Monday 16 July 2012

SEBAB TUN RAZAK MENGUBAH DASAR LUAR MALAYSIA


1.0 PENGENALAN
Dasar luar semasa pemerintahan Tunku Abdul Rahman ialah beliau mengamalkan dasar luar yang bersifat pro-Barat di mana beliau terlalu bergantung pada negara-negara barat. Tun Razak berpendapat dasar yang diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman lebih bersifat konservatif dan tidak memberikan kelebihan kepada Malaysia. Apabila Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan, secara tidak langsung Tunku juga menyerahkan sebahagian tugas kepada Tun Razak untuk mengendalikan dasar luar negara. Tun Razak mula mempelajari selok-belok pelaksanaan dasar luar dengan mengadakan hubungan dengan negara-negara luar. Melihat kelemahan dasar yang diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman yang pro-Barat, beliau telah mengubah dasar tersebut kepada prinsip dasar yang lebih bersikap terbuka, berkecuali dan bersahabat dengan mana-mana negara tanpa mengira sebarang ideologi, politik dan agama. Dasar ini merupakan suatu politik yang tinggi dan ia biasanya ditentukan oleh golongan pemimpin.
            Dasar luar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak adalah lebih bersifat terbuka dan beliau telah membuat perubahan sebanyak 360 darjah  jika dibandingkan dengan zaman Tunku Abdul Rahman. Tun Abdul Razak telah menyusun dasar luar yang bersifat neutral, aman bebas dan berkecuali. Faktor yang menyebabkan Tun mengubah dasar luar dapat dikategorikan kepada tiga iaitu faktor personaliti beliau, luaran dan faktor dalaman. Beliau mengubah dasar luar ini adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan negara daripada sebarang ancaman.

2.0  SEBAB TUN RAZAK MENGUBAH DASAR LUAR MALAYSIA

2.1 PERSONALITI
Pengalaman Tun Abdul Razak sebagai Timbalan perdana menteri menyebabkan beliau mengetahui selok-belok mengenai dasar luar Tunku Abdul Rahman yang lebih bersifat pro-barat dan anti komunis. Pengalaman beliau dalam sama-sama berpolitik dengan Tunku telah mematangkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau juga pernah terlibat dengan mewakili Tunku dalam beberapa persidangan dan mesyuarat sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa. Antaranya ialah Tun pernah dihantar menjadi wakil dalam persidangan Menteri-menteri luar, persidangan setia kawan dan beberapa lagi persidangan yang dihadiri. Oleh itu, pengalaman ini menjadikan Tun berasa dasar luar harus diubah kerana melihat dasar luar Tunku yang lebih bersifat kebaratan.
Selain itu, Tun mahukan dasar luar yang lebih pragmatik yang mengikut perubahan semasa. Beliau mengubah persepsi bahawa kuasa pertahanan bukan bermakna menjamin keselamatan, ini kerana keselamatan dilihat daripada persepsi sosial dan militari. Beliau juga menyatakan keselamatan negara boleh dicapai melalui diplomasi iaitu rundingan dan persahabatan dengan negara luar. Rundingan yang dibuat boleh membantu daripada segi keselamatan sama ada ekonomi, politik dan sosial. Semasa zaman Tunku beliau lebih bersifat pro-barat dan anti komunis menyebabkan negara tidak mempunyai hubungan yang luas kerana lebih tertumpu pada barat, oleh itu dasar sebegini perlu diubah. Tun Razak juga melihat masalah yang berlaku ada jalan penyelesaiannya dan dengan cara rundingan mampu mencari jalan penyelesaian.
Sifat setia kawan Tun Ismail terhadap Tun Razak juga menyebabkan Tun Ismail menyokong Tun Razak, ini kerana pemikiran Tun Ismail sehaluan dengan Tun Razak. Oleh itu, dasar luar Tun Razak mendapat sokongan daripada Tun Ismail. Mereka melihat kelemahan dasar luar yang diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman yang hanya bersifat pro-barat dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara luar. Kesilapan yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman ke atas dasar ini mendorong Tun  Razak dan Tun Ismail memujuk Tunku agar merobak dasar luar yang diamalkannya. Kelemahan yang wujud daripada pelaksanaan dasar Tunku adalah daripada prinsip dasar luar yang diamalkan Tunku tidak seimbang kerana mengabaikan hubungan Malaysia dengan negara-negara Afro-Asia dan negara-negara Islam[1]. Tun Ismail juga pernah mencadangkan idea dalam perbahasan parlimen 1968 agar negara Malaysia bersifat berkecuali. Ketika pemerintahan Tun Razak, beliau menerima idea yang dicadangkan oleh Tun Ismail. Ini menunjukkan mereka berdua sehaluan. Selain itu, mereka juga percaya bahawa NAM dan juga diplomasi boleh menjamin keselamatan di samping kekuatan ketenteraan.
Selain itu, Tun juga mahu mengubah persepsi luar terhadap negara melalui ‘Truth Mission’ iaitu dengan cara Tun Razak ke negara-negara lain untuk menjelaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara neokolonisme dan menyatakan hasrat untuk menyertai NAM. Selain itu, adalah rentetan daripada konfrantasi yang berlaku antara Malaysia dengan Indonesia menyebabkan Malaysia tidak mempunyai hubungan dengan negara-negara membangun terutamanya negara-negara dunia ketiga. Keadaan ini telah menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia semakin renggang. Keadaan ini menyebabkan Malaysia ditolak untuk menyertai persidangan NAM. Selain itu, kekecewaan Tun Razak terhadap Amerika yang  telah memihak Indonesia dengan alasan Amerika khuatir dengan peluasan kuasa oleh Soviet Union di Indonesia.[2]

2.2 LUARAN
Selain itu faktor luaran juga menyebabkan Tun mengubah dasar luar. Setelah politik dunia berubah daripada bipolar kepada tripolar antaranya. laitu dunia telah diungguli oleh tiga kuasa besar iaitu Rusia, Amerika Syarikat dan China sebagai kuasa besar yang baru. China menjadi kuasa besar kerana turut menduduki majlis keselamatan dan telah memiliki kuasa veto bersama empat buah negara lain iaitu Britain, Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis. Kehadiran China sebagai kuasa besar yang baru ini menyebabkan negara-negara Asia perlu memastikan negara berkuasa besar ini tidak bersekongkol dan mengetepikan kepentingan negara kecil. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kuasa-kuasa besar tidak menjadikan negara kecil sebagai mangsa keadaan sekiranya berlaku sebarang masalah atau ancaman.
Dasar pertahanan Britain juga merupakan sebab dasar luar diubah. Sebelum Tanah Melayu mencapai  kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman telah menandatangani satu perjanjian pertahanan dengan Britain bertujuan untuk mengukuhkan sistem pertahanan dalam dan luar negara. Perjanjian ini dikenali Anglo Malayan Defence Agreement (AMDA) di mana Britain berjanji akan membantu Tanah Melayu sekiranya mendapat ancaman negara luar. Perjanjian ini ditandatangani Britain juga adalah untuk kepentingan mereka di kawasan timur, di samping keadaan perang dingin yang berlaku di antara tiga kuasa besar iaitu Amerika Syarikat, Soviet Union dan China dan peperangan yang berlaku di Indochina. Oleh itu, perjanjian ini menjadi suatu perkara yang penting bagi pertahanan dan keselamatan Tanah Melayu sekiranya diancam oleh sebarang kuasa asing. Pakatan AMDA ini telah memainkan peranan yang penting dan kejayaan dicapai dalam perjanjian ini ialah Britain dapat menamatkan peristiwa konfrantasi antara Malaysia dengan Indonesia.
Walau bagaimanapun, perjanjian ini tidak bertahan lama kerana pihak Britain dan Amerika Syarikat membuat keputusan untuk menarik tentera-tenteranya daripada ‘East of Suez’ kerana kuasa Britain semakin berkurang di samping keadaan ekonomi yang teruk. Penarikan tentera ini adalah disebabkan Britain kehilangan tentera India yang menjadi tulang belakang kepada pertahanan di sebelah timur Suez. Sejak daripada pembentukan kerajaan peralihan, kongres mendesak agar semua anggota tentera India di seberang timur tengah dibawa balik ke India begitu juga dengan India di Timur Jauh [3]. Penarikan tentera inilah menyebabkan perjanjian pertahanan AMDA dimansuhkan.
Pada masa yang sama, British telah mencadangkan satu perikatan yang lebih longgar iaitu Pakatan Pertahanan Lima Kuasa atau Five power Defence Arrangement (FPDA) untuk menggantikan AMDA. Pakatan ini dimeterai oleh 5 buah negara iaitu Britain, Malaysia, Singapura, New Zealand dan Australia. Melalui perjanjian pakatan ini, sekiranya berlaku sebarang ancaman rundingan akan dibuat bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Namun, perjanjian ini tidak memberikan sepenuhnya jaminan terhadap keselamatan kerana Britain tidak akan mengambil langkah positif sekiranya Malaysia diserang selagi tidak menjejaskan ekonomi mereka. Manakala Australia pula tidak mahu mengadakan kerjasama yang baik.
Selain itu, kesan daripada perang Vietnam dan pelaksanaan Doktrin Nixon. Perang Vietnam ialah perang saudara melibatkan Vietnam Utara dan Vietnam Selatan di mana peperangan ini melibatkan penglibatan kuasa-kuasa besar. Vietnam Utara mendapat sokongan daripada Soviet Union daripada segi ketenteraan, politik dan diplomatik. Kemudiannya masalah dikatakan bertambah buruk setelah penglibatan kuasa Amerika di Vietnam Selatan. Akan tetapi Vietnam Utara berjaya menakluki wilayah Vietnam Selatan. Seterusnya Amerika Syarikat dikatakan cuba menunjukkan pengaruhnya sebagai sebuah kuasa besar di Asia Tenggara dan cuba membendung pengaruh China Komunis. Akan tetapi China Komunis pula menyatakan pendiriannya untuk membantu Vietnam daripada pencerobohan pihak Amerika. Kemudiannya Komunis Vietnam mula mahu meluaskan pengaruhnya ke Laos dan Kampuchea setelah membentuk kerajaan sementara iaitu Republik Demokratik Vietnam (RDV). Peluasan pengaruh inilah yang membimbangkan keselamatan Malaysia kerana khuatir Vietnam turut menakluki Thai yang berjiran dengan Malaysia. Oleh itu, sekiranya apa-apa terjadi ia tentu akan mempengaruhi Malaysia dan ini akan menguatkan lagi pergerakan PKM sekiranya pengaruh Komunis Vietnam menyusur masuk ke dalam negara.
Kebimbangan terhadap keselamatan rantau Asia Tenggara bertambah apabila mengetahui kerajaan Amerika mengambil keputusan menarik keluar tenteranya dari Asia Pasifik kerana melihat diri akan kalah dalam perang Vietnam disebabkan pelaksanaan Doktrin Nixon. Penarikan tentera oleh Amerika daripada Vietnam adalah kerana kegagalan mempertahankan kedudukannya sebagai kuasa besar di sana. Penarikan tentera ini  sebenarnya adalah untuk memberi peluang kepada negara Asia Tenggara mempertahankan keselamatan negara masing-masing tanpa campur tangan daripada kuasa-kuasa besar terutamanya bagi Vietnam. Namun, penarikan tentera di Asia Tenggara telah mewujudkan kekosongan kuasa besar menyebabkan Soviet Union dan China masing-masing mahu meluaskan pengaruh mereka. Oleh sebab itu, Tun Razak mahu meluaskan hubungan dengan negara-negara luar untuk menjamin keselamatan di samping mahu menjalinkan hubungan dengan negara-negara NAM, OIC, China dan Afrika Selatan. Negara-negara Asia juga mula menguatkan sistem ketenteraan masing-masing sama ada dalam dan luar negeri untuk menjamin keselamatan dan pertahanan.[4]
Selain itu daripada détente iaitu negara-negara besar tidak harus mengetepikan negara-negara kecil agar tidak berlaku ketegangan dalam politik antara kuasa besar dengan negara- negara kecil. Pada 1970, kuasa besar sudah mula berdialog antara satu sama lain dan Tun menyatakan apabila kuasa-kuasa besar ini berdialog kita perlu berhati-hati kerana mereka akan mengecualikan negara-negara kecil. Keadaan ini boleh membawa kepada sifat mahu mendominasi terhadap negara kecil.
Selain itu, disebabkan oleh rapprochement antara US dengan China. Inisiatif ini diambil Amerika untuk berbaik-baik dengan negeri China kerana dahulu Amerika tidak mempunyai hubungan dengan China kerana ideologi yang berbeza. Amerika bertindak begitu kerana merasakan kemungkinan akan kalah di Vietnam dan disebabkan oleh Vietnam disokong oleh China. Amerika Syarikat juga tidak mahu Soviet Union meluaskan pengaruh komunis ke Asia Tenggara kerana pada masa itu Soviet Union menjadi tulang belakang kepada Vietnam dengan memberi sokongan kepada Vietnam Utara ketika berperang dengan Vietnam Selatan.

2.3 DALAMAN
Tun razak mengubah dasar luar juga adalah untuk menangani masalah Parti Komunis Malaya ( PKM) dalam negara. Pada masa itu masalah yang sering mengancam keselamatan negara adalah datangnya daripada ancaman komunis. Untuk menjamin keselamatan negara, kestabilan politik negara perlu dikekalkan terlebih dahulu dan barulah dasar luar dapat dilaksanakan dengan berkesan. Ancaman komunis merupakan suatu yang dominan, mereka menggunakan pelbagai taktik untuk mewujudkan sebuah negara republik komunis di Tanah Melayu. Mereka telah melakukan pelbagai serangan dan keganasan terhadap negara sebelum dan selepas kemerdekaan. Keganasan yang dilakukan sangat meluas sekali iaitu di kawasan luar bandar termasuk juga di kawasan bandar. Serangan komunis yang paling hebat sekali ialah pada tahun 1976 iaitu peristiwa yang membawa kepada konflik sempadan antara Malaysia dengan Thailand. Konflik ini berlaku apabila pengganas komunis masuk ke seberang negara Thailand dan bertempur dengan pasukan keselamatan negara Malaysia. Kemudian ditambah  pula dengan fitnah dan dakyah terhadap Tun Razak.
Komunis juga telah mempengaruhi pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat, keadaan ini boleh menggugat kekukuhan politik Malaysia. Mereka juga turut mempengaruhi orang-orang Melayu agar membantah dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dan menghasut golongan pelajar supaya turut terlibat dalam hal politik. Akibat daripada masalah inilah menyebabkan Tun Razak mengadakan kerjasama dengan negara Thailand untuk menentang anti-gerila komunis dan turut bekerjasama dengan Indonesia bagi menghapuskan PKM. Oleh itu, Tun Razak melihat pertahanan dan keselamatan negara adalah suatu yang penting. Masalah komunis dalam negara dikatakan dapat mempengaruhi corak pelaksanaan dasar. Tun juga melihat ancaman komunis sebagai satu ancaman yang serius dan beliau percaya keselamatan negara boleh dicapai melalui diplomasi.
Selain itu adalah untuk membina negara bangsa. Ini adalah rentetan daripada rusuhan kaum yang berlaku iaitu peristiwa 13 Mei yang membabitkan konflik etnik antara Melayu dengan Cina. Pada masa itu, kaum Cina di Malaysia adalah 30 peratus daripada penduduk Malaysia menunjukkan kaum Cina adalah antara kaum memiliki jumlah yang ramai.[5] Daripada peristiwa inilah Tun ingin menguatkan persefahaman antara kaum agar peristiwa ini tidak berulang lagi. Peristiwa yang berlaku ini menyebabkan pembinaan negara bangsa harus dipercepatkan.
Oleh itu, Tun Razak telah mengetuai delegasi rasmi ke China untuk berunding tentang status penduduk Cina di Malaysia. Selepas itu, sesiapa sahaja yang berasal dari China dan memilih untuk menjadi rakyat Malaysia automatik akan kehilangan hak untuk menjadi rakyat China kerana China sudah melepaskan warganegaranya di Malaysia sebagai warganegara Malaysia. Walaupun faktor ini merupakan penyumbang yang kecil tetapi rentetan daripada peristiwa inilah yang menyebabkan kita mengiktiraf negara China sebagai balasan. Walau bagaimanapun, Malaysia hanya mengiktiraf satu Cina sahaja iaitu Republik Rakyat Cina.
Selain itu juga, adalah disebabkan oleh faktor ekonomi. Di mana pada masa itu harga getah dan kelapa sawit menurun. Cina pula mahu membeli bekalan bahan mentah, dan ini telah memberikan peluang kepada kita sebagai negara pembekal getah dan kelapa sawit untuk kita meluaskan pasaran. Kemudiannya China bersetuju membeli getah daripada Malaysia mengikut harga pasaran antarabangsa. Selain itu, Malaysia mengikat kontrak Republik Rakyat China yang dapat meningkatkan kerjasama daripada segi bidang kejuruteraan.

3.0 KESIMPULAN
Oleh itu, perubahan dasar luar yang dibuat oleh Tun Razak memberikan perubahan positif kepada negara. Hasil hubungan luar dengan negara-negara OIC, China dan negara-negara Islam menunjukkan Tun berfikiran negara harus menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain untuk kepentingan daripada keselamatan di samping menjalinkan hubungan baik daripada segi ekonomi, politik dan sosial. Tun Razak juga berpendapat jalinan antara negara terutama negara di Asia Tenggara dengan negara berkuasa besar adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya dominasi daripada negara besar terhadap negara kecil yang akan merugikan dan melemahkan negara kecil.
            Tun Razak juga seorang yang bijak dalam menjalinkan hubungan dengan negara luar setelah melihat hubungan luar yang diamalkan oleh Tunku yang ke arah kebaratan. Kebimbangan beliau terhadap serangan dan pengaruh komunis serta mahukan jaminan daripada negara luar menyebabkan Tun mengubah dasar yang lama sebanyak 360 darjah. Oleh itu, dasar luar yang diamalkan Tun Razak memberi keuntungan kepada negara sama ada daripada segi politik, ekonomi mahupun sosial.


4.0 BIBLIOGRAFI
Roseman Abu Hassan ( 2003). Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein : Dasar Luar Malaysia 1970-1976 :Tanjung Malim. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Yayasan Tun Razak ( 2006). Tun Abdul Razak : Potret dalam kenangan: Kuala Lumpur, utusan Publication & Distributar sdn.bhd.
Nadzan Haron ( 1996). Malaya dalam sistem pertahanan imperialis British sebelum dan selepas perang dunia kedua.
Paridah Abd. Samad ( 1998). Tun Abdul Razak: A Phenomenon in Malayisian Politics: Selangor, perpustakaan negara Malaysia.



[1] Rozeman Abu Bakar. Tun Abdul Razak bin Dato’ Hissein: Dasar luar Malaysia 1970-1976, 2003. Hlm 37-38
[2] Rozeman Abu Bakar. Tun Abdul Razak bin Dato’ Hissein: Dasar luar Malaysia 1970-1976, 2003. Hlm 39-41
[3] Nadzan Haron. Malaya dalam sistem pertahanan imperialis British sebelum dan selepas perang dunia kedua, 1996. Hlm 129-130
[4] Rozeman Abu Bakar. Tun Abdul Razak bin Dato’ Hissein: Dasar luar Malaysia 1970-1976, 2003. Hlm 81-86
[5]  Yayasan Tun Razak. Tun Abdul Razak: Potret dalam kenangan, 2006. Hlm 263-264




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...