara kita. Walau bagaimanapun, bagi saya apa-apa yang tidak betul atau ada sedikit kesilapan harus dibaiki demi kepentingan sejarah negara.
Selain itu, untuk menjawab persoalan ini meminta agar sejarah negara dilihat dan dikaji semula. Ini selaras dengan cadangan yang telah diambil oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin yang meminta agar subjek sejarah di peringkat sekolah dikaji semula setelah didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan bercanggah dengan fakta sebenar. Ini menunjukkan, kajian semula adalah suatu cara yang releven sekarang untuk mendapatkan penjelasan sebenar akan kesahihan sejarah Malaysia.


KESIMPULAN
Oleh itu, isu tentang Malaysia tidak pernah dijajah merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian. Hal ini kerana keraguan yang timbul boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat terutamanya. Penyelidikan dan kajian semula adalah langkah yang paling baik untuk melihat dan meneliti semula apa kekeliruan yang timbul. Ini adalah untuk mendapatkan kesahihan yang benar terhadap sejarah Malaysia kita agar sejarah yang kita miliki hari ini menjadi pedoman kepada kita. Jika berlaku masalah seperti ini dikhuatiri kesahihan sejarah kita diperkotak katikkan oleh bangsa lain yang mengangap masyarakat kita tidak tahu sejarah sebenar kerana sering berlaku kekeliruan.
 Melihat kepada negara kita pada zaman kedatangan barat, didapati memang pada asalnya mereka ke Tanah Melayu adalah untuk membantu dalam soal pentadbiran. Namun, di sebalik itu mereka ada helah tersendiri, keadaan inilah yang telah memberikan peluang kepada mereka untuk mempergunakan raja-raja kita untuk menguatkan lagi pengaruh mereka. Dan dari sinilah kelihatan kita telah dijajah oleh barat tetapi tidak secara langsung.
             

BIBLIOGRAFI
Barbara Watson Andaya and Leonard Y.Andaya (2011). A history of Malaysia. Kuala Lumpur: palgrave
Malaysia tidak pernah dijajah: kenyataan oleh Prof. Zainal Kling, kuliah 4. Diperoleh pada 3 Oktober 2011.
Muhyiddin akui negara pernah dijajah dalam konteks berbeza (2011). Diperoleh Oktober 28, 2011 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm
Tanah Melayu tidak pernah dijajah British (2011). Diperoleh pada September 12, 2011 daripada http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Tanah_Melayu_Tidak_Pernah_Dijajah_British.html
Tanah Melayu tak pernah jadi koloni(2011). Diperoleh September 12, 2011 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...