Monday 19 December 2011

DILEMA MELAYU

ULASAN MENGENAI BUKU DILEMA MELAYU, ( KARANGAN TUN MAHATHIR MOHAMAD).



1.0 PENDAHULUAN

Penulisan oleh Perdana Menteri kita yang keempat dalam ‘Dilema Melayu’ mengfokuskan pandangan beliau tentang masyarakat Melayu setelah tercetusnya pergaduhan yang dahsyat akibat daripada perbezaan kedudukan ekonomi bumiputera di luar bandar dan kedudukan bukan bumiputera di bandar. Kealpaan pemimpin pada ketika itu Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman terhadap orang-orang Melayu telah menyebabkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Dilema dalam bahasa yang mudah ialah kesukaran membuat pilihan atau kebuntuan masalah masyarakat Melayu yang tidak mampu membuat keputusan secara logikal berikutan pada masa itu orang-orang Melayu kurang berpelajaran. Penulisan beliau kali pertama pada 1970 ini setelah tercetusnya peristiwa hitam itu membicarakan tentang nasib orang Melayu yang tidak banyak berubah. Dalam buku ini beliau banyak mengupas tentang orang Melayu dalam pelbagai aspek seperti sudut keturunan dan alam sekitar Melayu,  ekonomi Melayu, persamaan kaum, perpaduan bangsa, usaha-usaha pemulihan keadaan orang-orang Melayu, masalah Melayu, sistem nilai Melayu, parti politik perkauman dan masalah Malaysia dan Singapura.


2.0 SINOPSIS

            Dalam buku dilema Melayu Mahathir mengetengahkan mengenai keadaan Melayu yang dipengaruhi oleh faktor keturunan dan alam sekitar. Pada mulanya Mahathir menekankan mengenai kelemahan Melayu dalam pelajaran. Baka yang baik akan menghasilkan zuriat yang baik. Bab seterusnya beliau menceritakan mengenai hubungan antara orang Melayu dengan Cina yang akhirnya mencetuskan peristiwa 13 Mei. Peristiwa ini berlaku akibat daripada perasaan tidak puas hati orang Melayu terhadap Cina yang banyak menguasai kegiatan Melayu seperti ekonomi, sosial dan pentadbiran sendiri. Mahathir nemceritakan lebih ditir lagi pengaruh keturunan dan alam sekitar terhadap kemajuan bangsa Melayu dalam bab 3. Perkara yang menjadi topik perbincanga ialah mengenai baka yang telah mempengaruhi keturuna Melayu kita. Mahathir telah menceritakan bagaimana baka mempengaruhi daripada sinilah dapat dilihat orang Melayu mudah dikuasai oleh penjajah dan kelemahan Melayu memberikan ruang kepada Cina untuk terus maju di Tanah Melayu.
            Bab seterusnya, barulah penulis menceritakan mengenai keadaan ekonomi Melayu yang telah dikuasai oleh orang Cina. Sikap Cina yang sangat berpegang teguh kepada ikatan kekeluargaanlah mengukuhkan lagi ekonomi mereka di Tanah Melayu sekaligus meminggirkan orang Melayu. Penulis menghuraikan pula mengenai perkauman Melayu dengan kaum lain setelah Tanah Melayu didiami oleh pelbagai kaum. Dalam perkauman didapati wujud masalah-masalah akibat masing-masing berbeza budaya, agama dan bahasa.
Setelah masalah berlaku daripada perkauman ini Mahathir menerangkan pula mengenai perpaduan kebangsaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu. Dalam mewujudkan kaum yang bersatu padu ini mestilah berlaku banyak masalah. Dan penulis menerangkan pula mengenai pemulihan bangsa Melayu kita. Seterusnya disentuh mengenai masalah melayu  sehinggalah kepada sejarah melayu dengan Singapura. Semua ini beliau terangkan dalam buku Dilema Melayu untuk menyatakan pandangan beliau tentang orang Melayu dan dilema yang berlaku. Setiap bab yang diterangkan beliau adalah berkaitan dan banyak kajian yang beliau ketengahkan untuk menampakkan lagi keabsahan beliau dalam Dilema Melayu yang beliau karang ketika dahulu.

2.0 ULASAN

2.1 Bab 1
Dalam perbincangan pertama buku dilema Melayu oleh Dr. Mahathir beliau telah mengfokuskan mengenai kelemahan dan masalah orang Melayu antaranya ialah kelemahan dalam pelajaran. Beliau menyebut faktor yang menjadi punca masalah ini ialah pengaruh keturunan dan alam sekitar, tetapi beliau tidak nafikan pegaruh lain turut menyebabkan perkara ini berlaku. Tetapi fokus beliau adalah kedua-dua pengaruh ini kerana sifat ini terdapat dalam zuriat melayu dan akan kekal turun-temurun. Menurut beliau lagi, faktor keturunan berkait rapat dengan aspek pembiakan seketurunan. Jika ditakrifkan dengan lebih mudah ialah pembiakan seketurunan yang melibatkan amalan perkahwinan daripada kelompok saudara sendiri seperti antara sepupu atau saudara terdekat. Amalan yang dilakukan ini tidak begitu digalakkan kerana ia akan memberikan kesan kepada anak. Amalan ini sangat biasa berlaku dalam kalangan orang-orang Melayu. Tetapi  dalam Islam Rasulullah S.A.W hanya tidak begitu menggalakkan perkahwinan sesama saudara terdekat. [1]Seperti yang kita tahu Islam menerima manusia itu sabagai makhluk Allah dan tidak sama kejadiannya kecuali disisi Allah, dan memang terbukti bahawa kuasa Allah dalam penciptaan manusia ialah mutlak sekali. Oleh itu, tiada siapa yang dapat menentukannya masakan ada yang mendapat zuriat yang pandai walhal mereka berkahwin dalam kelompok keluarga sendiri. Penulisan Mahathir disini dikatakan agak keterlaluan, tetapi kerana maksud beliau dengan tujuan yang baik tidaklah harus dikutuk kerana setiap manusia ada pandangan masing-masing dan mungkin penulis terlepas pandang.
Beliau menyatakan memang diakui bahawa pembiakan seketurunan tidaklah berleluasa tetapi kerap berlaku kepada orang Melayu kita berbanding kaum lain di Malaysia iaitu Cina. Namun begitu, tidak dinafikan faktor luaran juga mempengaruhi keadaan orang Melayu. Lebih banyak yang dapat diketengahkan apabila melihat daripada faktor ini.  Faktor luaran boleh dikatakan lebih mudah untuk dibetulkan daripada faktor dalaman. Hal ini demikian kerana faktor ini kita dapat melihat dan boleh memperbetulkan keadaan dengan pelbagai kaedah atau cara. Namun, jika dalam diri setiap orang Melayu tidak dapat menerima sesuatu yang baru misalnya ia akan menyukarkan lagi proses perubahan. Oleh itu, kita sebagai masyarakat Melayu seharusnya menerima lebih banyak perubahan dan lebih banyak belajar agar orang Melayu juga dapat membuktikan sebagai bangsa yang mampu dan boleh melakukan.

2.2 BAB 2
Dimana silapnya, dalam bab ini penulis mengetengahkan mengenai peristiwa yang berlaku pada 13 mei 1969[2] iaitu pergaduhan antara orang Melayu dengan orang Cina. Peristiwa ini telah menjadi teladan kita bersama, tujuannya adalah untuk mencari dimana silapnya kita pada masa dahulu sehinggakan mencetuskan pergaduhan dua kaum yang terbesar di Malaysia menjadi begitu terpisah hinggakan sebuah kerajaan yang autoritarian dan usaha oleh pemimpin kebangsaan tidak dapat memperbaiki keadaan ini.
Oleh itu, perlulah dilihat keharmonian antara kaum yang wujud pada masa dahulu seperti hubungan mereka sebenar dahulu dan faktor berlakunya peristiwa ini. Tujuannya adalah bagi membaiki kembali kesilapan yang berlaku sebagai satu tanggungjawab sosial. Apa yang harus diakui adalah dahulunya tidak wujud harmoni yang sebenar antara kaum, yang wujud adalah perselisihan antara kaum. Walaupun ada sedikit tolak ansur tetapi sekiranya ada masalah berlaku boleh mencetuskan pergaduhan.[3]
Menurut penulis, dahulunya masyarakat Melayu dan Cina boleh hidup berjiran dan bekerja bersama, dan jika kaum cina minoriti dalam kelompok Melayu mereka akan menjaga kelakuan yang boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu walaupun ada perasaan tidak puas hati dan keadaan ini terbukti di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Oleh itu, persengketaan jarang berlaku dan jika berlaku ia tidaklah berpanjangan. Setelah kedatangan Eropah orang India dan Cina ditambah masuk. Kemasukan mereka telah memberi kesan kepada orang Melayu dimana mereka menguasai politik orang Melayu dan ini mewujudkan pergaduhan tetapi dapat dikawal oleh British. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa telah wujud toleransi antara kaum walaupun kebanyakan kaum hidup terpisah. Semasa penjajahan Jepun pula orang Melayu mendapat layanan baik berbanding Cina kerana pada masa itu berlaku persengketaan antara Cina dengan Jepun. Namun, di akhir peperangan orang Cina menjadi rapat dengan Jepun menyebabkan Melayu menjadi tidak penting kerana Jepun menganggap Melayu tidak memberi manfaat kepada mereka. Kedatangan British semula ke TM menyebabkan orang Melayu dan Cina tidak hidup dengan baik kerana persengketaan yang telah berlaku. Sangkaan orang Melayu dengan kedatang British untuk mengurangkan sengketa tidak benar setelah British memperkenalkan malayan Union yang memberikan kelebihan kepada bukan Melayu.
Semasa menuntut kemerdekaan kita silap kerana menganggap kerjasama Melayu dan cina ketika itu mewujudkan keharmonian kaum. Dan semasa pilihanraya didapati kerajaan telah membenarkan parti pembangkan berarak atas kemenangan mereka, dan disinilah silapnya kerana perarakan ini telah menimbulkan kekacauan.

2.3 Bab 3
Dalam bab ini penulis menerangkan lebih terperinci lagi pengaruh keturunan dan alam sekitar[4] yang memberi kesan kepada bangsa Melayu. Faktor keturunan amatlah penting dalam perkembangan sesebuah bangsa dan ini telah diterima umum dalam perkembangan sesebuah kaum. Bagi membuktikan lagi kajian telah dibuat oleh gregor Johnn Mender keatas tikus yang memiliki faktor resasif, dan keputusan menunjukkan kelahiran baru mengikut faktor tersebut. Begitu juga dengan manusia mungkin mengalami keadaan yang sama. Hukum medal ini telah membuktikan bahawa baka mempengaruhi keturunan akan datang.
Selain itu,  alam sekitar juga berperanan dalam membentuk sesebuah kaum. Hal ini kerana alam sekitar juga merupakan faktor penting dalam membentuk perkembangan manusia dari segi fizikal, mental dan psikologi. Bermula dari penempatan awal Melayu yang tertumpu di dataran sehingga berkembang kepada kegiatan pertanian dan perniagaan. Selain itu, kedatangan agama Hindu dan Islam juga telah membawa perubahan besar kepada orang Melayu daripada segi pendidikan dan adat. Selain itu, kemasukan Cina secara beramai-ramai juga telah membawa perubahan yang besar kepada kehidupan orang melayu.[5] Kebanyakan golongan yang berpindah ini adalah daripada baka yang berhati cekal dan rajin berusaha. Kedatangan mereka ini telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara dua kaum yang berbeza sama ada dari segi keturunan mahupun alam sekitar masing-masing. Kemasukan orang asing seperti Cina, Arab dan India sedikit sebanyak telah mengubah persekitarasan sosial orang Melayu. Kedatangan mereka ke TM ada baik dan buruknya, tetapi penulis lebih mengfokuskan kepada perkara yang menunjukkan Melayu itu lemah sedangkan masih ada kejayaan yang telah dibuktikan oleh Melayu kita dalam sejarah.
Permintaan yang tinggi terhadap tanah orang Melayu menyebabkan kita semakin lalai, kita mudah menjualkan tanah kepada orang asing sehinggakan kita terpaksa berpindah ke pinggir bandar. Menurut penulis, penglibatan Cina dalam ekonomi Melayu telah menyebabkan orang Melayu hilang tempat dalam kegiatan ini, apatah lagi jika penglibatan Cina dalam politik mungkin kedudukan orang melayu kini semakin terpinggir akibat diskriminasi oleh kaum Cina.
Selain itu, wujud juga perbezaan dari segi sosial, ini dapat dilihat perbezaan antara Melayu bandar dan luar bandar. Mereka yang tinggal di luar bandar masih kekal sebagai Melayu jati tetapi berlainan dengan mereka yang tinggal di bandar kerana mereka telah bercampur budaya dengan kaum lain. Disamping dasar pecah perintah yang diperkenalkan oleh British telah memisahkan penduduk bandar dengan luar bandar.[6] Penghapusan cina terhadap orang melayu menyebabkan British membawa lebih ramai lagi migran cina. British juga tidak memberi banyak bantuan kepada orang melayu misalnya pendidikan hanya diberikan kepada orang melayu di bandar sahaja. Mereka juga mengambil kesempatan daripada Sistem tanah simpanan untuk memecahbelah orang melayu. Oleh itu, perhubungan orang Melayu di bandar dengan luar bandar semakin terbatas akibat pembangunan hanya dibuat di kawasan bandar serta kurangnya pembinaan jalan raya. Begitu juga jika dilihat daripada segi tahap kesihatan orang melayu di luar bandar yang tidak diendahkan menyebabkan berlaku pelbagai penularan wabak penyakit dan telah memberikan kesan kepada penduduk melayu. Melayu ketinggalan akibat faktor kesihatan yang tidak mengizinkan mereka untuk bekerja kuat.
Selain itu, faktor yang mempengaruhi perkembangan fisiologi orang melayu ialah amalan perkahwinan awal oleh masyarakat di luar bandar terutamanya. Keadaan ini akan memberikan kesan kepada anak-anak kerana pada peringkat umur mereka yang terlalu muda mereka tidak pandai menjaga anak-anak. Sejak perang dunia kedua, alam sekitar orang Melayu bertambah baik. Orang melayu semakin sedar dan berusaha lebih kuat bagi menjamin masa depan. Kemunculan pemimpin Melayu semakin mengubah cara hidup Melayu ke arah mencapai kemerdekaan. Adanya politik telah mewujudkan perasaan selesa kepada masyarakat.


2.4 Bab 4
Bab ini penulis telah menyentuh mengenai dilema ekonomi orang Melayu yang semakin tenat. Puncanya adalah daripada kelemahan orang Melayu itu sendiri dan penguasaan kaum Cina dalam ekonomi Melayu. Ini menyebabkan berlakunya persaingan terhadap orang Melayu dan penguasaan ini menyebabkan mereka telah menjadi satu bahagian yang penting dalam jentera ekonomi Melayu sehingga sekarang. Tetapi ketika kesultanan melayu Melaka di negeri seperti kedah, kelantan dan Melaka didapati pekedai cina tidak wujud lagi. Oleh itu, keadaan ekonomi Melayu sangat baik kerana mempunyai jentera perdagangan yang teratur.  
            Kedatangan orang India dan Arab telah memberikan perubahan dalam corak perdagangan dan akan menyemarakkan lagi ekonomi orang Melayu sedia ada. Kekayaan dan kebijakan  yang dimiliki menyebabkan raja Melayu mengakui kebolehan mereka sehinggakan mereka berpengaruh di istana dan akhirnya menguasai perdagangan. Semasa perubahan inilah pedagang cina mula datang dan dengan kepandaian mereka mengambil hati pemerintah kedudukan mereka semakin stabil di Tanah Melayu. Perniagaan mereka juga semakin berkembang dan akhirnya mewujudkan sistem kedai yang semakin menular ke seluruh Tanah Melayu dan kekal sepanjang zaman kesultanan melayu. Kedatangan barat pula telah mewujudkan hubungan baik dengan cina bagi kepentingan mereka. Perlindungan British terhadap cina memberi ruang kepada cina membawa lebih ramai imigram. Keadaan ini telah menyisihkan orang Melayu dalam ekonomi kecuali dalam pentadbiran. Menjelang tahun 1930-an, orang Melayu mulai sedar akan dilema ekonomi mereka yang semakin kompleks. Penaklukan Jepun juga menambahkan lagi dilema orang Melayu. Ramai orang Melayu yang bekerja dengan kerajaaan British hilang kerja tetapi fikiran kita hanyalah ingin kembali kepada kehidupan yang mudah di bawah pentadbiran British. Ini menunjukkan kita masih hidup bergantung. Setelah British kembali segelintir orang Melayu tergerak menggunakan kuasa politik dengan harapan untuk menguasai semula perniagaan. Namun, cadangan British perkenalkan Malayan Union (MU)  semakin parah kerana lebih menguntungkan orang cina dalam ekonomi dan kedudukan politik turut tergugat. Tetapi kita menentang habis-habisan MU, ini menunjukkan Melayu masing mampu untuk menjaga hak mereka setelah mengetahui cadangan mereka menguntungkan orang bukan Melayu.
Setelah ada tanda-tanda kuasa melayu dikembalikan, perhatian terus diberikan kepada ekonomi. Perniagaan Cina dan Melayu sama-sama ke arah lebih baik. Tetapi keadaan Melayu yang tidak tahu selok belok perniagaan telah memberikan peluang kepada Cina menguasainya. Melayu tidak putus asa dan menubuhkan syarikat walaupun tidak begitu kukuh. Kemudian melayu mulai sedar akan kepentingan bank sebagai sumber modal. Oleh itu, mereka ingin membuka perbankan sendiri tetapi usaha gagal. Kemudian dasar kerajaan dibuat untuk memberi bantuan kepada orang Melayu. British menubuhkan RIDA dengan tujuan memajukan ekonomi orang Melayu. Melayu dan kerajaan mengambil kesempatan daripada perubahan tersebut dengan memberi perhatian lebih kepada orang Melayu dalam hal tanah dan bidang industri. Dalam mencapai kemerdakaanlah perubahan berlaku, dan sebahagian kecil daripada harapan kita telah dipenuhi oleh kerajaan, misalnya dalam bidang perniagaan yang sebelum ini dikuasai oleh Cina dan kedudukan istimewa Melayu dalam perjanjian perlembagaan malaysia mengukuhkan lagi kedudukan orang Melayu. Malangnya orang Melayu kita mengambil kesempatan daripada dasar yang diberikan, para peniaga Melayu membuat telah mewujudkan perniagaan ‘ali baba’ iaitu perkongsian perniagaaan dengan cina tanpa mengeluarkan modal. Walaupun pada hakikatnya kebolehan kita dalam perniagaan adalah hasil dasar kerajaan.
Namun, tidak dinafikan terdapat segelintir yang berjaya menguasai bidang perniagaan. Dan mereka yang memiliki taraf hidup yang baik sedikit sebanyak membantu mereka yang miskin. Ini menunjukkan mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Setelah mencapai kemerdekaan, orang melayu semakin bergiat dan bertambah dalam bidang perdagangan. Semakin ramai orang melayu menjadi orang yang profesional. Kelebihan yang semakin bertambah terus meningkatkan kegiatan lebih kepada kewujudan firma-firma import-eksport. Walaupun melayu telah mencapai kemajuan, tetapi menurut penulis melayu tetap dilema berikutan orang bukan Melayu lebih 10 langkan maju daripada kita. Ini kerana pengalaman mereka ada sebelum ini menyebabkan mereka mudah untuk bangkit semula ditambah dengan bantuan yang diberikan.
Pada akhir perang dunia kedua aktiviti perdagangan bertambah berlipat ganda. Tetapi British yang lebih menguasai dengan dikuatkan lagi dengan bantuan perlindungan yang ditubuhkan mereka. Akhirnya mereka menguasai hampir seluruh kegiatan perkapalan. Keadaan ini telah menyingkirkan perniagaan import-eksport orang Cina. Begitu juga dengan kontrak-kontrak yang turut dikuasai British sehingga menyebabkan kemarahan peniaga Cina kerana mendapat kontrak kecil berbanding pada zaman jepun. Sewaktu mencapai kemerdekaan dalam proses Malayanisasi, penduduk Melayu telah diberi peluang utuk mengambil bahagian dalam kontrak-kontrak perniagaan. Tetapi cina tetap menguasai dan mudah berkembang perniagaannya kerana sikap mereka yang sangat berpegang teguh kepada ikatan kekeluargaan dan perasaan chauvanisme mereka yang ekstrem. Oleh itu, dasar pembangunan dilancarkan oleh kerajaan bagi membantu pengusaha tempatan. Keadaan ini telah memberikan keuntungan kepada Cina untuk memonopoli seluruh kegiatan ekonomi negara. Oleh itu, walaupun peluang banyak diberikan kepada orang Melayu kaum cina tetap di tingkat atas.
Penulis menyentuh pula tentang kejayaan cina iaitu daripada tiga faktor yang mereka tidak tinggalkan seperti dewan perniagaan, gabungan seniaga dan kesetiaan kepada keluarga menyebabkan perniagaan mereka bertambah baik. Di samping mereka memulau perniagaan melayu. Oleh itu, kajian dibuat dalam kegiatan perniagaan cina untuk gambaran corak perniagaan mereka. Selain itu, ditambah dengan sikap melayu yang hanya menerima sahaja hakikat bahawa kita tersisih dalam bidang perusahaan dan perdagangan memberikan lagi peluang kepada cina. Keadaan bertambah buruk akan sikap Melayu yang tidak mahu mempelajari sesuatu yang baru, tetapi kini keadaan telah berubah, orang Melayu telah berjaya dalam pelbagai bidang dan teknologi. Buktinya dapat dilihat daripada hasil kejayaan usahawan melayu dalam bidang perniagaan dan bidang lain. Ini menunjukkan Melayu semakin berfikiran ke hadapan untuk sama-sama berdiri sehadapan dengan kaum lain terutama cina.

2.5 Bab 5
Dalam  bab ini penulis membincangkan mengenai pengertian persamaan kaum .Apa yang perlu kita tahu persamaan kaum menjadi syarat bagi keharmonian dan perpaduan kaum tetapi tidak ramai yang memahaminya. Sebenarnya di mana-mana negara sekalipun yang mempunyai kumpulan etnik ramai isu persamaan kaum menjadi satu topik hangat. Misalnya di Amerika Syarikat, berlaku pengasingan sosial dan ekonomi antara orang kulit putih dengan orang kulit hitam mendatangkan banyak masalah, seperti amalan pemulauan ekonomi dan sosial yang telah lama berlaku dalam masyarakat mereka mewujudkan jurang. Ini menunjukkan, walaupun kita berbeza kaum perbezaan sesetengah tidak boleh dibezakan dan yang paling penting rakyat AS sendiri yang berperanan hentikan diskriminasi yang berlaku terhadap orang negro di negara mereka. Iaitu dengan memberikan layanan sama rata disamping usaha memulih perlu dilaksanakan. Walaupun mengambil masa yang lama untuk dipulihkan ia perlu diteruskan untuk menjamin kesejahteraan akan datang. Begitu juga dengan kaum red Indian di sana, berlaku isu berkaitan tanah milik. Keadaan yang berlaku di As ini jika dilihat ada persamaannya dengan yang berlaku di Malaysia.
 Keadaan orang Melayu di TM dengan orang red Indian di AS lebih kurang sama masalah iaitu berkaitan tanah. Di TM tanah simpanan yang ada, golongan pendatang turut memiliki kuasa terhadap geran tanah. Oleh itu, undang-undang diperlukan bagi menjamin hal orang melayu terhadap tanah. Tetapi yang menjadi masalah pula ialah apabila tuan-tuan tanah ingin menyamakan taraf hidup dengan penghuni lain di bandar sehinggakan mereka terpaksa berhutang dengan meminjam wang dengan bukan Melayu. Oleh itu tanah dijadikan cagaran, apabila tidak dapat membayar mahkamah memerintahkan agar tanah tersebut dilelong. Ini menyebabkan beribu-ribu relung tanah jatuh ke tangan bukan melayu. Misalnya yang berlaku di Kuala Lumpur sekitar tahun 1890, orang Melayu hampir tidak mempunyai tanah sendiri.  Namun, yang sedihnya tanah yang tinggal hanyalah yang tidak begitu bernilai berbanding tanah yang telah tergadai. Sekiranya adapun hanya beberapa buah negeri sahaja orang melayu kita memiliki tanah bernilai tinggi.
Selain itu, perbezaan biasiswa dan pekerjaan dalam perkhidmatan awam. Pada awalnya perbezaan ini adalah berkaitan dengan pelajaran dimana orang melayu agak ketinggalan jauh berbanding kaum lain. Oleh itu, tanpa apa-apa peruntukan khas pelajar melayu tidak berpeluang melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi untuk memperolehi pekerjaan yang baik. Punca pelajar mendapat keputusan yang lemah ialah kerana faktor kemiskinan. Bagi melayu yang pintar ia tidak menjadi masalah tetapi bagaimana dengan pelajar melayu biasa sudah tentu menjadi masalah. Disamping kurangnya galakan dan dorongan ibu bapa kepada anak-anak. Oleh itu, salah satu caranya ialah dengan memberikan biasiswa kepada pelajar melayu. Namun, timbul pula persoalan mengapa kaum lain yang miskin tidak mendapat keistimewaan yang sama. Penulis menyatakan hal ini perlu diteliti untuk meletakkan kedudukan Melayu sama dengan kaum lain. Memang diakui sesetengah orang bukan melayu tidak kaya tetapi disebabkan kebanyakan antara mereka mampu menyebabkan taraf pelajaran melayu ketinggalan. Ini menunjukkan perbezaan jurang terhadap bukan melayu dengan melayu.
Begitu juga dengan perkhidmatan awam Malaysia, peruntukan-peruntukan telah dibuat agar orang Melayu memduduki empat tempat dalam perkhidmatan awam iaitu bagi setiap satu yang diduduki oleh bukan melayu. Jika dilihat semasa pemerintahan British mereka memerintah negara dengan baik dan memberikan banyak bantuan dalam pekerjaan. Walau bagaimanapun kita tidak berpuas hati kerana kerja-kerja adalah dijalankan oleh orang yang sesuai jalankan iaitu bukan Melayu. Kita tahu kita tidak mampu membuat yang terbaik tetapi sekurangnya kita dapat mengambil alih tugas itu disebabkan kita orang melayu sehingga kesan baik atau buruk diketepikan. Permintaan kouta yang tinggi oleh orang melayu bertujuan agar kita tidak ketinggalan dalam perkhidmatan. Tanpa peruntukan menurut penulis kemungkinan orang melayu langsung tidak ada dalam perkhidmatan awam dan ini akan menampakkan perbezaan kaum yang paling buruk. Selain itu, masih ada undang-undang yang kelihatan bersifat diskriminasi untuk kepentingan orang melayu, tetapi tujuannya bukan untuk membezakan antara kaum malah digubal untuk menghalang perkara ini daripada berlaku.
Menurut penulis lagi, di TM berlaku perbezaan kaum yang agak ketara walaupun kita tahu persamaan kaum wujud apabila setiap kaum sama disisi undang-undang dan setiap kaum itu diwakili dalam setipa lapisan masyarakat. Dan ini telah dibuat di TM, namun pelbagai faktor telah menyebabkan perbezaan kaum antaranya perbezaan geografi kaum dimana orang bukan Melayu mendominasi kawasan bandar yang dikatakan amat berpotensi untuk maju berbanding di desa. Selain itu, sikap kita sendiri yang ingin  sesuatu yang mudah misalnya orang melayu yang meninggalkan bandar berikutan kurang pekerjaan. Mereka tidak mahu bersaing dengan orang lain untuk merebut tempat. Tetapi tidak dinafikan masih ada peluang pekerjaan untuk melayu tetapi hanya dalam pekerjaan lapisan bawah sahaja.
Menurut penulis, melayu boleh tinggal di bandar dengan melibatkan diri dalam perniagaan dengan membuka kedai sendiri. Tetapi perkara ini bukanlah mudah kerana memerlukan modal yang banyak serta persaingan dengan orang Cina sangat tinggi. hanya dengan satu cara sahaja peluang untuk orang melayu tinggal di bandar iaitu orang bukan melayu memberhentikan diskriminasi terhadap orang Melayu. Tetapi keadaan ini mustahil akan berlaku kerana masing-masing mahu mempertahankan kaum sendiri tidak kira melayu ataupun cina.
Selain itu ketajaman fikiran orang cina dalam perniagaan telah menjadikan mereka sebagai orang tengah yang universal di Asia Tenggara. Bagi membandingkan dengan lebih mendalam lagi tentang perbezaan kaum di malaysia perlu juga dilihat dari aspek lain seperti sebab Melayu tinggal di desa dam mundur dalam ekonomi dan sebab orang bukan melayu dapat tinggal bandar dan maju dalam ekonomi. Ini tidak lain dan tidak bukan antaranya daripada tanah simpanan melayuyang dibuat oleh kerajaan untuk orang melayu agar memiliki tanah. Tetapi tanah yang diberikan kebanyakannya terletak di luar bandar kerana tanah-tanah di bandar telah dimiliki oleh orang bukan melayu.
Kemunduran orang melayu di negara kita adalah disebabkan oleh diskriminasi dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Selagi kita tidak mendapat bahagian yang sama dan wujud perbezaan kaum kita tidak boleh membiarkan faktor dan amalan yang boleh menghindarkan kita mendapat tempat di negara ini. Selain itu, kewujudan perbezaan kaum di bandar dan luar bandar pula dapat dilihat daripada pendidikan dimana wujud latar belakang pendidikan yang berbeza antara pelbagai kaum sama ada di peringkat sekolah mahupun peringkat universiti. Bagi memasuki institusi pengajian tinggi misalnya lnstitusi hanya mengambil berat tentang kelayakan dan taraf akademik dan tidak mengambil kira tentang asal usul kaum. Keadaan ini memberikan peluang kepada pelajar tinggal di bandar kerana mereka yang belajar di bandar lebih luas pemikirannya berbanding dengan mereka yang belajar di desa kerana kemudahan yang dimiliki. Tetapi pelajar bandar adalah terdiri daripada orang bukan melayu kerana orang melayu kita kebanyakannya tinggal di luar bandar.
Jika kita lihat institusi yang mengambil pelajar masuk dinilai daripada aspek kelayakan dan taraf akademik, maka peluang yang masuk adalah orang bukan melayu. Jika melayu yang masuk hanya segelintir sahaja itupun jika terdapat kekosongan dalam sesuatu bidang pengajian. Hal ini berlaku berikutan ramai orang bukan melayu mencapai keputusan yang baik dan mereka memang layak untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.
Selepas peperangan kedudukan orang melayu telah terbalik, mereka telah berpeluang memasuki perkhidmatan kerajaan disamping dengan pelajaran yang lebih baik. Ini adalah kerana TM semakin pesat membangun. Dengan itu kita dapat lihat orang melayu memegang jawatan tertinggi dalam bidang tertentu, tetapi bidang lain orang bukan melayu masih memegangnya dan bidang yang dipegang pula bukan calang-calang. Dalam bidang perguruan mahupun bidang jururawat pengambilan pekerja masih lagi dimonopoli oleh orang bukan melayu. Ini adalah kerana kelayakan yang dimiliki adalah lebih baik daripada orang melayu. Daripada perbezaan peluang ini muncul pula perbezaan lain seperti perumahan dan kesihatan dan perbezaan paling buruk ialah perbezaan meluahkan perasaan dan pendapatan. Akibat kekurangan yang ada orang melayu tidak dapat meluangkan isi hati dengan jelas.
Oleh itu, persamaan kaum sahaja dapat menjamin keharmonian kaum dalam masyarakat berbilang kaum. Untuk mewujudkan persamaan ini harus difahami sebenar makna persamaan kaum itu. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia ialah setiap kaum itu berasakan mereka didiskriminasikan oleh kaum lain yang menjadi bukti kita tidak betul-betul memahami persamaan kaum. Menurut penulis, orang melayu menyatakan bahawa diskriminasi yang mereka alami di Malaysia bukan akibat daripada undang-undang tetapi berdasarkan kepada sifat dan tingkah laku sesuatu kaum. Oleh itu, untuk mewujudkan persamaan kaum perlulah kaum-kaum lain menyesuaikan diri antara satu sama lain. 
Pelaksanaan dasar oleh kerajaan kebanyakanya adalah daripada dasar Ekonomi Baru (DEB) yang di laksanakan dalam tempoh 20 tahun adalah untuk kepentingan dan memberi ruang kepada orang Melayu. Dalam dasar ini adalah bermatlamat untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat supaya tidak berlaku krisis ekonomi antara kaum. Tetapi tidak dinafikan selepas DEB berakhir orang melayu masih ketinggalan dalam hampir semua bidang.[7] Betullah kata penulis keadaan melayu tidak akan maju lebih daripada orang cina. Ketika DEB kadar kemiskinan semakin berkurang tetapi jurang antara luar bandar dan bandar masih wujud, ini dapat dilihat kemiskinan penduduk melayu pada tahun 1990 sebanyak 23.8 % berbanding kaum lain yang peratusnya kurang daripada 10%. Begitu juga dengan nasib orang melayu yang tinggal di desa yang masih tidak berubah. Penanaman padi pula masih bergantung kepada subsidi kerajaan dan dari segi pekerjaan juga orang melayu masih di tahap pekerjaan yang rendah pendapatannya. Walaupun melayu sudah banyak menyertai bidang profesional tetapi jumlahnya masih tidak memberangsangkan.

2.6 Bab 6
             Dalam bab ini penulis telah menerangkan mengenai asas-asas perpaduan kebangsaan. Menurut beliau tafsiran mengenai asas perpaduan ini tidak hanya boleh mengikut sesebuah golongan sahaja sebaliknya harus menyeluruh. Menurut Jabatan Perpaduan Negara bersama orang bijak pandai mentafsirkan asas perpaduan kaum merupakan satu kumpulan etnik yang mengamalkan bahasa, kebudayaan dan agama yang sama serta tinggal dalam satu kawasan yang bersempadan dengan keadaan alam tertentu.
            Dahulu faktor yang mengehadkan asas ini ialah sempadan alam. Keamanan sesuatu kaum dalam kawasan tertentu dapat bersatu setelah mereka saling memahami. Tetapi jika berlainan kebudayaan ia akan mewujudkan pertikaian. Di zaman moden pula Amerika Syarikat telah menjadi contoh pembinaan bangsa. AS telah menghadapi cabaran yang hebat dengan kebanjiran pendatang dari pelbagai kaum. Oleh itu mereka telah menetapkan satu prinsip iaitu pendatang yang ingin menjadi rakyat AS wajib mempelajari bahasa mereka. Dengan mewujudkan sebuah masyarakat yang bertutur dalam bahasa mereka perpaduan kebangsaan itu akan tercapai. Ini menunjukkan bahasa merupakan kunci kepada perpaduan kebangsaan.[8] Oleh itu negara seperti Malaysia yang berbilang kaum memerlukah persetujuan dalam pemilihan bangsa dan perpaduan. Jika bahasa yang dipilih diterima umum perpaduan kaum dapat dibentuk.



2.7 Bab 7
            Dalam bab ini pula penulis menerangkan tentang pemulihan bangsa melayu dan dilema melayu. Antara keperluan untuk pemulihan bangsa Melayu kita ini adalah revolusi. Revolusi bermaksud perubahan mendadak dimana perubahan dibuat untuk memulihkan kelemahan yang ada. Perubahan ini adalah bertujuan untuk memperbaiki kedudukan orang melayu dengan tidak memusnahkan orang lain. Oleh itu, perkara yang menjadi kekuatan pada orang melayu harus dikekalkan seperti agama Islam dan adat tradisional. Hal ini kerana jika kedua-dua perkara ini dinilai barulah masa hadapan melayu dapat dirancang.
            Selain itu, langkah lain yang perlu dibuat ialah mencari jalan untuk membandarkan orang melayu yang sebelum ini agak terpencil di kawasan luar bandar. Caranya adalah dengan mendorong secara positif agar orang melayu kita berhijrah ke bandar dengan ganjaran seperti jaminan pendapatan yang tetap. Disamping menbuat sistem pencen untuk menarik orang melayu bekerja di sektor kerajaan. Oleh itu, secara keseluruhannya, pelbagai bidang kerja seperti perniagaan, perkhidmatan perlu diberi kepentingan kepada orang melayu dengan pelbagai cara agar mereka dapat menyertai bidang ini. Tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan kerajaan perlu membuat pelbagai rancangan agar dapat diperhebahkan kepada orang Melayu di luar bandar supaya mereka mengenali dunia luar daripada pengetahuan baru.
Pembandaran, perolehan kemahiran baru dan penerimaan orang melayu terhadap nilai-nilai baru yang tidak bertentangan dengan agama dan pandangan feudal merupakan satu revolusi. Jika ia dijalankan maka keadaan orang melayu dapat dipulihkan daripada dilema.

2.8 Bab 8
            Dalam bab ini penulis membincangkan perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu masalah melayu.  Menurut beliau melayu sedang menghadapi satu masalah peribadi iaitu mengenai perasaan hati terhadap perkongsian Tanah melayu dengan orang lain. Melayu kaya dengan adat sopan santun dan tidak suka menonjol diri, tetapi amalan ini telah disalahertikan oleh orang bukan melayu yang menganggap sifat ini sebagai bukti kelemahan dan rendah diri orang melayu. Sifat ini menjadikan orang lain mengambil kesempatan terhadap orang melayu. Kemarahan yang dipendam mungkin akan meletus juga kerana tahap kesabaran ada batasnya. Masakan tidak marah jika kita diperlakukan, mungkin untuk sekali dua boleh dimaafkan lagi tetapi jika terlalu kerap amukan akan meletus. Memang sifat ini kita telah diasuh sejak kecil dan menjadi satu tradisi kita sebagai orang melayu. Oleh itu, satu penyelesaian harus dicari.
            Orang melayu tidak boleh menganggap Tanah Melayu sebagai tanah air kerana ia telah menjadi Malaysia yang dikongsi dengan kaum lain. Pendirian inilah ditentang oleh kaum lain. Tetapi mengikut sejarah Tanah Melayu pada asalnya diperintah oleh orang Melayu dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, jadi orang Melayu adalah pemerintah asal dan pemilik sebenar Tanah Melayu. [9]  Selepas merdeka barulah isu ini dibangkitkan oleh kaum Cina dan India dengan alasan mereka turut memajukan Malaysia. tetapi menurut mahathir alasan ini tidak munasabah kerana jika Melayu menghalang kedatangan mereka masakan mereka dapat memajukan Tanah Melayu. Jika ini mereka persoalkan mereka silap kerana mereka juga boleh dipersoalkan sebab mereka sudah ada negara asal sendiri, masakan mereka ingin menjadikan Tanah Melayu sebagai hak mereka. Penulis telah meneliti kajian yang berlaku di AS, China serta Australia sebagai bukti penduduk tetap di sesebuah negara iaitu mereka yang mula-mula membentuk kerajaan dan kerajaan ini telah diiktiraf oleh negara lain. Jadi di tanah melayu tidak dinafikan orang Melayulah yang mula-mula sekali membentuk kerajaan yang berkesan.
            Bahasa memang telah diakui sebagai ciri yang paling penting dan telah diterangkan dalam bab 6 dimana AS dijadikan sebagai contoh. Di Tanah Melayu, Bahasa Melayu ialah bahasa bumiputera yang mula-mula mendirikan kerajaan yang efektif. Oleh itu ia telah dijadikan bahasa kebangsaan. Tetapi orang Melayu kita memiliki sifat toleransi, penduduk yang berbilang sememangnya bahasa juga pelbagai. Oleh itu, perlembagaan memperakui penggunaan bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil di sekolah kerajaan jenis kebangsaan. Tetapi apa yang berlaku kini bertentangan dengan amalan biasa dahulu, warganegara sendiri menuntut agar bahasa asing digunakan misalnya bahasa Inggeris. Bahasa ini telah digunakan secara meluas di negara kita kini, malah ada percubaan menyerap bahasa ke dalam pendidikan seperti pengajaran dan pembelajaran  sains dan matematik dan bahasa Inggeris(PPSMI). Ini menunjukkan melayu kita kini telah melupai bahasa melayu sebagai bahasa rasmi negara kerana taksub akan bahasa asing. Walaupun pada asalnya pelaksanaan ini untuk memberikan kebaikan kepada pelajar tetapi banyak juga masalah yang timbul. Dan kini ia telah digantikan dengan MBMMBI setelah dibahaskan oleh kebanyakan ahli bahasa.
            Migrasi juga menjadi ancaman kepada orang Melayu yang dahulunya kita sangat bersifat pemurah dan tidak mengawal secara ketat kedatangan orang luar. Kemasukan mereka banyak memberi kelebihan kepada mereka misalnya setelah dapat berhubungan baik dengan raja melayu dan menguasai tanah simpanan melayu. Begitu juga dengan rancangan Malayan Union oleh British yang banyak berpihak kepada bukan Melayu. Oleh itu, dasar kewarganegaraan yang ada semakin serius kerana pendatang asing tidak lagi dapat dikawal dalam pelbagai aspek seperti bahasa, budaya dan pelajaran sehinggakan untuk membentuk satu bangsa yang homogen semakin sukar.

2.9 Bab 9
Bab ini Mahathir membincangkan tatasusila dan sistem nilai orang Melayu. Ia hubung kait dengan agama, kebudayaan dan ilmu pengetahuan. Tatasusila sangat dipengaruhi oleh agama, ini bererti bahawa nilai-nilai juga sangat berkait rapat dengan kepercayaan agama. Oleh itu peradaban melayu telah membentuk satu susila tingkah laku yang dinamakan adat. Kebanyakkan adat diamalkan di kawasan luar bandar dimana kebanyakan orang Melayu tinggal. Ini menunjukkan adat telah sinonim dalam kalangan orang Melayu. Perhubungan dengan dunia luar juga mempengaruhi sistem nilai orang Melayu. Misalnya hubungan dengan dunia arab yang mempunyai pengaruh yang sangat besar. Amalan agama Islam dalam masyarakat melayu menyebabkan orang Melayu lebih mementingkan amalan yang bersifat ke arah menuju akhirat kerana lebih menghargai kehidupan dan nyawa. Mendalami ilmu fardu ain lebih diutamakan ini dibuktikan ketika kesultana melayu melaka. Oleh itu, penjajah lebih mudah menawan orang Melayu kerana orang Melayu tidak mementingkan kehidupan yang berasaskan keduniaan yang menjadi teras kepada penerokaan penjajah. Oleh itu, menurut penulis sistem nilai dan tatasusila menjadi halangan kepada kemajuan orang Melayu.  
Tetapi kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mengubah aspek kehidupan masyarakat Melayu. Islam telah mendasari pembinaan tamadun Melayu dan bagi meneruskan kegemilangan Tamadun ini rakyat Malaysia hendaklah berganding bahu dengan mengamalkan nilai-nilai positif, walaupun rakyat berhadapan dengan pelbagai cabaran.[10]

2.10 Bab 10
            Bab ini pula, Mahathir menjelaskan tentang politik perkauman dan parti dalam kehidupan rakyat Malaysia. Di Malaysia banyak parti yang lebih bersifat perkauman. Perbezaan yang ketara antara tiga kaum di malaysia menimbulkan masalah dalam politik dan perpaduan kaum. Perbezaan ini dapat dilihat daripada kehidupan orang Melayu, Cina dan India yang yang terpisah di Tanah Melayu.           Kehidupan orang Melayu di kampung, orang Cina di bandar dan orang India di estet menyebabkan masing-masing berada dalam kebudayaan, bahasa dan agama yang terpisah jauh. Keadaan ini tidak akan mewujudkan keharmonian kerana. Oleh itu, Untuk mewujudkan keadilan, kesaksamaan dan perpaduan parti-parti yang bersifat perkauman ini perlu mencari jalan bersatu padu.   

2.11 Bab 11
            Bab ini Mahathir hanya mengimbau kembali sejarah Malaysia dan Singapura. Semasa percantuman Singapura dengan Malaysia telah berlaku masalah, oleh itu penulis tidak pernah menaruh minat terhadap kemasukan singapura sebagai sebahagian daripada Malaysia. oleh itu, hubungan kedua buah negara tidak akan disambung semula dan akan terpisah jauh disebabkan beberapa faktor seperti geografi, sejarah, ideologi, asal usul kaum dan bahasa.
            Sebahagian besar pertumbuhan dan kepentingan Singapura kepada Malaysia ialah kerana kedudukannya yang strategik sebagai pelabuhan. Singapura juga menjadi tempat yang paling sesuai dari segi ekonomi bagi kemasukan barangan untuk diedarkan ke seluruh Malaysia. Singapura juga memerlukan Malaysia untuk menampung kemudahan yang dibina.ini menunjukkan kita saling memerlukan.
            Oleh itu, Singapura dan Malaysia boleh menjadi sahabat baik, malangnya ideologi dan sistem kerajaan telah menyebabkan tidak berlaku persefahaman bersama. Sikap yang diambil ini tidak menggalakkan hubungan yang baik. Sikap singapura yang mementingkan diri menyebabkan Malaysia membuat persediaan yang boleh menyebabkan Singapura kehilangan kedudukan perdagangan penting dan pangkalan pertahanan yang strategik.


KESIMPULAN

Melayu kita pada hari ini semakin maju daripada dahulu. Walaupun kita tahu sekarang orang Melayu kita masih dilemma dalam beberapa perkara  ia masih boleh diperbaiki lagi. misalnya, menurut kata Mahathir sendiri yang menyatakan faktor keturunan menyumbang kepada prestasi buruk orang melayu. Namun kini, kita dapat lihat hasil migrasi ke bandar-bandar telah mengubah cara hidup orang melayu. Ini kerana pemikiran kita semakir terbuka dengan pengetahuan yang ada. Sejarah juga telah dijadikan satu rujukan untuk kita melihat dimana silap kita agar perkara ini tidak berulang kembali dalam kehidupan kita pada hari ini. Kerana jika kita melupakan sejarah ia akan kembali semula kepada kita. Begitu juga dengan sangkaan beliau yang menyalahkan pendidikan dan kekurangan kesihatan, dimana kini orang melayu lebih berpendidikan serta sihat. Tetapi jika dilihat tahap pendidikan tinggi kini timbul pula fenomena baru yang memperlihatkan peratus wanita yang berpelajaran labih ramai daripada lelaki. Kesannya, wujud satu gejala sosial. 
Selain itu, wujud juga public policy iaitu apa sahaja yang dilakukan dan tidak dilakukan untuk mencapai tujuan yang tertentu. Misalnya ketika pendudukan British yang tidak mahu memperkenalkan sekolah menengah supaya orang melayu tidak pandai. Public policy yang berlaku menjadikan orang melayu ketinggalan jauh dalam pelbagai bidang sejak pendudukan penjajah sehingga hari ini. Dalam buku Dilema Melayu penulis menerangkan sifat Melayu yang sopan menyebabkan kita mudah dipergunakan. Tetapi kini apa yang kita lihat kebanyakan pelancong yang datang ke Malaysia mengagumi sifat masyarakat kita yang sopan santun malah ada kalangan pengkaji barat yang mengkaji mengenai adat Melayu ini. Ini menunjukkan kita tidaklah terpinggir daripada Negara sendiri kerana banyak dasar-dasar yang telah dibuat untuk memberikan kepentingan kepada orang Melayu disamping tidak menyisihkan kaum lain.



[1] Rasulullah tidak menggalakkan perkahwinan ini kerana Baginda khuatir anak yang dilahirkan kurang bijak dan mungkin cacat. Tetapi semua ini kuasa Allah, jika Allah menghendakinya maka sesuatu perkara itu akan terjadi.
[2] Peristiwa ini berlaku menurut penulis adalah bermula daripada bendera Union Jack yang diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Peristiwa ini turut mencetuskan pergaduhan. ( Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain. “The Malay Dilemma”. (1982).
[3] Mahathir Mohamad. “Dilema Melayu” : Terbitan Marshall Cavendish Editions (2008) 140.
[4] Keadaan ini menunjukkan kelemahan dan kepincangan Melayu daripada sudut fizikal akan membawa keburukan kepada orang Melayu.
[5] Kedatangan Cina membawa keburukan kepada orang Melayu. Sikap yang mereka ada menyebabkan kita terpaksa mengalah sehinggakan kita semakin terpinggir.
[6] Menurut Mahathir, kedatangan mereke telah memecahkan hubungan antara Melayu dengan Cina malah turut memecahkan hubungan antara Melayu luar bandar deng Melayu di bandar. ( raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain. “The Malay Dilemma” (1982).
[7] DEB ialah dasar yang asas kepada perubahan orang Melayu. (http://temanteras.wordpress.com/futhuhat/masalah-sosio-ekonomi-orang-melayu/)
[8]  Mohd Yusof Hasan. “Pemikiran Mahathir Mohamad”. Shah Alam Selangor: Penerbit Universiti UPENA (2008)
[9] Mohd Yusof Hasan. “Pemikiran Mahathir Mohamad”. Shah Alam Selangor: penerbit universiti UPENA (2008).
[10] Mohd Syariefudin Abdullah, Mohamad Kamal kamaruddin, Ahmad Sohaimi Lazim :Kenegaraan dan Ketamadunan”: terbitan oxford Fajar.sdn.bhd (2009).


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...