Sunday, 8 July 2012

IMPAK PELANCONGAN TERHADAP PERSEKITARAN FIZIKAL DI MALAYSIA


1.0 PENGENALAN

Pelancongan dan alam sekitar merupakan satu elemen yang saling berhubungan. Hal ini kerana, alam sekitar yang merujuk kepada persekitaran fizikal mengandungi komponen-komponen semula jadi di mana kebanyakan ciri-ciri alam sekitarnya merupakan satu tarikan kepada pelancong. Oleh sebab itu, secara tidak langsungnya perkembangan sektor pelancongan ini dapat memberikan kesan positif sosial kepada penduduk sekitarnya. Di Malaysia didapati terdapat beberapa jenis pelancongan dapat dikategorikan seperti ekopelancongan, pelancongan pertanian, pelancongan kesihatan, pelancongan kapal, pelancongan budaya dan warisan dan pelancongan sukan dan rekreasi. Setiap jenis pelancongan ini pula memiliki keupayaan dan tarikan tersendiri untuk dinikmati oleh pengunjung.
Kini, sektor pelancongan telah menjadi sektor yang utama kerana mampu menjadi pemangkin dalam ekonomi. Pelbagai pembangunan telah dirangka oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) yang sebelum ini dikenali dengan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia ( PKPM). Lembaga ini berfungsi untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang terbaik kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Selain itu, membantu dalam perkembangan industri pelancongan negara dan menggalakkan pelancongan tempatan dengan mewujudkan perasaan cintakan negara.
 Akan tetapi, sikap kealpaan masyarakat yang terlalu mengejar pembangunan untuk kemajuan sektor ini telah mempengaruhi persekitaran fizikal. Banyak aktiviti daripada sektor pelancongan ini telah memberikan kesan yang negatif kepada persekitaran sama ada kepada hutan, tanah, air dan udara. Pelbagai kemusnahan telah berlaku seperti tanah runtuh, pencemaran, kemusnahan hutan serta flora dan fauna.


2.0       IMPAK TERHADAP PERSEKITARAN FIZIKAL

2.1       Kemusnahan kawasan hutan
 Aktiviti pelancongan seperti pembukaan tasik buatan iaitu pembinaan Tasik Kenyir di Terengganu memberikan impak yang besar kepada persekitaran fizikal. Kemusnahan kawasan hutan dengan pembinaan empangan untuk membekalkan tenaga elektrik menyebabkan sebahagian kawasan hutan ditenggelami air. Kenyir merupakan kawasan yang termasuk dalam kawasan hutan simpan, ia diwartakan sebagai hutan simpan kerana faktor hutannya yang memiliki pelbagai hidupan seperti flora dan fauna yang terpelihara, tetapi dengan pembinaan empangan hidroelektrik menjadikan sebahagian besar daripada kawasan hutan ditenggelami air. Tambahan pula, tasik Kenyir kini menjadi pusat sektor pelancongan. Selain sebagai empangan membekalkan tenaga elektrik ia kini ia turut menjadi pusat pelancongan terkenal kerana pemandangannya yang menarik di samping kewujudan beratus buah pulau kecil.  Namun, apa yang berlaku kemusnahan kawasan hutan untuk aktiviti pelancongan yang semakin meningkat di Kenyir menyebabkan banyak habitat dan tumbuhan di kawasan tersebut musnah. Aktiviti pelancongan yang dijalankan seperti menangkap ikan, aktiviti air dan aktiviti lasak di dalam hutan menyumbang kepada kemusnahan terhadap tumbuhan di kawasan tersebut. Begitu juga dengan sistem saliran yang akan tercemar akibat pembuangan sisa makanan dan sampah sarap.
Kesan pembinaan kawasan pelancongan juga menjadikan tumbuhan seperti pokok-pokok kayu balak yang telah hidup bertahun lamanya ditebang. Menurut kajian  tempoh bagi sesuatu pokok itu tumbuh dengan matang mengambil masa yang agak lama terutamanya kayu balak. Ditambah pula dengan jumlah pokok dan tumbuhan yang ditenggelami untuk pembinaan empangan adalah dalam jumlah yang sangat besar. Keadaan ini telah mengubah persekitaran geografi di kenyir yang dahulunya merupakan kawasan hutan tebal dengan kepelbagaian tumbuhan, tetapi kini semuanya telah musnah. Oleh sebab itu, banyak khazanah-khazanah semula jadi yang bernilai hilang kerana penerokaan oleh manusia.
Selain itu, ia juga telah memusnahkan kepelbagaian biologi atau kepelbagaian spesies. Kemusnahan biologi ini dikatakan boleh berlaku di sebuah kawasan mikro, tetapi jika sebahagian hutan telah dimusnahkan ini menunjukkan lebih banyak lagi spesies yang akan musnah. Keadaan ini sekali gus telah membawa kemusnahan kepada kepelbagaian ekosistem yang terdapat di dalam hutan tersebut. Hutan juga merupakan satu kawasan yang dijadikan habitat utama kepada haiwan untuk membentuk lingkungan populasi, tetapi akibat daripada gangguan manusia seperti aktiviti pelancongan ini menyebabkan pelbagai spesies juga turut terganggu. Ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya penghijrahan spesies untuk mencari habitat baru sehingga terpaksa menghadapi persaingan di tempat baru.
Di samping itu, aktiviti penyahhutanan untuk pembinaan tapak rekreasi seperti di Cameron highland turut memberi kesan kepada persekitaran. Pemusnahan hutan secara besar-besaran boleh menyebabkan proses transpirasi di sesuatu kawasan itu berkurangan. Keadaaan ini akan mempengaruhi kelembapan udara di sekitarnya. udara akan menjadi kering dan secara langsungnya akan mengganggu proses pemeluapan dan hujan. Aktiviti pembinaan ini juga akan mengurangkan proses pintasan tumbuhan, susupan dan air bawah tanah juga turut berkurangan akibat daripada ketiadaan tumbuhan litupan di permukaan tanah. Oleh sebab itu, suhu di kawasan Cameron highland kini semakin berkurangan kerana faktor aktiviti manusia.

2.2       Pencemaran Air
Aktiviti pelancongan yang berhampiran dengan kawasan air seperti pantai dan pulau juga akan memberi impak terhadap kualiti air. Pelepasan sisa kumbahan daripada hotel, resort dan chalet ke laut akan menyebabkan air laut tercemar. Keadaan ini sekali gus akan menyebabkan kemerosotan kualiti air laut. Kandungan bakteria seperti E coli dikesan berpunca daripada sisa kumbahan tersebut. Jika kandungan bakteria melebihi paras 200 MPN/100 ml ini menunjukkan kualiti air dapat dikategorikan berada pada tahap tercemar. Pencemaran air yang berlaku juga akan menyebabkan kewujudan lapisan minyak di permukaan air yang mengakibatkan cahaya matahari tidak sampai ke bahagian dasar laut yang diperlukan oleh hidupan akuatik seperti tumbuhan, keadaan ini boleh menyebabkan tumbuhan tidak dapat hidup. Begitu juga dengan hidupan akuatik seperti ikan-ikan serta hidupan lain akan kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan akan berkurangan kerana telah tercemar oleh sisa-sisa dan bahan kimia berbahaya. Biasanya kawasan yang sering mengalami masalah ini adalah di kawasan pelancongan popular seperti Port Dickson, Negeri Sembilan.  Misalnya air parit yang bersebelahan dengan Marina Bay Apartment mengalir ke pantai menyebabkan air laut tercemar.
Selain itu, pencemaran air juga berlaku apabila sampah sarap dibuang oleh pelancong ke pantai. Peningkatan jumlah pelancong melancong ke tempat peranginan ini akan meningkatkan jumlah sampah yang dibuang. Keadaan ini akan mencemarkan permukaan air dengan sampah sarap. Sampah yang terperangkap di pesisir pantai misalnya akan mencacatkan pemandangan di samping turut memberi kesan kepada hidupan lain seperti spesies penyu. Plastik-plastik yang terapung di permukaan air kelihatan seperti obor-obor menyebabkan  haiwan tersebut memakannya. Terdapat banyak kes yang berlaku melibatkan spesies bercengkeram ini. Hal ini menyebabkan spesies penyu akan terancam dan mungkin akan mengalami kepupusan.
Air yang tercemar juga akan memberi  kesan kepada terumbu karang. Hidupan akuatik ini merupakan sejenis fauna yang sangat sensitif kepada pencemaran. Apabila kualiti air di kawasan terumbu karang telah tercemar maka ia menjejaskan hidupan akuatik ini. Selain itu, terumbu karang juga merupakan habitat kepada spesies ikan kerana membekalkan makanan kepada haiwan tersebut. Akan tetapi sekiranya kawasan ini dicemari dengan sisa buangan daripada aktiviti manusia sekali gus akan merosakkan habitat yang ada di situ. Sekiranya aktiviti ini berterusan dan kurangnya pemeliharaan terumbu karang boleh menyebabkan ia semakin berkurang dan akan mengalami kepupusan.

2.3       Pencemaran air bawah tanah
Selain itu, air bawah tanah juga turut mengalami masalah yang sama. Perkembangan daripada aktiviti pelancongan pertanian membawa kesan kepada kualiti air bawah tanah. Walaupun aktiviti ini tidak memberikan sumbangan besar kepada masalah kemerosotan kualiti air bawah tanah berbanding aktiviti pertanian, namun jika ia berterusan lama-kelamaan memberi kesan kepada air bawah tanah yang terdapat di kawasan tersebut. Aktiviti pertanian yang menggunakan baja kimia seperti baja organik dan inorganik untuk membekalkan nutrien kepada tumbuhan memberi kesan kepada paras air bawah tanah sekiranya sebahagian nutrien meresap melalui tanah. Baja ini merupakan jenis yang mudah diserap oleh tanah dan biasanya sering dikaitkan dengan pencemaran. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada nutrien telah diserap oleh tanah dan digunakan oleh tumbuhan. Tetapi sebahagian ada yang larut di dalam air membentuk nitrat setelah melalui proses nitrifikasi. Kandungan nitrat inilah yang akan larut dalam air bawah tanah. Walaupun tanah dikatakan merupakan satu agen penapis yang baik tetapi sekiranya kuantiti bahan kimia terlalu banyak meresap ke dalam tanah ia sekali gus mengurangkan fungsi tanah yang dijadikan penapis yang baik seterusnya  mengakibatkan air bawah tanah tercemar.  Begitu juga dengan penggunaan racun perosak yang turut menjadi fungsi sama yang boleh merosotkan kualiti air bawah tanah.

2.4       Kerosakan Ekologi
Aktiviti pelancongan di kawasan tanah tinggi biasanya memberi gangguan kepada kerosakan ekologi seperti kawasan tanah dan air serta habitat dan haiwan. Aktiviti guna tanah untuk pembinaan tapak rekreasi dan kemudahan infrastruktur menyebabkan sebahagian kawasan hutan diterokai dan bukit-bukit ditarah untuk membina tapak peranginan antaranya. Keadaan ini akan membawa kesan kepada struktur tanah di kawasan tersebut. Sekiranya berlaku hujan dalam kuantiti yang banyak menjadikan air larian permukaan semakin bertambah. Keadaan ini menyebabkan arus deras di permukaan tanah sehinggakan berlaku kejadian tanah runtuh kerana struktur tanah yang tidak kuat akibat tidak ada akar-akar pokok yang boleh mencengkam tanah untuk mengekalkan struktur tanah tersebut. Ini sekali gus membawa perubahan terhadap komposisi tanah.
Selain itu juga, aktiviti guna tanah yang dilakukan ini menyebabkan habitat seperti tumbuhan dan haiwan musnah. Oleh sebab itu, haiwan-haiwan hilang tempat perlindungan  menyebabkan haiwan ini mengganggu persekitaran hidup manusia kerana habitat nya telah dimusnahkan. Begitu juga dengan tumbuhan boleh menyebabkan kepupusan terutamanya kepada spesies yang jarang dan sukar ditemui. Antaranya adalah seperti ubat-ubatan. Oleh sebab itu, aktiviti guna tanah di kawasan tanah tinggi memberi implikasi terhadap perubahan landskap permukaan bumi. Walaupun aktiviti ini hanya berskala mikro, tetapi secara tidak langsungnya ia boleh mengurangkan landskap semula jadi dalam persekitaran. Ia juga akan membawa kesan gangguan kepada proses kitaran bio-geokimia seperti gangguan kepada kitaran hidrologi.
Berlaku juga kemusnahan kepada ekosistem terutamanya kepada rantaian makanan. Apabila tumbuhan sebagai sumber utama atau pengeluar makanan kepada penghuni hutan dieksploitasi  menyebabkan pengguna primer, sekunder dan tertier kehilangan sumber makanan.
Selain itu, pelancongan rekreasi juga membawa impak terutamanya terhadap biodiversiti. Aktiviti lasak yang dijalankan adalah seperti kenderaan pacuan empat roda, penjelajahan, aktiviti perkhemahan dan basikal lasak di kawasan hutan. Melalui aktiviti seperti inilah sumber-sumber biodiversiti terancam dengan penebangan pokok untuk pembinaan khemah atau untuk dijadikan laluan kenderaan dan basikal lasak menyebabkan sebahagian tubuh-tumbuhan muda dimusnahkan. Keadaan ini boleh mengakibatkan struktur umum bagi komuniti pokok di kawasan tersebut akan berubah.  Aktiviti-aktiviti hutan yang dijalankan biasanya akan dijalankan di kawasan yang memiliki punca air seperti sungai dan tasik untuk kemudahan. Dengan, penggunaan sumber air ini secara bertentangan akan mengakibatkan sumber biodiversiti di kawasan tersebut terancam. Misalnya penggunaan bahan pencuci alatan memasak terhadap sumber air menyebabkan habitat di dalamnya terjejas kerana dicemari dengan bahan kimia.

2.5       Masalah hakisan dan tanah runtuh
Aktiviti pelancongan juga boleh menyebabkan berlakunya hakisan tanih. Hakisan tanih berlaku akibat daripada aktiviti seperti peneresan dan perataan cerun bukit untuk membina kawasan peranginan dan kemudahan. Aktiviti yang dijalankan tanpa mengikut spesifikasi yang betul boleh mengakibatkan kepada berlakunya peningkatan kadar hakisan. Hal ini berlaku adalah disebabkan oleh cerun-cerun bukit tidak lagi mempunyai tumbuhan pelindung, keadaaan ini menyebabkan struktur tanih menjadi longgar. Ini akan menyebabkan kepada berlakunya hakisan oleh percikan air hujan dan aliran air permukaan menjadi tinggi kerana tumbuhan semula jadi tidak lagi dapat berfungsi sebagai pintasan bagi setiap titisan air hujan yang turun. Kurangnya akar-akar banir menyebabkan ia gagal berfungsi menyekat pergerakan air permukaan. Oleh sebab itu, partikel-partikel tanih yang dibawa arus akan hanyut diangkut oleh air larian permukaan ke sistem sungai. Keadaan ini sekali gus menyebabkan air sungai menjadi semakin cetek yang membawa punca kepada berlakunya banjir, pencemaran dan kelodak.
Kawasan tanah yang terdedah juga boleh mengakibatkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Apabila hujan turun, ia akan terus menyusup masuk ke dalam tanah kerana sudah tidak ada tumbuhan litupan. Penyusupan berlaku pada kadar yang tinggi akibat keadaan partikel-partikel tanah yang telah longgar dan menyebabkan tanah tidak mampu untuk menampung air yang terlalu banyak dan akhirnya menyebabkan ia tergelincir dan berlaku kejadian tanah runtuh.

2.6       Pencemaran udara
            Di samping itu juga, udara turut tercemar dengan pembebasan asap yang mengandungi gas karbon monoksida dan sulfur dioksida. Perkembangan sektor perkhidmatan pengangkutan seperti bas dan teksi menjadi faktor utama. Misalnya di kawasan ramai pelancong seperti Port Dickson kerana kemudahan seperti ini disediakan. Asap kenderaan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan udara tercemar. Selain itu, akan mewujudkan masalah pencemaran udara. Peningkatan kepada pengeluaran penggunaan perkhidmatan ini boleh membawa kepada penipisan lapisan ozon. Apabila aktiviti ini berterusan lama-kelamaan akan memberi impak yang besar kepada kesan rumah hijau.

3.0 LANGKAH MENGATASI

Bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlanjutan langkah-langkan berkesan perlu diambil seperti:

3.1       Pantauan dan pemeriksaan
Pantauan bagi aktiviti yang dijalankan harus dibuat dari semasa ke semasa. Misalnya Jabatan Tanah dan Galian perlu membuat pantauan terhadap aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun-cerun bukit. Pemeriksaan akan dibuat dengan melihat aktiviti pemotongan dan tarahan cerun perlu menepati garis panduan yang telah ditetapkan iaitu tidak melebihi 45ยบ. Manakala bagi permukaan tanah yang telah terdedah perlulah dipastikan ia ditanam dengan tanaman litup bumi seperti rumput dan pokok-pokok kecil. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan masalah hakisan dan seterusnya yang boleh membawa kepada berlakunya tanah runtuh.
Selain itu, pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar juga penting. Bagi mana-mana aktiviti pelancongan yang dijalankan di kawasan hutan hendaklah dipastikan agar aktiviti yang dijalankan tidak menjejaskan hidupan hutan seperti pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan kecil. Sekiranya mendapati ia akan membawa kesan yang negatif kepada alam sekitar maka Jabatan Alam Sekitar akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

3.2       Mewartakan kawasan sebagai tempat terpelihara.
Selain itu juga, dengan cara mengishtiharkan sesuatu kawasan sebagai tempat yang diwartakan seperti kawasan taman laut serta santuari hidupan akuatik. Antara kawasan yang diishtiharkan sebagai taman laut adalah di pulau-pulau pelancongan seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Layang-layang. Ini adalah bertujuan untuk mengekalkan ekosistem di kawasan tersebut agar tidak musnah dan mengalami kepupusan.
Begitu juga dengan kawasan hutan, pihak kerajaan telah mewartakan kawasan hutan simpan sebagai kawasan yang berada di bawah penjagaan pihak kerajaan. Di Malaysia kawasan hutan simpan meliputi sebahagian kawasan di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Dan sekiranya berlaku sebarang pencerobohan dalam lingkungan kawasan ini tindakan akan dikenakan mengikut kesalahan yang dilakukan dengan mengikuti undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

            3.3       Memupuk sikap cintakan alam sekitar.
Memupuk sikap masyarakat adalah langkah yang penting, dengan pelbagai cara dapat dijalankan seperti mengadakan kempen cintai alam sekeliling mampu membuka mata masyarakat akan kepentingan penjagaan persekitaran. Selain itu juga, pendidikan di sekolah juga dapat memupuk pelajar agar tahu akan kepentingan menjaga persekitaran di samping ada perasaan cintakan alam.

4.0 KESIMPULAN

            Oleh sebab persekitaran merupakan kawasan yang sememangnya memiliki daya tarikan untuk aktiviti pelancongan namun aspek seperti penjagaan persekitaran juga harus dititikberatkan agar persekitaran fizikal terutamanya tidak mengalami masalah yang boleh menjejaskan ekologi sesuatu kawasan, seterusnya keadaan ini boleh menggugat ekosistem-ekosistem lain. Hal ini demikian kerana setiap ekosistem saling memerlukan antara satu sama lain, jika terdapat salah satu daripada ekosistem terjejas maka ia turut menjejaskan ekosistem lain yang berada berhampiran dengannya kerana ia saling berkait.
            Beberapa langkah juga perlu diberi perhatian agar masalah seperti penyahhutanan yang boleh menyebabkan berlakunya hakisan dan tanah runtuk tidak berlaku. Begitu juga dengan aktiviti lasak yang dijalankan di dalam hutan juga perlu diberi perhatian yang serius. Tidak ketinggalan juga dengan aktiviti di pesisir pantai melibatkan pembuangan sisa-sisa kumbahan dan sisa kimia boleh menjejaskan kualiti air dan mencemarkan suasana persekitaran.           












                    
5.0 BIBLIOGRAFI

Arkib Negara malaysia ( 1996). Sejarah pentadbiran kementeria kebudayaan, kesenian dan pelancongan. Arkib Negara: perpustakaan negara Malaysia.
Mohd hairy Ibrahim, Mohmadisa Hashim dan Nasir Nayan (2006). Isu-isu pemgurusan alam sekitar fizikal. Kuala Lumpur : Universiti pendidikan Sultan Idris ( UPSI).
Nasir Nayan et al. ( 2009). Persekitaran fizikal di Malaysia; Isu dan Cabaran. Petaling jaya :  Universiti pendidikan Sultan Idris ( UPSI).
Nor Aziah Othman ( 2011). Berita harian online :Air parit cemari pantai. Diperoleh pada Mac 20, 2012 daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Airparitcemaripantai/Article
Pelancongan rekriasi berasaskan cabaran dan biodiversiti : isu dan konflik. Diperoleh Mac 19, 2012 daripada http://www.freewebs.com/outdoorasia/Pelancongan_Rekreasi_Berasaskan_cabaran_dan_Biodiversiti[1].pdf











1 comment:

  1. pengenalan bnyak salah dari segi ayat tatabahasa..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...