Monday 30 July 2012

TEORI PUSAT PERTUMBUHAN


1.0       PENGENALAN
Teori pusat pertumbuhan atau juga disebut sebagai teori kutub pertumbuhan (growth poles theory) telah dipelopori oleh Francois Perroux iaitu merupakan seorang ahli ekonomi regional berbangsa Perancis. Teori ini telah dikemukakan oleh Perroux pada tahun 1955. Sebagai pengasas utama kepada teori ini Perroux telah mendefinisikan pusat pertumbuhan atau ‘growth pole’ sebagai satu pusat dalam ruang yang abstrak serta mempunyai daya pertumbuhan dan tarikannya. Beliau turut menyatakan asas utama bagi teori ini ialah firma-firma dan perusahaan yang dijalankan di pusat pertumbuhan tersebut.
Menurut teori ini pembangunan sesuatu wilayah bukanlah merupakan suatu proses yang berlaku secara serentak tetapi pembangunan wilayah itu akan wujud di tempat-tempat tertentu dengan kadar kecepatan pembangunan yang berbeza-beza. Tempat-tempat dan kawasan yang menjadi pusat pembangunan ini dinamakan pusat atau kutub pertumbuhan. Pusat pertumbuhan di sesuatu kawasan yang mengalami pertumbuhan inilah seterusnya akan menyebarkan perkembangan yang berlaku ke wilayah-wilayah lain di sekitarnya atau ke pusat-pusat yang lebih rendah tarafnya berbanding kawasan pusat.
Teori ini kini dikatakan telah digunakan oleh hampir kesemua negara maju dan terdapat juga beberapa buah negara membangun menggunakan teori ini. Contohnya Malaysia menggunakan teori ini sebagai intensif letakan industri antaranya. Tujuan teori ini digunakan adalah untuk membina sebuah pusat pertumbuhan bagi mengagihkan penduduk serta kegiatan industri dari kawasan pusat bandar yang sesak. Selain itu juga, tujuannya adalah untuk membina sebuah kawasan industri sama ada industri yang berorientasikan eksport atau penggantian terhadap sesuatu import. Pembinaan kawasan industri ini dikatakan mengikut faktor geografi di mana ia melihat kepada sumber yang terdapat di sesuatu kawasan itu. Pembinaan kawasan perindustrian mengikut sumber yang ada di sesuatu kawasan ini adalah untuk mempercepatkan proses perindustrian. Apabila proses perindustrian berkembang ia akan menggalakkan lagi pembangunan lain di kawasan tersebut seperti kemudahan asas dan infrastruktur. Pertumbuhan yang berterusan di sesuatu kawasan itu akan mewujudkan sebuah pusat bandar di sesuatu wilayah sekali gus membawa ke arah pembangunan wilayah.
Oleh sebab itu, menurut teori ini pusat pertumbuhan dikatakan menjadi faktor utama kepada perkembangan ke kawasan sekelilingnya. Keadaaan ini akan berlaku apabila pusat pertumbuhan itu berkembang dan tersebar ke kawasan pinggiran.

2.0       KONSEP
Dalam teori pusat pertumbuhan ini konsep yang paling penting ialah penumpuan kepada ruang ekonomi. Perroux telah mengembangkan  ruang ekonomi itu sebagai satu bidang daya, di mana perkembangan yang berlaku inilah menyebabkan beliau dapat menghasilkan konsep iaitu satu kutub sebagai vektor atau membawa perubahan kepada daya ekonomi. Penumpuan dalam bidang ekonomi dikatakan berkeupayaan menjadikan sesuatu kawasan itu sebagai pusat industri. Hasil daripada pemusatan yang berlaku ini ia mampu untuk meminimumkan kos bagi penyediaan terhadap kemudahan infrastruktur. Keadaan ini secara automatik menjadikan kawasan pusat mencapai taraf mampu diri iaitu dapat berdiri teguh sebagai pusat bandar yang penting.
Pemusatan dan pertumbuhan dikatakan akan bertambah apabila berlakunya proses surutan dan tebaran.  Proses surutan berlaku apabila faktor pengeluaran seperti bahan mentah dan modal di kawasan sekitar pusat pertumbuhan dipindahkan ke kawasan pusat untuk memenuhi keperluan ekonomi. Hasil pemindahan ini telah menjadikan pusat bandar semakin berkembang. Manakala proses tebaran pula berlaku apabila perkembangan di kawasan pusat dipindahkan ke wilayah-wilayah yang mundur. Oleh sebab itu, hasil daripada pemusatan yang berlaku memberikan kesan kepada kawasan sekitarnya iaitu pertumbuhan pesat yang berlaku di pusat tersebut akan tersebar sedikit demi sedikit ke bahagian pinggirnya.
Dalam teori ini terdapat konsep-konsep asas ekonomi dan pembangunan geografi iaitu, konsep industri utama di mana pada pusat kutub pertumbuhan hanya terdapat sebuah perusahaan pendorong sahaja yang akan membentuk kompleks industri dan menguasai unit-unit ekonomi yang lain. Industri utama ini pula letakkannya ialah di kawasan geografi yang lokasi asalnya telah memiliki sumber asli. Oleh sebab itu, titik pertumbuhan bagi sesuatu pusat itu sering dikaitkan dengan petempatan pusat yang sedia ada. Selain itu ialah, konsep pengutuban atau pemusatan di mana pertumbuhan oleh industri utama akan mendorong  pengutuban bagi unit-unit  ekonomi yang lain. Dalam proses pengutuban ini pelbagai penjimatan digunakan. Pengutuban terhadap ekonomi menyebabkan geografinya turut terkesan iaitu dengan aliran sumber dan penumpuan kegiatan ekonomi tertumpu di pusat yang terhad bilangannya dalam wilayah. Manakala konsep kesan penyebaran pula ialah kesan daripada pengaliran keluar ke kawasan sekitarnya.
Konsep ini digunakan adalah bertujuan untuk meningkatkan penanaman modal atau pelaburan di sesuatu wilayah itu. Keadaan ini dikatakan dapat meningkatkan lebih banyak aktiviti di kawasan tersebut dan aktiviti tersebut sekali gus akan melibatkan penduduk yang berada di kawasan tersebut dan akhirnya menyebabkan semakin banyak barangan dan tenaga diperlukan untuk menampung keperluan dan permintaan penduduk. Selain itu juga ia turut mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk. Keadaan ini akan merapatkan lagi perhubungan antara negeri dengan cara mengurangkan jurang perbezaan ekonomi dan struktur antara wilayah. Perkembangan yang berlaku ini seterusnya akan memberikan pengaruh yang kuat kepada kawasan sekitarnya untuk turut berkembang.
Konsep ini juga berfungsi untuk menarik pembangunan kepada pusat tertentu melalui sesuatu galakan seperti bekalan sistem infrastruktur dan kemudahan sosial. Pusat pertumbuhan ini akan sentiasa berkembang dalam bentuk pembangunan yang bercorak konsentrasi dan desentralisasi. Konsentrasi ialah suatu cabang industri yang memiliki unsur kedinamikan yang mampu merangsang dan meningkatkan ekonomi.  Manakala desentralisasi pula ialah suatu lokasi yang mempunyai banyak kemudahan yang boleh menjadi pusat daya tarikan orang ramai bertumpu di sana.
Perkara asas dalam strategi untuk mewujudkan pusat pertumbuhan juga perlu dilihat daripada segi sumber kerana mungkin sesuatu kawasan itu memiliki sumber-sumber yang terhad dan tidak sesuai untuk mewujudkan sesuatu pelaburan. Agak mustahil untuk menyeimbangkan sesuatu kawasan dalam sesebuah negara dengan sama rata. Oleh sebab itu, langkah rasional perlu diambil dengan memilih kawasan yang mempunyai potensi sebagai pusat pertumbuhan iaitu mengikut kelebihan atau sumber yang ada di kawasan tersebut. Oleh itu, pusat pertumbuhan dalam pembangunan wilayah dapat dilihat daripada dua aspek iaitu pertumbuhan yang hanya tertumpu di beberapa pusat sahaja menyebabkan keadaan ekonomi di kawasan sekelilingnya terkebelakang. Kedua ialah hasil daripada pertumbuhan pusat menyebabkan pembangunan turut tersebar ke kawasan sekeliling.
Idea teras bagi teori pusat pertumbuhan ini adalah pembangunan atau pertumbuhan ekonomi. Pembangunan yang berlaku ini pula tidak seragam di seluruh serantau tetapi sebaliknya berlaku di sekitar kutub tertentu. Pembangunan yang berlaku sering dicirikan oleh faktor industri utama di sekitar kawasan tersebut, pembangunan ini seterusnya mengembangkan industri berkaitan yang berhampiran. Keadaan ini boleh berlaku secara langsung dan tidak langsung. Pengembangan daripada industri utama ini dapat memajukan dan meningkatkan output, pelaburan yang berkaitan, pekerjaan, teknologi baru dan sektor industri baru. Walau bagaimanapun, penumpuan yang hanya di kawasan ini sahaja menyebabkan kawasan lain menjadi mundur. Oleh sebab itu, kemudahan pengangkutan seperti  jalan raya amat penting untuk mewujudkan hubungan antara pusat bandar dengan kawasan sekitarnya. keadaan ini akan mewujudkan pusat pertumbuhan sekunder di kawasan lain dan akan menggalakkan pembangunan di kawasan mundur.

3.0       APLIKASI TEORI DALAM PEMBANGUNAN WILAYAH DI MALAYSIA.
Jika melihat kepada konteks negara membangun seperti Malaysia penggunaan teori pusat pertumbuhan ini adalah salah satu daripada alat untuk mewujudkan sebuah perancangan wilayah. Pelaksanaan dalam pembangunan wilayah ini sebenarnya telah lama dilaksanakan di Malaysia iaitu pada tahun 1956 di mana setelah berlakunya perang dunia kedua yang menyebabkan berlakunya kemunduran dalam kegiatan ekonomi. Pelaksanaan  yang telah dibuat adalah dalam bentuk pembukaan tanah rancangan seperti FELDA. Selain itu juga, melalui pembangunan wilayah dalam bentuk pembangunan tertentu mengikut letakan misalnya bentuk pembangunan pertanian dan pembangunan industri.
Selain itu, terdapat juga pembangunan wilayah yang dilaksanakan daripada organisasi berbentuk korporat iaitu dengan melaksanakan program pembangunan di kawasan baru ataupun di sebuah wilayah perancangan seperti MARA, KEJORA, KETENGAH  dan sebagainya. Program sebegini dilaksanakan adalah untuk mengurangkan kadar penumpuan kegiatan dan perusahaan penduduk serta pertumbuhan bandar. Manakala pembangunan wilayah yang dijalankan di kawasan mundur pula adalah untuk menggalakkan penghijrahan masuk penduduk, meningkatkan pembangunan wilayah tersebut, pembangunan bandar dan sebagai pusat pertumbuhan baru.
Di peringkat negara, beberapa buah bandar utama yang sedia ada telah dipilih menjadi sebuah pusat pertumbuhan seperti Kuantan, Georgetown, Kuala Lumpur, Johor Baru, Kuching dan Kota Kinabalu. Misalnya, pembangunan yang berlaku di daerah Johor Baru menunjukkan pembangunan berlaku adalah berpusat di beberapa buat pusat penempatan utama yang menjadi nadi kepada pembangunan. Di daerah ini dikatakan memiliki 14 buah pusat penempatan yang terdiri daripada pusat wilayah negara hinggalah kepada pusat penempatan kecil. Dikatakan akan berlaku tambahan kepada 5 buah pusat penempatan menjelang 2020 nanti. Selain itu, terdapat juga koridor pembangunan yang menghubungkan antara pusat-pusat penempatan tersebut. Daerah Johor Baru ini dikatakan daerah yang pesat dengan pembangunan di Negeri Johor di mana daerah di kawasan tersebut menjadi tumpuan penduduk dan pelbagai projek pembangunan serta infrastruktur turut berkembang di daerah tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan jumlah penduduk di daerah tersebut sebanyak 42.29 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri Johor iaitu seramai 2,740,625 orang.
Matlamat perancangan pusat pertumbuhan yang dilaksanakan di beberapa kawasan di Malaysia juga adalah bertujuan untuk mendorong pembangunan di kawasan meleset. Sesuatu kawasan yang kurang maju atau mundur berbanding kawasan pusat akan lebih berkembang setelah wujudnya perancangan pusat pertumbuhan. Perancangan yang dilaksanakan juga adalah untuk mengurangkan kesesakan yang berlaku terutamanya di kawasan bandar metropolitan iaitu untuk mengurangkan penumpuan di kawasan itu sahaja dan ini sekali gus dapat menyediakan satu saliran penghijrahan ke kawasan bandar untuk dijadikan sebuah kawasan strategik bagi proses perbandaran.
Selain itu, kerajaan juga telah cuba mengalihkan letakan pertumbuhan dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan ke wilayah yang kurang maju. Terdapat tiga jenis sumber asli yang telah menjadi sasaran kepada kegiatan pembangunan wilayah ini iaitu pembukaan tanah baru untuk tujuan pertanian dan meningkatkan daya pengeluaran. Sumber hutan untuk tujuan aktiviti pembalakan dan hasil hutan yang lain serta kemajuan dalam sumber galian perlombongan dan untuk memulakan kegiatan perindustrian.
Walau bagaimanapun, strategi yang dilaksanakan hanya memberi kesan kepada usaha meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan bandar baru sahaja. Oleh sebab itu, ia dikatakan lebih berjaya untuk peningkatan dalam pembangunan sosial sahaja jika dibandingkan dengan pembangunan ekonomi dan pembandaran. Ini menunjukkan penggunaan teori pusat pertumbuhan dalam mewujudkan sebuah wilayah yang membangun telah gagal, ini kerana strategi yang digunakan ini hanya bertujuan mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan pembinaan infrastruktur moden seterusnya menyebarkan pemodenan tersebut ke kawasan mundur.

4.0       PENERIMAAN TERHADAP TEORI
Teori pusat pertumbuhan yang dinyatakan oleh Perroux menyatakan bahawa potensi sesuatu kawasan untuk dijadikan pusat pertumbuhan mampu menggalakkan kemajuan di kawasan sekitarnya. Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun turut menggunakan teori ini untuk meningkatkan taraf ekonomi negara.
Pusat pertumbuhan dikatakan dapat menggiatkan pembangunan di kawasan sekelilingnya. Antaranya ialah dengan cara desentralisasi modal iaitu melalui pembukaan cawangan baru di kawasan sekeliling pusat pertumbuhan. Cawangan baru ini dapat dibuka kerana lokasi yang dipilih adalah strategik dan memiliki kemudahan serta berpotensi menjadi pusat tarikan orang ramai. Cawangan baru dibuka biasanya adalah disebabkan berlakunya kenaikan kos faktor pengeluaran dan kos kesesakan menyebabkan firma induk terpaksa membuka cawangan baru bagi mengurangkan kos tersebut.
Selain itu, penggunaan teori ini juga dilihat dapat mewujudkan peluang pekerjaan. Peningkatan peluang pekerjaan hasil daripada pembangunan di kawasan pusat menyebabkan berlakunya penghijrahan buruh ke kawasan pusat pertumbuhan, keadaan ini sekali gus dapat mengurangkan berlakunya pengangguran dan seterusnya akan meningkatkan kadar pendapatan per kapita. Seperti yang berlaku di Kuala Lumpur di mana pembangunan yang berlaku telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya.
Selain itu juga, melihat kepada penggunaan rantaian industri bagi mendapatkan bahan mentah. Pembelian bahan mentah oleh pusat pertumbuhan daripada kawasan sekitarnya dapat meningkatkan pertumbuhan kawasan yang kurang maju. Penjualan bahan mentah pada harga yang rendah menjadikan kawasan sekitar pusat sebagai rantaian yang penting untuk mendapatkan sumber bahan mentah. Kos yang rendah ini diperlukan oleh firma kerana dapat meningkatkan pengeluaran untuk mendapatkan keuntungan dengan pembelian kos sumber yang rendah.
Selain itu, menurut Hasmah Abd Karim (2002), proses pertumbuhan wilayah dikatakan melibatkan kepada perkembangan sesuatu sektor seperti sektor perindustrian. Perkembangan yang berlaku dikatakan akan melibatkan eksploitasi bahan termasuk ruang dan tanah-tanah kosong. Oleh itu, dalam proses pertumbuhan yang berlaku kawasan pinggir bandar akan menjadi sasaran untuk dibangunkan dengan lebih intensif. Oleh sebab itu, hasil pertumbuhan sebegini ia dapat menarik penghijrahan oleh penduduk terutamanya ke wilayah-wilayah yang lebih maju. Keadaan ini menyebabkan lebih ramai penduduk bertumpu di kawasan tersebut dan permintaan terhadap keperluan seperti kawasan kediaman dan kemudahan infrastruktur akan bertambah. Kemudahan ini adalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi daripada penduduk. Misalnya di lembah Klang, di mana penduduknya semakin bertambah akibat perkembangan dalam bidang industri di sana. Pertambahan penduduk menyebabkan perumahan-perumanah semakin banyak dibina untuk memenuhi permintaan yang tinggi.
Di samping itu, berlaku juga penyebaran inovasi yang boleh meningkatkan pertumbuhan di kawasan mundur. Penyebaran yang berlaku seperti penyebaran maklumat tentang inovasi dan penggunaannya seperti cara pengeluaran, teknik dan idea baru dapat mengubah pola pengeluaran di kawasan mundur dan menjadikan daya pengeluaran di kawasan tersebut semakin meningkat.  Seterusnya, kawasan mundur tersebut berkembang dan akan mewujudkan pula rantaian ke kawasan yang lebih jauh, ini akan mewujudkan keseimbangan antara wilayah dan semakin berkembang.
Begitu juga daripada segi sosioekonomi, di mana pusat pertumbuhan berfungsi untuk mengubah sikap sosial di kawasan yang mundur. Firma yang baru wujud di kawasan mudur itu perlu meningkatkan kadar upah pekerja agar penduduk di kawasan tersebut dapat meningkatkan daya pengeluaran mereka dan tidak berhijrah ke kawasan pusat kerana faktor upah yang rendah. Oleh itu, teori ini menyatakan perlunya penumpuan terhadap beberapa pusat pilihan terlebih dahulu agar faedah yang diperoleh mampu disebarkan ke kawasan sekitarnya.
Oleh sebab itu, teori ini dikatakan penting sebagai alat perancangan wilayah kerana kriteria-kriteria yang ada pada teori ini mampu mewujudkan perkembangan dan teori ini juga penting untuk memahami struktur dalam sesebuah wilayah.

5.0       KRITIKAN TERHADAP TEORI
Mengikut teori ini strategi untuk mewujudkan pusat pertumbuhan ialah pembangunan di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun strategi ini tidak begitu berjaya atas faktor kekurangan peruntukan untuk meningkatkan taraf pembangunan di setiap wilayah yang ingin dimajukan itu. Walaupun letakan bagi sesuatu  sektor telah dibuat keadaan ini tidak bermakna hasil daripada tebaran yang berlaku mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada penduduk di kawasan kurang maju, ini kerana menurut Kuklinski (1972) menyatakan teori ini tidak memberikan kriteria yang khusus kepada pemilihan letakan untuk pusat pertumbuhan seperti berapa besar saiz pusat pertumbuhan dan jenis pelaburan yang perlu disediakan di kawasan tersebut.
Selain itu juga, kelemahan teori ini mengikut Lo dan Kamal ( 1978) ialah kadar penyerapan buruh berlaku adalah di tahap yang rendah. Kegiatan di pusat pertumbuhan yang dilaksanakan dikatakan menggunakan tingkat teknologi yang tinggi serta lebih bersifat intensif modal. Keadaan ini menunjukkan penggunaan terhadap tenaga buruh adalah rendah kerana kegiatan industri yang dijalankan tidak memerlukan tenaga buruh yang banyak. Malaysia pula merupakan sebuah nagara membangun yang memiliki lebihan buruh, oleh sebab itu, lebihan buruh di kawasan yang kurang maju tidak dapat diserap ke kawasan pusat pertumbuhan. Akibatnya, mereka yang berhijrah ke kawasan pusat pertumbuhan hanya akan melibatkan diri dalam sektor tidak formal sahaja dan ini boleh mewujudkan kepada berlakunya masalah setinggan di kawasan bandar dan meningkatnya kadar pengangguran.
Menurut Nichols (1969) dan Moseley ( 1974) pula, mereka melihat dalam konteks kesan daripada tebaran dan surutan. Dikatakan kawasan yang berhampiran dengan pusat pertumbuhan sahaja yang dapat menikmati kesan daripada tebaran yang berlaku berbanding surutan. Manakala kawasan yang jaraknya lebih jauh daripada pusat pertumbuhan pula akan mengalami kesan surutan berbanding kesan tebaran. Hal ini kerana, permintaan terhadap bahan-bahan mentah berterusan dan kawasan jaraknya lebih jauh dijadikan sasaran untuk mendapatkan sumber bahan tersebut. Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut tidak berlaku pertumbuhan kerana penumpuan hanya dibuat di kawasan pusat sahaja.
Selain itu juga, menurut teori ini pusat pertumbuhan akan berkembang dan seterusnya akan disebarkan ke kawasan mundur di sekelilingnya. Akan tetapi, kawasan mundur ini dikatakan menjadi bertambah mundur kerana tidak berlaku pembangunan.
Di samping itu, terdapat juga masalah dalam mendirikan kawasan perindustrian. Hal ini demikian kerana kawasan perindustrian utama menjadi pusat yang penting dan telah mantap daripada pelbagai segi. Keadaan ini telah menyebabkan industri sekunder yang baru dibuka mempunyai peluang yang terhad kerana pengaruh pusat industri utama. Pembekalan bahan mentah ke kawasan baru dan pengeluaran yang dikeluarkan pula tidak setanding dengan industri utama. Oleh sebab itu, pusat pertumbuhan sekunder kurang memainkan peranannya dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekelilingnya kerana industri sekunder ini tidak mampu setanding dengan industri utama.
Pusat pertumbuhan yang berlaku juga akan menyebabkan penyerapan tenaga buruh ke kawasan pusat pertumbuhan. Keadaan ini akan menyebabkan kawasan sekitar akan kekurangan tenaga buruh. Keadaan ini menyebabkan kegiatan ekonomi seperti industri, pertanian atau perkhidmatan yang telah wujud di kawasan sekitar pusat tidak berkembang kerana berlaku migrasi penduduk ke kawasan pusat. Aktiviti ekonomi sedia ada di kawasan sekitar tidak akan berkembang dan hanya berada pada tahap yang rendah sahaja.
Menurut tinjauan baru Darwent ( 1969) pula beliau mendapati teori ini telah dikaitkan dengan berbagai-bagai konsep dengan pemikiran yang kabur dan takrifan yang tidak baik. Oleh itu, beberapa orang ahli teori wilayah menyatakan berlaku kekeliruan terhadap ketepatan konsep yang ada.
Walaupun teori ini dikatakan penting sebagai alat perancangan wilayah dan penting untuk memahami struktur dalam sesebuah wilayah. Namun, dalam teori ini berlaku banyak kekeliruan akibat daripada ketidakseragaman yang ada dalam kajian Perroux. Misalnya, penggunaan terhadap istilah dalam teori ini mengelirukan di mana Perroux telah menggunakan banyak istilah kepada teori ini selain pusat pertumbuhan iaitu kutub pertumbuhan, paksi pembangunan, kutub pembangunan, zon pertumbuhan dan kawasan pertumbuhan turut digunakan. Oleh sebab itu, pengkaji Boudville telah mengkhususkan istilah ini kepada sesuatu yang lebih khusus seperti istilah kutub pertumbuhan merujuk kepada dimensi geografi yang khusus dan pusat pertumbuhan pula merujuk kepada lokasi ruang.

6.0       KESIMPULAN
Walaupun teori ini mendapat kritikan yang banyak, tetapi teori ini telah dapat melengkapkan kajian daripada pengkaji Jerman terhadap teori petempatan pusat di mana teori ini dihasilkan secara induktif iaitu padanya penelitian terhadap proses pembangunan ekonomi. Manakala teori petempatan pusat pula adalah bersifat deduktif. Oleh sebab itu, teori ini oleh dijadikan rujukan untuk menghuraikan teori petempatan pusat.
Teori ini juga telah digunakan oleh negara Malaysia iaitu dengan mengamalkan strategi yang diperkenalkan oleh teori pusat pertumbuhan. Ia menjadi suatu yang penting sebagai alat perancang wilayah di Malaysia misalnya untuk memajukan kawasan mundur hasil tebaran yang dilakukan oleh kawasan pusat seperti Kuala Lumpur.

7.0 BIBLIOGRAFI
German Adell ( 1999).  Theories and model of the peri-urban interface : A changing conceptual landscape: London. University College  London.
Growth Poles Theory. Diperoleh pada April 15,2012 daripada http://people.hofstra.edu/geotrans/eng/ch2en/conc2en/growthpoles.html
Hasnah Ali ( 1991). Ekonomi Wilayah : Teori dan amalan: Selangor. Percetakan dewan bahasa dan pustaka.
Irdayati Abdul Air ( 2005). Kadar ketersediaan tanah untuk pembangunan perumahan di kawasan bandar menurut rancangan tempatan daerah : keberkesanan dari perspektif pemaju: Johor Baru. Universiti Teknologi Malaysia.
John Glasson ( 1974). Pengenalan perancangan Wilayah: konsep, teori dan amalan: London. Hutchinson & co. (publishers) Ltd.
Tinjauan Pustaka. Diperoleh April 15, 2012 daripada http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/29729/4/Chapter%20II.pdf









2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...