Saturday 21 July 2012

MALAYSIA MENGEKALKAN KESUBURAN TANAH, KEPELBAGAIAN SUMBER ALAM, KUALITI UDARA SIHAT DAN AIR BERSIH DALAM MENJADIKAN MALAYSIA NEGARA MAJU


1.0  PENGENALAN
Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju pada masa akan datang masyarakat harus berfikiran ke hadapan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara setanding dengan negara maju yang ada. Bagi mewujudkan sebuah negara yang maju ini pelbagai kriteria-kriteria harus diambil untuk mendapat taraf negara yang maju. Oleh sebab itu, negara harus mengekalkan sumber-sumber tertentu seperti kesuburan tanah, kepelbagaian sumber alam, kualiti udara dan air yang bersih agar sumber ini dapat dikekalkan. Walaupun dikatakan telah banyak sumber-sumber telah digunakan, langkah pemeliharaan dan pemuliharaan menjadi suatu yang penting agar sumber-sumber ini tidak habis digunakan dan mungkin ada antaranya yang tidak dapat digunakan lagi dapat difikirkan cara untuk mengurangkan penggunaannya sebagai gantian.
Akibat daripada pertambahan penduduk yang semakin meningkat tahun demi tahun, sumber ini dikatakan telah tercemar sebahagiannya dan berkurang fungsinya berikutan eksploitasi yang dilakukan oleh manusia sangat tinggi untuk memenuhi keperluan dan kehendak yang semakin bertambah. Keadaan persekitaran seperti sumber alam, sumber air dan udara semakin tercemar kerana aktiviti yang dijalankan oleh manusia. Ini menunjukkan manusia semakin alpa den leka dengan pembangunan tanpa memikirkan kesan yang akan terjadi sekiranya sumber penting ini tidak dijaga lebih awal. Kemajuan yang semakin meningkat menyebabkan sumber semula jadi telah dipinggirkan dan dimusnahkan untuk mencapai tahap negara yang pesat membangun daripada segi ekonomi dan teknologi dan kealpaan terhadap sumber semula jadi yang digunakan menyebabkan sumber ini semakin berkurang.
Oleh itu, perkara sebegini harus dibendung dalam mencapai sebuah negara maju. Malaysia harus mengekalkan sumber semula jadi ini agar ia dapat dijaga dan penggunaan terhadapnya harus dikawal dengan cara yang lestari supaya ia tidak tercemar dan berkurang oleh kerakusan manusia. Oleh sebab itu, pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berkuasa dan agensi tertentu dalam mengekalkan sumber semula jadi yang ada.



2.0  PENDEKATAN YANG DIGUNAKAN
2.1       Undang-Undang / Dasar
Tindakan undang-undang merupakan salah satu cara untuk mengekalkan sumber semula jadi agar dapat mewujudkan sebuah pembangunan yang lestari dalam mencapai negara maju. Oleh itu, penggunaan Akta kualiti alam sekitar 1974 misalnya bertujuan untuk membendung masalah-masalah yang berlaku yang melibatkan alam sekitar terjejas daripada aktiviti-aktiviti pembangunan. Dalam akta ini terdapat sekatan-sekatan tertentu terhadap aktiviti haram seperti aktiviti yang menyebabkan pencemaran terhadap kualiti udara, air dan tanah serta alam sekitar. Oleh itu, dengan wujudnya akta sebegini negara mampu membendung masalah yang berlaku.
Selain itu juga, kerajaan turut membuat akta-akta lain yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti akta perhutanan negara 1984. Dalam akta ini kerajaan telah mengadakan peruntukan untuk pentadbiran, pengurusan, pemuliharaan dan pembangunan perhutanan di Malaysia. Adanya akta ini ia dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang pencerobohan terhadap kawasan hutan simpan. Apabila didapati bersalah kerana menceroboh pihak terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang seperti dikenakan denda setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hutan simpan merupakan kawasan hutan yang telah diwartakan sebagai kawasan pelindungan, oleh sebab itu sebarang pencerobohan yang berlaku boleh membawa kepada tindakan undang-undang. Sebagai contoh, dalam akta ini jika melihat kepada seksyen 82 (1) menyatakan, melarang sesiapa melakukan pembakaran dalam hutan simpan. Ini menunjukkan aktiviti haram adalah dilarang jika menjejaskan kawasan hutan. Selain itu juga, kita dapat lihat melalui akta taman negara 1980 iaitu bertujuan untuk menghalang sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ekosistem hutan. Aktiviti sebegini dilarang adalah bertujuan untuk memelihara kawasan hutan simpan daripada sebarang aktiviti yang diharamkan. 
selain itu, tindakan undang-undang turut dikenakan ke atas sebarang aktiviti yang melibatkan kemerosotan terhadap udara. Udara yang tercemar boleh menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti wabak penyakit, jerebu yang akan menyukarkan pergerakan dan penglihatan serta boleh meningkatkan suhu sesuatu kawasan kerana partikel-partikel seperti bendasing merupakan perangkap haba yang baik. Oleh sebab itu, melalui akta kerajaan tempatan 1976, di mana seksyen 81 menyatakan tindakan boleh diambil ke atas kilang-kilang yang mengeluarkan asap dan mengganggu kesihatan serta menjejaskan alam sekitar. Melalui akta ini, syarikat yang terbabit dengan masalah ini perlu mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan pembebasan asap kilang dengan cara penggunaan penapis untuk memerangkap bendasing atau menggunakan sistem pengurusan yang baik yang tidak menjejaskan alam sekitar.
Di samping itu, pelaksanaan sesuatu dasar juga adalah satu langkah yang dijalankan oleh pihak kerajaan bagi mengekalkan sumber alam sekitar ini. Pelaksanaan dasar ini dapat dilihat dalam tempoh Rancangan Malaysia ke- 8 ( RMke-8) di mana dalam rancangan ini penekanan yang diberikan ialah untuk menambah baik kualiti alam sekitar, iaitu melalui pengurusan yang lebih baik khususnya tumpuan diberikan kepada pengurusan kualiti air dan udara, penggunaan teknologi yang bersih dan pengurusan terhadap sisa pepejal. Dalam pengurusan sumber asli juga tidak ketinggalan, pemuliharaan dan penggunaan sumber yang mampan telah diperkukuhkan. Tujuannya adalah untuk membolehkan pelaksanaan pengurusan dijalankan dengan lebih bersepadu dan menyeluruh. Pada 2004, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah ditubuhkan, ini adalah untuk memudahkan lagi pengurusan  alam sekitar dan sumber asli yang lebih komprehensif kerana melalui kementerian ini tumpuan lebih dapat diberikan kepada pengurusan alam sekitar ini. Selain itu juga, melalui pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negara di mana dasar ini telah menggariskan satu strategi bagi mengerakkan hala tuju pembangunan negara ke arah pembangunan mampan. Strategi ini dikatakan suatu langkah yang bijak kerajaan dalam mengekalkan sumber alam. Dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMke-9) pula, tumpuan yang diberikan adalah lebih kepada langkah pencegahan bagi menguruskan kesan negatif yang berlaku. Penerapan juga diberikan dalam memupuk kerjasama pihak berkepentingan untuk menangani isu alam sekitar. Selain itu juga, kerajaan turut mempergiatkan lagi usaha pemuliharaan dan mengurus sumber asli secara mampan. Ini menunjukkan rancangan yang dirangka adalah langkah strategi di mana Malaysia memberikan tumpuan satu persatu dalam mengatasi masalah yang berlaku di samping  meningkatkan lagi sistem pengurusan kepada yang lebih sistematik.

2.2       Pengurusan EIA
Selain itu juga, ialah melalui penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), EIA ini merupakan satu proses pencegahan daripada berlakunya kemerosotan kualiti alam sekitar. Tujuan EIA ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya kemusnahan alam sekitar akibat daripada projek pembangunan dan kesilapan dalam pelaksanaan pelan projek pembangunan di sesuatu kawasan. EIA ini merupakan satu pendekatan ke arah alam sekitar di mana pendekatan yang dilakukan adalah menyeluruh melibatkan kawalan dan perancangan untuk memberikan keseimbangan antara alam sekitar dengan projek pembangunan yang dijalankan. Oleh sebab itu, sekiranya projek pembangunan yang melibatkan suatu projek yang besar haruslah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa dengan menghantar laporan EIA yang lengkap dan teliti. Laporan ini bertujuan untuk meneliti dan membendung agar projek yang ingin dijalankan tidak membawa kesan langsung kepada alam sekitar.
Jika melihat kepada projek besar yang melibatkan penggunaan terhadap sumber semula jadi, kebanyakannya akan membawa impak yang negatif misalnya projek yang melibatkan tebus guna kawasan perhutanan untuk projek pembinaan empangan sebagai pembekal tenaga hidroelektrik. Pembinaan ke atas empangan ini dikatakan memerlukan kawasan yang luas bagi menakung air, keadaan ini akan menyebabkan sebahagian flora dan fauna yang hidup di kawasan tersebut akan musnah. Misalnya pembinaan empangan hidroelektrik di kenyir Terengganu telah mengakibatkan sebahagian kawasan ditenggelami air. Keadaan ini sekali gus akan menjejaskan kepelbagaian sumber alam yang ada. Oleh sebab itu, melalui EIA, projek sebegini dapat dikaji terlebih dahulu sebelum projek tersebut dilaksanakan agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar fizikal dan manusia.
Begitu juga dengan pembinaan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya, pembinaan bandar baru dan hospital memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu kerana projek sebegini melibatkan kemusnahan alam sekitar. Jika kriteria-kriteria pembinaan diterima barulah projek ini dapat diteruskan .

2.3       Pendidikan
Melihat kepada isu alam sekitar sekarang didapati pelbagai masalah telah timbul seperti pemusnahan hutan, pencemaran udara, pencemaran air, penipisan lapisan ozon, hakisan dan kepupusan spesies, dan keadaan ini akan memberi kesan kepada generasi akan datang. Oleh sebab itu, memupuk nilai positif dalam diri kanak-kanak sangat penting kerana ini merupakan langkah awal dalam memberi pendedahan kepada mereka tentang alam sekitar. Langkah yang paling baik yang perlu diambil ialah melalui pendidikan seperti penerapan ilmu pendidikan Alam Sekitar. Langkah ini dapat memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat akan kepentingan sumber alam sekitar. Melalui pendidikan ini kita dapat membentuk sikap positif pelajar-pelajar terhadap alam sekitar, di mana mereka mengetahui kepentingan sumber semula jadi yang perlu dijaga. Ini sekali gus dapat memupuk perasaan cintakan alam sekitar dalam diri mereka.
Pendidikan Alam Sekitar telah mula diperkenalkan secara formal di peringkat sekolah sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Bagi peringkat sekolah rendah ialah melalui  Kemahiran Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) seperti mata pelajaran alam dan manusia. Manakala di peringkat sekolah menengah pula ialah melalui Kemahiran Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) seperti mata pelajaran  sains biologi. Selain itu, aktiviti ko-kurikulum di sekolah juga dapat memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar iaitu melalui aktiviti-aktiviti berbentuk luaran. Pelajar akan didedahkan dengan alam sekitar melalui pengenalan awal tentang flora, fauna, jenis hutan dan sebagainya.
Tidak ketinggalan juga di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi turut diberi pendedahan melalui pelbagai kursus yang melibatkan pendidikan tentang alam sekitar. Begitu juga kepada masyarakat turut diberi pendedahan tentang alam sekitar, masalah-masalah dan langkah mengatasi masalah yang berlaku dapat disampaikan melalui media massa. Media berperanan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat yang peka terhadap isu-isu yang timbul. Melalui pelbagai pendedahan dan tayangan kepada masyarakat ia dapat memberi gambaran yang jelas akan kesan yang berlaku sekiranya isu-isu yang timbul tidak dapat dibendung dengan lebih awal. Oleh itu, pendedahan ini sekali gus dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum akan kepentingan alam sekitar. Pendekatan pendidikan alam sekitar yang dilaksanakan juga adalah untuk membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan peka terhadap isu-isu alam sekitar di samping mereka memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan komitmen dalam usaha untuk menyelesaikan isu-isu alam sekitar sama ada secara individu atau bersama.
Pendidikan Alam Sekitar juga bertujuan untuk memberikan pemahaman kepada pelajar bahawa pembangunan sesebuah negara perlu seiring dengan penggunaan Alam Sekitar secara terancang. Ini adalah untuk memastikan alam sekitar tidak terjejas hasil daripada aktiviti manusia yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran. Oleh sebab itu, matlamat utama pendidikan ini adalah untuk membantu masyarakat sejagat memahami dan menyedari akan isu alam sekitar di samping turut berusaha dalam mengatasi masalah yang berlaku, ini sangat penting kepada negara dalam menuju sebuah negara yang maju.
Selain itu, kempen-kempen kesedaran juga penting. Melalui kempen ini ia dapat memberikan gambaran jelas kepada orang ramai tentang masalah yang berlaku terhadap kualiti sumber alam yang semakin berkurang. Melalui pameran dan tayangan gambar orang ramai dapat melihat sendiri keadaan sebenar yang berlaku. Dengan ini, la dapat meningkatkan kesedaran dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat tentang cara melindungi dan memelihara alam sekitar.

2.4       Pembuangan Sisa Pepejal
Pembuangan sisa pepejal merupakan sebahagian daripada komponen dalam sisa pembuangan  iaitu terdiri daripada sisa cecair dan gas. Dikatakan pembangunan yang pesat tanpa pengurusan yang sistematik dan berkesan menyebabkan berlakunya masalah pembuangan sisa pepejal dan boleh menimbulkan masalah kepada persekitaran. Oleh sebab itu, pihak kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berusaha mencari pendekatan baik untuk menguruskan sisa pepejal agar dapat diuruskan dengan sistematik.
Melihat kepada negara maju, kebanyakan mereka mengamalkan pengurusan sisa pepejal bersepadu di mana pelupusan yang dijalankan di tapak pelupusan dikurangkan dan digantikan dengan pendekatan lain seperti rawatan termal secara incinerator. Dikatakan pendekatan ini dapat membantu menyelesaikan masalah penjanaan sisa dan dikatakan telah berjaya digunakan di negara maju. Oleh sebab itu, Malaysia turut mengambil alternatif yang sama bagi mengatasi masalah tapak pelupusan sisa pepejal di Malaysia. Melalui cara ini kaedah yang dikhususkan ialah dengan cara gasification dan pyrolysis. Umumnya kaedah gasification merupakan proses pengurusan hidrokarbon kepada synergas iaitu dengan kawalan yang sistematik. Proses ini akan berlaku apabila suhu melebihi 700º C , dan bahan-bahan karbon tadi akan dibiarkan  dalam kok kemudiannya akan bertindak balas dengan agen gasification dan akhirnya akan dibakar di dalam kok tersebut. Oleh itu di Malaysia kerajaan telah membina teknologi ini dan ia dikatakan sesuatu yang baru seperti pembinaan teknologi insinerator di Brago. Teknologi ini dianggap sebagai satu alternatif yang baik bagi mengatasi masalah sisa pepejal ini. Teknologi ini juga dijangkakan akan memberi kesan dan faedah yang baik kepada alam sekitar. Sistem ini juga memberikan faedah dan kecekapan dalam mengendalikan penghasilan gas hasil proses pelupusan berbanding dengan cara yang lama.
Begitu juga dengan kaedah pyrolysis, kaedah ini merupakan proses pembakaran pada suhu 800 ºC hingga ke 1100ºC  dan ia merupakan satu pendekatan yang mesra alam kerana tidak menghasilkan gas toksid yang boleh mencemarkan alam sekitar malah gas pembakaran yang dihasilkan boleh digunakan sebagai baja. Dikatakan kaedah ini sangat berkesan digunakan di kawasan penduduk kerana cara ini lebih bersifat mesra alam dan tidak menjejaskan kesihatan manusia. Oleh sebab itu, penggunaan insinerator adalah kaedah yang sangat baik dan berkesan untuk digunakan kerana kaedah-kaedah ini dapat mengatasi masalah pelupusan dan mesra alam. Sistem gasification dan pyrolysis merupakan cara yang mantap dan berkesan untuk digunakan kerana ia dapat mengatasi masalah pelupusan melalui kambusan di tapak pelupusan, dan cara ini juga dapat menukarkan sisa pepejal kepada bahan api yang dapat digunakan.  Di Malaysia kaedah ini dikenal pasti sebagai rawatan perantara dalam pengurusan sisa domestik dan sisa pepejal.
Selain itu juga, kaedah seperti pungutan juga telah digunakan dalam pengurusan sisa pepejal ini . Kaedah ini biasanya digunakan di kawasan perumahan iaitu dengan cara pungutan dari pintu ke pintu. Setelah itu, sampah-sampah yang dipungut kemudiannya akan dikumpulkan ke tapak-tapak pelupusan.

2.5       Pemeliharaan Dan Pemuliharaan
Langkah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar juga merupakan suatu yang penting untuk menjaga alam sekitar. Pemeliharaan alam sekitar bermaksud alam semula jadi seperti kawasan hutan dijaga dan dipelihara daripada sebarang ancaman dan gangguan aktiviti manusia yang boleh merosakkan dan memusnahkan sumber yang ada. Manakala pemuliharaan alam sekitar pula adalah usaha yang dijalankan untuk mengatasi masalah  yang berlaku agar alam semula jadi yang hampir musnah dapat dipulihkan semula.
Langkah pemeliharaan dan pemuliharaan telah banyak dilaksanakan oleh pihak kerajaan antaranya ialah, melalui penubuhan Majlis Biodiversiti-Bioteknologi Negara ( MBBM) bertujuan untuk menyelaras usaha pemuliharaan dan penggunaan mampan sumber biologi. Langkah ini adalah untuk menjamin dan mengekalkan kepelbagaian sumber alam yang ada melalui pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti yang efektif di samping penyelidikan  dan inventori yang dijalankan untuk meningkatkan lagi pemeliharaan terhadap alam sekitar.
Selain itu juga, langkah lain adalah dengan cara meningkatkan jumlah kawasan perlindungan seperti mempergiatkan lagi pemeliharaan dan pemuliharaan hutan bakau yang berfungsi  sebagai benteng penahanan kawasan pesisir pantai daripada hakisan dan ombak besar. Kawasan paya dikatakan suatu habitat yang penting walaupun pada mulanya kawasan ini tidak diberi penekanan dalam pemeliharaan, tetapi setelah diketahui akan peranannya ia telah dipelihara dengan baik dan langkah pemuliharaan turut dijalankan agar ia dapat dikekalkan. Jika melihat kepada hutan bakau ia juga merupakan sebuah kawasan yang dijadikan sebagai aktiviti pelancongan. Konsep umum pelaksanaan program pelancongan ini pula ialah mementingkan penggunaan sumber tanpa menjejaskan kelangsungan nya pada masa akan datang.  Dengan kata lain, pembangunan mampan yang boleh digunakan tanpa merosakkan hutan bakau untuk generasi akan datang. Oleh itu, langkah ini penting untuk mengekalkan hutan bakau di samping memberi kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan paya bakau. Begitu juga dengan pemeliharaan pelbagai spesies yang hampir pupus, program seperti pembiakan ex-situ telah dijalankan untuk melindungi spesies ini di samping membantu menempatkan semula spesies yang terancam.
Selain itu juga, kerajaan turut memelihara dan menjaga kawasan saliran seperti sistem sungai dan laut agar tidak tercemar daripada kotoran. Pemantauan akan dibuat oleh pihak kerajaan untuk membendung masalah pembuangan sisa bahan toksid ke dalam sistem sungai. Pemantauan ini adalah penting untuk memelihara kualiti air daripada kotor dan tercemar di samping memelihara habitat yang hidup di dalamnya.
Selain itu juga, penggunaan terhadap baja organik penting kerana tidak mencemarkan alam sekitar di samping dapat menambahkan kesuburan tanah. Penggunaan baja organik juga dikatakan lebih murah dan tidak perlu diproses berbanding dengan penggunaan baja kimia yang memerlukan kos tinggi. Misalnya di serawak, peladang lada hitam telah menggunakan guano iaitu sejenis baja campuran najis burung dan kelawar untuk tanaman lada hitam.
Oleh sebab itu, pemeliharaan dan pemuliharaan merupakan suatu langkah yang penting dalam mengekalkan sumber yang ada termasuk udara di mana kerajaan akan menjalankan pelbagai program dan menguatkuasakan undang-undang bagi memantau aktiviti manusia. 
           
2.6       Kerjasama Antarabangsa
Malaysia juga turut memainkan  peranan penting dalam menjaga alam sekitar seperti melalui kerjasama antarabangsa.  Dikatakan beberapa perjanjian telah ditandatangani oleh Malaysia sebagai satu alternatif dalam mengekalkan sumber alam. Antaranya perjanjian yang telah ditandatangani adalah seperti konvensyen Stockholm iaitu perjanjian mengenai pencemaran organik yang berkekalan, Protokol Montreal iaitu perjanjian mengenai bahan-bahan yang memusnahkan lapisan ozon dan beberapa lagi perjanjian yang menjurus kepada penjagaan alam sekitar.

Perjanjian sebegini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberi faedah kepada Malaysia dalam menguruskan dan menyelesaikan isu-isu alam sekitar yang tidak dapat dijalankan oleh sebuah negara sahaja tetapi memerlukan kerjasama dalam membendung masalah yang timbul. Misalnya isu berkaitan pencemaran udara yang membabitkan pembakaran yang melibatkan negara jiran seperti isu yang membabitkan negara Indonesia dalam usaha memadamkan kebakaran hutan yang berlaku.  Oleh itu dengan cara kerjasama ini masalah ini dapat diselesaikan dengan cara diplomasi tanpa berlaku penuduhan dan sikap negatif terhadap negara lain dalam hal sedemikian.

Selain itu, usaha-usaha seperti pembenihan awan untuk membantu dalam memadamkan kebakaran hutan yang berlaku misalnya memerlukan khidmat pakar daripada negara-negara maju. Oleh sebab ini, kerjasama sangat perlu untuk mendapatkan tunjuk ajar dan bantuan daripada negara luar sekiranya kita memerlukan khidmat tenaga daripada pakar luar mahupun memerlukan teknologi dan peralatan yang lebih berkesan daripada negara luar. Di samping itu juga, kerjasama sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan antara negara dengan negara luar dalam menjamin alam sekitar.

2.7       Pembangunan Lestari
Kaedah pembangunan lestari juga merupakan satu pendekatan yang berkesan dalam menjamin kebersihan dan mengekalkan sumber alam. Pembangunan lestari merupakan gabungan dimensi alam sekitar dalam perancangan, pentadbiran dan pelaksanaan dasar serta program-program. Dalam merancang pembangunan lestari ini menurut White & Whitney ( 1992) memerlukan aspek keseimbangan persekitaran, sosial dan ekonomi. Pembangunan yang ingin dibuat perlulah mengambil kira tentang keupayaan menampung, pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan dan kadar berlakunya pencemaran yang dicetuskan oleh bandar.  Menurut pandangan Dr. jose Goldemberg iaitu Profesor Universiti SaoPaulo Brazil menyatakan terdapat dua aspek penting yang perlu diambil dalam pembangunan lestari ini iaitu keperluan khusus yang merujuk kepada keperluan asas untuk kehidupan manusia pada masa kini dana akan datang dan keterbatasan sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh teknologi dan organisasi sosial dan kemampuan dalam memenuhi keperluan manusia.

Oleh sebab itu, pembangunan lestari ini dibuat dengan perancangan atau lanskap yang akan dibuat ialah dengan menitikberatkan kawasan hijau dan pembangunan yang dirancang iaitu untuk menambah baik alam sekitar. Biasanya kawasan yang dipilih untuk dijadikan tapak pembukaan kawasan hijau ini adalah di kawasan bekas tapak perlombongan yang memiliki potensi untuk dijadikan sebagai kawasan hijau. Selain itu juga, pembinaan bangunan dan perumahan akan dirancang dengan strategik agar ia bersesuaian dan sekiranya kawasan tersebut sesuai barulah ia akan dilaksanakan.

Oleh itu, pembangunan yang lestari merupakan langkah yang sistematik kerana pembangunan yang dilaksanakan adalah gabungan daripada alam sekitar dengan manusia. Dengan cara ini alam sekitar dapat dikekalkan dan manusia akan berasa pentingnya kewujudan alam sekitar di sesuatu kawasan terutama kawasan yang pesat membangun kerana ia memiliki pelbagai fungsi. Antaranya ialah dapat mengurangkan pemanasan yang tinggi di sesuatu kawasan kerana pokok-pokok yang ada dapat menyerap haba di samping  dapat menyeimbangkan kawasan tersebut kepada kawasan lembap dan dingin kerana terdapatnya sistem ekologi yang boleh menstabilkan keadaan persekitaran.

2.8        Teknologi
Selain itu juga, penggunaan teknologi turut menjadi faktor penting dalam mengekalkan sumber semula jadi. Penggunaan produk mesra alam dikatakan mampu memberikan kesan yang baik  misalnya penggunaan pelbagai produk yang lebih mesra alam seperti pendingin hawa, peti sejuk dan pembersih udara. Sebagai contoh, terdapat sebuah syarikat iaitu SHARP Corporation Optimis merupakan peneraju dan pengeluar kepada barangan elektronik yang menerapkan produk mesra alam. Dikatakan syarikat ini menghasilkan produk dengan mengambil kira faktor mesra alam dan kesihatan pengguna. Begitu juga dengan pasaran produk ke Malaysia membolehkan negara dapat mengurangkan penggunaan barangan dan peralatan yang tidak mesra alam yang boleh menjejaskan kualiti udara seperti berlakunya penipisan lapisan ozon akibat pembebasan gas yang bahaya, kenaikan suhu kawasan setempat serta mengurangkan kualiti udara.
Selain itu juga, penggunaan teknologi dalam mengekalkan kualiti air. Dikatakan punca utama kepada berlakunya masalah pencemaran air ialah daripada bahan pencemar daripada industri yang berasaskan kepada pertanian, pembuangan kumbahan domestik, larian air daripada kerja-kerja tanah dan pembersihan kawasan serta pembuangan enfluen daripada aktiviti kilang. Oleh sebab itu, usaha yang berkesan perlu diambil untuk mengurangkan masalah pencemaran yang berlaku. Misalnya, Malaysia telah menaik taraf hampir 800 loji rawatan kumbahan dan menyelenggara rangkaian kawasan kumbahan kepada yang lebih baik. Cara ini dikatakan dapat mengurangkan keperluan biokimia oksigen di dalam sungai dan sekali gus dapat mengurangkan jumlah sungai yang kotor.

2.9       Penyelidikan Dan Pembangunan ( R&D).
Melalui penyelidikan dan pembangunan kerajaan dapat membuat perancangan yang baik untuk pelaksanaan aktiviti yang melibatkan sumber alam. Misalnya, dalam aktiviti yang melibatkan penggunaan tanah, penyelidikan pengurusan terhadap tanah akan dibuat terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti pertanian. Penyelidikan dibuat bertujuan untuk mengekalkan kesuburan tanah dengan melihat kepada kriteria-kriteria yang digariskan seperti menjalankan tanaman mengikut kontur, menjalankan aktiviti tanaman pusingan bagi mengekalkan kualiti tanah dan pembajaan secara minimum bagi keperluan tanaman dan  tahap kesuburan tanah.
Selain itu, kajian turut dijalankan untuk mengekalkan kualiti sumber air. Keperluan terhadap sistem pengairan yang hendak digunakan perlulah mengikut jumlah yang ditetapkan kerana ia penting untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran terhadap nutrien. Sekiranya jumlah air digunakan dalam kuantiti yang banyak apakan kesan yang akan berlaku kepada air.


3.0  KESIMPULAN
Oleh itu, cara Malaysia mengekalkan kesuburan tanah, kepelbagaian sumber alam, kualiti udara sihat dan air bersih atau dengan kata lainnya mengekalkan sumber semula jadi dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dapat dilaksanakan sekiranya pengurusan dan pelaksanaan terhadap alam sekitar diketengahkan walaupun negara mencapai pembangunan yang mampan. Selain pihak kerajaan Non Government Organisation (NGO) juga memainkan peranan yang penting dalam membantu memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini kerana, terdapat badan buka kerajaan merupakan sebuah badan yang sanggup mempertahankan alam semula jadi kerana terdapat segolongan masyarakat akan mempertahankan apa yang dirasakan. Mereka akan menentang semahunya sekiranya alam sekitar tercemar dan musnah. Oleh itu, penglibatan badan-badan ini juga dapat membantu kerajaan dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

             BIBLIOGRAFI

Bandar lestari: Anugerah Alam Sekitar. Diperoleh pada April 15, 2012 daripada http://www.doe.gov.my/portal/wp-content/uploads/2010/12/Bandar-Lestrai-Anugerah-Alam-Sekitar.pdf
Jabatan Pertanian. Polisi Pengurusan Tanah dan Tanaman. Diperoleh pada April 15, 2012 daripada  http://www.doa.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=77c35cc4-a6e6-4eaa-a7e6-9f96f2d57227&groupId=138964
Marin LAYOUT ( 2003). Pengenalan Alam Semula jadi. Diperoleh pada April 15, 2012 daripada http://www.wildlife.sabah.gov.my/edu/ekosistem%20Marin/Marin%20LAYOUT(N).pdf
Menggalakkan penjagaan alam sekitar. Diperoleh pada April 15, 2012 daripada http://www.epu.gov.my/html/themes/epu/html/rm9/bahasa/Bab22.pdf
Mohd hairy Ibrahim, Mohmadisa Hashim dan Nasir Nayan (2006). Isu-isu pengurusan alam sekitar fizikal. Kuala Lumpur : Universiti pendidikan Sultan Idris ( UPSI).
Munir Anaam Zuljadan. Metro : Buat Produk Mesra Alam. Diperoleh daripada April 15, 2012 daripada http://www.hmetro.com.my/articles/Buatprodukmesraalam/Article






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...